KERAJAAN SENDAWAR, KALIMANTAN TIMUR, BORNEO
KERAJAAN SENDAWAR, KALIMANTAN TIMUR, BORNEO
Kerajaan Kutai sudah tentu gah namanya sebagai antara kerajaan Dayak yang tertua di Borneo malah jajahan takluk kepada Kerajaan Kutai suatu waktu dahulu adalah luas. Oleh kerana gahnya empayar Kerajaan Kutai ini jadi tidak menghairankan berdirinya kerajaan tertua Dayak itu juga disokong oleh banyak kerajaan-kerajaan Dayak kecil. Salah satu daripada kerajaan dayak kecil yang juga bernaung serta mempunyai kaitan dengan susur galur kerajaan dayak Kutai adalah Kerajaan Sendawar. Lokasinya juga hampir sama iaitu di Sungai Mahakam cuma kewujudan ianya diasaskan adalah sekitar abad 13 Masihi.
Kerajaan Sentawar atau Sendawar itulah satu kerajaan kecil yang diasaskan oleh seorang anak dayak Benuaq yang bernama Tulur Aji Jangkat. Dahulunya ianya pernah berdiri di satu kawasan bernama Kelurahan Melak, Sendawar, Kutai Barat sekarang. Dan seperti kebanyakan daripada kerajaan-kerajaan kuno dayak yang lain, Kerajaan Sendawar ini juga merupakan satu kerajaan dayak yang mempunyai pengaruh Hindu/Buddha di dalam system permerintahannya.
Mengikut cerita asal keturunan Tulur Aji Jangkat ini merupakan golongan bangsawan daripada Kerajaan Kutai yang merupakan kerajaan dayak tertua di Borneo melalui pengasasnya iaitu Mpun Kudungga seorang anak dayak Tunjung-Benuaq yang mengasaskan kerajaan tersebut sekitar abad ke-4 Masihi. Dan daripada susur galur inilah Tulur Aii Jangkat berasal.
Menurut sejarahnya, Tulur Aii Jangkat walaupun merupakan anak daripada golongan bangsawan namun begitu sudah menjadi kelaziman di dalam keluarga bangsawan untuk menghantar anak lelaki mereka untuk dijaga di kawasan perkampungan agar mereka lebih mengenal erti hidup susah. Dan Tulur Aii Jangkat sewaktu masih kecil lagi sudahpun dihantar oleh orang tuanya untuk menjadi anak angkat kepada seorang pemimpin Dayak Tunjung yang bernama Sengkreak.
Apabila meningkat dewasa ternyata Tulur Aii Jangkat merupakan seorang pemuda Dayak Benuaq yang memiliki pengetahuan yang mendalam baik dari segi budaya dan tradisi. Ini kerana ayah angkatnya Sengkreak telah mengajarnya tentang selok-belok penghidupan sebagai seorang pemimpin serta anak bangsawan Dayak yang beradab tinggi serta gagah perkasa dengan ilmu senjata dan sebagainya.
Oleh kerana ketika itu dikatakan bahawa Kerajaan Kutai Kartanegara sedang menghadapi perebutan takhta di kesempatan itulah Tulur Aji Jangkat telah mendirikan sebuah kerajaan yang bernama Kerajaan Sendawar di Kelurahan Melak. Lokasinya juga berada di Sungai Mahakam namun begitu oleh kerana ianya hanya satu kerajaan kecil jadi ianya tidak menjadi kerisauan kepada pemerintahan Kerajaan Kutai pada masa itu.
Setelah berjaya mengasaskan Kerajaan Sendawar maka beliau sendiri mengangkat dirinya sebagai Raja Tulur Aii Jangkat. Di ketika itulah juga beliau telah mengangkat isterinya iaitu puteri kepada seorang pemimpin Dayak Tunjung yang sebagai Ratu Mok Manor Bulatn. Hasil perkahwinan mereka inilah dikurniakan dengan 5 orang cahayamata yang dinamakan Sualas Gunaaqn, Jelivan Benaaq, Nara Gunaa, Tantan Cunaaq dan Puncan Kamaaq.
Setelah meningkat dewasa anak-anak Raja Tulur Aji Jangkat, bagi menjaga kesejahteraan Kerajaan Sendawar pada ketika itu, dikatakan sekitar tahun 1370 Masihi salah seorang daripada putera Raja Tulur Aii Jangkat iaitu Puncan Kamaaq iaitu putera yang bungsu telah dikahwinkan dengan salah seorang daripada puteri Raja Kerajaan Kutai yang bernama Aji Putri Dewi. Perkahwinan ini berjaya menyelamatkan Kerajaan Sendawar daripada serangan sebaliknya oleh kerana sudah menjadi satu keluarga yang kuat maka Kerajaan Sendawar hanya diwajibkan menghantar ufti saban tahun.
Pada akhir abad ke 13 Masihi, Raja Tulur Aji Jangkat meninggal dunia dan pada ketika itu diangkat putera sulungnya yang bernama Sualas Gunaaqn menjadi pengganti ayahnya. Seperti ayahnya, Raja Sualas Gunaaqn juga lebih gemar untuk tidak berperang dengan mana-mana kerajaan sebaliknya terus menjaga hubungan Kerajaan Sendawar dengan Kerajaan Kutai yang juga merupakan sangat gah pada ketika itu.
Keamanan terus dikecapi sehinggalah pada awal kurun ke 14 Masihi yang mana ketika itu dikatakan Kerajaan Kutai sedang berada di zaman kemundurannya dengan perang saudara sering terjadi dan banyak lagi. Pada ketika itu, Kerajaan Sendawar dipimpin oleh seorang ratu yang bernama Men Uyang. Kerajaan Kutai yang lemah telah menyebabkan Kerajaan Sendawar dibawah pimpinan Ratu Men Uyang telah berjaya menakluki beberapa wilayah yang dahulunya menjadi wilayah Kerajaan Kutai. Malah Kerajaan Sendawar dibawah pimpinan Ratu Men Uyang juga telah berani untuk tidak menghantar ufti kepada Kerajaan Kutai.
Pada pertengahan abad ke-14 Masihi itu juga dikatakan Raja Kerajaan Kutai telah naik radang sehingga membenarkan Kerajaan Kutai menghantar segerombolan tenteranya untuk memerangi mana-mana kerajaan kecil yang berani memisahkan diri mereka. Ini termasuklah dengan Kerajaan Sendawar yang dengan beraninya tidak membayar ufti seperti dahulu kepada Kerajaan Kutai.
Bagi mempertahankan dirinya daripada serangan, Men Uyang telah mengarahkan tenteranya untuk membina kubu pertahanan yang dibuat daripada kayu namun begitu walau apa jua caranya kekuatan tentera Kerajaan Kutai bukan tandingannya. Maka kalahlah Ratu Men Uyang di dalam pertempuran itu sehingga dikatakan kubu pertahanan kayunya juga turut terbakar malah ramai korban daripada rakyat jelata Kerajaan Sendawar. Yang menjadi legenda sehingga sekarang adalah Ratu Men Uyang sejak daripada perang itu tidak pernah ditemui dan tidak diketahui samada dia terkorban ataupun masih hidup.
Ternyata rakyat Sendawar yang terselamat dengan dibawah pimpinan suami Ratu Men Uyang yang dikenali dengan nama Ketikng atau Raja Manik tidak mahu mengaku kalah. Bersama-sama dengan empat orang panglima Kerajaan Sendawar yang dipanggil “Pemanuq”, mereka telah mengamuk di Kutai Lama. Namun amukan itu hanyalah sia-sia belaka apabila dengan mudahnya Ketikng dibunuh oleh tentera Kerajaan Kutai. Walau bagaimanapun 4 orang “Pemanuq” pula dibenarkan pulang ke tanah Sendawar.
Sebenarnya pada ketika itu, pemerintah Kerajaan Kutai masih lagi berpegang pada janji seperti yang pernah Kerajaan Kutai meterai ketika Raja Tulur Aji Jangkat menjadi pemerintah Kerajaan Sendawar suatu waktu dahulu. Di dalam perjanjian damai antara Kerajaan Sendawar dengan Kerajaan Kutai Kertanegara ini ada menyatakan iaitu:
1. Raja Kerajaan Kutai akan mengembalikan daerah takluk Kerajaan Sendawar kepada rakyatnya.
2. Raja Kerajaan Kutai tidak akan menyerang Sendawar selagi pemerintahnya patuh.
3. Raja Kerajaan Kutai tidak akan menghukum rakyat Sendawar dan hanya pemerintahnya yang boleh dihukum.
Berasaskan kepada perjanjian damai inilah akhirnya terkubur Kerajaan Sendawar dibawah pemerintah terakhirnya Ratu Mek Uyang. Seterusnya Kerajaan Kutai telah mengangkat pemimpin-pemimpin suku dayak di Kerajaan Sendawar untuk menjadi pemimpin di Sendawar. Pada ketika itulah jawatan-jawatan seperti Temenggung, Raden, Mangku, Singa Mas/Macan dan Karti dianugerahkan.
Kesemua jawatan-jawatan pemimpin masyarakat Sendawar ini sebenarnya hanyalah mata dan telinga untuk Kerajaan Kutai serta memastikan bahawa segala hasil bumi melalui pembayaran ufti sentiasa ada untuk Kerajaan Kutai. Akhirnya sebuah kerajaan Dayak Benuaq ini hanya menjadi daerah kecil di dalam jajahan Kerajaan Kutai yang menjadi penguasa Sungai Mahakam suatu waktu dahulu.