FROM BAU WITH LOVE
FROM BAU WITH LOVE
Bau merupakan salah satu daerah di bawah justifikasi pentadbiran Bahagian Kuching, Sarawak. Ianya boleh dihubungi dengan menggunakan perjalanan darat dari ibukota Sarawak iaitu Kuching. Menariknya mengenai daerah Bau ini adalah sejak daripada dahulu lagi sinonim dengan panggilan "Lubuk Emas" Sarawak sehingga memungkinkan ianya begitu berharga ketika menjadi tanah kuripan Kesultanan Brunei Darussalam lagi. Selain daripada menurut cerita ceriti masyarakat terdahulu di Sarawak ada menyatakan kedatangan Brooke ke bumi Sarawak suatu ketika dahulu adalah kerana tertariknya beliau dengan kekayaan emas di Bau pada waktu itu.
Terdapat banyak versi bagaimana Bau mendapat nama dan ada sesetengah cerita lisan masyarakat tempatan di Bau menyatakan bahawa nama Bau diambil ketika satu tragedi yang berlaku di Bau suatu waktu dahulu. Pada ketika itu iaitu sekitar tahun 1857, pelombong Cina telah mengadakan pemberontakan menentang pemerintahan Brooke di Sarawak kingdom. Menurut cerita oral ini, akibat daripada banyaknya mayat-mayat pelombong Cina dan ahli keluarga mereka yang dibiarkan reput telah menyebabkan bau yang kurang enak. Sejak daripada itu ramai masyarakat di sekitar Bau menyebut perkataan "Berbau" apabila merujuk kawasan itu dan akhirnya menjadi perkataan Bau mengikut pelat penduduk tempatan.
Mengikut versi lain pula dan ianya sebenarnya adalah bukti sahih yang berdokumen iaitu sejak daripada awal tahun 1800an lagi, Bau lebih dikenali sebagai Upper Sarawak. Dan Bandar Bau yang ada sekarang sejak dahulu lagi dikenali sebagai Mau San atai Bukit Mau. Ketika itu Bandar Bau telah dibuka pada tahun 1820an oleh pelombong Cina yang berhijrah daripada Sambas untuk membuat eksplorasi pelombongan emas di bawah pentadbiran pembesar Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam. Jadi menurut sumber sahih ini Bukit Mau akhirnya menjadi Bukit Bau atau Bau mengikut pelat penduduk tempatan dan ianya sudah tentu tidak ada kene mengena dengan bau-bauan yang tidak menyenangkan itu.
Selain daripada itu versi daripada masyarakat Bidayuh juga harus diambilkira di dalam memperkatakan bagaimana Bau mendapat nama kerana etnik Bidayuh adalah etnik dominan yang mendiami setiap pelusuk Daerah Bau ini. Mengikut versi masyarakat Bau pula yang terlebih dahulu menerokai bumi Bau setelah berhijrah daripada wilayah Kalimantan, perpindahan mereka telah membuka satu penempatan baru yang mana menurut bahasa Bidayuh dikenali dengan nama "Kupuo Baauh". Apabila mereka yang bukan etnik Bidayuh pula menyebut Baauh atau Bau. Dan akhirnya lama-kelamaan nama Bau yang disebut-sebut di dalam memperkatakan daerah ini.
Seperti daerah-daerah yang lain di bumi Sarawak, daerah Bau juga mempunyai sejarahnya tersendiri lebih-lebih sejarah etnik dominannya iaitu etnik Bidayuh. Sekitar tahun 1838, telah terjadi satu peristiwa di kawasan bernama Bung Bratak yang mana pada tanggal 1 Mei 1838, Bung Bratak telah diserang oleh segerombolan orang Iban Skrang. Di dalam peristiwa yang dikenali sebagai peristiwa Bung Bratak ini, hampir 2,000 orang warga Bidayuh Bratak telah menemui ajalnya akibat dibunuh dengan kejam oleh Iban Skrang.
Akibat daripada itu, maka ikon pahlawan etnik Bidayuh yang bernama Panglima Kulow telah memohon bantuan James Brooke untuk mengajar Iban Skrang ini sehingga ke kawasan penempatan mereka. Ini kerana Iban Skrang bukan sahaja membunuh dan mengambil kesemua bahan makanan masyarakat Bidayuh di Bung Bratak malah juga menculik wanita dan anak-anak kecil untuk dijadikan hamba abdi. Apabila siaga kesemua kelengkapan, akhirnya Panglima Kulow dan James Brooke menuju ke Skrang untuk menemui pemimpin Iban Skrang yang membuat onar itu iaitu Penghulu Lanang.
Apabila sampai perang yang diharapkan akhirnya menjadi satu acara keamanan apabila Penghulu Lanang menyambut kedatangan rombongan Panglima Kulow dengan penuh istiadat Iban pada masa itu. Hakikatnya Penghulu Lanang tidak bersetuju dengan serangan yang dilakukan oleh Iban Skrang dibawah ketua mereka iaitu Bagat. Setelah mengadakan mesyuarat akhirnya Penghulu Lanang dan Panglima Kulow sepakat untuk membenarkan mana-mana wanita Bung Bratak dan anak kecil yang ingin pulang ke Bung Bratak mengikuti Panglima Kulow. Manakala yang sudahpun berkahwin dengan Iban Skrang dibenarkan untuk tinggal di Skrang.
Bagi mengingati peristiwa Bung Bratak inilah maka saban tahun pada tanggal 1hb Mei akan diadakan upacara Peristiwa Bung Bratak di satu kawasan berbukit bukau di Bung Bratak yang mana ianya ditafsirkan sebagai tempat suci bagi seluruh masyarakat Bidayuh di Sarawak mahupun Bidayuh di Kalimantan. Peristiwa Bung Bratak yang diraikan ini juga telah dimasukkan di dalam calendar pelancongan Sarawak Bumi Kenyalang dan ianya disambut dengan baik oleh pelancong-pelancong dari dalam dan luar negeri kerana keunikan adat dan budaya etnik Bidayuh diketengahkan di dalam setiap acaranya.
Oleh kerana Bau sinonim dengan panggilan Lubuk Emas Sarawak maka tidak akan lengkap penceritaan sejarah Bau ini tanpa memperkatakan lombong emas tersohornya iaitu Lombong Emas Tasik Biru. Tasik Biru yang sekarang ini dijadikan taman rekreasi bagi masyarakat setempat mulai dibuka pada sekitar tahun 1840an lagi. Pada ketika itu ianya dibuka oleh golongan pelombong Cina yang berasal dari Pangkalan Tebang, Sambas, Kalimantan. Pada mulanya hanya menggunakan kaedah tradisional untuk melombong akhirnya setelah diuruskan oleh Borneo Company Limited pada tahun 1857 telah gah namanya dengan system perlombongan yang lebih moden pada masa itu.
Pada tahubn 1921, Lombong Emas Tasik Biru ditutup aktivitinya kerana dikatakan sudah tidak mempunyai simpanan galian emas lagi. Namun begitu sekitar tahun 1970an, Kerajaan Negeri Sarawak telah membuka semula dengan menggunakan kaedah yang lebih moden dan efektif. Sekitar tahun 1997 setelah Malaysia sekali lagi menghadapi ekonomi yang buruk, lombong ini telah ditutup kerana kosnya yang terlalu tinggi. Pada tahun 2002, sekali lagi lombong ini dibuka untuk operasi perlombongan dan diketika inilah dikatakan bahawa banyak terdapat retakan-retakan muka bumi di kawasan sekitarnya sehingga memungkinkan ianya ditutup sementara bagi membenarkan kajian geotanah dijalankan.
Selain daripada Lombong Tasik Biru, di Bau juga terdapat satu lagi lombong yang mana ianya telah dibuka lebih awal iaitu ketika menjadi tanah kuripan Kesultanan Brunei. Lombong Tegora, Lembah Jambusan, Bau merupakan lombong emas terawal yang dibuka pada tahun 1820an oleh pembesar Kesultanan Brunei pada waktu itu. Lombong Tegora ini agak ke pedalaman lokasinya dan sehingga ke hari ini masih terdapat bekas-bekas peralatan lombongnya yang diliputi hutan belantara. Di sinilah dikatakan kaedah perlombongannya menggunakan satu-satunya tenaga buruh paksa iaitu hamba-hamba abdi yang ditangkap di kalangan masyarakat Sarawak oleh pembesar Kesultanan Brunei.
Apabila James Brooke mengukuhkan kekuasaannya di Sarawak, dikatakan beliau telah membebaskan hamba-hamba abdi yang bekerja di lombong ini. Bagi mereka yang ingin meneruskan pekerjaan mereka sebagai pelombong akan dibayar upah dengan setarafnya pada waktu itu. Dan pada mereka yang enggan telah kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. Pada tahun 1860an, Lombong Tegora memainkan peranan yang penting di dalam industry perlolmbongan di Sarawak Kingdom selain daripada Lombong Tasik Biru. Dan kemuncak kepada kegemilangannya adalah dari tahun 1872 hingga 1888. Dan sekitar tahun 1916 akhirnya lombong Tegora juga turut ditutup operasi kerana dikatakan tidak lagi produktif untuk diterokai.
Bau juga sebenarnya menjadi saksi bisu keatas satu catitan sejarah di dalam calendar sejarah Sarawak iaitu Penentangan Pelombong Cina ke atas pentadbiran Brooke yang berlaku pada 18 Februari 1857. Di bawah pimpinan Liu Shan Bang, hampir 1,000 orang pelombong cina yang dikenali dengan nama Ahli Kongsi 12 telah berarak dengan senjata masing-masing ke Pangkalan Bau yang terletak kira-kira 1 km dari Kuil Tian Sze Lung Kiung. Di pangkalan itu sudah tersedia 30 perahu besar atau jong dan mulalah angkatan pelombong menyusuri sungai menuju ke Tonjong kira-kira 2 jam perjalanan dari Bau.
Sedang semua rakyat Kuching dibuai mimpi indah tiba-tiba terdengarlah jeritan dan pekikan membelah langit malam. Pegawai dan tentera Rajah Brooke panik kerana tidak menyedari serangan dan amukan pelombong Cina. Bangunan kerajaan musnah dibakar manakala lima pegawai Inggeris Rajah Brooke dibunuh termasuk Harry Nicholetts yang disangkakan sebagai Rajah James Brooke. Ramai warga Inggeris yang lari lintang pukang bersama-sama dengan keluarga mereka memohon perlindungan di sebuah Gereja di Kuching.
Liu Shan Bang menghala ke kediaman Rajah James Brooke dan terus melakukan amukan di kediaman tersebut, James Brooke berjaya meloloskan diri daripada kepungan dengan terjun ke Sungai Sarawak dan berenang di celah-celah jong Cina yang terdapat di sungai berkenaan. Bila fajar menyinsing pada tanggal 19 Februari 1857, Kuching telah ditawan dengan jayanya oleh Pelombong Cina dari Bau.
Pada tarikh itu juga Liu Shan Bang telah mula mengatur pentadbiran baru iaitu dengan mengarahkan Pengurus dan pedagang Syarikat Borneo, Ludvig Helms dan Rupell yang merupakan sekutu mereka di dalam perlombongan emas untuk menjaga kepentingan penduduk Inggeris yang terselamat di Kuching. Manakala Datu Patinggi Ali telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga kepentingan kaum Melayu dan kaum pribumi yang lain di Kuching dan kaum Cina Kuching diuruskan oleh Kongsi Hakka.
Setelah 3 hari berkuasa di Kuching, Liu Shan Bang berpendapat bahawa Kuching lebih elok ditadbir oleh mereka yang lebih pintar mentadbir jadi pada 21 Februari 1857, Liu Shan Bang dengan kesemua angkatan pelombong telah berundur kembali ke Bau. Tetapi dalam perjalanan pulang itu, angkatan pelombong telah diserang oleh James Brooke yang disangkakan mati itu dengan bantuan daripada anak saudaranya Charles Brooke serta pasukan kaum iban Skrang yang setia kepada pemerintahan James Brooke.
Angkatan pelombong Liu Shan Bang berpatah balik menuju ke Kuching dan di Kuchinglah pertempuran maha hebat berlaku dengan pasukan James Brooke membedil Bandar Kuching bertubi-tubi. Serangan itu telah berjaya menenggelamkan beberapa jong pelombong Cina dan ramai antara pelombong Cina ini berundur ke Bau. Dendam kesumat Rajah James Brooke tidak terhenti di situ sahaja walaupun kemenangan telah berpihak kepadanya.
Angkatan perang James Brooke telah mengejar angkatan pelombong Cina sehingga ke Bau. Setiap saki baki pelombong Cina tidak kira wanita atau kanak-kanak kecil yang tidak sempat melarikan diri ke Sambas dibunuh. Bagi yang sempat bersembunyi di gua-gua di sekitar Bau jika diketahui lokasinya juga akan dibunuh oleh angkatan James Brooke. Hampir 2,000 orang pelombong Cina Kongsi 12 dan kaum keluarga mereka dibunuh bagi memastikan tiada lagi pemberontakan yang akan dilakukan oleh mereka.
Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.