ETNIK LUN BAWANG, SARAWAK, BORNEO
ETNIK LUN BAWANG, SARAWAK, BORNEO
Lun Daya atau Lun Dayeh atau Lun Dayoh atau Lundaya Putuk atau Southern Murut merupakan nama-nama lain bagi satu lagi etnik di Sarawak yang lebih dikenali sebagai Lun Bawang. Sebenarnya etnik Lun Bawang ini bukan sahaja ada di Sarawak malah mereka juga ada di Kalimantan, Sabah dan Brunei yang menyebabkan adanya nama-nama yang berbeza mengikut dimana mereka tinggal.
Di Sabah, Negeri di Bawah Bayu, etnik Lun Bawang lebih dikenali sebagai etnik Lun Dayeh yang mana ianya bermaksud orang pedalaman iaitu sekelompok masyarakat yang mendiami kawasan hulu sungai. Populasi masyarakat Lun Bawang di Sabah ramai tertumpu di Long Pasia dan Sipitang.
Di Brunei iaitu Negara tetangga Sabah dan Sarawak pula, etnik Lun Bawang lebih dikenali sebagai Lun Bawang Murut atau Southern Murut yang mana populasi mereka ramai terdapat di daerah Temburung, Brunei Darussalam.
Di Sarawak pula etnik Lun Bawang populasi mereka ramai tertumpu di Bahagian Limbang seperti di Trusan, Ba Kelalan, Long Semadoh, Long Uping iaitu di Daerah Lawas.
Etnik Lun Bawang BUKAN Etnik Murut
Oleh kerana adanya kecelaruan nama-nama ini maka ramai yang menyangka bahawa etnik Lun Bawang adalah sama seperti etnik Murut yang ramai di Sabah sedangkan hakikatnya mereka berbeza daripada asal keturunan malah juga adat dan budaya. Terdapat banyak teori daripada pakar-pakar antropologi mengenai keberadaan nama Murut di dalam memperkatakan etnik Lun Bawang ini.
Antara teori-teori itu adalah: 1. Sekitar tahun 1850an, seorang mubaligh British yang bernama Saint John pernah tinggal di Lembah Adang iaitu satu penempatan etnik Lun Bawang yang lokasinya antara Gunung Murud dengan Gunung Batu Lawi. Beliau menyatakan bahawa perkataan “murut” itu merujuk kepada perkataan “surud” yang bermaksud gunung di dalam bahasa Lun Bawang.
2. Penempatan pertama etnik Lun Bawang ketika berhijrah kali pertama daripada bahagian tengah Borneo dikatakan adalah kawasan bergunung-ganang yang dipanggil Gunung Murud. Jadi kerana itulah dikatakan bahawa orang dahulu memanggil etnik Lun Bawang sebagai Murud atau Murut yang merujuk kepada kawasan penempatan mereka yang pertama yang bernama Gunung Murud.
3. Tidak kurang juga yang mengaitkan etnik Lun Bawang dengan seorang pemimpin mereka yang gah iaitu Bian Murud. Bian Murud ini merupakan antara pemimpin legenda etnik Lun Bawang dahulukala yang terkenal di wilayah Sungai Adang. Jadi menurut teori dikatakan bahawa suatu waktu dahulu barangsiapa yang menjadi pengikut kepada Bian Murud ini juga dikenali sebagai Orang Bian Murud atau Lun Murud atau Orang Murud sehingga lama-kelamaan lidah penutur memanggilnya Murut.
Walaupun begitu, jika kita merujuk kepada Sarawak Gazette 1936 iaitu di ketika pemerintahan rajah ketiga Sarawak Kingdom iaitu Sir Charles Vyner Brooke pula mempunyai satu pandangan skeptical mengenai etnik Lun Bawang ketika itu. Ini kerana hanya sewaktu beliau memerintahlah etnik Lun Bawang diwarnai dengan perkataan Murut yang mana ianya tidak ada kena mengena langsung tentang etnik Murut di Sabah sebaliknya merujuk kepada perkataan bahasa Iban klasik iaitu “murut” yang bermaksud buruk.
Menurut Sarawak Gazette 1936, etnik Lun Bawang yang dipanggil oleh Brooke “orang Murut” ini digambarkan sebagai antara etnik pribumi di Sarawak yang tidak mengamalkan cara hidup yang sihat dengan rumah panjang mereka kotor, sentiasa dalam keadaaan mabuk kerana meminum burak (air tapai beras) setiap hari serta amat berbahaya. Tabiat dan cara hidup etnik Lun Bawang ini juga ada diceritakan di dalam satu buku yang ditulis oleh Shirley Lees yang bertajuk Drunk Before Dawn diterbitkan pada tahun 1979. Akibat daripada adanya cara hidup yang tidak sihat seperti ini maka apabila wabak kolera melanda di bumi Sarawak sekitar tahun 1904 hingga 1905, menurut rekod perubatan Sarawak Kingdom juga menyatakan bahawa etnik Lun Bawang di bumi Sarawak hampir pupus apabila jumlah populasi mereka yang sebelum wabak melanda kira-kira jumlah populasi mereka yang seramai 20,000 orang hanya tinggal 3,000 orang sahaja. Tersedar daripada mimpi ngeri itu akhirnya dikatakan pemimpin-pemimpin di kalangan etnik Lun Bawang dengan kesedaran untuk membaiki taraf hidup mereka dan akhirnya mereka telah bergandingbahu dengan mubaligh-mubaligh kristian pada ketika itu untuk mengamalkan cara hidup yang lebih sihat berlunaskan agama kristianiti yang mereka anuti.
Dan akhirnya berkat kesedaran ini telah membawa kepada survival bangsa ini sehingga sekarang. Jadi, diharap perincian ini boleh membantu salah faham mengenai isu Lun Bawang itu Murut kerana ternyata kedua-dua etnik ini berbeza sama sekali.
Dan hal ini sudahpun dirungkaikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada 6hb Mei 2002 yang memberikan kelulusan mengenai Interpretation (Amendment) Bill 2002 iaitu pindaan kepada Interpretation Ordinance 1958 yang menyatakan bahawa etnik Lun Bawang pada hakikatnya dipanggil Lun Bawang dan merupakan satu kaum bumiputera di Sarawak Bumi Kenyalang.
Menurut sejarah asal keturunan pula menyatakan bahawa etnik Lun Bawang ini merupakan satu kumpulan masyarakat yang berasal daripada satu kawasan yang terletak di tengah-tengah Pulau Borneo yang dikenali sebagai Dataran Tanah Tinggi Kerayan Kelabit. Dan mereka juga dikatakan telah membuat penghijrahan ke seluruh Borneo yang meliputi Sabah, Sarawak dan Brunei sejak dari kurun ke-17 hingga 18 Masihi lagi.
Oleh kerana adanya persamaan daripada dimana mereka berasal inilah maka dikatakan antara etnik Lun Bawang dengan etnik Kelabit mempunyai banyak persamaan daripada segi adat dan budaya. Malah kesamaan ini juga dikatakan meliputi kesamaan kulinari seperti pembuatan daging atau ikan yang daging atau ikan yang telah diperam dengan garam serta disimpan didalam buluh selama lebih sebulan dipanggil telu’ juga mempunyai cara yang sama seperti mana etnik Kelabit menyediakannya.
Jika disoroti dari segi bahasa pula, bahasa etnik Lun Bawang juga diperkasakan oleh dialek-dialek mereka sendiri berdasarkan pada penempatan mereka seperti dialek Long Bawan, Lun Daye dan Papati. Dan secara amnya bahasa Lun Bawang dikategorikan di bawah rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, North Sarawakan, Dayic, Kelabitic.
Seperti etnik-etnik pribumi di Borneo yang lain, etnik Lun Bawang juga adalah salah satu daripada etnik pemburu kepala yang hebat. Mereka bukan sahaja hebat tetapi juga pengamal tradisi ini yang paling tegar. Walaupun Brooke telah mengharamkan tradisi memburu kepada ini sejak di tahun 1840an lagi namun etnik Lun Bawang ini antara etnik yang paling degil dan masih lagi mengamalkannya sehingga ke awal tahun 1900an. Menurut sejarahnya, Rajah Charles Vyner Brooke pernah cuba memerangi etnik Lun Bawang di Trusan sekitar tahun 1901 kerana ingin membendung kegiatan perluasan wilayah etnik Lun Bawang pada masa itu. Namun begitu hampir 3,000 bala tentera Sarawak Kingdom dikatakan pulang dengan tangan kosong kerana mereka alah dengan keadaan geografi di Trusan pada masa itu yang sebenarnya hanya etnik Lun Bawang yang lebih mengetahuinya.
Namun begitu itu hanya satu cerita sejarah zaman silam kerana setelah kedatangan agama di kawasan penempatana etnik Lun Bawang sekitar awal tahun 1900an, rata-rata etnik mereka telah memeluk agama Kristian sebagai panduan penghidupan mereka. Namun begitu, etnik Lun Bawang juga masih lagi mengamalkan beberapa adat warisan mereka yang tidak bertentangan dengan ajaran agama yang mereka anuti sekarang. Selain daripada itu, etnik Lun Bawang juga masih lagi terkenal dengan pestanya yang tersendiri serta unik seperti juga perayaan gawai dayak oleh masyarakat Iban Sarawak iaitu perayaan yang dikhususkan untuk etnik Lun Bawang yang bernama Irau Aco Lun Bawang. Pesta ini diadakan di bumi Lun Bawang iaitu di Daerah Lawas saban tahun pada setiap awal Jun dengan juga disertai oleh seluruh komuniti Lun Bawang di Sabah, Brunei dan juga Sarawak itu sendiri.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!
Rujukan:
1. Author: Jay B. Crain and Vicki Pearson – Place, Person And Power: Lundayeh/Lun Bawang Pre And Post-Christian Narratives 1 http://www.csus.edu/asia/documents/SMJ%20Journal.pdf
2. Joshua Project: Lundayeh, Lun Bawang In Brunei https://joshuaproject.net/people_groups/15053/BX
3. Ethnologue Languages Of The World – Lun Bawanghttps://www.ethnologue.com/language/lnd
4. Sarawak Tourism : Sarawak’s Lun Bawang Festival – Irau Aco Lun Bawang http://sarawaktourism.com/blog/sarawaks-lun-bawang-festival-irau-aco-lun-bawang/
5. Crafts Of The Lun Bawang http://www.malaysiadesignarchive.org/crafts-of-the-lun-bawang/