top of page

PESTA NUKENEN ETNIK KELABIT, BARIO, SARAWAK


PESTA NUKENEN ETNIK KELABIT, BARIO, SARAWAK


Jika etnik Bisaya di Limbang terkenal dengan Pesta Babulang, etnik Iban dengan Pesta Gawai dan banyak lagi pesta mahupun festival yang berkait secara langsung dengan kebudayaan kepelbagaian etnik di Sarawak Bumi Kenyalang, etnik Kelabit yang mendiami Tanah Tinggi Bario pula terkenal dengan satu pesta yang dikenali dengan nama Pesta Nukenen atau Pesta Makanan Tradisional Dan Kebudayaan Etnik Kelabit. Keunikan inilah yang menyebabkan Pesta Nukenen ini merupakan salah satu pesta yang dicatatkan di dalam calendar pelancongan di Sarawak sejak 10 tahun yang lalu.


Etnik Kelabit merupakan kumpulan etnik minoriti yang juga merupakan pembentuk Kaum Orang Ulu Sarawak dan populasi mereka ramai terdapat di satu kawasan tanah tinggi yang dikenali sebagai Tanah Tinggi Kelabit, Bario, Sarawak. Oleh kerana keadaan geografi mereka yang di tanah tinggi maka etnik Kelabit sejak dari dahulu lagi merupakan antara etnik yang telah menggunakan sumber alam untuk menjadi kulinari mereka lebih sedap dan nyaman.


Selain daripada terkenal dengan Beras Bario yang merupakan antara “trademark” bagi kawasan tanah tinggi ini mungkin ramai tidak mengetahui bahawa etnik Kelabit sejak dari dahulu lagi telah menyajikan menu-menu masakan tradisional mereka seperti ikan salai yang dimasak secara tradisional. Ikan ini pula didapati di kawasan sungai di dataran tinggi yang sudah semestinya mempunyai kesedapan yang berbeza. Malah ianya bukan itu sahaja, kulinari-kulinari tradisional etnik Kelabit adalah kulinari yang bersifat segar dari hutan dengan penggunaan gaya masakan yang tidak ada pada gaya masakan moden sekarang.


Pesta Nukenen, Bario sebenarnya bermula sekitar tahun 2005 atas kesedaran komuniti Kelabit di Bario bahawa dunia juga harus merasai makanan-makanan mereka yang unik dan sedap itu. Oleh kerana itulah sejak dari tahun 2006 lagi, Pesta Nukenen telah berjaya menarik ramai pelancong untuk berkunjung ke kawasan tanah tinggi mereka saban tahun. Pesta ini biasanya diadakan pada tanggal 30 Julai sehingga 1 Ogos iaitu selama 3 hari berturut-turut. Kerana kemeriahan serta keunikannya juga pesta ini dicatatkan sebagai salah satu acara tahunan Sarawak Bumi Kenyalang.


Dengan mendapat kerjasama daripada seluruh masyarakat Kelabit yang mendiami perkampungan Kelabit di Bario maka setiap pengunjung akan boleh merasai sendiri “signature dishes” hasil air tangan masyarakat kelabit sendiri. Disini tiada namanya penggunaan masakan moden malah penyediaannya tetap dilestarikan dengan cara tradisional seperti makanan dihidangkan di dalam daun dan buluh yang semestinya menaikkan aroma masakan itu sendiri.


Selain daripada itu, bagi memeriahkan lagi suasana pengunjung juga boleh mengenali sendiri kebudayaan etnik Kelabit yang semestinya juga penuh warna-warni dan keunikan seperti etnik-etnik di Sarawak yang lain. Dan keunikan ini juga terletak kepada hasil kraftangan masyarakat Kelabit di Bario yang semestinya boleh dibeli dengan harga berpatutan memandangkan ianya dibeli secara langsung daripada pembuatnya.


Sesungguhnya etnik-etnik di Sarawak mempunyai keunikannya yang tersendiri yang menyebabkan Sarawak ini kaya dengan budaya dan adat resam serta tradisi yang menjadikan Sarawak itu utuh sebagai satu bangsa yang bergelar Bangsa Sarawak.


Lan Berambeh Ke Sarawak!




bottom of page