ROJAK KUCEI
ROJAK KUCEI
Bila berkunjung ke sesuatu tempat selain daripada kita ingin melihat tempat-tempat bersejarah serta pemandangan yang indah sudah tentu kita ingin merasa kulinari-kulinari tempatan di tempat yang kita kunjungi. Jika rata-rata negeri di Tanah Melayu, sarapan pagi mereka sering dihiasi dengan makan makanan yang berat seperti nasi lemak, nasi kerabu dan sebagainya, untuk di Sarawak lain pula seleranya.
Di Sarawak, rata-rata sarapan pagi berkisar kepada makanan yang berbentuk mi seperti mi kolok, mi sapi, mi kampua, laksa Sarawak, mi jawa dan yang satu lagi adalah yang yang berbentuk Rojak walaupun selain daripada rojak ayamnya juga mempunyai rojak mi. Mungkin kulinari rojak yang disebutkan ini hanya terkenal di Kuching namun begitu Rojak Kucei nama diberi ini merupakan antara menu pilihan untuk sarapan bagi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama merasai kenikmatan bersarapan pagi.
Rojak Kucei, itu namanya di Sarawak tetapi kulinari rojak seperti ini juga boleh didapati di bumi Semenanjung Malaysia cuma namanya sedikit berbeza. Jika di negeri-negeri di Utara seperti Pulau Pinang, Kedah kulinari seperti ini dipanggil pasembor dan untuk negeri-negeri seperti di Johor, Kuala Lumpur pula kulinari ini lebih dikenali sebagai rojak mamak atau rojak india.
Jika kita menyelusuri sejarah kulinari yang bernama “rojak india” ini jangan sesekali mengaitkan ia dengan makanan orang india. Malah rojak india seperti ini tidak pernah wujud di Negara India itu sendiri. Sebenarnya sejarah kulinari “rojak india” ini hanyalah berkaitrapat dengan kedatangan satu kumpulan masyarakat India ke seluruh dunia suatu waktu dahulu. Untuk di negeri-negeri di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya kedatangan masyarakat India beragama Islam atau India Muslim telah menyebabkan adanya kulinari seperti rojak india atau rojak kucei itu wujud di Sarawak.
Mengikut ceritanya suatu waktu dahulu seringkali kita lihat 3 kaum utama akan duduk sebelah menyebelah menjual kuih-kuih untuk sarapan pagi mereka. Pada ketika ini dikatakan kaum Melayu akan menjual kuih-kuih tradisional mereka dan kaum Cina akan menjaja mi-mi yang panas daripada beca beroda 3 mereka. Malah tidak ketinggalan juga kaum india yang turut sama mencari rezeki.
Di dalam mencari kepelbagaian rasa akhirnya sentuhan inovasi telah diletakkan ke atas rojak dengan ianya mempunyai kuah kacang resipi istimewa. Maka muncullah kulinari seperti pasembor atau mi pasembor. Dan untuk rojak kucei yang ada dijual di Kuching pula khususnya yang diusahakan oleh Rojak Kucei, Asgar-Annuar Hassan, Gerai No 1, Pusat Penjaja Batu Lintang pula mempunyai kandungan tambahan iaitu ayam goreng. Disinilah yang membezakan Rojak Kucei dengan rojak-rojak yang lain di seluruh Malaysia sekarang.
Jangan pandang sipi pada penangan si Rojak Kucei ini di Kuching kerana sejak dari dahulu lagi walau hujan, ribut atau taufan mahupun hujung bulan atau tengah bulan, gerainya sentiasa penuh dengan pelanggan yang menjamu selera. Waktu operasinya pula dari pagi sehingga waktu makan tengahari namun begitu sudah jadi kebiasaan menu Rojak Kucei akan dahulu habis seawal jam 10.30 pagi.
Jadi bagi mereka yang belum pernah merasa penangan menu bernama Rojak Kucei ini mulalah mengatur langkah untuk ke gerainya. Dan bagi pelancong-pelancong yang ingin berkunjung ke Kuching pastikan anda tidak ketinggalan merasai kesedapan memakan Rojak Kucei ini.