THE ANCIENT KINGDOM OF TIDUNG
THE ANCIENT KINGDOM OF TIDUNG
Suku Tidung merupakan salah satu masyarakat pribumi di Pulau Borneo. Mereka merupakan antara masyarakat minoriti yang mendiami bumi Sabah dan juga Kalimantan Timur, Republik Indonesia. Mengikut sejarah keturunan suku Tidung ini adalah pada asal muasalnya merupakan satu bangsa yang mendiami semua jajahan takluk satu kerajaan kuno di bumi Kalimantan Timur yang bernama Kerajaan Tidung kuno atau The Ancient Kingdom Of Tidung yang pernah wujud sekitar tahun 1076 Masihi lagi. Apabila pemerintahan bertukar tangan dan mula memindahkan ibukota kerajaannya dan pada ketika itu dikenali sebagai Kerajaan Tarakan pada tahun 1557 Masihi. Menurut sumber sejarah sejak berabad lamanya penghijrahan etnik Tidung ke Sabah berlaku apabila terlalu banyak peperangan di tempat asal mereka sehingga memungkinkan mereka yang sebenarnya dikenali sebagai masyarakat yang mendiami kawasan pergunungan di tempat asal mereka akhirnya berhijrah demi survival bangsa ke Sabah dengan mendiami kawasan persisiran pantai. Di Sabah, etnik Tidung dikategori sebagai anak negeri Sabah yang memegang status bumiputera Sabah. Populasi etnik Tidung ini ramai tertumpu di kawasan seperti Tawau, Sebatik, Sandakan dan Lahad Datu, Sabah. Di dalam kita menyelusuri sejarah kerajaan bagi etnik tidung ini maka pengesahannya hendaklah berdasarkan kepada 2 fasa kerajaan yang berbeza. Walaupun begitu lokasinya dikatakan tetap wujud di sekitar wilayah Paramunsian, Tarakan Timur, Kalimantan Timur. Fasa-fasa pemerintahan kerajaan ini terbahagi kepada;
1. Kerajaan Tidung Kuno (1076M-1557M) 2. Kerajaan Tarakan (1557M-1916M)
Kerajaan Tidung Kuno (The Ancient Kingdom Of Tidung)
Pada awal kewujudan The Ancient Kingdom of Tidung adalah lebih bersifat kepada pemerintahan sukuan iaitu berdasarkan kepada corak kepala adat. Oleh kerana ianya bersifat sukuan maka corak pemerintahannya juga dikatakan lebih kepada nomad atau berpindah-pindah berdasarkan kepada siapa yang memerintah pada ketika itu. Walaupun berbentuk sukuan namun begitu pemerintahnya tetap dipanggil Raja.
Pendiri kerajaan ini yang pertama adalah seorang yang bernama Benayuk dari Menjelutung yang mana ianya dipercayai didirikan pada tahun 1076 Masihi. Di dalam cerita legenda mengenai Raja Benayuk ini menyatakan bahawa perkampungan asal Raja Benayuk ini ditimpa musibah iaitu serangan angin taufan dan hujan rebut yang dahsyat sehingga menyebabkan tempat asalnya musnah dan ditenggelamkan oleh air sungai yang deras.
Raja Benayuk ini kemudian akhirnya mendirikan The Ancient Kingdom Of Tidung yang lokasinya adalah di kawasan bernama Binalatung.
Di ketika pemerintahan Binayuk inilah dikatakan bahawa kerajaan kuno ini telah mempunyai sistem calendar kuno yang tersendiri di dalam menentukan tahun pemerintahannya. Raja Benayuk dikatakan memerintah selama lebih 35 musim yang mana ianya bermaksud menurut calendar Tidung Kuno adalah 1 musim bersamaan dengan 12 purnama. Jadi 35 musim adalah bersamaan dengan 35 tahun mengikut calendar hijriah yang digunapakai sekarang.
Raja kedua dikenali dengan nama Yamus atau si Amus. Pada tahun 1156 Masihi akibat daripada seringkali diserang oleh lanun dan juga adanya kegiatan perluasan empayar oleh masyarakat pribumi yang lain di sekitar Kalimantan Timur telah menyebabkan ianya berpindah ke Tanjung Batu. Apabila aman seketika sekali lagi pemerintah ketiganya telah memindahkan pusat pemerintahannya ke kawasan yang Sungai Bidang iaitu sekitar tahun 1216 Masihi. Pada ketika ini rajanya bernama Aji Beruwing Sakti.
Sekitar tahun 1394 Masihi, pemerintahan kerajaan beralih ke satu kawasan yang agak jauh dari lokasi asalnya iaitu di satu kawasan bernama Pimping, Tanah Kuning. Pada masa itu sebab perpindahan juga tetap pada hal yang sama iaitu mengelak daripada serangan lanun dan perluasan wilayah etnik-etnik di Kalimantan Utara. Kemudian bila Ratu Ikenawai memerintah akhirnya barulah kerajaan ini berpindah ke wilayah Paramusian, Tarakan Timur.
Beliau merupakan raja terakhir kepada kuno ini kerana selepas itu apabila beliau meninggal dunia pada tahun 1557M lalu ditabalkan anakandanya iaitu Amiril Rasyd Gelar Datoe Radja Laoet telah menukar nama kerajaan kuno ini kepada Kerajaan Tarakan. Pada masa itu pemerintahnya merupakan dari keturunan Dinasti Tenggara iaitu yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Kerajaan Sulu melalui pernikahan Ratu Ikenawai dengan Datoe Radja Laoet seorang pemimpin Kerajaan Sulu.
Kerajaan Tarakan (Kerajaan Kalkan/Kalka)
Apabila Kerajaan Tidung sudah dikenali sebagai Kerajaan Tarakan yang mana ianya sudahpun mempunyai pengaruh Kerajaan Sulu di dalam pemerintahannya iaitu berdirinya di wilayah Pamusian, Tarakan Timur telah memungkinkan Dinasti Tenggara mengungguli pemerintahannya. Pada ketika itu banyak perkahwinan antara kerajaan dilakukan oleh raja-rajanya seperti Amiril Rasyd Gelar Datoe Radja Laoet sendiri menikahi puteri daripada Kerajaan Bulungan. Kesemuanya dilakukan bagi memastikan survival Kerajaan Tarakan sendiri pada waktu itu.
Sekitar tahun 1731 Masihi, Kerajaan Tarakan yang pada ketika itu diperintah oleh Amiril Pengiran Mahajarajalela II yang berkahwin dengan puteri Raja Kayan yang menguasai kawasan Pimping. Dikatakan ketika pada tahun itu juga beliau dibunuh oleh ayah saudaranya sendiri iaitu Wira Amir yang hendak berebut kuasa kerajaan. Wira Amir setelah diketahui perbuatannya telah melarikan diri ke Kerajaan Berau dan disinilah Kerajaan Berau telah memberi perlindungan kepadanya.
Apabila ditabalkan Amiril Pengiran Dipati II yang memerintah dari tahun 1731 hingga 1765 Masihi, beliau telah cuba menuntut bela atas kematian ayahnya lalu beliau telah membawa segerombolan tenteranya ke Baratan iaitu satu jajahan takluk Kerajaan Berau. Ketika pertempuran Amiril Pengiran Dipati II telah luka parah kerana kekuatan tentera Kerajaan Berau yang menyebelahi Wira Amir terlalu kuat. Beliau tidak kembali ke Kerajaan Tarakan sebaliknya beliau telah mengasingkan dirinya sehingga ke sempadan Sabah/Indonesia yang mana ianya tidak jauh daripada Tawau sekarang. Menurut ceritanya, beliau berbuat demikian kerana menanggung malu akibat sejak awal lagi rancangan beliau untuk menyerang Baratan telah ditentang oleh pembesar-pembesar Kerajaan Tarakan. Akhirnya beliau meninggal dunia di kawasan tidak jauh daripada Tawau pada tahun 1782 Masihi.
Berabad lamanya Kerajaan Tarakan mempunyai hubungan kerajaan yang erat dengan Kerajaan Bulungan sehingga mereka merupakan antara kerajaan yang menjadi kerajaan lindungan kepada Kerajaan Bulungan namun apabila kedatangan Koloni Belanda sekitar tahun 1834 Masihi menyebabkan Kerajaan Tarakan memisahkan dirinya daripada belenggu Kerajaan Bulungan. Kerajaan Tarakan begitu kecewa dengan Kerajaan Bulungan yang terlalu berlembut dengan Koloni Belanda. Akibat pemisahan ini juga menyebabkan Koloni Belanda juga turut memusuhi Kerajaan Tarakan sehingga beberapa kali mereka cuba untuk mencampuri urusan pemerintahan dalaman Kerajaan Tarakan tetapi tidak Berjaya. Akhirnya ketegangan antara Kerajaan Bulungan dan Kerajaan Tarakan kembali pulih apabila pada tahun 1844 dibawah Amiril Pengiran Djamaloel Kiram menikahkan puterinya iaitu Ratu Intan Doera dengan putera kepada Sultan Muhamad Khairuddin II iaitu Datoe Maulana. Akhirnya apabila beliau meninggal dunia legasi pemerintahan sebaliknya dipegang oleh Datoe Maulana yang diangkat menjadi penggantinya dan kemudian menukar namanya menjadi Datoe Maulana Amir Bahar.
Pada tahun 1896, Kerajaan Tarakan diperintah oleh Datoe Adil iaitu putera kepada Datoe Maulana Amir Bahar dan pada masa itu juga Koloni Belanda telah mula membuat eksplorasi minyak di bumi Tarakan. Apabila ini berlaku sebagai sebahagian daripada perjanjian setiap keuntungan daripada eksplorasi minyak oleh Koloni Belanda harus diberikan sedikit kepada Kerajaan Tarakan. Apabila adanya sumber penghasilan ini maka Kerajaan Tarakan semakin maju dan makmur. Pada ketika ini dikatakan bahawa Tarakan merupakan antara kerajaan yang mana sistem pentadbiran tempatan adalah seumpama Negara barat. Akibat daripada betapa berkembang pesatnya Tarakan pada masa itu telah menimbulkan irihati didalam pemerintahan Kerajaan Bulungan. Walaupun mereka merupakan satu susur galur yang sama akhirnya atas hasad dengki dan juga Kerajaan Bulungan yang mempunyai pengaruh yang baik dengan Koloni Belanda telah menjadi api dalam sekam kepada Kerajaan Tarakan itu sendiri. Pada masa itu difitnah mereka Datoe Adil mempunyai niat untuk menghapuskan Koloni Belanda di bumi Tarakan.
Termakan dengan fitnah serta bukti yang sengaja diada-adakan akhirnya Datoe Adil bersama-sama dengan adik-adiknya sekali iaitu Datoe Djamaloel dan Aji Moelana ditangkap dan dipenjarakan. Aji Moelana dan Datoe Djamaloel dipenjarakan di Menado manakala Datoe Adil sendiri dipenjarakan di Makasar, Sulawesi pada tahun 1916 Masihi. Sejak itu tiada lagi cerita mengenai pewaris Kerajaan Tarakan dan akhirnya satu kerajaan kuno yang asalnya didirikan pada kurun ke 11 Masihi yang dikenali sebagai The Ancient Kingdom of Tidung pada mulanya dan akhirnya dikenali dengan nama Kerajaan Tarakan terus hilang di dalam lipatan sejarah Kerajaan-kerajaan Kuno yang pernah wujud di bumi Borneo suatu waktu dahulu.
Berikut merupakan salsilah raja-raja Kerajaan Tidung;
Kerajaan Tidung Kuno (1076M-1557M)
1. Benayuk 2. Yamus atau si Amus 3. Ibugang atau Aki Bugang 4. Itara 5. Ikurung 6. Karangan 7. Bengawan 8. Itambu 9. Aji Baruwing Sakti 10. Aji Surya Sakti 11. Aji Pengiran Kungung 12. Pengiran Tempuad 13. Aji Iram Sakti 14. Aji Baran Sakti 15. Datoe Mencang 16. Abang Lemanak 17. Ikenawai
Kerajaan Tarakan (1557M-1916M)
18. Amiril Rasyd Gelar Datoe Radja Laoet (1557M-1571M) 19. Amiril Pengiran Dipati I (1571M-1631M) 20. Amiril Pengiran Singa Laoet (1631M-1650M) 21. Amiril Pengiran Maharajalela I (1650M-1695M) 22. Amiril Pengiran Maharajalela II (1695M-1731M) 23. Amiril Pengiran Dipati II (1731M-1765M) 24. Amiril Pengiran Maharaja Adinda (1765M-1782M) 25. Amiril Pengiran Maharaja III (1782M-1817M) 26. Amiril Tadjoeddin (1817M-1844M) 27. Amiril Pengiran Djamaloel Kiram (1844M-1867M) 28. Datoe Maulana Amir Bahar (1867M-1896M) 29. Datoe Adil (1896M-1916M)
Rujukan: 1. Bernard Sellato: Book Title; FOREST, RESOURCES AND PEOPLE - Elements for a History of Settlement, Trade, and Social Dynamics in Borneo, 1880-2000 2. Deni Prasetya: Book Title; Mengenal Kerajaan-Kerajaan Nusantara Terbitan 2009 Oleh Pustaka Widyamata, Yogyakarta 3. Kerajaan Tidung (Kerajaan Tarakan) http://melayuonline.com/ind/history/dig/502/kerajaan-tidung