top of page

ORANG BANJAR ITU ASALNYA BORNEO?


​ORANG BANJAR ITU ASALNYA BORNEO?


Urak payung di waktu hujan

Supaya awak kada kabasahan

Bagutung ruyung basiang jalan

Budaya laluhur harus dilestarikan.


Ayu manuntun barang sapakan

Jangan lupa mambawa teman

Budaya bapantun harus dilestarikan

Supaya tak hilang dimakan jaman.


Inilah antara bentuk pantun atau dikenali dengan seni Baturai Pantun di dalam masyarakat Banjar yang sudah tentu boleh difahami oleh masyarakat yang lain kerana adanya kesamaannya di dalam dunia adat dan sastera dunia Melayu. Namun begitu Baturai pantun yang disajikan hanya pembuka bicara di dalam kita cuba menyingkap teori asal-muasal Orang Banjar yang gah namanya seantero nusantara.

Orang Banjar atau Melayu Banjar merupakan salah satu etnik yang menghiasi rumpun Melayu di segenap pelusuk Nusantara. Di Malaysia khasnya populasi Melayu Banjar ada di segenap ceruk rantaunya bermula dari Kedah, Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan sehingga ke selatan Tanah Melayu iaitu negeri Johor Darul Takzim malah Negara tetangga Malaysia iaitu Singapura juga ada Orang Banjar. Bukan itu sahaja Melayu Banjar juga terdapat di Sarawak dengan lebih mengkhusus populasinya tertumpu di Bahagian Kuching dan Sri Aman. Dan tidak kurang juga di Sabah, Negeri Di Bawah Bayu seperti di Sandakan, Tenom, Keningau dan Tawau.

Di Republik Indonesia pula sudah tentu Melayu Banjar itu lebih dominan kerana mereka merupakan antara etnik majoriti bermula di bumi Kalimantan yang mengkhusus di Kalimantan Selatan, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Timur. Di Kalimantan sahaja mengikut census yang dikeluarkan pada tahun 2010 lebih kurang 3 juta jumlah penduduknya adalah Orang Banjar. Jika kita menjengah ke bumi Riau, Sumatera Utara, Jambi mahupun Bali itu sendiri juga ada orang Banjar. Begitulah taburan ramainya Orang Banjar di bumi Nusantara ini yang menjadikan mereka merupakan kumpulan etnik yang begitu unik dan istimewa.



Siapakah Orang Banjar/Melayu Banjar?


Menurut catatan Depdikbud Kalsel (1982), orang Banjar adalah sekelompok masyarakat yang merupakan hasil percampuran yang berlangsung lama antara suku bangsa Melayu Tua atau dikenali dengan nama Proto Melayu dengan Deutro Melayu. Berabad lamanya Proto Melayu ini mendiami bumi Kalimantan dan seterusnya mengamalkan perkahwinan campur dengan sekelompok masyarakat Deutro Melayu yang berhijrah mendiami daerah-daerah pantai dan juga persisiran sungai-sungai utama di Kalimantan.


Nama Banjar itu mengikut catatan Noerid Haloei Radam (1996;2001) pula merupakan istilah pendek di dalam memperkatakan sebuah kerajaan kuno yang pernah wujud di bumi Kalimantan Selatan sekitar kurun ke-15 Masihi yang bernama Kerajaan Kesultanan Banjarmasin atau Kerajaan Banjar. Maka disinilah bermulanya kumpulan masyarakat ini yang memanggil dirinya Orang Banjar yang beragama Islam kerana kerajaan tersebut sudahpun mengamalkan corak pemerintahan Islam.


Walaupun begitu jauh sebelum wujud nama Orang Banjar ini mereka lebih mengenali dirinya sebagai rakyat kepada kerajaan-kerajaan terdahulu yang juga merupakan cikal kepada Kerajaan Kesultanan Banjarmasin seperti Kerajaan Kuripan, Kerajaan Negara Daha dan Kerajaan Negara Dipa yang mana kesemua kerajaan-kerajaan kuno didirikan oleh pribumi Borneo seperti Dayak Ngaju, Dayak Manyan dan Dayak Bukit. Kesemua kerajaan kuno ini berlokasi di Kalimantan Selatan dan merupakan sebuah kerajaan Dayak yang mengamalkan sistem pemerintahan dan beragama Hindu ataupun kaharingan.



Orang Banjar Asalnya Borneo?


Ramai Orang Banjar sendiri keliru dengan asal bermulanya bangsa mereka sehingga ada yang mengatakan bahawa mereka merupakan sub-etnik Jawa lebih-lebih lagi penghijrahan mereka bermula di Sumatera. Sebenarnya teori itu adalah bertentangan dengan apa yang diperkatakan oleh 2 ahli sejarahwan tersohor iaitu Alfani Daud dan Idwar Salleh. Ini kerana kedua-duanya melontarkan teori yang menjurus kepada asal-muasalnya Orang Banjar ini adalah dari bumi Borneo iaitu lebih mengkhusus wilayah Kalimantan. Walaupun hakikatnya di Malaysia, dikatakan etnik Banjar dan Jawa sentiasa tinggal berjiran atau sekampung tetapi tidak bermakna mereka adalah daripada asal keturunan yang sama.


Bagi menyingkap teori asal muasal Melayu Banjar Asalnya Borneo terdapat juga 2 pendekatan teori sahih yang boleh dijadikan sandaran kukuh iaitu:


i. Teori Primordialisme oleh Alfani Daud

ii. Teori Situasionalis oleh Idwar Salleh



1. Teori Primordialisme


Menurut Alfani Daud (1997;2004:84) Orang Banjar merupakan penduduk asli Borneo iaitu menurut istilah garis sempadan politik sekarang yang dikenali sebagai Provinsi Kalimantan Selatan.Orang Banjar adalah sekelompok pribumi Borneo yang berakar umbikan suku Dayak Borneo yang kemudiannya berkahwin dengan suku bangsa Melayu di dalam Pulau Borneo lain.


Akibat daripada proses percampuran samada daripada perkahwinan dan juga tinggal berdekatan maka ada sesetengah daripada budaya dan adat juga mengikuti budaya dan adat Melayu malah adat Melayu itu sendiri lebih dominan.Oleh kerana perkahwinan campur serta penempatan mereka juga diduduki oleh suku bangsa Melayu yang mendatang tetapi berasal daripada penempatan Melayu di Borneo maka bahasa mereka yang dikenali sebagai Bahasa Banjar juga mempunyai pengaruh-pengaruh kosa kata Dayak iaitu asal bahasa mereka dan akhirnya berkembang searah dengan bahasa Melayu yang lain.


Contoh bahasa Banjar yang mempunyai persamaan dengan bahasa Melayu Borneo;


a. Batagar – Bermaksud berkarat juga membawa maksud yang sama di dalam bahasa Melayu Sambas

b. Bakamih – Bermaksud membuang air kecil juga membawa maksud dan sebutan yang sama di dalam Bahasa Melayu Pontianak

c. Gurin – Bermaksud baring juga membawa maksud yang sama serta sebutan yang sama di dalam bahasa Melayu Sarawak.



2. Teori Situasionalis


Menurut kajian daripada Idwar Saleh (1986:12) pula menyatakan bahawa sebelum berdirinya Kerajaan Kesultanan Banjar yang mengamalkan konsep Islam di dalam pemerintahannya, Orang Banjar pada waktu sebelumnya adalah merupakan satu suku yang berorientasikan wilayah penempatan. Dan ianya sama dengan suku-suku Dayak Borneo yang lain.Oleh kerana itulah Orang Banjar sebelum memeluk Islam adalah mereka yang beragama kaharingan mengikut kepada wilayah penempatan mereka.


Orang Banjar juga mempunyai suku-sukunya tersendiri yang menggunakan persisiran sungai dan wilayah di dalam memperkatakan sukuannya seperti:


a. Banjar Pahuluan – Merupakan Orang Banjar berakar umbikan Dayak Bukit dan mereka menetap di kawasan cabang Sungai Negara sehingga ke Gunung Meretus.

b. Banjar Batang Banyu – Merupakan Orang Banjar berakar umbikan Dayak Maayan, Dayak Lawangan, Dayak Bukit dan penempatan mereka tertumpu di Sungai Negara sendiri.

c. Banjar Kuala – Merupakan Orang Banjar berakar umbikan Dayak Ngaju, Dayak Barangas, Dayak Bakumpai, Dayak Maayan, Dayak Lawangan dan Dayak Ngaju. Penempatan mereka sekitar Banjarmasin dan Martapura.


Jadi apabila adanya susur galur keturunan mereka yang merupakan Orang Banjar yang berakar umbikan suku Dayak Borneo contohnya apa yang terjadi kepada suku Banjar Kuala dengan dominasinya lebih kepada Dayak Bakumpai maka bahasa Banjar juga mempunyai himpunan kosa kata dan makna yang sama dengan bahasa Dayak Bakumpai seperti:


a. Gawi - Gawi di dalam bahasa banjar dan Dayak Bakumpai juga mempunyai sebutan dan makna yang sama iaitu kerja.

b. Diang – Diang di dalam bahasa Banjar dan Dayak Bakumpai juga disebut dan mempunyai makna yang sama iaitu anak dara.

c. Hanyar – Hanyar didalam bahasa Banjar dan Dayak Bakumpai juga mempunyai sebutan yang sama dan makna yang sama iaitu baru.



Penghijrahan Orang Banjar dari Borneo Ke Sumatera Dan Tanah Melayu


Sebenarnya asal penghijrahan Orang Banjar yang melata di seluruh bumi Nusantara telah berlaku agak lama dan sudah tentu ianya mempunyai gelombang penghijrahan yang berbeza dan berdasarkan kepada peristiwa-peristiwa yang terjadi di Negara asal mereka iaitu Negara Orang Banjar melalui kerajaannya Kesultanan Banjarmasin yang wujud sekitar kurun ke-15 Masihi. Terdapat 3 peristiwa yang dikatakan punca kepada gelombang penghijrahan besar-besaran Orang Banjar ke Sumatera dan Tanah Melayu mahupun ke Sabah dan juga Sarawak pada ketika itu.



i. Perang Saudara Banjar 1780


Sekitar tahun 1780, Pangeran Nata telah naik takhta dengan menggunakan gelaran Sultan Tahmidillah II.Sepatutnya yang menaiki takhta adalah antara 3 putera bersaudara iaitu Pangeran Rahmat, Pangeran Abdullah dan Pangeran Amer. Namun kerana berebutkan kuasa pemerintahan maka Pangeran Nata dengan didokongi Belanda telah Berjaya membunuh Pangeran Rahmat dan Pangeran Abdullah dengan tipu muslihatnya.


Akibatnya Pangeran Amer dengan segerombolan tentera yang setia kepadanya telah bangun menentang Sultan Tahmidillah II.Dikala inilah Belanda memainkan peranan dengan membantu baginda sehingga tertangkapnya Pangeran Amer yang kemudiannya dipenjarakan ke Ceylon. Pada ketika ini mana-mana Orang Banjar yang setia kepada keluarga Sultan Tahmidillah I telah mendapat siksaan dan derita daripada pemerintahan Sultan Tahmidillah II mahupun Belanda sehingga membawa kepada gelombang penghijrahan mereka ke Sumatera dan Tanah Melayu serta seluruh pelusuk nusantara yang lain.



ii. Perang Barito 1859


Perang Barito merupakan satu perang yang dipimpin oleh Pangeran Antasari iaitu anakanda kepada Pangeran Amer bersama-sama dengan seorang putera mahkota yang sepatutnya menjadi Sultan Banjar iaitu Pangeran Hidayat. Tetapi beliau tidak dimahkotakan kerana adanya pengaruh Koloni Belanda sehingga membenarkan beliau hanya menjadi Mangkubumi kepada Kerajaan Banjar pada masa itu.


Dengan mendapat dokongan daripada para wira-wira suku Dayak yang sememangnya mempunyai pertalian yang rapat dengan Orang Banjar seperti Tumenggung Surapati seorang pemimpin Dayak Siang yang juga mempunyai darah Banjar di sebelah ibunya telah Berjaya mengalahkan serta menenggelamkan kapal-kapal milik Koloni Belanda.Orang Banjar berserta dengan suku Dayak Barito telah berpadu tenaga mengalahkan mereka dan perang ini berlangsung sehingga 1862 lamanya.


Disepanjang perang ini berlangsung juga, Koloni Belanda telah memberi tekanan kepada Orang Banjar atau mana-mana juga mereka yang menyokong perjuangan Pengiran Antasari dan Pengiran Hidayat sehingga menyebabkan ramai rakyat jelata iaitu Orang Banjar lebih memilih untuk berhijrah ke negeri-negeri yang lebih aman.



iii. Perang Muara Tewah 1905


Sultan Muhammad Seman adalah Sultan Banjar yang diangkat menjadi Sultan setelah selesainya Perang Barito 1862. Pada ketika ini Kerajaan Banjar yang lama hanyalah boneka kepada Koloni Belanda dan Sultan Muhammad Seman pula memulakan pemerintahannya di Muara Tewah, Barito Utara.Sultan Muhammad Seman mengangkat dirinya menjadi Gusti Matseman iaitu salsilah keturunan pemerintahan Sultan Banjar sebenar melalui ayahandanya Pangeran Antasari.


Gusti Matseman merupakan berdarah kacukan Dayak Siang melalui ibunya yang merupakan puteri kepada Tumenggung Surapati jadi apabila beliau naik takhta, beliau mendapat sokongan sepenuhnya suku-suku dayak di Tanah Dayak.Apabila kerajaannya menjadi makmur maka ianya menjadi satu ancaman kepada Koloni Belanda sehingga Belanda menghantar kekuatan tentera yang cukup besar ke Muara Tewah pada tahun 1905.Dikala inilah Gusti Matseman dengan didokongi oleh seorang pahlawan wanita Banjar yang bernama Panglima Batu Balot atau dikenali dengan Tumenggung Marha Lahew telah turut membantu.


Namun sayangnya kekuatan Koloni Belanda terlalu sukar untuk dibendung sehingga Gusti Matseman sendiri terkorban.Koloni Belanda sekali lagi telah melakukan pembersihan etnik Banjar dan ini menyebabkan Orang Banjar telah sekali lagi melakukan penghijrahan demi survival bangsa mereka ke Sumatera dan seluruh nusantara.


Ketiga-tiga peristiwa yang dinyatakan itu merupakan antara peristiwa besar yang membawa kepada penghijrahan secara besar-besaran Orang Banjar. Sudah tentu ada Orang Banjar yang telah berpindah sebelum bumi Banjar bergolak contohnya sekitar tahun 1885 di ketika Sultan Isa memerintah Kerajaan Banjar. Pada masa itu ada sebilangan Orang Banjar berpindah ke Sumatera khususnya ke Tembilahan, Inderagiri Hilir kerana giatnya syiar Islam di sana apabila anak Banjar sendiri yang berasal dari Martapura iaitu Syeikh Abdurrahman Siddiq bin Haji Muhammad Afif Al-Banjari atau Tuan Guru Sapat menjadi Mufti Kerajaan Inderagiri pada masa itu.



Berdasarkan kepada pencerahan ini maka sememangnya tidak dapat disangkal bahawa Orang Banjar atau Melayu Banjar itu sememang asalnya Borneo. Orang Banjar adalah pribumi Borneo berdasarkan kepada pautannya dengan pribumi Dayak Borneo.


Ketahuilah bahawa nenek moyang Orang Banjar di Borneo juga adalah antara pemburu kepala (The Head Hunter) yang ditakuti seperti apa yang diceritakan di dalam penulisan Carl Bock di dalam bukunya berjudul The Head Hunters Of Borneo; A Narrative Of Travel Up The Mahakkam and Down The Barito 1849-1932.





Rujukan:

1. Alfani Daud. Book Title: Islam and the cultural system of the Banjar people, Kalimantan Selatan Province, Indonesia.

2. Saleh, Idwar; Book Title: Sejarah Daerah Tematis Zaman Kebangkitan Nasional (1900-1942) di Kalimantan Selatan, Depdikbud, Jakarta, 1986.

3. Hafamira: Book Title: Asal Usul Kerajaan Banjar (1995)

4. Joshua Project; Banjar In Indonesia https://joshuaproject.net/people_groups/10658/ID

5. Banjar Kingdom http://melayuonline.com/eng/history/dig/211/banjar-kingdom

bottom of page