top of page

LUMPUR BEBUAK, KAMPUNG MERITAM, LIMBANG

​LUMPUR BEBUAK, KAMPUNG MERITAM, LIMBANG


Pulau Tiga di Sabah yang pernah menjadi latarbelakang sebuah rancangan TV Amerika iaitu Survivor sememangnya antara jalinan pulau-pulau di Borneo yang terkenal dengan keindahannya. Lebih-lebih lagi di Pulau Tiga inilah terletaknya satu kawasan yang boleh dikatakan agak istimewa kerana adanya kolam-kolam lumpur hasil daripada ledakan lahar yang pernah terjadi sekitar tahun 1941 dan kolam-kolam lahar ini kekal pasif sehingga kini.


Walau bagaimanapun, itu cerita tentang kolam lumpur lahar di Pulau Tiga, Sabah namun begitu kali ini Borneo Oracle akan mengetengahkan satu kolam lumpur lahar yang terletak nun jauh ke utara Sarawak iaitu di Kampung Meritam. Lokasinya adalah kira-kira 45 km daripada Bandar Limbang itu sendiri. Mungkin ramai rakyat Sarawak tidak mengetahui kewujudannya namun begitu Lumpur Bebuak, Kampung Meritam di Limbang ini sebenarnya sudahpun diletakkan di dalam lokasi pelancongan Negeri Sarawak dan antara lokasi yang wajar dikunjungi jika berkunjung ke Limbang.


Menurut penduduk tempatan Kampung Meritam, kejadian lumpur bebuak di kampong mereka sebenarnya sudah terjadi sejak di awal penerokaan kampong tersebut. Sehingga ke hari ini masih tiada jawapan bagaimana kawasan Kampung Meritam, Limbang boleh mempunyai kolam lahar kerana ternyata jika dilihat dari sudut geografi, Limbang sendiri berada jauh daripada kawasan gunung berapi berbanding dengan Pulau Tiga, Sabah yang sememangnya azali terjadi daripada lahar gunung berapi. Jadi, Lumpur Bebuak di Kampung Meritam ini sudah tentu sesuatu yang teramat istimewa bagi setiap pengunjungnya.


Bila kita berbicara tentang lumpur bebuak sesuatu yang wajar kita ketahui bahawa setiap kolam-kolam lumpur lahar sebenarnya mempunyai keistimewaannya kerana disinilah setiap pengunjung boleh mendapatkan terapi lumpur. Terapi lumpur atau mandi lumpur ini merupakan satu teknik penyembuhan kuno yang sudah dilakukan oleh sebilangan masyarakat di dunia sejak ribuan tahun dahulu.


Dikatakan dengan mandi lumpur, seseorang itu boleh mengurangkan stress badannya serta pada sesiapa yang mempunyai sakit-sakit yang berkenaan dengan kulit dikatakan dengan melumur lumpur daripada kolam lahar seperti yang ada di Lumpur Bebuak, Kampung Meritam ini adalah antara penawarnya. Ini kerana bahan galian yang ada di dalam lumpur lahar seperti belerang, magnesium, potassium, bromide, yodium, silicon, selenium, kalsium dan zink adalah antara galian yang boleh merawat penyakit tersebut.


Sesungguhnya dengan adanya kawasan seperti Lumpur Bebuak, Kampung Meritam ini sudah tentu boleh menjana pendapatan masyarakat setempat dan atas kesedaran itulah maka tidak menghairankan Majlis Daerah Limbang telah menyediakan kemudahan-kemudahan asas untuk memberi keselesaan pada pengunjung-pengunjungnya.


Lan Berambeh Ke Sarawak!



.

bottom of page