top of page

LEGENDA PERAYAAN KUIH BULAN


LEGENDA PERAYAAN KUIH BULAN


Perayaan Kuih Bulan atau “Moon Cake Festival” yang dirayakan oleh masyarakat Cina diseluruh pelusuk dunia merupakan antara salah satu perayaan yang amat penting di dalam kehidupan sosial masyarakat ini. Ini tidak terkecuali dengan masyarakat Cina di Sarawak yang tetap merayakannya secara besar-besaran dan meriah. Perayaan yang disambut mengikut kalendar Cina yang jatuhnya pada setiap hari ke-15 pada bulan Ogos mempunyai maknanya tersendiri secara simbolik.


Diceritakan beratus-ratus tahun dahulu ketika Negara Tembok Besar China masih lagi mengamalkan pemerintahan feudalisme wujud satu dinasti yang dikenali sebagai Dinasti Xia. Dinasti Xia ini mempunyai seorang raja yang bernama Hou Yi iaitu raja yang memerintah Negeri Youqiong. Diceritakan bahawa Raja Hou Yi ini selain daripada ketampanannya juga pandai memanah. Kepandaian memanahnya bukanlah jenis yang biasa-biasa sahaja tetapi sebaliknya penuh dengan kesaktian.


Dikatakan ketika itu rakyat jelata telah menanggung kepanasan yang melampau kerana terdapat sepuluh matahari ketika itu. Akibat tidak tertahan melihat derita yang ditanggung oleh rakyat jelatanya maka Raja Hou Yi telah bertindak memanah 9 daripada 10 matahari yang ada dan ternyata panahan beliau mengena sehingga memusnahkan 9 matahari tersebut. Kerana itulah rakyat jelatanya merasa terhutang budi dan menyanjung tinggi Raja Hou Yi. Jika tidak kerana kepakaran beliau memanah sudah tentu rakyat jelata akan hangus terbakar atau mati kepanasan.


Raja Hou Yi mempunyai seorang permaisuri yang sangat jelita iaitu Chang Er. Ketika Raja Hou Yi berjaya memanah 9 matahari itu, dikatakan beliau telah dihadiahkan oleh Permaisuri dari Langit dengan satu ubat istimewa iaitu ubat panjang umur. Barangsiapa yang memakan ubat panjang umur akan secara automotik menjadi Dewa atau Dewi di kayangan. Raja Hou Yi walaupun dihadiahkan dengan ubat tersebut tetap tidak mahu memakannya kerana beliau ingin selalu dekat dengan permaisuri yang dicintainya iaitu Permaisuri Chang Er.


Kerana kepercayaannya yang tidak berbelah bahagi kepada Permaisuri Chang Er maka ubat itu diserahkan kepada permaisurinya untuk disimpan. Maka hiduplah Raja Hou Yi dan Permaisuri Chang Er dengan penuh bahagia dan ceria dengan limpahan kasih sayang.


Pada suatu hari, Raja Hou Yi ingin keluar kota kerana ingin melihat keadaan rakyat jelatanya di Negeri Youqiong. Sebagai tanda kasihnya dia telah meminta agar pengikut setianya iaitu Peng Meng yang juga seorang pahlawan yang perkasa orang kepercayaannya untuk tinggal di istana bagi menjaga Permaisuri Chang Er daripada sebarang malapetaka.


Peng Meng menerima arahan itu seperti pahlawan-pahlawan yang lain namun tanpa diketahui oleh Raja Hou Yi sebenarnya Peng Meng mempunyai niat yang tidak baik. Maka tibalah hari yang untuk Raja Hou Yi berangkat dan tinggallah Permaisuri Chang Er di istana dengan dikawal oleh Peng Meng. Pada masa inilah Peng Meng yang mengetahui tentang mukjizat ubat panjang umur itu telah memaksa Permaisuri Chang Er untuk menyerahkan ubat tersebut kepadanya.


Permaisuri Chang Er telah memberikan seribu alasan kepada Peng Meng namun Peng Meng tetap juga mendesak. Permaisuri Chang Er selain daripada mempunyai rupa paras yang cantik juga terkenal dengan sikap lemah lembut serta menyayangi rakyatnya. Dia pasti sekiranya ubat tersebut jatuh ke tangan Peng Meng dan Peng Meng menjadi dewa sudah tentu Peng Meng akan melakukan sesuatu yang tidak baik kepada rakyatnya.


Dek kerana tidak sanggup membiarkan rakyat jelatanya menderita, Permaisuri Chang Er telah menelan ubat panjang umur itu sendiri dan akhirnya beliau telah terbang ke bulan untuk menjadi Dewi. Berita tersebut telah sampai ke telinga Raja Hou Yi yang sedang dalam perjalanan menjelajah negerinya telah berpatah balik dengan tergesa-gesa ke istana dan terus menemui Peng Meng.


Peng Meng kemudian telah dihukum pancung sampai mati oleh Raja Hou Yi kerana tidak amanah. Sejak daripada itu, Raja Hou Yi hidup di dalam berdukacita kerana kehidupannya tanpa Permaisuri Chang Er disisi telah merobek kebahagiaannya. Pada satu malam kerana rindukan Permaisuri Chang Er, Raja Hou Yi telah melihat bulan daripada tingkap istananya dan dikatakan Raja Hou Yi dapat melihat bayangan Permaisuri Chang Er di bulan yang terang dan bulat itu. Sejak daripada itu, Raja Hou Yi sering berdoa kepada bulan agar Dewi Bulan iaitu Permaisuri Chang Er mendengar kata-katanya dan sambil dia berdoa itu dihidangkannya sekali makanan-makanan kegemaran Permaisuri Chang Er.


Setelah perbuatan Raja Hou Yi ini yang sering meletakkan makanan dan juga berdoa untuk Permaisuri Chang Er sampai kepada rakyat jelata, akhirnya rakyat jelata juga turun berbuat demikian. Ini dilakukan kerana mereka kagum atas pengorbanan Permaisuri Chang Er yang memakan ubat panjang umur agar tidak jatuh kepada tangan orang yang salah yang kemudiannya akan membawa musibah kepada rakyat jelata.


Bermula daripada cerita mitos inilah dikatakan bahawa doa yang dilakukan beramai-ramai pada setiap hari ke-15 bulan 8 mengikut kalendar Cina akhirnya menjadi tradisi kepada sambutan Perayaan Kuih Bulan di seluruh dunia termasuk Malaysia amnya dan Sarawak khususnya.


bottom of page