FROM SIMANGGANG TO SRI AMAN WITH LOVE
FROM SIMANGGANG TO SRI AMAN WITH LOVE
Bahagian Sri Aman yang terletak kira 193 km daripada timur Bahagian Kuching, Sarawak. Pada masa dahulu Bahagian Sri Aman dikenali sebagai Simanggang atau Bahagian Kedua telah ditubuhkan pada 1 Jun 1873. Sebelum Daerah Betong diisytiharkan sebagai sebuah Bahagian Ke-11, Bahagian Sri Aman mempunyai empat daerah iaitu Daerah Sri Aman, Lubok Antu, Betong dan Sarawak.
Ianya juga mempunyai daerah kecil yang lain iaitu Pantu, Lingga, Maludam, Engkilili, Spaoh, Debak, Pusa, Roban dan Kabong. Setelah pengisytiharan tersebut Bahagian Sri Aman hanya mempunyai dua daerah iaitu Daerah Sri Aman dan Daerah Lubok Antu dan seterusnya hanya menguasai daerah kecil Pantu, Lingga dan Engkilili. Bahagian Sri Aman mempunyai keluasan kira-kira 6,184.1 km persegi dengan bentuk geografinya adalah kawasan tanah rata dan berbukit. Majoriti penduduk di Bahagian Sri Aman adalah dari etnik Iban iaitu antara etnik majority di Sarawak.
Setakat ini selain daripada bagaimana nama Simanggang ditukar kepada nama Sri Aman tiada dokumen yang dapat memperjelaskan bagaiamana nama asalnya Simanggang mendapat nama. Yang hanya boleh dijadikan sandaran adalah satu cerita oral masyarakat Simanggang suatu waktu dahulu di dalam memperkatakan bagaimana Simanggang itu dikenali. Kononnya diceritakan bahawa Simanggang mendapat nama daripada seorang saudagar Cina yang bernama Ah Song. Ah Song adalah peniaga yang sering menjual barang keperluan dengan menggunakan perahu di kawasan sekitar Sungai Batang Lupar.
Ah Song adalah seorang peniaga yang sangat ramah dan amat dikenali oleh masyarakat tempatan yang mendiami kawasan sekitar Sungai Batang Lupar. Diceritakan bahawa masyarakat tempatan di sekitar Sungai Batang Lupar hanya berkomunikasi dengan menggunakan bahasa iban. Dengan sedaya mungkin Ah Song pun turut berkomunikasi dalam bahasa iban bagi memenangi hati pelanggannya. Diriwayatkan pada satu hari yang datanglah seorang pelanggan berbangsa Iban yang mencari Ah Song kerana dikatakan sudah lama tidak menjenguk beliau lalu bertanyalah beliau kepada seorang sahabat karib Ah Song. “Dini alai Ah Song” Tanya beliau. Lalu dijawab oleh kawan Ah Song, “Udah Si Manggang”.
Di dalam bahasa Cina, “Si” bermaksud “mati” dan dalam bahasa iban pula “manggang/magang” bermaksud “semua”. Jadi “Si Manggang” bermaksud sudah “Mati Semua”. Jadi sejak daripada itu ianya menjadi satu gurauan pada masyarakat setempat apabila apa sahaja yang berkaitan dengan Ah Song dan akhirnya ianya menjadi sinonim dengan cara hidup masyarakat tempatan lalu terbitlah nama Simanggang untuk daerah itu.
Pada 21 Oktober 1973, nama Simanggang telah ditukar kepada Sri Aman bersempena dengan pengisytiharan Perjanjian Keamanan yang ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan Pengganas Komunis Kalimantan Utara yang telah diadakan di Simanggang pada waktu itu. Penukaran nama ini dikuatkuasakan melalui Sarawak L.N 42/80 of Part II of Sarawak Government Gazette di bawah tajuk Simanggang (Change of Name) Order 1980. Maka bermulalah era penamaan Bahagian Sri Aman digunapakai di Sarawak.
Tidak lengkap sekiranya jika tidak memperkatakan tentang buaya legenda negeri Sarawak iaitu Bujang Senang dengan Bahagian Sri Aman kerana di sungai Batang Lupar iaitu sungai utama di Sri Aman inilah buaya legenda ini tinggal. Bujang Senang adalah buaya dari spesies Crocodylus porosus berukuran 20 kaki panjang dan mempunyai jalur putih di belakang badannya. Bujang Senang dikatakan berumur 50 tahun. Buaya ini dikatakan bermaharajalela di sungai Batang Lupar sejak tahun 1941.
Tidak diketahui berapa ramai orang yang telah menjadi mangsa kepada buaya ini, tetapi pada 20 Mei 1992, seorang wanita berbangsa Iban bernama Dayang anak Bayang telah menjadi mangsa Bujang Senang di Sungai Pelaban, anak Sungai Batang Lupar. Sekumpulan penembak tepat polis dan pemburu Iban telah berjaya menembak mati Bujang Senang setelah berusaha selama 4 jam pada 22 Mei 1992. Tengkorak Bujang Senang kini dipamerkan di Muzium Negeri Sarawak.
Buaya Bujang Senang ini dikatakan adalah seekor binatang jelmaan. Menurut legenda buaya Bujang Senang ini adalah jelmaan dari seorang pahlawan Iban bernama Simalungun. Simalungun diceritakan telah dibunuh oleh musuhnya dan kerana dendam kesumat yang amat sangat daripada musuhnya sampai sesudah matipun musuhnya memberi sumpahan yang Simalungun akan menjadi binatang. Sejak itu Simalungun yang telah disumpah menjadi buaya telah bersumpah pada dirinya akan membunuh semua keturunan musuhnya.
Masyarakat tempatan mempercayai bahawa yang menjadi korban buaya Bujang Senang adalah mereka yang mempunyai asal keturunan dengan pembunuh Simalungun suatu waktu dahulu. Tetapi ini adalah satu legenda yang hanya digunakan untuk mengindahkan cerita kerana sehingga sekarang tiada lagi kajian saintifik yang dapat membuktikan kesahihan tentang kaitan mangsa dengan sumpahan tersebut.
Di era pemerintahan Rajah Brooke yang memerintah Sarawak dari tahun 1841 hingga 1945, bagi memberi kestabilan kepada keadaan huru-hara akibat pemberontakan masyarakat tempatan kepada pentadbiran Rajah Brooke pada ketika itu, Rajah Charles Brooke iaitu sekitar 1 Jun 1873, telah membentuk tiga bahagian pentadbiran iaitu Bahagian Pertama (sekarang dikenali sebagai Bahagian Kuching), Bahagian Kedua (Sri Aman) dan Bahagian Ketiga (Sibu). Pentadbiran setiap Bahagian diketuai oleh seorang Residen sebagai wakil Rajah dan beliau dibantu oleh pegawai-pegawai daerah di peringkat daerah.
Di samping itu, untuk mengukuhkan kuasa pentadbiran setiap bahagian di Sarawk Kingdom, Rajah Brooke telah membina kubu-kubu di tebing-tebing sungai yang strategik. Pada tahun 1849, Kubu James sempena nama Rajah Sarawak yang pertama iaitu Sir James Brooke didirikan di Skrang, kira-kira lima batu ke hulu Sungai Batang Lupar dan ianya dibina selepas peperangan Beting Maru pada 31.7.1849. Namun begitu disebabkan ianya dibina di kawasan yang rendah maka sering berlaku banjir.
Dalam tahun 1864, Kubu James telah dirobohkan dan kebanyakannya bahannya telah dipindahkan ke Simanggang (Sri Aman). Pada tahun 1864, kubu ini telah dibina semula di Simanggang (Sri Aman) dan kekal tidak bernama untuk beberapa tahun sehingga ketibaan Permaisuri Margaret Alice di Sarawak pada tahun 1870 dan akhirnya kubu tersebut diberi nama Kubu Alice. Kubu Alice dibina di Simanggang (Sri Aman) adalah untuk mengawal pergerakan suku kaum sungai Skrang dan Batang Ai.
Dengan kewujudan Kubu Alice di Simanggang (Sri Aman), Pemerintahan Brooke dapat melancar ekspedisi yang lebih berkesan terhadap masyarakat Iban di Ulu Batang Ai. Antara ekspedisi yang penting yang dilancarkan adalah Ekspedisi Ulu Ai Pertama pada Oktober 1875, Ekspedisi Ulu Ai Kedua (Disember 1875), Ekspendisi Kolera, Delok (9 Jun 1902), Ekspedisi Menyebat dan Engkari (4 Oktober 1902), Ekspendisi Ulu Ai, Pau (8 November 1902), Ekspedisi Menentang Delok (1 September 1908) dan ekspedisi terakhir sekali ialah Ekspedisi Ke Delok dan Jengin (2 November 1915).
Penubuhan Kubu dan Perintah di Simanggang (Sri Aman) sangat berkesan dan berjaya menamatkan peperangan serta menjadi satu pusat kuasa yang penting bagi Rajah mengenakan kuasanya ke atas penentang pentadbirannya untuk terus tunduk dan menerima pentadbiran Brooke di Sarawak Kingdom. Biasanya bagi menandakan berakhirnya perang suku kaum, satu Majlis Perdamaian diadakan. Perjanjian Damai Dayak yang bersejarah diadakan di Simanggang pada 4 Ogos 1920 dan juga pada 1 Februari 1924 dan ia merupakan antara satu detik bersejarah di dalam calendar sejarah Sarawak.
Pada 13.10.1973, satu lagi peristiwa bersejarah telah tercatat di dalam lipatan sejarah Sri Aman apabila Ketua Menteri Sarawak, Datuk Haji Abdul Rahman Yaakub telah menerima satu surat daripada Encik Bong Kee Chok, Director and Commissar of PARAKU (Party Rakyat Kalimantan Utara) untuk menamatkan penentangan pihak komunis PARAKU kepada Kerajaan Negeri Sarawak. Surat Deklarasi Sri Aman telah ditandatangani pada 21.10.1973 bertempat di Rumah Simanggang. Satu perjanjian yang telah membuka lembaran baru di dalam sejarah negeri Sarawak sebagai sebuah negeri yang bebas daripada ancaman komunis.
Bahagian Sri Aman, Sarawak sememangnya amat kaya dengan sejarah sejak dari era pemerintahan Rajah Brooke sehinggalah kepada Sarawak moden sekarang. Terlalu banyak sejarahnya dan apa yang termampu di ruang yang kecil ini sahaja yang dapat dicoretkan.
Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.