VARIASI DIALEK MELAYU SARAWAK
VARIASI DIALEK MELAYU SARAWAK
Menurut sejarahnya Melayu Sarawak mempunyai susur galur keturunan yang agak kompleks kerana ianya juga mempunyai pengaruh baik dari segi geografi mahupun penghidupan social yang berbilang bangsa dan keturunannya. Di dalam menyelusuri sejarah bangsanya, variasi dialek Melayu Sarawak juga berbeza-beza mengikut lokasi mereka tinggal.
Secara amnya bahasa Melayu Sarawak adalah diklasifikasikan di bawah rumpun bahasa Austranesian, Malayo-Polynesian, Malayo-Sumbawan, Malayic, Malayan, Malay Sarawak. Dan bahasa Melayu Sarawak pula dikategorikan di bawah rumpun Malayo-Sumbawan iaitu satu bahasa yang mempersatukan Melayik dan Chamik dengan beberapa bahasa di Jawa dan Nusa Tenggara Barat kecuali bahasa Jawa itu sendiri.
Dan rumpun bahasa Malayo-Sumbawan ini terdiri daripada Proto-Melayu Sumbawa dan Proto-Melayu-Chamik BSS (BSS-Bali-Sasak-Sumbawa). Dan di dalam Proto-Melayu-Chamik BSS inilah bahasa Melayu Sarawak dikelaskan bersama dengan bahagian Melayik yang meliputi rumpun Melayu, Ibanik dan Kendayan di Borneo. Melihat kepada inilah tidaklah menghairankan jika sesetengah perkataan Iban juga sama dengan perkataan Melayu Sarawak.
Dan apabila berkata adanya pengaruh Proto-Melayu-Chamik itu juga ada sesetengah dialek Melayu Sarawak contohnya dialek Melayu Sarawak Rantau Pesisir atau Ranto Laut juga hampir sama dengan dialek dialek orang Negeri Sembilan cuma apabila dipertuturkan ianya mempunyai slanga yang agak berbeza. Inilah antara keunikan dialek-dialek bahasa Melayu Sarawak yang ramai tidak mengetahuinya.
Jika di Semenanjung Malaysia, bahasa Melayunya adalah mengikut loghat Utara, Timur, Barat dan Selatan, di Sarawak misalnya variasi dialeknya juga mempunyai 4 variasi walaupun masih lagi dikategorikan sebagai Bahasa Melayu Sarawak.
1. Dialek Utama
Dialek ini paling biasa kita dengar kalau berada di kawasan bandar-bandar dan digunakan secara meluas untuk berkomunikasi antara kaum berlainan etnik. Biasa digunakan di dalam laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya, malah juga digunakan dalam Blog dan tak lupa juga program Radio atau drama dalam TV. Dialek ini digunakan secara meluas dari Bahagian Kuching, Bau, Sematan, Sibu, Bintulu sehingga ke Miri.
2. Dialek Melayu Sarawak Bahagian Utara
Bunyinya kedengaran agak pekat. Lebih kurang seperti campuran bahasa Brunei dan Sabah. Dialek ini diguna secara meluas sekitar Lawas dan Limbang.
3. Dialek Melayu Sarawak Diakhiri Dengan Huruf “E”
Dialek ini agar sukar untuk terangkan kerana ia digunakan di lokasi antara kawasan dialek Sarawak Utara dan Dialek Utama. Di Kuching dialek ini biasa digunakan oleh penduduk sekitar Kampung Tabuan manakala di Samarahan penggunaannya adalah di sekitar kampung Tambirat, Sebangan dan digunakan secara meluas di Simunjan.
Perkataan yang diakhiri huruf "A" akan ditukar ke "E"
Contohnya :
a. Apa akan disebut "Ape". b. Nama akan disebut "Name"
Tapi perlu diingatkan, bukan semua perkataan yang diakhiri huruf "A" akan digantikan dengan sebutan "E",
Contohnya:
1. Dua, dalam dialek Sarawak ia disebut "Duak" dan tetap akan disebut "duak" bukannya "Due". 2. Ular, dalam dialek Sarawak ia disebut "Ula" dan tetap akan disebut "Ula" bukan disebut "Ule".
4. Dialek Rantau Pesisir (Ranto Laut)
Dialek ini lebih dikenali sebagai dialek "Ranto Laut". Dimana huruf 'A' digantikan dengan sebutan 'O'. Dialek ini digunakan secara meluas meliputi Bahagian Samarahan, Sebuyau, Spaoh, Pusa, Debak, Saratok, Roban dan Kabong.
Sebagai contoh:
a. Apa akan disebut "Apo". b. Nama akan disebut "Namo"
Untuk bahasa Ranto Laut, perlu diingatkan bukan semua perkataan yang diakhiri dengan huruf A boleh ditukar dengan huruf O.
Contohnya:
a. Nangga (dalam BM bermaksud melihat), ia tetap disebut "Nangga", bukan disebut "Nanggo".
b. Besar disebut besar, bukan beso.
c. Selepa (Selipar), ia masih disebut Selepa bukan disebut Selepo.
Manakala untuk perkataan hujungnya diakhir ‘L’ seperti :
a. Mahal disebut "Mahai" b. Bola, bahasa utama Sarawak disebut sebagai Bol, dalam dialek Ranto Laut disebut "Boi" bukannya disebut "Bolo".
Satu perkara lagi, jika hujung huruf nama anda diakhiri dengan huruf "L", jangan terkejut jika nama anda turut akan berubah. Ini kerana pelat lidah masyarakat tempatan menjadikannya begitu.
Contohnya:
a. Saiful, nama kampung Sepul. nama ini akan bertukar menjadi "Sepui" b. Tajol, nama ini akan bertukar menjadi "Tajoi"
Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba mengenal variasi dialek Melayu Sarawak. Apa yang diketahui oleh masyarakat yang bukan Orang Sarawak hanya mengenal perkataan seperti Kamek (Saya/Aku), Kitak (Anda/Kamu), Sik (Tiada) namun begitu ianya adalah lebih daripada itu. Namun bukan semua perkataan itu standard di dalam dialeknya sebaliknya berbeza-beza mengikut dimana Melayu Sarawak itu tinggal.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.