top of page

FROM KAPIT WITH LOVE


FROM KAPIT WITH LOVE


Suatu waktu dahulu, ianya dikenali sebagai Bahagian Ketujuh tetapi sekarang lebih dikenali sebagai Bahagian Kapit yang merupakan 12 bahagian yang membentuk Negeri Sarawak Bumi Kenyalang. Berkeluasan 38,934 km persegi, Kapit merangkumi daerah Kapit, Belaga dan Song.


Berdasarkan banci tahun 2000 adalah populasi penduduk adalah 98,841 orang. Jumlah penduduk untuk daerah Kapit sahaja berjumlah 56,709 orang. Majoriti penduduk Kapit terdiri daripada kaum Iban diikuti kaum Cina dan Melayu. Kapit amat terkenal dengan hasil buah dabai dan durian. Bandar Kapit yang terletak di tepi sungai Rejang boleh dihubungi melalui sungai menggunakan perkhidmatan bot ekspres. Bandar Kapit terletak di tengah-tengah antara pekan Song dan Belaga.


Menurut cerita lisan orang-orang tua di Kapit, terdapat dua versi cerita bagaimana Kapit mendapat namanya.


Versi pertama:


Pada masa dahulu, banyak rumah panjang yang diperbuat daripada buluh (‘kepit’ dalam bahasa tempatan pada masa itu) didirikan di tepi-tepi sungai. Apabila orang luar ingin pergi ke rumah-rumah panjang, mereka akan berkata, "Kami ngagai rumah panjai kepit". Lama-kelamaan, sebutan 'kepit' berubah menjadi Kapit dan akhirnya diterima pakai untuk merujuk tempat Kapit sekarang.


Versi Kedua:


Dalam versi lain pula, seorang pegawai Brooke sampai di Kapit pada tahun 1861. Apabila tiba di tempat itu, dia berasa lapar lalu mengarahkan seorang penduduk tempatan untuk membeli sedikit makanan. Pegawai itu gembira dengan perkhidmatan tersebut dan menyuruh orang tersebut supaya menyimpan baki duit dengan berkata, "Keep it". Sejak peristiwa itu, sebutan ‘keep it' menjadi buah mulut penduduk setempat dan berubah bunyi menjadi Kapit dalam sebutan penduduk tempatan.


Sekitar tahun 1853, James Brooke yang merupakan Rajah Pertama Sarawak telah mengambil alih Lembah Rejang melalui satu perjanjian dengan Kesultanan Brunei pada waktu itu. Namun sebelum kedatangan Brooke lagi, etnik Iban telah pun mula berhijrah membuka penempatan baru di Batang Rajang dan Batang Baleh.


Etnik Iban ini adalah etnik Iban yang berasal daripada Batang Ai dan Batang Lupar. Manakala orang Ulu seperti Kayan dan Kenyah yang berasal dari Sungai Kayan di bahagian timur Borneo mula berhijrah mengikut Sungai Kayan melintasi sempadan Kalimantan. Akhirnya mereka menetap di Batang Balui, cabang utara Batang Rajang.


Berdasarkan kepada rekod penghijrahan masyarakat Cina ke Kapit didahului oleh masyarakat Cina Hokkien dari Singapura. Mereka berhijrah ke Kapit pada sekitar tahun 1880an. Tujuan mereka adalah untuk meneroka hutan dara di Kapit bagi dijadikan tapak pertanian. Kemudian pada tahun 1906, Cina Hakka pula muka berhijrah ke Kapit dan akhir sekali oleh masyarakat Cina Foochow pada tahun 1919.


Kesemua masyarakat Cina ini tertarik untuk menjadikan Kapit sebagai sebuah bahagian yang kaya dengan penanaman pokok getah dan lada hitam yang merupakan komoditi yang paling mahal di pasaran pada masa itu. Dengan pertambahan populasi masyarakat Cina di Kapit pada masa itu, pada tahun 1929 telah ditubuhkan sebuah sekolah Cina yang pertama iaitu Sekolah Rendah Funam.


Dan bagi menjaga kebajikan masyarakat Cina di Kapit, keperluan untuk menubuhkan sebuah persatuan telah mendapat restu daripada Kerajaan Rajah Brooke lalu tertubuhnya sebuah persatuan Cina yang dinamakan “Tai San Tin" pada tahun 1935.


Pada tanggal 16 November 1924, telah tercipta satu sejarah di Kubu Kapit (sekarang dikenali sebagai Kubu Sylvia) yang mana ianya menyaksikan satu perjanjian kedamaian telah ditandatangani di antara kaum yang bertelagah berabad lamanya iaitu Perjanjian Damai antara Kaum Iban dengan Kaum Kayan, Kenyah dan Kajang.


Perjanjian ini merupakan titik tolak kepada Kapit yang aman memandangkan kaum-kaum ini telah bertelagah dari zaman berzaman sehingga sering menimbulkan perang saudara diantara mereka. Melihat kepada betapa pentingnya perjanjian damai ini kepada Negara Sarawak yang aman, Rajah Brooke yang ke-3 iaitu Rajah Charles Vyner Brooke telah menjadi saksi kepada perjanjian tersebut.


Ketika penaklukan Jepun ke bumi Sarawak pada tahun 1941, Bandar Kapit yang hanya mempunyai 2 deretan rumah kedai telah musnah terkena bom tentera perikatan. Demi survival masyarakat Kapit pada masa itu, masyarakat peniaga Cina di Bandar Kapit telah mengambil inisiatif untuk membina rumah-rumah yang beratapkan daun nipah dan membukanya sebagai kedai menjual barangan keperluan kepada penduduk-penduduk di Kapit.


Tidak akan lengkap memperkatakan tentang Kapit jika tidak menceritakan bagaimana wujudnya sebuah hospital yang menjadi nadi kepada masyarakat Kapit untuk mendapat rawatan kesihatan iaitu Hospital Christ yang dibuka pada tahun 1957-1974. Hospital yang jauh di pedalaman ini dikatakan hospital yang terbaik pada masa itu sehingga membenarkan pesakit-pesakitnya yang datang daripada segenap bandar untuk mendapat rawatan disitu pada masa itu.


Setiap daerah mempunyai nilai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.



bottom of page