MELAYU NATUNA DI LUNDU DAN KAMPUNG TERENGGANU DI SANTUBONG
MELAYU NATUNA DI LUNDU DAN KAMPUNG TERENGGANU DI SANTUBONG
Melayu Sarawak terlalu besar asal keturunannya dan itulah yang menjadikan Melayu Sarawak itu terlalu unik dan kompleks. Di samping adanya Melayu Sarawak yang merupakan asimilasi daripada etnik-etnik pribumi Pulau Borneo serta ada juga Melayu Sarawak yang mempunyai leluhur daripada Sumatera, kita tidak boleh melupakan adanya satu golongan Melayu Sarawak yang leluhurnya adalah daripada Kepulauan Riau itu sendiri.
Di dalam pencerakahan kali ini, Borneo Oracle akan mengajak semua bangsa Sarawak malah semua rakyat Malaysia untuk mengenali golongan Melayu Natuna yang ramai terdapat di daerah Lundu, Kuching serta asal muasalnya pembukaan satu perkampungan di sebuah kawasan di persisiran pantai yang terkenal dengan legenda Puteri Santubong Sejinjangnya iaitu yang dikenali dengan nama Kampung Terengganu.
Mengapakah mereka dipanggil Melayu Natuna dan mengapakah perkampungan mereka dinamakan Kampung Terengganu? Apakah mereka orang Melayu dari Tanah Melayu seperti dari negeri pantai timur bernama Terengganu? Adakah mereka berkomunikasi di dalam loghat Terengganu? Bersama-samalah menyelusuri penggalian sejarah ini yang telah Borneo Oracle lengkapkan untuk pembaca sekalian.
Apakah Itu Natuna?
Jika kita membuka peta geografi berkemungkinan kita sendiri keliru bagaimana sebuah pulau yang terlalu dekat dengan perbatasan Sarawak mahupun Sabah dipunyai oleh Republik Indonesia dan gugusan kepulauan yang dikatakan itulah dikenali sebagai Kepulauan Natuna. Kepulauan Natuna adalah 272 buah gugusan pulau yang terletak di tengah-tengah Laut China Selatan.
Lokasinya dari segi geografi adalah kira-kira 450 km di utara Singapura dan terletak di barat laut Pulau Borneo. Atau secara lebih tepat jika diperkira lokasi geografi Natuna adalah ianya terletak di antara Malaysia Barat (Sabah/Sarawak) dan Malaysia Timur. Gugusan pulau yang paling utara di dalam kepulauan Natuna ini adalah Pulau Laut. Dan ianya berada di bahagian barat Dungun dan Pulau Tenggul wilayah Terengganu.
Di antara gugusan kepulauan Natuna ini, pulau yang paling besar adalah Pulau Bunguran atau Pulau Serindit (sebelum ditukar nama). Dan jika kita merujuk kepada manuskrip kuno pelayaran saudagar Arab ianya dinamakan dengan nama Jazirah Qumuran. Jika dilihat di bahagian selatan Pulau Bunguran ini pula bersetentangan dengan Kuantan, Pahang dan seterusnya Pulau Jemaja pula berhadapan dengan Pulau Tioman. Manakala Pulau Serasan iaitu yang paling selatan pula begitu dekat dengan Tanjung Datu, Sarawak.
Gugusan kepulauan Natuna yang berselerakan ini suatu masa dahulu adalah satu laluan utama perdagangan antara wilayah Asia Timur dan Asia Barat. Sekarang, kepulauan Natuna itu lebih dikenali sebagai Kabupaten Natuna iaitu merupakan salah satu kabupaten di bawah pentadbiran Provinsi Kepulauan Riau, Republik Indonesia. Dan sejak daripada dahulu lagi kepulauan Natuna ini diduduki oleh 85% kaum Melayu yang dipanggil Melayu Natuna dan beragama Islam.
Dan sumber ekonomi terpenting bagi kepulauan ini sudah tentu sama seperti perairan Sabah dan Sarawak mahupun Terengganu yang kaya dengan hasil minyak dan gas sehingga menjadi penyumbang kepada sumber ekonomi Republik Indonesia sehingga sekarang. Bahasa komunikasi utama bagi mereka yang mendiami Pulau Natuna adalah bahasa Melayu dialek pantai timur iaitu dialek Terengganu yang sebenarnya mempunyai perkaitan dengan sejarah lama Kepulauan Natuna itu sendiri.
Sejarah Kepulauan Natuna Dengan Kerajaan Melayu Lama
Jika berbicara sejarah Kepulauan Natuna ianya tidak boleh dipisahkan dengan beberapa kerajaan Melayu lama yang pernah wujud di bumi Tanah Melayu. Pemerintahan di Natuna dikatakan bermula sekitar tahun 1590an setelah adanya penghijrahan kaum bangsawan Patani dan Johor ke bumi Natuna itu sendiri. Jika Kerajaan Patani pengaruh penguasaannya lebih menjurus ke bahagian utara iaitu merangkumi negeri di pantai timur seperti Terengganu, Kelantan, Menara (Narathiwat) dan Jala (Yala) sebelum menjadi wilayah kerajaan Siam pada kurun ke 18 Masihi. Johor pula telah lebih menguasai di wilayah selatan Tanah Melayu seperti di Pahang dan seterusnya Sumatera timur dan kepulauan Riau itu sendiri.
Berlakunya pengaruh Kerajaan Patani di Kepulauan Natuna apabila seorang kerabat diraja Kerajaan Patani yang bernama Datuk Bendahara Lingkai Al-Fathani telah berkahwin dengan seorang puteri kepada pemerintah asal Natuna yang bernama Puteri Wan Seri Bulan. Dikatakan beberapa orang keturunan hasil perkahwinan ini telah memegang tampuk pemerintahan di Natuna iaitu menjawat jawatan Datuk Kaya dari keturunan Orang Kaya Aling. Antara yang tersohor dari Orang Kaya Aling adalah dari generasi keempat iaitu Orang Kaya Janggut putera kepada Orang Kaya Muhammad.
Orang Kaya Janggut menjodohkan puterinya dengan seorang kerabat dari Pattani yang bernama Wan Muhammad Al-Fathani dan apabila beliau mengambil alih kuasa daripada mentuanya telah bergelar Orang Kaya Perdana Mahkota. Pada tanggal 25hb Januari 1848 dikatakan Orang Kaya Perdana Mahkota telah member bantuan kepada sebuah kapal Inggeris yang karam di sekitar Pulau Selaut dibawah kendalian Kapten Wood dan atas jasa itulah Liutenant Colonel Butterworth, seorang Penguasa Inggeris di Singapura dan Melaka pada waktu itu telah menghadiahkan beliau dengan sebuah meriam tembaga sebagai tanda perhargaan atas jasa baik beliau.
Dikatakan sepanjang pemerintahan Orang Kaya Perdana Mahkota ini hubungan antara Kerajaan Natuna dengan Inggeris dan Belanda adalah berlangsung dengan baik sehingga ketika saat Orang Kaya Perdana Mahkota sedang gering iaitu sekitar tahun 1850, pihak Belanda telah menghantar kapal untuk menjemput puteranya iaitu Wan Qamaruddin atau Wan Kama atau Wan Rawa yang sedang berada di Cam (Kemboja) untuk pulang ke Natuna pada waktu itu.
Jadi sememangnya mengikut sejarah lepas ini menunjukkan bahawa hubungan Kerajaan Natuna dengan kerajaan-kerajaan Melayu itu sememangnya wujud sejak dahulu lagi dan pengaruh-pengaruh ini sudah tentu membuktikan bagaimana bahasa di Natuna itu serta cara hidup Melayu Natuna itu tidak boleh dipisahkan dengan adat dan budaya Melayu di dalam Kerajaan Melayu dahulukala lagi.
Sejarah Kepulauan Natuna Dengan Pengaruh Koloni Barat
Jika disoroti sejarah Kepulauan Natuna dengan pengaruh Koloni Barat ianya adalah merujuk kepada 2 kuasa besar yang pernah berebut-rebut menguasai dunia maritim di sekitar bumi nusantara suatu waktu dahulu. Ianya adalah kuasa Inggeris dan juga Belanda. Setelah jatuhnya Kerajaan Kesultanan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 Masihi yang kemudiannya pada tahun 1641 Masihi bertukar kepada Belanda ianya juga memainkan peranan yang penting ke atas Kepulauan Natuna.
Pada ketika itu juga sekitar tahun 1685 Masihi, Bengkulu di Pulau Sumatera pula dikuasai oleh Inggeris. Apabila adanya perlumbaan memperluaskan wilayah dan pengaruh akhirnya ianya menimbulkan rasa kurang senang antara Belanda dan Inggeris. Berpunca daripada inilah munculnya Perjanjian Inggeris Belanda yang dimeterai pada 17hb Mac 1824 iaitu satu perjanjian yang telah menukar geo-politik nusantara pada ketika itu.
Antara intipati Perjanjian Inggeris Belanda 1824 ini menurut Artikel 10 Perjanjian ini berbunyi ‘Kota Melaka diserahkan kepada Raja Inggeris, manakala Raja Belanda dan rakyatnya tidak akan menubuhkan sebarang penempatan di Singapura dan Semenanjung Melaka (Semenanjung Melayu)’. Artikel 9 Perjanjian 1824 mengiktiraf pengaruh Belanda di Pulau Sumatera dan pulau-pulau di selatan pulau Singapura. Dengan termeterainya perjanjian ini, pihak British tidak akan membuka penempatan di pulau-pulau di selatan Singapura dan Belanda juga tidak akan membuka penempatan di Semenanjung Tanah Melayu.
Akibat daripada perjanjian ini juga menyebabkan Natuna akhirnya telah dimasukkan sebagai salah sebuah wilayah di dalam Republik Indonesia berdasarkan Surat Keputusan Delegasi Republik Indonesia, Provinsi Sumatera Tengah bertarikh 18 Mei 1956. Kabupaten Natuna kemudiannya telah ditubuhkan di dalam Provinsi Kepulauan Riau berdasarkan Undang-undang No. 53 Tahun 1999 yang telah dikuatkuasakan pada 12 Oktober 1999. Walaupun perjanjian Inggeris Belanda 1824 itu tidak menyatakan secara mengkhusus Natuna sebagai sebahagian daripadanya daripada perjanjian tersebut.
Penghijrahan Melayu Natuna Ke Lundu Dan Pembukaan Kampung Terengganu, Santubong
Jika diselidiki penghijrahan Melayu Natuna ke wilayah Sarawak khususnya di daerah Lundu dan Santubong sekarang sebenarnya adalah bertitik tolak kepada hubungan ekonomi dan juga Melayu Natuna itu adalah bangsa Melayu yang berdagang dan belayar. Banyak rentetan peristiwa mengapa dikatakan hubungan ekonomi dan juga sifat Melayu Natuna itu sendiri menjadikan mereka boleh menjadi sebahagian daripada komuniti Melayu Sarawak sekarang.
Sejak Natuna dibawah pemerintahan Orang Kaya Perdana Mahkota lagi telah ada hubungan ekonomi antara Melayu Natuna dengan masyarakat di Sarawak. Pada ketika itu dikatakan Natuna adalah sebuah kerajaan yang aman makmur dengan sumber ekonominya iaitu cengkeh, ikan segar serta tenunan kain-kain yang juga sudah tentu melalui pengaruhnya dengan masyarakat Melayu Pantai Timur contohnya Negeri Terengganu telah memungkinkan ianya menjadi satu Bandar transit sebelum ke Pulau Borneo contohnya Sarawak.
Dan hubungan ini telahpun berlaku sebelum Brooke memerintah hampir 100 tahun di Sarawak Kingdom. Golongan saudagar dari Melayu Natuna yang berbahasa dialek Terengganu telah dahulu sampai di Sarawak jauh sebelum itu dengan membawa barangan penghasilan mereka untuk diniagakan di Sarawak. Dan terdapat satu cerita bagaimana kisah masyarakat Melayu Sarawak yang mendiami kawasan persisiran bernama Santubong telah menyelamatkan sebuah kapal besar sarat dengan barangan untuk diniagakan yang karam di perairan Santubong kerana ombak besar.
Golongan saudagar Melayu ini dikatakan mereka yang berasal dari Natuna dengan dialek bahasa yang Melayu yang tidak sama dengan bahasa Melayu Sarawak ini telah tinggal di Santubong dan hidup berasimilasi dengan masyarakat tempatan Santubong dan akhirnya membawa kepada pembukaan sebuah perkampungan bersejarah yang wajib dikunjungi sekiranya berkunjung ke Kuching iaitu yang dikenali sebagai Kampung Terengganu di Santubong sehingga kini masih ada kewujudannya. Mereka inilah golongan Melayu Natuna yang sememangnya mempunyai pertalian secara langsung dengan negeri-negeri di pantai timur Tanah Melayu.
Kemudian kita tidak boleh melupakan bagaimana kaitan Melayu Natuna itu sebagai saudagar yang mempunyai hubungkait dengan individu tersohor di Sarawak. Ianya tidak lain tidak bukan adalah seorang ulama Melayu Sarawak yang namanya disebut di dalam lipatan sejarah Sarawak iaitu Syeikh Usman bin Abdul Wahhab yang lahir pada tahun 1864 Masihi. Nama ulama tersohor Sarawak ini sendiri mempunyai tanah kebunnya sendiri iaitu kebun kelapa yang membuat penghasilan kelapa kering atau kupra di Pulau Midai.
Segala bentuk perniagaan kelapa ini adalah usahasama ulama ini dengan sebuah syarikat yang diasaskan oleh Melayu Natuna yang bernama Ahmadi & Co, Midai yang ditubuhkan pada tahun 1906 Masihi lagi. Dan perlulah diketahui bahawa Syeikh Usman bin Abdul Wahhab ini adalah daripada golongan Melayu Perabangan Sarawak yang mana leluhurnya adalah Datu Merpati Jepang yang mempunyai pengaruh besar di dalam Melayu Sarawak baik dari Santubong sehingga ke kawasan Melayu sendiri.
Bagi Melayu Natuna yang sekarang ramai di Lundu pula juga mempunyai penghijrahan yang sama dan mereka juga sudah lama berada di dalam komuniti Melayu Sarawak. Kerana Melayu Natuna itu adalah bangsa Melayu yang belayar dan berdagang maka kewujudan mereka di bumi Lundu juga lebih awal iaitu mereka datang ke wilayah Lundu yang merupakan wilayah Tanjung Datu tidak jauh daripada bumi Kepulauan Natuna itu sendiri.
Kehadiran mereka adalah untuk membawa segala bentuk barangan untuk seperti ikan awet, ikan segar, cengkeh, tekstil untuk diniagakan di kawasan seperti di Sambas, Singkawang serta wilayah persempadanan Sarawak dan Kalimantan sejak dari dahulu lagi. Kedatangan saudagar-saudagar Melayu Natuna ini telah menjadikan beberapa pelabuhan di Borneo menjadi semakin sibuk kerana disinilah bermulanya system perdagangan entreport untuk Bandar-bandar pelabuhan di Borneo.
Inilah sumber informasi di dalam kita cuba menggali keberadaan golongan Melayu Natuna yang sekarang menjadi komuniti Melayu Sarawa. Melayu Natuna ini populasi mereka ramai di Lundu dan sudah tentu sejarah pembukaan sebuah perkampungan Terengganu di Santubong juga mempunyai kaitan dengan mereka. Melayu Natuna leluhurnya adalah daripada apa yang dipanggil Kepulauan Riau sekarang namun itu hanya pengaruh politik antarabangsa. Sedangkan dahulunya setiap bangsa boleh berhijrah daripada satu wilayah ke wilayah yang lain tanpa mempersoalkan Negara mana dia berasal.
Sejarah bangsa itu lebih berusia daripada sejarah Negara.
Rujukan:
1. Bujang Valley and Santubong – Forgotten Link Between Sarawak and Kedah http://www.newsarawaktribune.com/news/16908/Bujang-Valley-and-Santubong-–-forgotten-link-between-Sarawak-and-Kedah/
2. Kepulauan Natuna: 'Bergeografikan Malaysia' Berdaulatkan Indonesia
http://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2013/12/07/kepulauan-natuna-bergeografikan-malaysia-berdaulatkan-indonesia/
3. Manuskrip Melayu Nusantara
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2009&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz3mMICivoR
4. From Lundu With Love – Borneo Oracle
5. Syeikh Uthman Al-Sarawaki bin Abdul Wahhab
http://syeikhsarawak.blogspot.my/2009/12/biodata-syeikh-usman-abdul-wahab-as.html
6. Koperasi Ahmadi & Co di Natuna
http://beta.toakepri.com/112-KoperasiAhmadiampCodiNatuna.html