top of page

SUNTONG TUTOK


​SUNTONG TUTOK


Sotong ataupun Suntong mengikut sebutan orang Sarawak adalah salah satu hidupan laut yang sering dipelbagaikan di dalam menu masakan setiap masyarakat di seluruh dunia. Di Sarawak misalnya ada satu menu makanan yang berkaitan dengan sotong yang dikenali dengan nama Suntong Tutok atau Sotong Ketuk.


Istimewanya menu makanan ringan Suntong Tutok ini hanya akan muncul apabila tibanya bulan Ramadhan yang mana sebulan Ramadhan itu maka sebulan jugalah penjualannya. Dan keistimewaannya lagi Suntong Tutok tidak dijual di bazaar Ramadhan yang kebiasaanya berlangsung sebelum waktu berbuka puasa tetapi penjualan untuk menu makanan ringan ini hanya dijual di sebelah malam dan dijual di tepi-tepi jalan di kampung-kampung Melayu sahaja.


Sehingga ke hari ini belum ada lagi mana-mana sejarah tentang keberadaan dari mana asalnya menu makanan ringan ini tetapi sejak berkurun lamanya telahpun ada. Dan ianya menjadi antara makanan ringan yang ditunggu-tunggu di bulan Ramadhan oleh bukan sahaja masyarakat Melayu Sarawak malah juga etnik-etnik yang lain di bumi Sarawak.


Sebenarnya penyediaan suntong tutok ini amatlah mudah sekali kerana hanya perlu membeli sotong kering yang telah sedia dijual di pasar-pasar di seluruh Sarawak. Kemudian sotong-sotong kering ini akan diikat satu-satu di gerai-gerai di tepi jalan mengikut saiz. Untuk setiap pembeli pula harus memilih apakah saiz-saiz sotong yang dikehendaki kerana setiap saiz mempunyai harga yang berbeza-beza.


Setelah pembeli memilih saiz yang diidamkan maka si penjual suntong tutok akan mula membakar sotong tersebut atas bara api yang telah disediakan. Dengan hanya memanggang sotong tersebut kira-kira 5 minit kemudian sewaktu ianya masih panas-panas itulah ia mula diketuk-ketuk sehingga nipis.


Terdapat dua cara untuk mengetuk iaitu satu dengan proses ketukan tangan dan satu lagi dengan menggunakan mesin. Mesin ini seakan-akan mesin pemerah tebu tetapi Cuma bezanya mesin ini menggunakan kuasa tangan untuk menipiskan sotong tersebut.


Sotong yang dinipiskan semuanya mempunyai rasa yang sama tetapi jika hendak membezakan bagaimana suntong tutok itu dikatakan sedap adalah terletak pada sambal cecahnya. Ini kerana sambal cecah ini sebenarnya memainkan peranan yang penting di dalam menentukan rasanya apabila dimakan kerana setiap penjual mempunyai resipinya yang tersendiri di dalam menentukan kesedapan sambal cecahnya.


bottom of page