KERAJAAN MEMPAWAH, KALIMANTAN BARAT
KERAJAAN MEMPAWAH, KALIMANTAN BARAT, BORNEO
Kota Mempawah merupakan ibukota bagi Kabupaten Mempawah atau dahulunya dikenali sebagai Kabupaten Pontianak. Ianya adalah salah satu kabupaten yang dibentuk oleh Pontianak, Singkawang dan Sambas, Kalimantan Barat, Republik Indonesia. Lebih terkenal dengan julukan Kota Bestari atau Bumi Galaherang kerana banyak berdirinya institusi-institusi pendidikan di kabupaten ini. Uniknya Kota Mempawah ini kerana ianya sebenarnya dibahagikan oleh satu sungai yang bernama Sungai Mempawah yang membenarkan ianya dibahagikan kepada 2 iaitu Mempawah Hilir dan Mempawah Timur.
Terdapat 2 versi cerita bagaimana Mempawah mendapat nama iaitu menurut teori yang dikemukakan oleh J.U Lontaan (1975:125) menyatakan bahawa Mempawah mendapat nama daripada sebuah pohon yang banyak terdapat di celah-celah pohon Nipah di bumi Mempawah itu. Pohon ini bernama “Mempauh” atau “Buah Asam Paoh”. Dan kerana itulah namanya menjadi sinonim bagi penduduk tempatan di Kalimantan Barat sehingga ianya digelar Mempawah sehingga sekarang.
Bagi versi kedua pula, Mempawah mendapat nama berkaitrapat dengan kedatangan saudagar berbangsa Cina dari Negara Tembok Besar China. Pada ketika itu kerana lokasi strategik Mempawah maka membenarkan ianya menjadi bandar pelabuhan untuk berniaga. Pada ketika itu saudagar Cina hanya menggelarnya dengan nama “Nam Pa Wa” yang bermaksud “Arah Selatan”. Akhirnya lama-kelamaan daripada pada perkataan Nam Pa Wa ini ianya dipertuturkan menjadi Mempawah bagi penduduk tempatan di bumi Kalimantan Barat.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di bumi Mempawah ini sebenarnya pernah ada sebuah kerajaan lama yang bernama Kerajaan Mempawah yang sebenarnya didirikan oleh seorang suku Dayak Borneo pada mulanya dan mendapat pengaruh Hindu di dalam pentadbirannya dan seterusnya ianya menjadi sebuah Kerajaan Kesultanan Islam dan menjadi antara 12 Kerajaan Nusantara di bumi Borneo yang gah suatu waktu dahulu. Bagi memberikan penjelasan yang lebih jelas, maka artikel ini akan memuatkan sumber informasi daripada berdirinya kerajaannya yang terawal yang diasaskan oleh suku Dayak Borneo dan seterusnya ianya menjadi gah di bawah pengaruh Islam di kala pemerintahan Opu Daeng Menambon, seorang raja berketurunan Bugis dari Kerajaan Lowu, Sulawesi.
Kerajaan Mempawah Di Bawah Pengaruh Hindu
Sekitar tahun 1300 Masihi, berdirinya satu kerajaan dayak yang diasaskan oleh seorang masyarakat pribumi dayak Borneo bernama Ne’Rumaga. Pada ketika ini kerajaan dayak ini tidak bergelar Kerajaan Mempawah sebaliknya lebih terkenal dengan nama Kerajaan Bangkule Sultankng yang berpusat di Sidiniang. Selepas wafatnya Ne’Rumaga ianya diteruskan oleh legasinya yang bernama Patih Gumantar.
Kerajaan Bangkule Sultankng ini berada pada zaman kegemilangannya dibawah pemerintahan Patih Gumantar sehingga memungkinkan ianya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Kerajaan Majapahit dibawah pemerintahan Gajah Mada. Pada ketika itu dikatakan bahawa Patih Gumantar brsatu dengan Gajah Mada untuk menyatukan semua jajahan takhluk empayar Majapahit di bumi Borneo pada ketika itu.
Kerana adanya hubungan baik ini maka kerajaan dayak dibawah Patih Gumantar dicemburui oleh kerajaan-kerajaan kecil yang lain seperti Kerajaan Sungkung yang didokongi oleh suku dayak Biaju (Bidayuh). Kerana sudah menjadi adat bagi masyarakat Dayak Borneo sebarang perluasan empayar akan mengakibatkan perang ngayau akan berlaku maka itulah yang terjadi kepada Patih Gumantar apabila kerajaan dibawah pimpinannya diperangi habis-habisan oleh Kerajaan Sungkung. Perang Ngayau atau Perang Memenggal Kepala telah menyaksikan kepala Patih Gumantar bercerai dari badannya dan akhirnya Kerajaan Bangkule di Sidiniang menjadi lemah.
Gugurnya Patih Gumantar di medan Perang Ngayau lalu diangkat puteranya iaitu Patih Nyabakng yang masih lagi terlalu muda untuk memerintah dan tiada pengalaman. Pada ketika itu sekali lagi kerajaan dayak ini terbabit di dalam perang perluasan empayar kerajaan dayak sendiri dan kali ini dengan satu lagi kerajaan dayak yang berpusat di Sungai Raya, Sambas yang dikenali dengan Kerajaan Lara yang dipimpin oleh suku dayak lara di Borneo. Akibat kalah perang tersebut akhirnya Kerajaan Bangkule di Sidiniang terus terkubur di dalam peta kerajaan kuno di bumi Borneo.
200 tahun kemudian barulah satu lagi legasi penerus kerajaan dayak ini mendirikan satu lagi kerajaan dayak di bumi Mempawah namun begitu dikatakan bahawa kerajaan ini tidak mempunyai kaitan dengan Patih Gumantar sebaliknya didirikan oleh seorang lagi masyarakat pribumi dayak Borneo yang bernama Raja Kudung. Pada tahun 1610 ini, Raja Kudung menjadikan pusat pemerintahan kerajaan dayak ini tidak di Sidiniang sebaliknya dipindahkan ke Pekana atau Karangan namanya sekarang. Mangkatnya Raja Kudung pada tahun 1680 maka terkuburlah kerajaan dayak ini selama-lamanya di Pekana dengan tiada penerus legasinya.
Selepas itu, kerajaan dayak ini diteruskan oleh legasi Patih Gumantar sendiri yang dikatakan legasi keturunannya yang berjaya melarikan diri ketika Perang Ngayau terjadi. Di kala ini seorang dayak pribumi bernama Senggauk ditabalkan untuk menjadi pemerintah. Kerana kuatnya kepercayaan Hindu di dalam pemerintahan dayak ini yang mana sami telah menyatakan bahawa kerajaan dayak ini hanya boleh kekal jika beralih tempat pemerintahan maka kerajaan dayak ini telah berpindah dari Pekana ke Senggaok iaitu salah satu daerah di hulu Sungai Mempawah.
Bagi memperkasakan kerajaan dayak Senggaok ini, Raja Senggauk telah berkahwin dengan seorang puteri dari Kerajaan Baturizal Pagaruyung, Indragiri. . Puteri Cermin merupakan puteri tunggal kepada Raja Qahar yang memerintah Kerajaan Baturizal Pagaruyung pada masa itu sememangnya adalah salah satu kerajaan yang terkuat di bumi Nusantara pada waktu itu. Jadi perkahwinan ini akan menjamin kewujudan Kerajaan Senggaok daripada diserang oleh mana-mana kerajaan dayak yang lain di bumi Borneo pada waktu itu.
Perkahwinan Raja Senggaok dengan Puteri Cermin dikurniakan dengan seorang puteri tunggal yang bernama Utin Indrawati dan sekali lagi bagi memastikan kerajaan ini terus mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan-kerajaan di Borneo maka apabila dewasa, Utin Indrawati dikahwinkan dengan Sultan Muhammad Zainuddin dari Kerajaan Matan Tanjungpura yang mengamalkan pemerintahan Islam. Perkahwinan Puteri Kesumba iaitu puteri tunggal Sultan Muhammad Zainuddin dengan Utin Indrawati dengan seorang pahlawan berketurunan bugis yang menjadi legenda sehingga ke hari ini iaitu Opu Daeng Menambun.
Kerajaan Mempawah Di Bawah Pengaruh Islam
Opu Daeng Menambun adalah putera kepada Opu Tendriburang Dilaga iaitu berasal dari Kesultanan Luwu, Bugis di Sulawesi Selatan dan mereka sememangnya terkenal dengan kepahlawanan mereka di dalam pelayaran dan juga peperangan serta menyebarkan ajaran Islam dari bumi semenanjung Tanah Melayu sehingga ke Borneo. Daeng Menambun mempunyai 4 lagi saudara lelaki iaitu Opu Daeng Celak, Opu Daeng Marewah, Opu Daeng Perani dan Opu Daeng Kemasi.
Apabila Opu Daeng Menambun banyak menaburkan bakti dan jasanya ke atas Sultan Muhammad Zainuddin bagi memastikan Kerajaan Matan Tanjungpura kekal dan aman lebih-lebih lagi di dalam meleraikan krisis perebutan kuasa di dalam Kerajaan Mantan Tanjungpura, Sultan Muhammad Zainuddin telah mengurniakan darjah kebesaran kepada Opu Daeng Menambun yang bergelar Pangeran Mas Surya Negara. Beliau juga dikahwinkan dengan puteri Sultan itu sendiri iaitu Puteri Kesumba yang akhirnya memperwariskan beberapa orang puteri dan putera.
Mangkatnya Sultan Muhammad Zainuddin pada tahun 1724 masihi menyaksikan puteranya iaitu Gusti Kesemua Bandan yang bergelar Sultan Muhammad Muazzudin menjadi Sultan di Kerajaan Matan Tanjungpura. Pada tahun 1737 Masihi pula Raja Senggauk pula mangkat dan kerana Puteri Kesumba merupakan cicitnya maka Opu Daeng Menambun suaminya diangkat menjadi raja bagi Kerajaan Mempawah di Senggauk yang bergelar Pangeran Mas Surya Negara. Pada ketika inilah Kerajaan Mempawah telah menjadi Kerajaan Kesultanan Mempawah dengan pusat pentadbirannya telah dipindahkan dari Senggaok ke Sebukit Rama.
Di Sebukit Rama, Kesultanan Mempawah telah berdiri sebagai sebuah kerajaan Islam yang aman makmur serta kaya raya serta menjadi hab penyebaran ajaran Islam di bumi Borneo pada ketika itu. Kedatangan Syed Habib Husein Al-Qadrie iaitu seorang saudagar Arab dari Yaman Selatan ke bumi Mempawah telah banyak membantu perkembangan syiar Islam di bumi Mempawah pada ketika itu. Opu Daeng Menambun sebagai pemerintah Mempawah telah mengangkat Syed Habib Husein Al-Qadrie menjadi Imam Besar bagi Kesultanan Mempawah ketika itu.
Hubungan baik ini diteruskan sehinggalah puteri Kesultanan Mempawah yang bernama Puteri Candramidi, puteri Opu Daeng Menambun dikahwinkan dengan putera kepada Syed Habib Husein Al-Qadrie yang bernama Syarif Abdurrahman Al-Qadrie. Dari sinilah bermulanya satu lagi kerajaan Islam di bumi Borneo yang dinamakan Kesultanan Qadriah Pontianak yang mana legasi keturunan melayu Arab di Sarawak yang berketurunan Syed, Syarif, Sharifah dari marga keluarga Al-Qadrie berasal.
Pada tahun 1761, Opu Daeng Menambun mangkat dan ditabalkan puteranya Gusti Jamiril yang bergelar Penembahan Adiwijaya Kusumajaya menjadi pemerintah Kesultanan Mempawah dan ketika inilah wilayah kekuasaan Mempawah semakin luas dan berjaya menjadi bandar perdagangan yang terkenal di bumi Borneo ketika itu. Kesultanan Mempawah Di Bawah Campurtangan Belanda.
Sekitar tahun 1787 Masihi telah berlaku satu perang saudara antara Kesultanan Mempawah dengan Kesultanan Kadriah Pontianak. Pada ketika itu berlaku satu salah faham yang menyebabkan berlakunya perang saudara tersebut. Apabila Penembahan Adiwijaya pula mangkat pada tahun 1790, hubungan antara 2 kesultanan bersaudara ini semakin buruk lebih-lebih lagi Kesultanan Mempawah ketika itu masih lagi belum mempunyai pemerintah.
Pada ketika inilah Belanda telah mula menjadi api dalam sekam di dalam pemerintahan kesultanan di bumi Mempawah. Kesultanan Mempawah yang mendapat bantuan dan sokongan daripada suku Dayak dan Kesultanan Singkawang yang merupakan saudara sesusur galor mereka manakala Kesultanan Kadriah pula disokong oleh Belanda dan juga masyarakat Tionghua di Pontianak.
Akibat Kesultanan Mempawah tidak mempunyai tentera yang kuat akhirnya perang saudara itu berjaya dimenangi oleh Kesultanan Kadriah Pontianak dan sebagai galang ganti atas sokongan Belanda itu maka Kesultanan Kadriah Pontianak membenarkan Belanda mencampuri urusan pemerintahan di Kesultanan Mempawah dengan mengangkat Syarif Kassim sebagai Panembahan Mempawah pada ketika itu.
Sekitar tahun 1808, Sultan Syarif Abdurrahman Al-Qadrie mangkat dan Syarif Kassim yang menjadi Panembahan Mempawah ditabalkan menjadi Sultan Syarif Kasim Al-Qadrie Kesultanan Kadriah Pontianak. Adindanya iaitu Syarif Hussein pula dengan persetujuan Belanda telah ditabalkan menjadi Panembahan Mempawah namun begitu pemerintahannya tidak lama apabila pengaruh Belanda mulai goyah di bumi Mempawah ketika itu. Ini kerana legasi keturunan Panembahan Adiwijaya iaitu putera-puteranya Gusti Jati dan Gusti Mas telah memainkan peranan di dalam memastikan Belanda berjaya diusir dari bumi Mempawah ketika itu.
Setelah taktik perampasan kuasa berjaya dimenangi oleh Gusti Jati, dengan kesepaduan dan sokongan daripada Gusti Mas, akhirnya Kesultanan Mempawah dikembalikan kepada yang empunyai hak iaitu Gusti Jati. Syarif Husein kembali ke Kesultanan Kadriah Pontianak dan pada tahun 1820 Gusti Jati ditabalkan menjadi Sultan Mempawah dengan gelaran Sultan Muhammad Zainal Abidin. Sekali lagi dibawah pemerintahan Sultan Muhammad Zainal Abidin, pusat pemerintahan Kesultanan Mempawah telah dipindahkan ke tepi Sungai Mempawah iaitu di satu kawasan yang bernama Pulau Pedalaman.
Dibawah pemerintahan Sultan Muhammad Zainal Abidin, Kesultanan Mempawah sekali lagi berjaya dimakmurkan dan menjadi kerajaan yang gah di bumi Borneo namun begitu Belanda masih lagi menyimpan dendam kesumat untuk mencampuri urusan Kesultanan Mempawah. Belanda dengan taktik kotor telah berpura-pura untuk berdamai dengan Sultan Muhammad Zainal Abidin dan tanpa disedari Belanda juga telah menyiapkan kekuatan tentera untuk Kesultanan Kadriah. Taktik ini telah berjaya membuat Sultan Muhammad Zainal Abidin leka dan akhirnya memungkinkan Belanda dan bala tentera Kesultanan Kadriah bertapak semula di bumi Mempawah ketika itu.
Serangan yang bertali arus ke atas Kesultanan Mempawah di Pulau Pedalaman telah menyebabkan Sultan Muhamad Zainal Abidin berundur ke Sebukit Serama kembali. Ketika inilah Belanda memainkan peranan dengan mengangkat Gusti Amin iaitu adinda Sultan Muhamad Zainal Abidin sebagai sultan bagi Kesultanan Mempawah. Gusti Amin menggelar dirinya sebagai Panembahan Adinata Krama Umar Kamaruddin. Sejak itu dari tahun 1831 dan seterus Kesultanan Mempawah terus lemah dan menjadi boneka campurtangan Belanda di dalam pemerintahannya.
Sekitar tahun 1892, Gusti Muhammad Thaufiq Accamuddin pula diangkat menjadi pemerintah Kesultanan Mempawah oleh Belanda namun begitu Gusti Muhammad masih kecil lalu diangkat saudara perempuannya iaitu Gusti Intan sebagai pemangku adat Kesultanan Mempawah dan dikala inilah tiada langsung pemerintahan yang boleh dibuat oleh pemerintah Kesultanan Mempawah selain daripada urusan adat istiadat sahaja. Pada tahun 1902, barulah Gusti Muhammad Thaufiq Accamuddin naik takhta sebenar dan seterusnya dengan usahanya telah berdirinya Istana Amantubillah Wa Rusuli Allah di Pulau Pedalaman pada tahun 1922 yang menjadi bukti kewujudan Kesultanan Mempawah pernah ada di bumi Borneo sehingga sekarang.
Kesultanan Mempawah Di Bawah Pendudukan Jepun
Perang Dunia Kedua yang berlangsung pada tahun 1941 – 1945 telah menyaksikan Borneo juga turut terheret sama dengan Jepun telah berjaya menakluki Borneo secara keseluruhannya dan pemerintahan Kita Boruneo oleh Jepun menyaksikan kesemua kerajaan-kerajaan kuno ini turut sama menerima musibah. Pada tahun 1944, Sultan Muhammad Thaufiq Accamuddin iaitu pemerintah Kesultanan Mempawah telah turut ditawan oleh tentera Jepun dan tiada berita mengenai baginda selepas tragedi tawanan tersebut. Terdapat desas-desus menyatakan bahawa tentera Jepun telah bertindak memenggal kepala Sultan Muhammad Thaufiq Accamuddin kerana enggan menerima penguasaan Jepun di bumi Mempawah ketika itu. Sehingga sekarang jasad mahupun makamnya tidak ditemui di bumi Borneo.
Pemerintahan tentera Jepun telah menabalkan Gusti Jimmi Muhammad Ibrahim sebagai pemerintah Kesultanan Mempawah pada tahun 1944 namun begitu Gusti Jimmi Muhammad Ibrahim tidak berminat untuk menjadi pemerintah sebaliknya lebih memilih untuk menyambung pengajiannya di Yogyakarta pada masa itu. Apabila Jepun menyerah kalah akhirnya pada tahun 1945, Kesultanan Mempawah telah dibubarkan selaras dengan tertubuhnya sebuah negara republik yang dikenali sebagai Republik Indonesia.
Inilah satu sejarah panjang sebuah kerajaan kuno di bumi Borneo yang bernama Kerajaan Mempawah yang pada mulanya diasaskan oleh seorang masyarakat pribumi Dayak Borneo bernama Ne’Rumaga yang kemudiannya gah dibawah pemerintahan Patih Gumantar yang mempunyai pengaruh Hindu di dalam kerajaannya. Seterusnya diperturunkan kepada Opu Daeng Menambun yang menjadikannya sebuah kerajaan Kesultanan Islam di bumi Nusantara yang menjadikannya 12 buah Kerajaan Islam Kuno yang pernah wujud di Borneo.