WABAK TAUN MELANDA SARAWAK KINGDOM (1841-1941)
WABAK TAUN MELANDA SARAWAK KINGDOM (1841-1941)
Taun atau Kolera… itulah satu wabak yang suatu masa dahulu menjadi mimpi ngeri bagi setiap manusia malah sehingga sekarang ianya juga amat ditakuti. Dahulu sekiranya wabak ini melanda sudah tentu ada sahaja nyawa menjadi galang ganti dan ini juga tidak terkecuali di Sarawak suatu masa dahulu sehingga ianya telah mengorbankan nyawa banyak pihak.
Sememangnya artikel ini sudah tentu dipandang sipi oleh kita sebagai masyarakat Sarawak kerana tiada yang menarik tetapi sudah tentu yang diketengahkan oleh Borneo Oracle pada kali ini tidak mencakupi wabak Kolera ketika Sarawak, Malaysia tetapi sebaliknya ketika menjadi Sarawak Kingdom iaitu sepanjang 100 tahun pemerintahan Brooke di Sarawak kerana ianya kurang diwar-warkan buat pengetahuan semua.
Penyakit taun atau kolera merupakan jangkitan pada saluran penghadaman yang disebabkan oleh bakteria, vibrio cholera. Penyebaran virus ini biasanya berlaku melalui air minuman dan makanan yang tercemar oleh najis (produk sisa) daripada orang yang dijangkiti, termasuklah orang dengan tanda yang tidak jelas. Simptom penyakit ini termasuklah cirit-birit, perut tegang, mual, muntah, dan kekeringan. Rawatan utama taun adalah dengan terapi rehidrasi oral, yang biasanya dengan larutan rehidrasi oral untuk menggantikan air dan elektrolit dan antibiotik, tetapi dalam kes teruk, taun boleh menyebabkan kematian.
Kes taun sebenarnya telahpun wujud di Sarawak sejak berkurun lamanya iaitu yang pernah direkodkan seawal tahun 1873 lagi. Wabak taun ini kebiasaannya berlaku ketika Sarawak menerima musim kering iaitu ketika bulan Mei, Jun dan Julai. Ramai rakyat yang terjejas adalah rakyat Sarawak yang tinggal di kawasan persisiran pantai ataupun sungai.
Suatu ketika dahulu, ketika ramai masyarakat Sarawak masih lagi mempercayai animism dan pagan, setiap kali berlaku sakit yang dikenali sebagai wabak taun sekarang maka mereka akan memanggilnya satu bala iaitu satu hukuman akibat daripada tidak menghormati semangat laut atau sungai. Pada ketika itu segala bentuk perubatan adalah berdasarkan nujum ataupun bomoh. Tapi itu dulu, sejak masyarakat Sarawak sudah mengenali ilmu perubatan moden maka minda masyarakat juga sudah tidak ditapok lama lagi malah mereka juga sudah faham hukum sains tentang wabak taun ini.
.
Mengikut sejarahnya, wabak taun yang kali pertama didokumentasikan di Sarawak adalah pada tahun 1873 iaitu apabila Kapten Giles Helyer, seorang komander laut yang bertugas dengan Rajah Brooke meninggal dunia akibat wabak taun. Kemudian di dalam kapal yang sama sewaktu Rajah Charles Brooke hendak bertolak pulang ke England, kedua-dua anaknya juga meninggal dunia di dalam pelayaran yang sama juga kerana wabak sama.
Sejak daripada itu wabak taun menjadi satu perkara yang amat ditakuti kerana ketika itu tiada lagi ilmu perubatan yang mengkhusus untuk mengurangkannya. Sekitar tahun 1888, wabak taun telah melanda Simanggang (Sri Aman sekarang) dan mengikut sejarahnya sejumlah besar masyarakat yang mendiami Simanggang ketika itu telah jatuh sakit. Mengikut catitan perubatan pada ketika itu jumlah sebenar yang dijangkiti tidak diketahui tetapi jumlah kematian ada direkodkan iaitu Melayu 80 orang dan Iban yang tinggal di Sungai Undup seramai 70 orang dan masyarakat Cina yang tinggal di kawasan bazaar Simanggang seramai 13 orang. Wabak ini melanda pada bulan Julai 1888.
Pada tahun 1902, wabak taun yang paling teruk telah direkodkan di Sarawak Kingdom pada waktu itu yakni dengan jumlah kematian sekitar 1500 orang. Sekali lagi jumlah yang dijangkiti tidak direkodkan tetapi difahamkan ianya adalah pada skala yang besar. Dikala wabak ini sedang melandalah terdapat satu Ekspedisi yang dijalankan oleh Rajah Brooke bagi peperangan dengan penduduk tempatan yang ingkar pada pemerintahan Rajah Brooke ketika itu.
Hampir 12,000 ribu kaum Iban dan Melayu bersatu dengan tentera Brooke untuk berperang di Batang Lupar, Simanggang dengan menggunakan 800 buah perahu dan kapal namun begitu ekspedisi ini terpaksa dibatalkan separuh perjalanan apabila hampir 1500 orang daripada mereka telah menemui ajal akibat daripada wabak taun ini. Diceritakan bahawa akibat kurangnya kefahaman tentang wabak taun ini maka ketika itu wabak ini juga menular ke kawasan penempatan-penempatan terpencil di seluruh Batang Lupar pada masa itu dan jumlah kematian akibat daripada kes terpencil ini tidak direkodkan langsung.
Pada tahun-tahun berikutnya wabak taun terus berlaku di seluruh Sarawak Kingdom. Pada tahun 1910, 85 kes dengan 67 daripadanya menemui maut. Pada tahun 1911 terdapat 109 kes dengan 77 kematian. Pada tahun 1911 inilah Daerah Kuching iaitu ibukota Sarawak pada masa itu telah dilanda dengan teruk sekali.
Perkampungan Melayu di Kuching mendapat tamparan yang hebat ketika itu kerana bekalan air bersih hanya merujuk kepada Sungai Sarawak pada masa itu yang didapati telah pun tercemar dengan virus taun. Perkampungan yang terlibat adalah:
Kampung Pulo - 6 kes 3 kematian Kampung Boyan –18 kes 11 kematian Kampung Surabaya – 3 kes 2 kematian Kampung Gersik – 7 kes 5 kematian Kampung Sungai Bedil – 9 kes 7 kematian Kampung Lintang – 10 kes 7 kematian Kampung Tanjung – 4 kes 4 kematian Kampung Melayu Padungan – 4 kes 4 kematian Kampung Bandarshah – 12 kes 9 kematian
Selain daripada perkampungan Melayu Kuching yang dilanda wabak ini, ianya juga menular ke berek Sarawak Rangers 18 kes 11 kematian serta Penjara Kuching dengan 2 kes 2 kematian serta Jalan Penrissen dengan 3 kes 3 kematian. Selain Bandar Kuching, wabak taun juga melanda Daerah Sambir di Samarahan.
Diceritakan akibat daripada terlalu banyak kes kematian di daerah ini maka Pegawai Perubatan Negara Sarawak pada masa itu telah mengarahkan untuk penduduk membuat unggun api besar bagi membakar hangus semua pakaian kotor dan peralatan tidur mereka yang sudah meninggal dunia bagi mengelakkan virus tersebut terus menular.
Inilah sekelumit sejarah apabila wabak taun melanda Sarawak pada suatu ketika dahulu sehingga banyak nyawa terkorban akibat daripada kurangnya pengetahuan serta kekurangan perubatan moden pada itu. Ianya sememangnya sesuatu sejarah yang amat jarang untuk kita bangsa Sarawak mengambiltahu mengenainya.
Peristiwa lama mungkin berulang kembali jika kita sebagai Bangsa Sarawak tidak cuba menghindarinya kerana buat masa sekarang bukan semua tempat di Sarawak mempunyai bekalan air bersih malah ada sesetengah kawasan di Sarawak masih lagi mengharapkan ehsan air dari sungai-sungai untuk kelangsungan hidup.
Lebih Baik Mencegah Daripada Mengubati!