KUEH SWEE HONG
KUEH SWEE HONG
- Ratu Trek Asia Bangsa Sarawak 1962-1965
Watson anak Nyambek “The Flying Dayaks”, nama ini sudah tentu amat dikenali di bumi Sarawak bahkan namanya cukup terkenal seantero Asia Tenggara kerana beliau merupakan antara raja pecut Bangsa Sarawak yang mewakili Gagasan Malaysia suatu waktu dahulu. Namun begitu pernah tidak kita mendengar seorang anak Sarawak yang pernah digelar “Ratu Trek Asia” yang terlalu istimewa bakatnya yang pernah mewakili Negara Sarawak (Sebelum penubuhan Gagasan Malaysia) dan kemudiannya mewakili Gagasan Malaysia selepas penubuhannya pada tahun 1963.
Kueh Swee Hong begitulah nama seorang anak Sarawak yang pernah menjadi Ratu Trek Asia 1962-1965. Dan artikel ini dibuat bukannya melalui rujukan begitu sahaja sebaliknya ianya merupakan satu artikel yang diolah berdasarkan kepada pertemuan Borneo Oracle secara empat mata di kediamannya di Kuching, Sarawak.
Pertemuan dengan Puan Kueh Swee Hong yang sekarang sudahpun memeluk agama Islam dengan namanya Puan Hajjah Noraini binti Abdullah telah memberikan seribu satu perasaan bangga terhadap keupayaan seorang anak Sarawak yang telah memberikan seluruh keringat dan menghabiskan zaman remajanya dengan menabur bakti untuk Negara yang tercinta. Beliau sendiri menceritakan pengalaman beliau ketika menjalani latihan trek dan balapan di Padang Jubilee (sekarang sudahpun tiada bagi memberi laluan kepada pembangunan di kawasan Bandaraya Kuching Selatan).
Pada sekitar tahun 1960an, kita sendiri sedia maklum akan kemudahan sukan yang ada di bumi Sarawak. Dan sudah tentu ketika itu juga kaedah latihan tidaklah kaedah latihan moden malah lebih bersifat konvensional. Beliau menceritakan bagaimana demi mendapatkan larian yang terbaik dan stamina yang kuat, beliau dan rakan-rakan yang seangkatan telah menjalani latihan lasak yang sudah pasti ahli sukan sekarang tidak mampu melakukannya.
Bayangkan dengan seorang jurulatih meletakkan kayu panjang di kiri dan kanan motosikal, beliau dan rakan-rakannya akan turut sama berlari sepantas yang boleh mengikut kelajuan motosikal tersebut. Demi untuk mencatatkan keputusan yang baik, ianya dilakukan berulang-ulang kali sehinggalah mereka sudah boleh mengatasi pecutan motosikal tersebut.
Itulah antara kepayahan ahli sukan bangsa Sarawak terdahulu yang sememangnya semangat mereka tiada tolok bandingnya. Walaupun hakikatnya tiada satu imbuhan pun yang dijanjikan untuk mereka selepas mendapat kemenangan. Bandingkan dengan ahli sukan di era Gagasan Malaysia yang serba moden sekarang sudah tentu ianya umpama bidalan lama, jauh panggang daripada api.
Menceritakan pengalaman beliau bersama-sama berlatih dengan jagoan Sarawak yang lain seperti nama-nama besar Mendiang Bala Ditta, tiada beza corak latihan ahli sukan Sarawak terdahulu dan tiada keistimewaan menurut jantina. Menurut beliau baik ahli sukan lelaki mahupun wanita segala bentuk latihan adalah sama.
Apabila bercerita mengenai perbezaan ahli sukan sekarang dan dahulu, beliau berkata memang banyak perbezaan. Tidak seperti atlit sukan sekarang yang dimewahkan dengan elaun dan segalanya ditaja namun atlit dahulu tiada yang seumpama itu. Menurut beliau di sepanjang penglibatan beliau mewakili Negara cuma sekali sahaja beliau diberikan wang saguhati sebanyak RM90. Itupun sebenarnya habis digunakan untuk membeli pakaian dan kasut sukan. Dahulu katanya segalanya disediakan sendiri oleh ahli sukan dan tiada namanya disediakan oleh Negara.
Jika ditanya apakah yang menjadi inspirasi beliau untuk terus “berlari” bagi Negara dan jawapannya adalah semangatnya untuk membuktikan bahawa Bangsa Sarawak juga boleh mencipta nama di dunia. Atas semangat inilah beliau dan rakan seangkatannya akan terus berlari selagi khidmat mereka diperlukan.
Dan bagi beliau tiada yang lebih membanggakan apabila berdiri diatas velodrom sebagai juara dan mendengar lagu kebangsaan Negara Sarawak (1961-1962) “God Save The Queen” dan Negaraku (1963-1965) dimainkan ketika penganugerahan pingat dilakukan. Di ketika inilah katanya air mata akan mengalir tanpa disedari sebagai tanda betapa jerih perih mereka membuahkan hasil.
Dan tiada yang lebih membanggakan kerana akhirnya peta dan nama Sarawak mahupun Malaysia mampu dijulang serta dicatitkan di dalam peta dunia memberikan seribu satu makna di dalam diari penghidupan beliau sebagai atlit bangsa Sarawak suatu waktu dahulu.
Melihat kepada pencapaian Ratu Trek Asia 1962-1965 sememangnya amat mengkagumkan dan Borneo Oracle berkesempatan melihat kesemua pingat-pingat yang beliau menangi. Dan baru-baru ini mendapat perkhabaran setelah kediaman beliau terbakar, ada individu yang telah memecah masuk rumah beliau dan banyak daripada koleksi pingat-pingat kejayaan beliau telah dicuri oleh manusia yang tidak bertanggungjawab.
Berikut merupakan pencapaian Kueh Swee Hong di dalam acara trek dan balapan.
1961 – 1965 – Pingat Emas & Perak
1. Sukan Borneo 2. Malaya Championship 3. Singapore Championship
Acara:
1. 100 meter 2. 200 meter 3. 4 x 100 meters relay 4. 80 meters hurdles 5. Long jump
1962 – Mewakili Negara Sarawak, Borneo di Sukan Asia IV, Jakarta Indonesia
1965 - Mewakili Sarawak, Malaysia pada Southeast Asian Peninsular Games (SEAP) di Kuala Lumpur dengan kejayaan:
1. Pingat Emas – 80 meters hurdles (Rekod 11.9 saat) 2. Pingat Emas – 4 x 100 meters relay
Buat masa sekarang masih belum ada lagi “recognition” daripada Kerajaan Negeri Sarawak mahupun Kerajaan Malaysia atas sumbangan Puan Hajjah Noraina ini. Walaupun beliau tidak pernah meminta namun pada pendapat Borneo Oracle adalah wajar pihak Kerajaan membuat sesuatu bagi memberi pengiktirafan atas sumbangan mereka. Ramai daripada ahli sukan kita yang terdahulu sedang di usia emas mereka maka berilah sesuatu sebelum mereka menutup mata buat tatapan legasi keturunan mereka seterusnya.
Inilah sekelumit sejarah tentang seorang anak Sarawak yang pernah menerima jolokan “Ratu Trek Sarawak” suatu ketika dahulu. Sebenarnya ramai lagi anak Sarawak yang telah mencipta nama di peta dunia namun sejarah mengenai mereka tidak diwar-warkan kepada kita Bangsa Sarawak mahupun rakyat Malaysia.
Terima kasih Puan Hajjah Noraini Abdullah dan Cik Hajjah Norliza bte Saidi, anakandanya yang telah memberikan layanan kelas pertama kepada Borneo Oracle sewaktu berkunjung ke rumahnya. Semoga Puan Hajjah Noraini Abdullah akan terus dikurniakan dengan kesihatan yang baik dan bahagia disamping keluarga tercinta.
Rujukan:
Malaysia At The 1965 Southeast Asian Peninsular Gameshttp://ca.wow.com/wiki/Malaysia_at_the_1965_Southeast_Asian_Peninsular_Games