ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT MELAYU SARAWAK
ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT MELAYU SARAWAK
Di dalam kita menongkah arus kemodenan sekarang dengan kehidupan di dunia yang tanpa sempadan, adat istiadat lama dilupa jangan. Di Sarawak, komuniti Melayu Sarawak yang juga menjadi pembentuk kepada kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak masih lagi mengekalkan adat-istiadat yang dipegang sejak dari zaman nenek moyang lagi. Contohnya, adat perkahwinan melayu Sarawak yang unik dan berlainan daripada masyarakat Melayu di Semenanjung mahupun di Sabah.
Kebiasaannya majlis perkahwinan melayu Sarawak diadakan pada masa cuti-cuti besar di Sarawak agar semua kaum kerabat dan juga sahabat handai boleh meluangkan masa menghadiri majlis itu nanti. Perjalanan menuju ke gerbang perkahwinan bagi Melayu Sarawak mempunyai peralihan adat yang sudah tentu mempunyai maknanya tersendiri. Untuk itu peralihan adat-adat ini biasanya adalah seperti berikut:
1. Adat Merasi
2. Adat Ngangin
3. Adat Bertekul
4. Adat Mereya
5. Adat Nikah
1. Adat Merasi.
Adat Merasi boleh diistilahkan sebagai apabila seorang pemuda sudah bersedia untuk berkahwin.Untuk itu dia akan meminta kedua ibubapanya untuk mencari pasangan untuknya. Pada zaman dahulu, kebiasaannya orangtua akan meminta khidmat pencari jodoh untuk mencari calon yang sesuai sebagai menantu mereka tetapi sesuai dengan perkembangan waktu, kebanyakan pemuda pemudi sekarang lebih gemar mencari jodoh sendiri dan ramai ibubapa lebih suka anak-anak mereka menentukan pasangan sendiri.
2. Adat Ngangin
Apabila sudah ada calon isteri dan kata persetujuan untuk berkahwin sudah selaras daripada uda dan dara maka seterusnya adat Ngangin akan mengikuti. Adat ngangin ini boleh diistilahkan sebagai pergi bertandang secara formal ke rumah keluarga bakal pengantin perempuan. Adat ini amat penting kerana disinilah pihak keluarga pengantin lelaki akan membuat pertanyaan secara formal kepada keluarga bakal pengantin perempuan atau dalam istilah bahasa melayu Sarawak “kerisik kerimun”.
Sudah menjadi kebiasaan bagi pihak perempuan untuk meminta tempoh bagi membuat persetujuan. Ini kerana banyak hal harus diambilkira dan tidak perlu terlalu tergesa-gesa.
3. Adat Bertekol
Adat Bertekul hanya boleh diadakan setelah kata sepakat diambil iaitu seseorang perempuan bersetuju untuk dijodohkan dengan lelaki pilihan. Kebiasaannya di dalam adat ini pihak lelaki akan memberikan sebentuk cincin emas atau berlian sebagai tanda bahawa majlis pertunangan secara rasmi akan berlangsung. Di dalam ertikata bahasa moden sekarang kira-kiranya sudah kena “booked”.
Adat bertekol kebiasaannya tidak diadakan secara besar-besaran dan cukuplah disaksikan oleh keluarga terdekat kedua belah pihak sahaja dan biasanya ia tidak secara formal.Ini kerana sewaktu adat bertekol ini berjalanlah kedua pihak keluarga akan membuat perundingan bilakah tarikh yang sesuai untuk mengadakan adat Mereya.
Sesuai dengan zaman yang beredar sekarang, ramai daripada keluarga Melayu Sarawak lebih memilih untuk tidak mengadakan adat bertekol tetapi sebaliknya terus kepada adat mereya atau adat bertunang.
4. Adat Mereya atau Adat Bertunang
Adat Mereya boleh diistilahkan sebagai satu majlis yang diadakan secara besar-besaran ataupun sederhana di kediaman keluarga pihak perempuan. Ianya adalah satu majlis pertunangan secara rasmi untuk pasangan lelaki dan perempuan. Di dalam adat mereya ini, pelbagai hantaran seperti cincin tunang, persalinan, kasut, beg tangan dan lain-lain akan dibawa oleh pihak rombongan lelaki ke kediaman pihak perempuan dan pihak perempuan akan membalas hantaran tersebut juga berdasarkan persetujuan kedua belah pihak.
Sesuatu yang unik di dalam adat mereya ini adalah sekiranya perempuan yang ditunangkan itu mempunyai kakak yang masih lagi belum berkahwin maka sebentuk cincin hendaklah diberikan kepada kakaknya dan ini dipanggil “Langkah Batang”. Apabila selesai adat mereya ini maka sahlah pasangan ini menjadi tunangan orang dan mulai sekarang akan mulalah mengatur acara untuk membuat persediaan bagi menempuh alam perkahwinan pula.
Di Sarawak, apabila pasangan itu sudah bertunang maka setiap tunangan perempuan akan menerima belanja bertunang.Ianya seperti belanja bulanan untuk tunangannya dan jumlahnya juga terpulang kepada persetujuan kedua belah pihak.Sejajar dengan waktu juga, belanja pertunangan ini kebiasaannya akan disimpan oleh tunangan perempuan sebagai simpanan untuk majlis perkahwinan kelak.
5. Adat Nikah
Di dalam komuniti Melayu Sarawak, jenis-jenis nikahnya akan menentukan situasi adat sebelum perkahwinan ini digunakan kerana ada sesetengah jenis nikah ini melangkau adat seperti adat ngangin, adat mereya dan sebagainya. Jenis-jenis nikah masyarakat Melayu Sarawak adalah:
i. Nikah Benar
ii. Nikah Salah
iii. Nyerah Dirik
iv. Nikah dan Ngekot
i. Nikah Benar
Ianya adalah jenis nikah yang boleh diistilahkan sebagai nikah paling bermaruah bagi pasangan pengantin. Ini kerana di dalam Nikah Benar ini segala proses adat semuanya digunapakai ertinya melalui proses-proses yang direstui di dalam masyarakat Melayu Sarawak. Perkahwinan yang mengikut adat inilah biasanya yang akan diraikan secara besar-besaran mengikut kemampuan keluarga pasangan pengantin.
ii. Nikah Salah
Nikah salah pula adalah satu jenis nikah yang berlaku apabila pasangan didapati berkelakuan sumbang dan mereka akan dipaksa untuk perkahwin. Kebiasaannya upacara perkahwinan pasangan nikah salah hanya dijalankan dengan ringkas dan sederhana.Dan Nikah Salah sudah tentu tidak menggunapakai mana-mana peralihan adat seperti yang dinyatakan.
iii. Nyerah Diri
Nikah Nyerah Diri berlaku apabila lelaki menyerah diri kepada keluarga perempuan kerana keinginannya untuk berkahwin dengan perempuan pilihannya tetapi lelaki tersebut tidak mempunyai wang untuk menanggung perbelanjaan perkahwinan. Kebiasaannya ini terjadi apabila perempuan yang dicintai adalah dari golongan berada dan lelaki pula daripada yang tidak berkemampuan.
Mengikut adat komuniti Melayu Sarawak selagi yang perempuan bukanlah kepunyaan sesiapa maksudnya dia bukan tunangan atau isteri orang lain maka keluarga perempuan harus menikahkan pasangan ini.Ini kerana ianya melibatkan maruah keluarga perempuan itu sendiri dan kebiasaannya majlis perkahwinan untuk Nyerah Diri ini juga hanya dilakukan kecil-kecilan si sebelah perempuan sahaja.
iv. Nikah Ngekot
Ngekot pula boleh diistilahkan apabila seorang perempuan menyerah diri kepada keluarga lelaki. Kebiasaannya hal ini terjadi apabila keluarga perempuan tidak merestui atau menerima pilihan anak mereka. Keluarga lelaki wajib mengahwinkan mereka dan kebiasaannya upacara perkahwinan akan diadakan mengikut kemampuan keluarga lelaki tersebut. Dan kebiasaannya majlis perkahwinan Nikah Ngekot hanya diadakan di sebelah lelaki sahaja.
Untuk majlis perkahwinan pula, ada 5 acara yang harus diikuti mengikut istilah adat perkahwinan masyarakat Melayu Sarawak. Ianya terbahagi kepada sehari sebelum majlis persandingan, hari majlis persandingan dan kemudian 3 atau 7 hari selepas perkahwinan. Sehari sebelum majlis persandingan, akan diadakan majlis akad nikah iaitu majlis ijabkabul yang akan mengesahkan pasangan pengantin sebagai pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum syarak Islam.
Di sebelah malam biasanya akan diadakan majlis berpacar atau majlis berinei atau berinai. Majlis ini adalah majlis memasang inai di jari pengantin iaitu salah satu adat simbolik yang menyatakan ini adalah pasangan yang baru berkahwin. Selepas itu diadakan pula majlis belulut yang mana hanya pengantin perempuan yang akan mengenakan pelbagai busana tradisional untuk digayakan buat tatapan tetamu yang datang.
Pada majlis berlulut ini juga akan diadakan upacara bersukaria seperti adat bergendang atau joget lambak mengikut seni warisan masyarakat melayu Sarawak. Sesuai dengan peredaran zaman, selain daripada bergendang ada juga yang mengadakan majlis berkaraoke atau tarian kebudayaan untuk memeriahkan suasana malam perkahwinan. Ini dilakukan bagi mengikat ikatan ukhuwah antara penduduk kampung yang kebiasaannya akan bergotong royong menyediakan juadah majlis perkahwinan pada keesokan harinya.
Maka kemuncak acara adalah majlis persandingan yang mana pengantin perempuan akan didandan dan dihias oleh mak andam untuk kelihatan cantik dan berseri. Antara pantang larang sewaktu mak andam mengandam adalah pengantin TIDAK DIBENARKAN untuk melihat cermin kerana dikatakan akan hilang seri pengantin.
Antara pakaian persandingan pengantin perempuan yang biasanya dipakai adalah kebaya songket, gaun pengantin yang diperbuat daripada kain sutera bertekat benang emas dan Gajah Holen iaitu busana pengantin tradisional Melayu Sarawak. Pengantin lelaki pula biasanya akan mengenakan persalinan seperti seorang pahlawan melayu.
Sebelum rombongan pengantin lelaki berarak ke rumah pengantin perempuan, pihak pengantin perempuan akan menghantar tikar mengkuang (tikar ngambik pengantin) yang dibalut dengan tudung keringkam yang disulam dengan benang emas ke rumah pengantin lelaki. Penghantaran tikar mengkuang ini menandakan bahawa pihak perempuan sudah bersedia menerima kedatangan rombongan dari pihak lelaki.
Pengantin lelaki akan diarak dengan menggunakan kereta atau jong yang akan dimulai dengan membaca selawat sebanyak tiga kali dan diikuti dengan paluan hadrah. Setibanya di rumah pengantin perempuan, mereka akan disambut dengan acara pencak silat (silat kapak) sebagai pembuka pintu. Pengantin lelaki akan dibawa masuk ke rumah dan didudukkan di samping pengantin perempuan yang sedia menanti di atas pelamin yang telah dihias indah.
Semasa majlis persandingan, upacara berjembak dijalankan di mana pengantin lelaki akan menyentuh dahi pengantin perempuan dengan ibu jarinya dan jejambak (tuala kecil yang wangi dan dilipat berbentuk bunga). Ianya bersamaan dengan adat membatalkan air sembahyang. Doa selamat dan selawat dibacakan untuk kedua-dua mempelai. Tepung tawar dilakukan dengan diiringi oleh paluan hadrah.
Pengantin kemudiannya melakukan upacara turun naik tangga sebanyak tujuh kali. Pada sebelah petang atau malam, makan nasi temuan diadakan. Ini bagi membiasakan pengantin dengan kehidupan berkeluarga dan sekaligus untuk menghilangkan rasa malu. Majlis makan nasi temuan ini dilakukan bersama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.
Pada kebiasaannya selepas 3 atau 7 hari majlis perkahwinan berlangsung, adat menziarah ke rumah mentua oleh pengantin perempuan akan dilakukan. Adat ini dikenali sebagai mengundang menantu. Di dalam majlis ini, ibu mentua dikehendaki untuk menghadiahkan lapit kaki atau hadiah perkahwinan seperti rantai emas atau berlian sebagai simbolik bahawa pengantin perempuan sudahpun diterima di dalam keluarga dan menunjukkan kegembiraan keluarga pengantin lelaki mendapat menantu perempuan yang baru.
Inilah adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu Sarawak yang masih utuh terpelihara di dalam masyarakat Melayu. Sejajar dengan zaman moden mungkin ada sesetengah adat tidak begitu dipraktikkan namun begitu adalah diharap kita sebagai bangsa Sarawak jangan sesekali melupakan adat warisan kita ini kerana ianya adalah lambang adat warisan Melayu yang wajar dilestarikan untuk tatapan anak cucu kita nanti.
Lebat daun bunga tanjung Berbau harum bunga cempaka Adat dijaga pusaka dijunjung Baru terpelihara adat pusaka