TRAGEDI “DOUBLE SIX” 6.6.1976
TRAGEDI “DOUBLE SIX” 6.6.1976
- Sejarah Hitam Kabinet Sabah
Saban tahun, 6 Jun sentiasa diingati sebagai sejarah hitam bagi rakyat Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Mungkin ramai generasi Sarawak mahupun Sabah sendiri tidak mengetahui apakah yang dikenali sebagai Tragedi Double Six ini. Apa yang dimaksudkan dengan Tragedi Double Six ini adalah satu tragedi kemalangan udara yang melibatkan menteri kabinet Sabah.
Tragedi hitam ini berlaku di Sembulan, Sabah kira-kira 39 tahun yang lalu. Pada satu petang yang damai dan ketika penduduk Sembulan sedang berehat bersama-sama keluarga tiba-tiba mereka dikejutkan dengan satu bunyi yang amat kuat. Ianya berlaku kira-kira pukul 3.50 petang. Seperti penduduk yang lain sudah tentu, bunyi dentuman yang kuat ini akan menarik perhatian mereka maka ramailah yang berlari-lari menuju ke arah tempat tersebut. Setelah diamat-amati rupanya sebuah pesawat telah terhempas di kawasan laut yang cetek di Sembulan, Sabah.
Setelah menunggu dalam sabar akhir ada bantuan dari kerajaan yang sampai ke tempat kejadian. Tanpa membuang masa segala usaha menyelamat pun bermula. Dan alangkah terkejutnya penduduk Sembulan mahupun seluruh rakyat Sabah bahawa pesawat yang terhempas itu merupakan pesawat jenis GAF NOMAD keluaran Australia dan dimiliki oleh Sabah Air ini baru sahaja berlepas daripada Labuan dan direncanakan untuk mendarat di Lapagan Terbang Kota Kinabalu ini sebenarnya membawa KESELURUHAN KABINET NEGERI SABAH TERMASUK KETUA MENTERI SABAH ketika itu iaitu Tun Mohd Fuad Stephen serta 11 lagi anggota Jemaah menteri kabinet pada masa itu.
Tragedi inilah yang dikenali sebagai TRAGEDI DOUBLE SIX kerana tarikhnya berlaku pada 6/6/1976. Lebih menambah duka lagi apabila keseluruhan anggota kabinet Sabah ini turut terkorban di dalam tragedi ini.
Senarai yang terkorban adalah seperti berikut:
1. Ketua Menteri Sabah,Tun Mohd Fuad Stephens 2. Menteri Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Peter Mojuntin 3. Menteri Perhubungan dan Kerja Raya, Datuk Chong Tahin Vun 4. Menteri Kewangan Negeri, Datuk Salleh Sulong 5. Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri, Darius Binion 6. Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Wahid Peter Andau 7. Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah , Dr Syed Hussein Wafa 8. Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia Tengku Razaleigh Hamzah, Ishak Atan 9. Pengawal peribadi kepada Tun Fuad, Koperal Said Mohammad 10. Juruterbang, Gandhi J Nathan 11. Johari Tun Fuad Stephens
Diceritakan bahawa YM Tengku Razaleigh Hamzah yang juga salah seorang Menteri Kabinet untuk Gagasan Malaysia seharusnya menaiki pesawat tersebut namun umpama peribahasa lama berpantang mati sebelum ajal, beliau telah membatalkan niatnya untuk menaiki pesawat tersebut. Sebaliknya beliau dan juga Datuk Harris Mohd Salleh yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah pada masa itu telah bergegas ke Pulau Banggi, Kudat bagi merasmikan sebuah Projek Ladang Lembu penduduk di sana. Setelah mendengar perkhabaran buruk ini barulah kedua-duanya diterbangkan ke Kota Kinabalu dengan menggunakan pesawat tentera pada waktu itu.
Sehingga kini Tragedi Double Six ini sentiasa dikenang dengan penuh persoalan dan keraguan di setiap benak rakyat Sabah yang mengetahuinya memandangkan banyak perkara yang masih di dalam kesamaran dan dikatakan sebagai satu konspirasi politik. Antara keraguan tersebut adalah:
• Rombongan Jemaah Menteri Sabah ini sebenarnya berlepas untuk menghadiri satu mesyuarat penting dengan Kerajaan Persekutuan Gagasan Malaysia di Kota Kinabalu iaitu mengenai isu royalti minyak. Dikatakan Ketua Menteri Sabah ketika itu tidak berpuas hati dengan royalty 10% yang diberikan kepada Sabah dan mahu peratusan itu ditambah.
• Mengikut pengistiharan laporan kemalangan dinyatakan bahawa pesawat yang dinaiki oleh Jemaah menteri Sabah ini dikatakan terlebih muatan. Pesawat ini hanya mampu untuk membawa seramai 6 orang penumpang tetapi pada hari kejadian pesawat tersebut membawa 11 orang penumpang. Yang menjadi kemusykilan bagaimana sebuah pesawat yang membawa orang-orang penting ini boleh terlebih muatan dan dimanakah aspek keselamatan sewaktu mereka dibenarkan berlepas.
• Apakah rasionalnya seorang Menteri Persekutuan boleh memilih untuk menghadiri majlis perasmian sebuah ladang lembu daripada menghadirkan diri di dalam satu mesyuarat yang amat penting di dalam politik Sabah mahupun Gagasan Malaysia iaitu mengenai isu royalty minyak.
Inilah satu tragedi hitam yang sentiasa dikenang oleh rakyat Sabah lebih-lebih lagi hanya didalam sekelip mata mereka telah kehilangan barisan kabinet mereka. Terlalu banyak keraguan dan kesamaran di dalam tragedi ini walaupun hakikatnya setiap hal yang berlaku di dunia ini mesti ada alasannya. Bagi menghormati dan mengingati tragedi ini, pihak Kerajaan Sabah telah mendirikan sebuah tugu peringatan yang dikenali sebagi Tugu Peringatan Double 6.
Sesungguhnya jodoh pertemuan ajal maut hanya Allah yang menentukannya. Marilah sama-sama kita berdoa agar semoga roh korban Tragedi Double Six 6/6/1976 ini sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT.
Alfatihah. Amin.