ETNIK SERU, SARAWAK, BORNEO
ETNIK SERU, SARAWAK, BORNEO
Etnik Seru, mungkin ramai yang tidak pernah mendengar nama etnik ini kerana dikatakan etnik ini dikatakan sudah lenyap di bumi Sarawak. Budaya dan warisan etnik ini juga dikatakan tiada lagi di bumi Sarawak sekarang untuk kita sebagai bangsa Sarawak cuba mengenal etnik ini.
Jika dilihat kepada laporan populasi penduduk dari tahun 1960an sehingga sekarang tiada satu pun yang menyatakan bahawa etnik Seru itu wujud di Sarawak. Ramai daripada kita yang gemar membaca sudah tentu agak payah untuk mencari cerita mengenai etnik ini dan kita hanya boleh bersandarkan kepada beberapa jurnal-jurnal sejarah yang ditulis di dalam sejarah lama seperti di dalam adat “ngayau” bagi etnik Iban dan etnik-etnik lain sudah tentu ada disebut tentang kewujudan etnik Seru ini.
Kemanakah menghilangnya etnik ini dan adakah benar bahawa etnik Seru ini “TIADA LAGI”. Sesuatu yang mungkin wajar untuk kita ketahui tentang “nasib malang” yang menimpa satu bangsa Sarawak ini. Keberadaan mereka jangan sesekali kita lupakan kerana mereka juga adalah satu bangsa Sarawak yang mempunyai sejarah, budaya dan warisan yang wajar untuk kita martabatkan semula.
Mengimbau penempatan populasi etnik Seru suatu ketika dahulu seperti apa yang dilaporkan di dalam jurnal Pollard dan Banks (1935;406), etnik Seru ramai mendiami di kawasan sekitar Sungai Krian iaitu di daerah Saratok, Betong. Sungai Krian juga sebenarnya adalah salah satu penempatan terbesar bagi satu lagi bangsa Sarawak iaitu etnik Iban, etnik paling dominan populasinya di bumi Sarawak sejak dahulu dan sekarang. Menurut laporan tersebut ada dinyatakan bahawa etnik Seru merupakan antara etnik yang cintakan keamanan dan mereka amat pakar di dalam bercucuk tanam seperti menanam padi bukit dan juga mencari hasil hutan.
Menurut laporan jurnal pengembaraan Rajah ke-2 Charles Brooke (1866:ii:366) ada menyatakan bahawa etnik Seru telah hampir pupus yang sekitar pertengahan abad 19. Di dalam laporan itu ada menyatakan bahawa hanya terdapat 30 hingga 40 pintu sahaja di beberapa kampong rumah panjangnya hakmilik kepada etnik Seru. Laporan daripada rajah ke-2 Negara Sarawak ini sudah cukup membuktikan bahawa sebenarnya etnik Seru sememangnya telah mula menghadapi ancaman kepupusan sejak Sarawak di bawah pemerintahan dinasti Brooke lagi.
Menurut Sarawak Gazet yang dikeluarkan pada 1 November 1882, hanya 1 sahaja perkampongan etnik Seru yang ditemui di bumi Sarawak ketika itu iaitu di Kabong berhampiran dengan Sungai Kalaka. Pada ketika itu hanya terdapat 12 pintu rumah panjang milik etnik Seru dan ketika berlakunya epidemik Kolera atau Taun di bumi Sarawak pada tahun 1901 seperti yang dilaporkan di dalam jurnal Bailey (1901:48) di ketika itu hanya tinggal 18 lelaki, 11 perempuan dan 4 kanak-kanak yang masih hidup manakala yang lainnya turut terkorban di dalam epidemik Kolera pada tahun itu.
Saki baki etnik Seru ini dikatakan sudahpun diasimilasikan berdasarkan perkahwinan mereka dengan etnik Melayu yang juga mendiami kawasan Sungai Krian pada waktu itu seperti apa yang dilaporkan di dalam jurnal Pringle (1970:40). Satu-satunya individu asli etnik Seru dikatakan meninggal dunia akibat sakit tua pada tahun 1954 seperti yang dilaporkan oleh Chin (1980:21).
Menurut temubual yang berjaya diperolehi daripada Seru asli yang terakhir yang meninggal dunia pada tahun 1954 yang mana laporan temubual tersebut sekarang berada di Muzium Sarawak ada menyatakan bahawa sebenarnya asal-usul keturunan etnik Seru ini sebenarnya berasal daripada Sungai Kapuas, Kalimantan Barat. Ini bermakna etnik Seru juga mempunyai asal keturunan yang sama seperti etnik-etnik dayak Sarawak sekarang dan mereka juga berhijrah ke bumi Sarawak atas alasan yang sama seperti yang lain iaitu untuk mencari tanah pamah yang subur bagi menjalankan aktiviti penanaman padi bukit serta survival daripada adat memotong kepala pada waktu itu.
Menurut temubual itu juga ada menyatakan bahawa sebenarnya etnik Seru tidak memanggil diri mereka Seru dan perkataan Seru itu diberikan oleh pemerintahan Brooke di Sarawak pada waktu itu. Hakikatnya etnik Seru dikatakan mempunyai percakapan, budaya dan warisan yang sama seperti etnik Melanau di Sungai Rejang dan ini termasuk daripada etnik Segalang dan Bliun seperti yang dilaporkan oleh Pringle (1970:40n).
Berdasarkan kepada sejarah-sejarah lama yang melibatkan etnik Seru dengan etnik-etnik lain di bumi Sarawak telah dinyatakan bahawa sebenarnya etnik Seru ini adalah antara etnik yang melarikan diri demi survival etnik mereka. Survival etnik ini harus dilakukan bagi memastikan mereka yang ternyata minoriti pada waktu itu mampu bertahan daripada adat “ngayau” atau memburu kepala bagi etnik Iban serta tidak terhimpit oleh perang saudara antara etnik Iban di Sungai Krian pada waktu itu.
Dan kerana itulah mereka yang sebenarnya ramai tinggal di Sungai Krian telah melarikan diri jauh ke pedalaman dan bertaburan di seluruh bumi Sarawak pada waktu itu. Hanya dengan mengasimilasikan diri mereka dengan etnik yang lain seperti Melayu, Melanau, Buketan, Segalang, Bliun mahupun Iban pada waktu itu barulah mereka boleh meneruskan kelangsungan penghidupan mereka dan perkahwinan campur dengan etnik ini telah menjadikan diri mereka sebahagian daripada etnik-etnik tersebut.
Mungkin etnik Seru asli sememangnya telah lenyap di bumi Sarawak pada waktu ini tetapi apa yang pasti legasi etnik Seru “TIDAK PERNAH PUPUS” kerana mereka sebenarnya ada di kalangan kita bangsa Sarawak sekarang melalui perkahwinan campur yang dilakukan berabad lamanya. Cuma mungkin sejarah budaya dan warisan mereka yang unik tidak diketahui oleh kita bangsa Sarawak kerana kurangnya informasi mengenai peradaban etnik Seru ini.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!