top of page

KALENDAR ETNIK MELANAU


​KALENDAR ETNIK MELANAU


Masyarakat Melanau merupakan antara etnik pribumi di Sarawak yang sudah tentu kaya dengan adat tradisi serta budaya mereka yang unik. Masyarakat Melanau yang suatu waktu dahulu merupakan antara sub etnik Orang Kayan sewaktu mendiami Dataran Usun Apau dengan mengenal diri mereka sebagai Kayan Kaloh. Menurut sejarahnya apabila terlalu banyak berlaku perang perluasan wilayah di Usun Apau telah memaksa mereka untuk berhijrah sehingga ke persisiran pantai di Sarawak.


Apabila sudah berasimilasi dengan dunia persisiran pantai, sudah tentu etnik Melanau sejak dari dahulu lagi terkenal dengan dunia laut mereka baik sebagai nelayan mahupun mengembara dengan menggunakan kapal buatan etnik Melanau sendiri yang dikenali sebagai ‘Barong Panau’ yang dikatakan suatu waktu dahulu sering membelah lautan dari perairan Johor-Riau sehingga ke Mindanao.


Di dalam kita cuba mengenali etnik Melanau ini, mungkin ramai tidak mengetahui bahawa etnik Melanau ini berabad lamanya sudah mempunyai sistem kalendar kunonya sendiri. Sistem kalendar kuno ini digunapakai di dalam penghidupan mereka seharian kerana setiap bulan-bulan kalendar membawa maksudnya yang tersendiri berdasarkan kepada kepercayaan etnik Melanau tradisional yang mempercayai tentang hubungan mereka dengan alam semesta.


Untuk itu memahami sistem kalendar Melanau ini juga sebenarnya berkaitrapat tentang cuaca, angin serta pasang surut air dan juga kedudukan buruj yang sudah tentu dari segi ilmu falak menentukan apa yang terjadi kepada bumi sekarang. Jadi sekiranya di zaman moden ini kita memanggil ianya sebagai bidang astronomi atau ilmu falak maka adalah sesuatu yang mengkagumkan bahawa ada satu etnik pribumi di Borneo yang berkurun lamanya sudahpun mempunyai sistem kalendar sendiri seperti apa yang kita gunakan sekarang yang bergelar kalendar Gregory ciptaan orang Barat.


Kalendar Melanau mempunyai 12 bulan di dalam satu pusingan tahunannya dengan setiap bulan juga merangkumi 30 hari. Ianya mempunyai konsep yang sama seperti Kalendar Gregory cuma ada sedikit perbezaan pada permulaan tahunnya. Jika Kalendar Gregory yang kita hafal bentuknya sekarang bermula daripada bulan Januari saban tahun namun untuk Kalendar Melanau ianya bermula dengan Bulan Pengejin iaitu bulan dimana bermulanya Pesta Kaul Melanau yang menandakan bermulanya tahun baru di dalam etnik Melanau. Bulan Pengejin ini bersamaan dengan bulan Mac di dalam Kalendar Gregory.


Bagi memberikan kefahaman yang lebih berkesan di dalam kita cuba mengenal bulan-bulan mengikut kalendar Melanau ini maka berikut adalah bulan-bulannya berdasarkan pengertian. Setiap kalendar Melanau ditakrifkan berdasarkan kepada kejadian-kejadian yang pernah berlaku legenda dan seterusnya memainkan peranan di dalam menentukan baik buruknya sesuatu perkara seperti perkahwinan, permulaan untuk pertanian itu dilakukan. Bulan-bulan Melanau adalah seperti berikut:


1. Pengejin 2. Pengelawah Ume’ 3. Pengelawah Ayeng 4. Paka Ume’ 5. Paka Ayeng 6. Pelepa’ 7. Pengalan 8. Suwah 9. Pidai 10. Penangaih 11. Pemalai 12. Pengesiseng


1. Bulan Pengejin


Jika diistilahkan ke takwim Gregory, Bulan Pengejin ini bersamaan dengan bulan Mac dan ini bermakna kalendar tahun baru Melanau bermula pada bulan ketiga iaitu dimana bermulanya Pesta Kaul yang dirayakan saban tahun oleh etnik Melanau. Dari sudut ilmu falak pula menyatakan bahawa di ketika bulan Pengejin ini keadaan angin boleh beralih arah pada bila-bila masa malah ianya merupakan satu bulan yang sukar untuk mencari rezeki.


Oleh kerana itulah pada bulan Pengejin atau Bulan Semangat ini, kebanyakan etnik Melanau lebih memilih untuk berada di daratan daripada di lautan. Kebanyakan daripada mereka akan mengisi waktu dengan membersih segala peralatan menangkap ikan atau membuat kerja-kerja yang lain.


Maka kerana itulah pada bulan ini diadakan Pesta Kaul yang sinonim dengan agama pagan mereka iaitu membuat persembahan untuk meminta semangat laut serta roh-roh alam agar terus memberikan mereka rahmat untuk menangkap ikan serta tanam-tanaman mereka akan terus subur mekar dan penghidupan yang lebih baik.



2. Bulan Pengelawah Ume’


Mengikut takwim Gregory, Pengelawah Ume’ ini bersamaan dengan bulan April. Bulan Pengalawah Ume’ juga dipanggil Bulan Air Tenang Kecil. Untuk bulan ini merupakan satu bulan yang agak baik kerana sepanjang bulan ini dikatakan bahawa air agak tenang di lautan dengan sesekali ada masanya ianya bergelora. Namun begitu ianya masih lagi mampu untuk memberikan pulangan perolehan yang sedikit kepada sesiapa sahaja yang turun ke laut pada masa itu.



3. Bulan Pengelawah Ayeng


Pengelawah Ayeng merupakan antara bulan yang penuh kerahmatan kerana ianya merupakan satu bulan yang penuh dengan sumber rezeki. Ia juga dikenali dengan nama Bulan Air Tenang Besar. Dikala ini dikatakan air di lautan adalah setenang-tenang yang boleh sehingga menyebabkan hasil di lautan berlipat kali ganda jika diusahakan. Di ketika bulan Mei mengikut takwim Gregory ini sesiapa yang mengusahakan pekerjaan mereka akan sentiasa mendapat perolehan yang banyak.


Pada bulan Pengelawah Ayeng inilah dikatakan seluruh masyarakat etnik Melanau suatu masa dahulu akan terus bekerja keras kerana untuk bulan seterusnya merupakan satu bulan yang sukar jadi simpanan untuk menghadapi bulan yang sukar ini perlu untuk kesinambungan penghidupan.



4. Bulan Paka Ume’


Paka Ume’ jika merujuk kepada takwin Gregory adalah Bulan Jun iaitu bulan ke-6 tetapi di dalam kalendar Melanau merupakan bulan ke-4. Pada masa ini mengikut tafsiran ilmu falak, 7 buruj akan timbul di ruang angkasa yang membenarkan adanya arah tiupan yang besar sehingga menyebabkan keadaan lautan agak bergelora.


Sebagai alternatifnya di ketika bulan Paka Ume’ ini juga, etnik Melanau akan mula ke hutan untuk membuka ladang-ladang penanaman mereka. Jadi kegiatan ekonomi mereka lebih tertumpu ke daratan pula.



5. Bulan Paka Ayeng


Bulan ini merupakan satu tempoh bulan yang sukar kerana sepanjang bulan Julai mengikut takwim Gregory dan bulan ke-5 di dalam kalendar Melanau ini cuaca dan juga laut adalah bergelora sama sekali kerana ketika inilah angin begitu kencang sehingga boleh menyebabkan ribut taufan. Pada masa ini kegiatan ekonomi untuk etnik Melanau adalah terhenti sama sekali baik hendak bertanam mahupun keluar menangkap ikan di laut yang terbuka luas.


Dan kerana itulah telah awal-awal lagi etnik Melanau telah bersedia dengan banyak membuat simpanan makanan ketika di bulan Pengelawah Ayeng dan ketika di Bulan Paka Ume’ mereka beralih arah mengerjakan pertanian kerana dengan adanya taburan hujan maka tanah pamah yang diteroka akan lebih subur.



6. Bulan Pelepa’


Di dalam takwim Gregory ianya bersamaan dengan bulan Ogos dan di dalam kalendar Melanau ianya dipanggil bulan Pelepa’. Ianya juga turut dipanggil dengan satu bulan yang penuh kerahmatan kerana dikala ini lautan adalah tenang. Jadi tiba masanya untuk etnik Melanau yang telah berehat hampir sebulan tidak turun ke laut untuk memulakan penangkapan ikan semula.


Oleh kerana air yang tenang ini maka pada bulan ini juga dikatakan sumber ikan di lautan semakin banyak dan sesiapa sahaja yang mengusahakan pekerjaan laut akan mendapat perolehan yang banyak dan ikan pula dikatakan jenis yang besar-besar.



7. Bulan Pegalan


September merupakan jelmaan bulan ini menurut takwim Gregory dan ianya merupakan bulan ke-7 di dalam kalendar Melanau. Pada bulan ini walaupun air di lautan tenang namun dikatakan perolehan untuk sumber hidupan laut akan berkurangan kerana pada masa ini dikatakan waktu untuk ikan-ikan bertelur.


Jadi setiap apa yang diusahakan juga akan mendapat perolehan yang sedikit ataupun sia-sia sahaja diusahakan. Di dalam penghidupan social pula di kalangan etnik Melanau untuk Bulan Pegalan ini amat jarang mereka ingin melangsungkan perkahwinan pada bulan ini kerana dipercayai perkahwinan yang dilangsungkan pada bulan ini tidak akan memberi sumber rezeki yang lebih kepada pasangannya.



8. Bulan Suwah


Ini merupakan bulan ke-8 di dalam kalendar Melanau atau bersamaan dengan bulan Oktober di dalam takwim Gregory. Pada masa ini selepas membiarkan lautan sepi kerana ikan-ikan sedang bertelur maka tiba masanya untuk mula menangkap ikan kembali. Ini kerana kesemua ikan-ikan yang mencari tempat untuk bertelur telah kembali ke lautan luas. Jadi perolehan di lautan juga akan berlipat kali ganda.


Disamping itu di bulan Suwah ini juga adalah waktunya untuk etnik Melanau akan mula bercucuk tanam baik menanam padi dan sebagainya. Ini kerana ketika ini segala yang diusahakan akan membawa kebaikan.



9. Bulan Pidai


Bulan Pidai adalah juga dikenali sebagai permulaan musim Tengkujuh iaitu satu bulan yang penuh dengan tiupan angin kencang dan sebagainya. Di dalam takwim Gregory, Pidai ini bersamaan dengan bulan November iaitu bulan ke-11 tetapi bulan ke-9 di dalam kalendar Melanau.


Bulai Pidai ini adalah satu bulan yang agak merbahaya namun begitu kerana ianya baru permulaan maka dikatakan kebanyakan ribut taufan berlaku di sebelah petang manakala di sebelah siangnya bolehlah sebarang aktiviti ekonomi dijalankan.


10. Bulan Penangaih


Di dalam takwin Gregory ini merupakan bulan akhir iaitu bulan Disember. Di dalam kalendar Melanau ianya adalah bulan ke-10 dengan dikenali sebagai bulan Penangaih. Ketika bulan Penangaih ianya juga dikenali sebagai masa untuk masa untuk tanam-tanaman yang diusahakan bercambah.



11. Bulan Pemalei


Di dalam 12 bulan Kalendar Melanau, bulan Pemalei ini merupakan satu-satunya bulan yang dikatakan jangan sesekali melakukan apa-apa atau bulan berpantang. Jika di dalam takwim Gregory ianya adalah bulan pertama iaitu Januari yang sering menggambarkan bermulanya peristiwa baru bagi seluruh peradaban dunia tetapi tidak di dalam kalendar Melanau.


Di ketika bulan Pemalei ini tiada adat istiadat perkahwinan ataupun apa aktiviti yang berkait dengan pembinaan rumah dan sebagainya kerana dipercayai bulan ini adalah bulan merbahaya yang penuh dengan hal tidak baik.

Menurut legendanya dipercayai bahawa suatu waktu dahulu ianya berkaitrapat dengan satu sumpahan.


Pada bulan Pemalei inilah dikatakan seorang bomoh yang hebat telah dibunuh oleh isterinya sehingga bercerai kepala daripada badan. Di ketika diambang maut itulah dikatakan bahawa bomoh itu bersumpah bahawa apa sahaja yang dilakukan oleh etnik Melanau ketika di bulan Pemalei itu akan membawa kepada kemudaratan.



12. Bulan Pengesiseng


Ini merupakan bulan penutup kepada kalendar Melanau dan ianya jatuh pada bulan Februari di dalam kalendar Gregory. Di ketika bulan ini dikatakan bahawa ianya adalah musim ribut dan taufan dan masih lagi di dalam musim tengkujuh. Segala aktiviti terhenti terutama sekali untuk ke laut kerana tiupan angin monsoon adalah menggila sama sekali ketika ini.



Inilah sekelumit ruangan pencerakahan ilmu daripada Borneo Oracle untuk pembaca semua. Sudah pasti ramai yang tidak tahu tentang Kalendar Melanau yang sebenarnya jika kita amati sudah boleh melebihi waktu di dalam memperkatakan persekitaran yang berlaku di dunia kerana teori-teori bulan juga menandakan di mana adanya musim tengkujuh, musim kering dan sebagainya.


Walaupun kita sekarang sudah hidup di zaman moden dan berkiblatkan penemuan-penemuan orang barat sehingga memperkasakannya menjadi sebahagian daripada hidup kita sendiri sekarang namun tahukah anda jauh sebelum itu ada segelintir masyarakat Borneo yang dikatakan bercawat sepanjang masa, tinggal di atas pokok dan tidak bertamadun yang dikenali sebagai etnik Melanau SUDAHPUN MEMPUNYAI TAKWIM ATAU KALENDARNYA TERSENDIRI.




-HB-



Rujukan:

1. Dr. Jeniri Amir. Buku: Masyarakat Melanau Di Sarawak.

Published 2014 by Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) 2. Penulis: Dr. Tengku Intan Zarina bte Tengku Puji; Kertas Kerja Bertajuk:

Analisa Terhadap Adat dan Keistimewaan Masyarakat Melanau Sarawak 3. Learn Melanau: The Melanau Calendar http://learn-melanau.blogspot.my/2011/01/melanau-calendar.html 4. Dissappearing Culture: The Melanau Calendar http://johan1960.blogspot.my/2008/05/melanau-calendar.html 5. The Kaul Festival of the Melanau, Sarawak http://thedailyroar.com/culture/the-kaul-festival-of-the-melanau-sarawak/

bottom of page