LEGENDA SEEKOR NAGA DAN SAUDAGAR DARI CHINA
LEGENDA SEEKOR NAGA DAN SAUDAGAR DARI CHINA
- Cerita legenda dari Usun Apau Di Dalam Etnik Kenyah
Dataran Tanah Tinggi Usun Apau merupakan satu dataran tanah tinggi yang menjadi tapak warisan bagi kebanyakan rumpun Kaum Orang Ulu di Sarawak. Ini kerana dikatakan etnik seperti Kenyah dan Kayan telah mendiami Usun Apau beratus-ratus tahun dahulu bagi mengelak daripada perang memburu kepala atau “Ngayau” yang pernah menjadi budaya bagi masyarakat etnik Dayak di Borneo.
Dengan keadaan geografi Usun Apau yang akan menyulitkan sesiapa yang ingin ke tempat tersebut maka Usun Apau merupakan tempat yang paling strategik untuk membuat penempatan. Seperti juga etnik-etnik lain di dunia yang sudah tentu mempunyai legenda kawasan warisan mereka, hal ini tidak terkecuali dengan etnik Kenyah. Ada satu legenda yang memperkatakan tentang kawasan warisan mereka iaitu Legenda Si Naga Dan Saudagar Dari China.
Al-sahibul hikayat, beratus-ratus tahun dahulu telah datang seorang saudagar dari Tembok Besar China yang bernama Haka. Haka ini pula bukanlah sembarangan saudagar kerana beliaulah satu-satunya saudagar dari luar yang mampu ke Usun Apau meredah segala kesulitan di dalam perjalanannya. Oleh kerana itulah beliau amat terkenal di kalangan penduduk di Usun Apau terutama sekali masyarakat Kenyah.
Diceritakan tujuan Haka hingga ke Usun Apau adalah kerana beliau ingin membeli hasil-hasil hutan daripada masyarakat Kenyah dan kemudiannya beliau juga menjual beberapa barangan seperti tembikar China kepada masyarakat Kenyah dengan harga yang berpatutan. Pada suatu hari ketika di dalam perjalanan pulang daripada Usun Apau dengan berjalan kaki bersama-sama dengan pekerjanya yang sedang sarat mengangkat hasil-hasil hutan, hujan pun turun dengan lebatnya dan Haka mengarahkan semua orang-orangnya untuk tumpang berteduh di sebuah gua yang tidak jauh daripada situ.
Ketika sedang beristirehat menunggu hujan teduh inilah Haka melihat satu cahaya berkilauan di dalam gua tersebut. Perasaan ingin tahu pun membuak di sanubari Haka untuk mengetahui apakah gerangan cahaya tersebut. Dengan langkah perlahan beliau pun menghampiri cahaya tersebut. Alangkah terkejutnya beliau rupa-rupanya cahaya yang berkilauan itu adalah cahaya batu permata yang terletak di atas kepala seekor naga yang sedang nyenyak tidur.
Berdetik di hati Haka untuk mendapatkan batu permata tersebut tetapi beliau amat maklum bahawa kumpulannya tidak mungkin mampu mengalahkan naga tersebut. Di dalam firasat Haka sekiranya dia memiliki batu permata itu sudah tentu dia akan penuh dengan kesaktian malah jika dijual dengan harga yang berpatutan, Haka boleh kaya raya jadinya.
Apabila hujan sudah teduh, Haka mengarahkan orang-orangnya untuk memulakan perjalanan mereka menuju ke perahu mereka yang terletak di Sungai Tinjar. Walaupun ada ralat di hatinya kerana tidak berjaya untuk mencuri batu permata dari naga tadi namun jauh di sudut hati Haka, dia berazam akan mencari jalan yang sebaik mungkin untuk mendapatkan batu permata tersebut.
Setelah melalui perjalanan yang penuh onak nan berduri dengan jeram-jeram yang airnya deras akhirnya Haka dan orang-orangnya telah sampai di pelabuhan besar yang mana disitu sudah siaga kapal besar milik Haka. Di ketika Haka dan orang-orangnya tengah bersiap sedia untuk meneruskan pelayaran mereka ke destinasi seterusnya tiba-tiba datanglah satu bahtera besar yang lengkap dengan perajurit-perajurit daripada China, negeri asal Haka.
Seperti lagak seorang pengembara yang gembira bertemu dengan saudara dari jauh, Haka pun menyambut kedatangan perajurit-perajurit dan laksamana dari China dengan ria sekali. Sewaktu jamuan makan di atas kapal Haka inilah, Haka menceritakan kepada Laksamana tentang batu permata di kepala seekor naga. Laksamana China amat tertarik dengan cerita Haka dan kemudiannya setelah mereka berbincang dan kata sepakat diambil akhirnya Laksamana sanggup membantu Haka mendapatkan batu permata tersebut dengan sedikit imbuhan.
Haka akhirnya telah membatalkan niat beliau untuk ke destinasi seterusnya sebaliknya telah mengarahkan agar kapal beliau untuk melayari Sungai Tinjar dan kembali ke Usun Apau. Hanya kapal Haka boleh memudiki Sungai Tinjar kerana kapalnya agak kecil berbanding dengan kapal Laksamana. Setelah kelengkapan disediakan maka mereka pun mula memudiki Sungai Tinjar menuju ke Usun Apau.
Dipendekkan cerita ketika berlabuh di Sungai Tinjar, rombongan Haka dan Laksamana China telah dibahagi kepada 2 iaitu 1 rombongan akan bersama-sama menuju ke Usun Apau manakala sejumlah kecil lagi akan menunggu dan menjaga kapal mereka di Sungai Tinjar. Setelah bersusah payah melalui pelayaran dengan air dan kemudiannya berjalan kaki meredah hutan untuk menuju ke gua di Usun Apau akhirnya rombongan Haka dan Laksamana China telah sampai di kaki gua tersebut.
Ketika inilah Haka tercengang-cengang melihat bagaimana parajurit-parajurit Laksamana China telah mengenakan baju perisai kalis api. Rupa-rupanya tanpa Haka sedari parajurit-parajurit Laksamana China sebenarnya sememangnya sudah bersedia dengan segala kelengkapan tersebut semenjak meninggalkan Tanah Besar China lagi. Ini kerana mereka sudah terbiasa untuk menghadapi sebarang kemungkinan ketika di dalam pelayaran mereka.
Haka amat kagum dan keyakinannya untuk merampas batu permata di kepala Naga semakin membuak-buak. Setelah siaga semuanya, akhirnya rombongan Haka dan Laksamana China telah masuk ke gua tersebut. Ketika mereka menghampiri gua tersebut ternyata Naga sedang tidur dan timbullah idea daripada salah seorang parajurit Laksamana China agar jangan mengejutkan naga tersebut sebaliknya adalah lebih elok untuk salah seorang daripada mereka pergi senyap-senyap menghampiri naga tersebut dan cuba mencuri batu permata daripada kepala naga yang sedang tidur.
Haka dan Laksamana China pun bersetuju dengan idea parajuritnya dan akhirnya mengarahkan parajurit tersebut mencuri batu permata tersebut. Dengan patuh pada arahan, parajurit itu pun menghampiri naga tersebut dan akhirnya berjaya mencuri batu permata daripada kepala naga tanpa si naga sedari. Setelah mendapat batu permata tersebut, secara senyap-senyap rombongan Haka mengundurkan diri ke pintu masuk gua.
Di ketika inilah, Haka dan Laksamana China beserta rombongan mereka telah ketawa terbahak-bahak kerana mereka gembira atas kejayaan mencuri batu permata tersebut dengan tidak payah bertarung dengan naga yang sudah tentu akan menyebabkan korban yang banyak. Akibat bunyi bising ketawa terbahak-bahak ini telah mengejutkan naga yang sedang tidur.
Apabila bangun itulah baru si naga sedari bahawa permata kesayangannya telah dicuri. Naga itupun mengamuk dan menghembuskan api daripada mulutnya. Melihat kepada itu, maka melintang pukanglah Haka dan Laksamana China serta parajurit-parajuritnya menyelamatkan diri. Naga mengejar mereka sehinggalah ada diantara mereka yang tersesat di dalam hutan Usun Apau.
Laksamana China yang sememangnya tangkas tidak sukar untuk meloloskan diri. Beliau dan beberapa parajurit telah berjaya sampai ke kapal mereka di Sungai Tinjar dan tanpa memikirkan rakan-rakan perajurit yang dibelakang, Laksamana China telah mengarahkan kapal itu untuk memudiki Sungai Tinjar. Dalam pada itu, Laksamana China juga telah berpuashati kerana rupa-rupanya batu permata yang dicuri itu ada pada beliau. Maka tinggallah Haka dan beberapa parajurit beliau di Usun Apau. Sejak daripada itu dikatakan tiada sebuahpun kapal yang mudik ke Usun Apau bagi membawa Haka pulang ke tanahairnya.
Haka dan saki baki parajurit yang ditinggalkan sudah tiada pilihan selain daripada tinggal bersama masyarakat Kenyah di Usun Apau. Mereka kemudiannya telah meresapi masyarakat Kenyah dengan perkahwinan campur dan akhirnya setelah seketika di Usun Apau akhirnya mereka berhijrah ke seluruh pelusuk tanah pamah di Belaga dan kawasan sekitarnya. Mungkin kerana itulah agaknya kenapa masyarakat Kenyah Sarawak mempunyai kulit putih bermata sepet seakan-akan masyarakat Cina sekarang.
Masih belum ada kajian saintifik bagi membenarkan kaitan legenda ini dengan masyarakat Kenyah Sarawak. Walau bagaimanapun, ini hanyalah satu cerita legenda yang menjadi hiburan penglipur lara. Kebenarannya usahlah dipersoalkan kerana ianya satu sastera rakyat yang dilestarikan secara cerita oral dari satu generasi ke generasi yang lain di dalam etnik Kenyah.