FROM SERIKIN WITH LOVE
FROM SERIKIN WITH LOVE
Bukit Kayu Hitam, Padang Besar, Wang Kelian mahupun Rantau Panjang sememangnya gah seantero Malaysia mahupun di Asia Tenggara itu sendiri kerana disinilah merupakan “syurga” membeli belah bagi ramai rakyat Malaysia mahupun pelancong-pelancong luar negeri sekalipun. Tetapi kesemua lokasi ini berada di Semenanjung Malaysia dan ianya sudah tentu menjana ekonomi setempat di sebelah sana.
Serikin merupakan salah satu pekan kecil yang terletak 15 km dari Bandar Baru dan lebih kurang 75 km dari ibukota Kuching, Sarawak. Siapa sangka pekan kecil ini mampu mencatit sejarahnya tersendiri di dalam merancakkan ekonomi setempat kerana ianya merupakan salah satu destinasi “wajib pergi” sekiranya berkunjung ke Kuching, Sarawak.
Dengan lokasinya yang terletak di antara perbatasan Sarawak dengan Kalimantan menjadikan segala barangan yang dijual disini seperti tekstil, barangan rotan, periuk belanga, hasil kraftangan berkualiti tinggi juga boleh dibeli dengan harga yang berpatutan. Dan keistimewaannya adalah terletak pada peniaga-peniaganya yang hampir 70% adalah rakyat Republik Indonesia yang membuka perniagaan di wilayah Malaysia iaitu Serikin itu sendiri.
Jika disoroti dari sejarah sebenarnya Pasar Serikin ini telahpun wujud sekitar tahun 1980an lagi namun ketika itu namanya tidaklah se gah sekarang. Dikatakan pada ketika itu penjualan barangan dimulai oleh segelintir individu yang mempunyai pertalian di antara satu sama lain dihadapan rumah seorang warga Sarawak yang berkahwin dengan seorang pemuda daripada Kalimantan Barat.
Pada masa itu, bentuk penjualan bukanlah dengan membuka gerai-gerai seperti sekarang sebaliknya ianya lebih kepada meletakkan barangan jualan di dalam guni atau karung dan kemudian dipamerkan untuk pelanggan yang berminat. Dan tanpa disangka akhirnya ianya mendapat sambutan ramai dan sekitar sekitar tahun 1994, Pasar Serikin telah mula mengukir namanya dibibir-bibir warga Sarawak mahupun pelancong dari luar Negara.
Walaupun lokasi Pasar Serikin ini adalah terletak betul-betul di perbatasan namun tiada apa yang harus dirisaukan lebih-lebih lagi apabila berbicara tentang keselamatan pengunjungnya. Ini kerana sejak ianya ditubuhkan lagi, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu untuk pengunjung-pengunjung di Pasar Serikin.
Atas hal inilah jika kita ke Serikin, sudah menjadi pemandangan biasa kita melihat anggota keselamatan khususnya Pasukan Gerak Am Malaysia membuat rondaan semata-mata untuk memastikan segalanya aman di Pasar Serikin ini. Sehingga ke hari ini belum ada lagi hal-hal subversive yang pernah terjadi di Pasar Serikin ini.
Jadi, pada mereka yang belum pernah berkunjung ke Pasar Serikin ini, carilah masa yang sesuai dan mulakan perjalanan anda untuk membeli belah barangan yang sememangnya terbukti berkualiti dan harganya juga berpatutan di bumi Sarawak sendiri tanpa perlu pergi jauh-jauh.
Lan Berambeh Ke Sarawak!