FORT KEPPEL, BINTULU, SARAWAK
FORT KEPPEL, BINTULU, SARAWAK
Sekitar tahun 1860an sememangnya banyak terjadi serangan-serangan oleh lanun di kawasan penempatan masyarakat Sarawak yang mendiami kawasan persisir pantai. Dan sejarah juga membuktikan sekitar tahun 1862, Mukah pula diserang oleh lanun-lanun yang berasal dari Mindanao ini. Ketika mereka sedang di dalam perjalanan menyerang Mukah secara tidak sengaja mereka telah terserempak dengan Tuan Muda Charles Brooke bersama-sama dengan kapalnya HMS Rainbow.
Dikawasan perairan Mukah mereka bertempur dan ternyata kekuatan HMS Rainbow tidak dapat diatasi oleh lanun-lanun tersebut. Namun begitu tanpa Tuan Muda Charles Brooke ketahui lanun-lanun yang dikatakan sudah kalah itu sebaliknya mengumpul kekuatan mereka. Di kala inilah apabila melalui perairan Bintulu di satu kawasan bersama Tanjung Kidurung, lanun-lanun Illanun telah cuba merompak dan menyerang kawasan penempatan masyarakat Melanau Bintulu.
Tanpa menunggu bantuan daripada Kerajaan Sarawak Kingdom, masyarakat Melanau Bintulu telah bergabung tenaga mempertahankan bumi tercinta mereka daripada serangan lanun Illanun. Ternyata semangat juang dan tidak mengenal erti kalah Melanau Bintulu membuktikan bahawa mereka juga punya darah satria yang mengalir di dalam diri mereka. Dan sejak itu dikatakan bahawa lanun-lanun ini tidak pernah lagi menyerang mana-mana penempatan masyarakat Melanau Bintulu.
Sekitar tahun 1861, wilayah Bintulu yang bermula dari Utara Tanjung Kidurong telah menjadi hakmilik kepada empayar Sarawak Kingdom hasil pemuafakatan antara James Brooke dengan Sultan Brunei. Hakikatnya Bintulu menjadi salah satu pembentuk empayar Sarawak Kingdom kerana kegagalan Brunei untuk mengatasi masalah lanun berleluasa pada ketika itu. Ditambahlagi, Brooke pada masa itu melihatnya sebagai satu ancaman memandang sering terjadi kegiatan rompakan oleh lanun-lanun ke atas kapal-kapal pedagang British yang hendak berniaga antara Sarawak dan Brunei pada masa itu.
Setelah menjadikan wilayah Bintulu hal pertama yang dilakukan oleh Brooke adalah membina kubu seperti juga amalannya apabila Berjaya menguasai sesuatu wilayah di Sarawak. Pada masa itu diperkirakan tahun pembinaannya adalah sekitar 1861 juga. Menurut cerita pada awalnya pembinaan kubu ini adalah amat ringkas dengan pembuatannya adalah daripada kayu-kayan tempatan. Walau bagaimanapun menurut ceritanya kubu ini hanya lambang kepada pentadbiran Brooke tanpa ada yang menjadikannya kubu pertahanan dan menurut ceritanya hanya bendera Sarawak Kingdom yang dinaikkan di kubu tersebut yang tidak berpenghuni.
Lama kelamaan, kubu tersebut seperti dilupakan dan dibiarkan sehingga ianya di dalam keadaan yang uzur sewaktu ditemui semula oleh seorang ahli botani berbangsa Itali pada tahun 1867. Di ketika itu ahli botani ini sedang yang mengembara untuk membuat penyelidikan botani di bumi Bintulu. Apabila berlabuh di Sungai Kemena inilah beliau melihat sendiri keadaan kubu tersebut. Atas pengaruhnya yang dikatakan antara orang yang paling rapat dengan James Brooke telah Berjaya memujuk Brooke untuk membina semula kubu tersebut.
Sekitar tahun 1868 dikatakan bahawa kubu ini telah siap dibina semula dan menjadi lambang wujudnya pentadbiran Brooke di bumi Bintulu pada masa itu. Dan setelah dibina semula barulah kubu ini dinamakan dengan Fort Keppel iaitu bersempena dengan nama sahabat baik Rajah Brooke iaitu Kapten Henry Keppel. Sir Henry Keppel inilah yang sering bersama-sama dengan Brooke melalui kapal HMS Iris di dalam peperangannya melawan penentang-penentang pentadbiran Brooke di Sarawak Kingdom dari tahun 1840 sehingga 1850.
Namun begitu, Fort Keppel, Bintulu ini sudah tidak lagi wujud di bumi Sarawak kerana ianya musnah dibom ketika Perang Dunia Kedua berlangsung pada tahun 1941. Jadi yang hanya tinggal mengenai Fort Keppel adalah satu gambar seperti yang menjadi teaser artikelnya yang dikatakan satu-satunya menandakan kewujudan Fort Keppel di Bintulu suatu waktu dahulu.