TEROWONG JEPUN PERANG DUNIA KE-2, CANADA HILL, MIRI
TEROWONG JEPUN PERANG DUNIA KE-2, CANADA HILL, MIRI
Perang Dunia Kedua yang pernah melanda dunia sekitar tahun 1940an telah banyak meninggalkan kesan kepada penduduk dunia pada masa itu. Apa tidaknya sewaktu menamatkan perang dunia kedua inilah, Negara Jepun melalui bandarnya iaitu Hiroshima dan Nagasaki telah dibom oleh Tentera Berikat sehingga membenarkan Jepun menyerah kalah pada waktu itu.
Di dalam keasyikan kita mengungkai sejarah perang dunia kedua ini lebih-lebih lagi dengan kezaliman tentera Jepun kepada masyarakat Cina serta juga adanya polis Jepun yang terkenal dengan keganasan seperti Kempetai, tidak boleh tidak kita juga harus melihat kepada sejarah terowong-terowong tentera Jepun itu sendiri.
Di Malaysia amnya, memang ada bunker atau terowong bawah tanah zaman Perang Dunia Kedua yang masih wujud contohnya yang terletak di Muzium Perang Pulau Pinang. Banyak cerita-cerita seram yang mistik serta misteri bila berkata tentang terowong atau bunker ini. Ini disebabkan disinilah dikatakan tempat untuk mereka mengadakan hukuman potong kepala dan pelbagai penyiksaan baik kepada tentera yang ditangkap atau mana-mana orang awam yang bangun cuba menentang mereka. Di Sarawak khususnya sememangnya ada bunker atau terowong tinggalan tentera Jepun ini baik di Kuching malah keseluruhan bahagian di Sarawak itu sendiri. Untuk kali ini, Borneo Oracle akan berkongsi satu ruang informasi sejarah mengenai sebuah terowong tinggalan Jepun iaitu lokasinya terletak di Bukit Canada atau Canada Hill di Miri, Sarawak.
Bagi konteks Sarawak, penaklukan Jepun bermula di sebuah Bandar utama Sarawak yang kaya dengan hasil minyak iaitu di Miri. Mungkin tarikan kepada betapa pentingnya untuk menguasai “emas hitam” ini menjadikan Miri sebagai Bandar utama yang ingin ditakluki oleh Jepun pada masa itu. Tetapi hakikatnya pada masa itu pertahanan di Bandar Miri adalah amat goyah sekali kerana hanya terdapat sebuah balai polis yang menjaga keamanan untuk bahagian Miri berbanding dengan Kuching yang sudah tentu kelengkapan pertahanannya adalah yang terbaik.
Dan pemilihan Miri menjadi destinasi penaklukan yang pertama adalah kerana ianya akan memudahkan lagi perjalanan darat ke North Borneo (Sabah) mahupun ke Kalimantan Barat serta Brunei pada masa itu. Jadi penaklukan Miri akan memberi 1001 sebab di dalam perancangan tentera Jepun untuk menjayakan misi menakluki kepulauan Borneo pada waktu itu.
Pada tanggal 20 November 1941, Briged Kawaguchi yang berpusat di Tokyo, Jepun telah diberikan tugas untuk menrealisasikan impian penaklukan Pulau Borneo. Briged Kawaguchi adalah dibawah kawalselia Mejar Jeneral Kiyotake Kawaguchi dan setelah menerima arahan keseluruhan Briged Kawaguchi telah ditempatkan di Canton, selatan China untuk membuat persediaan perang ke atas Borneo.
Sebagai persediaan penaklukan ini, Briged Kawaguchi dikatakan mempunyai beberapa unit yang dilatih di dalam urusan penggerudian minyak bagi memastikan bahawa pelantar minyak di Miri dan juga Seria, Brunei akan diuruskan dengan baik sewaktu penaklukan berlaku nanti.
Melalui sumber perisikan Jepun, segala hal ehwal tentang kekuatan pertahanan Sarawak telah diketahui oleh mereka terlebih dahulu iaitu Sarawak hanya mempunyai kira-kira 1,000 anggota tentera tetap yang kebanyakannya berbangsa India serta 2,500 sukarelawan tempatan yang dikenali dengan nama Sarawak Force atau SARFOR. Keadaan geografi Sarawak yang diliputi hutan tebal serta perhubungan air adalah jalan utama kesemuanya sudah diambil kira.
Melalui segala maklumat perisikan inilah dikatakan bahawa tentera Jepun yang dihantar untuk menakluki Sarawak telah dilatih dengan kursus khas yang dinamakan “Borneo Survival” . Tentera Jepun ini juga disediakan dengan peralatan ketenteraan yang berbeza dengan tentera yang dihantar untuk menakluki Malaya dan Singapura pada masa itu. Inilah sesuatu yang tidak kita ketahui betapa persediaan awal ini telah memberikan kejayaan yang cukup besar kepada penaklukan Jepun di Sarawak pada masa itu.
Pada tanggal 19hb Disember 1941 itulah tarikh pertama kali tentera Jepun menjejakkan kaki mereka melalui jalan laut ke bumi Miri. Tempat pendaratan pertama mereka adalah di Pantai Tanjung Lobang yang sudah tentu pantai yang terbuka luas menghadap Laut China Selatan. Pada ketika itu juga bukanlah mereka dengan senang sahaja mendarat sebaliknya sudah tentu tentera Kerajaan Sarawak Kingdom dengan pertolongan daripada Briged Australia yang telah datang membantu pada saat akhir menghantar bantuan udara kepada Sarawak.
Pada ketika inilah dikatakan bahawa keadaan di bumi Miri adalah berada di dalam kancah peperangan dengan ramai orang awam cuba mencari perlindungan untuk berlindung daripada serangan bom daripada pesawat kedua-dua belah pihak yang berperang. Ada yang telah melarikan diri ke hutan-hutan yang berhampiran serta berlindung di kawasan dalam tanah atau lubang yang digali semata-mata untuk menyelamatkan diri. Natijahnya atas perang ini sudah tentu banyak infrastruktur di Miri rosak atau musnah sama sekali malah juga nyawa rakyat Sarawak pada masa itu tidak kurang juga terkorban menjadi mangsa peperangan. Di dalam memperkatakan Terowong Jepun di Canada Hill dikatakan ianya mempunyai 2 kemungkinan penggunaannya.
Ini kerana ada corat coret penceritaan mengatakan ianya adalah bunker atau lubang untuk berlindung daripada serangan bom sewaktu Perang Dunia Kedua berlangsung. Dan satu lagi menceritakan bahawa ianya adalah lubang atau terowong yang digali oleh tentera Jepun sebagai pusat untuk meletakkan senjata mereka.
Jika dilihat daripada sudut persediaan Sarawak Kingdom menghadapi Perang Dunia Kedua sudah tentu kita mengetahui bahawa Rajah Charles Vyner Brooke iaitu Rajah Ketiga Sarawak Kingdom telah melakukan apa yang perlu untuk menyelamatkan Sarawak seperti pembinaan lapangan terbang dan juga kemudahan rakyat jelata Sarawak untuk berlindung sekiranya perang berlaku. Jadi adalah tidak mustahil, di bumi Miri juga pada ketika itu, Rajah CV Brooke berserta dengan pemimpin di Miri telah mengambil langkah-langkah yang perlu. Untuk itu sekiranya diperkatakan bahawa terowong di Canada Hill itu sebagai salah satu lubang persembunyian untuk menyelamatkan rakyat Miri juga adalah sesuatu yang benar. Dari segi keadaan tanah juga dikatakan bahawa Canada Hill bentuk muka buminya adalah terdiri daripada tanah liat jadi sekiranya daripada struktur tanah liat maka ianya adalah begitu baik sama sekali untuk dibina lubang persembunyian kerana ianya tidak mudah runtuh. Jika dilihat dari segi laporan yang dinyatakan oleh pihak Tentera Australia yang menjadi tulang belakang ketika pengunduran tentera Jepun di Sarawak iaitu Briged Batalion 2/13 menyatakan bahawa penemuan sebuah lubang atau terowong di Canada Hill pada tahun 1945 adalah merupakan penemuan terowong Jepun. Di dalamnya dikatakan mempunyai banyak simpanan senjata-senjata tentera Jepun. Agaknya sewaktu pendudukan Jepun di Miri itu, tentera Jepun telah mengubahsuai bunker menjadi terowong bagi mereka. Itu juga adalah sesuatu yang tidak mustahil.
Menurut laporan itu juga dinyatakan bahawa terowong Jepun di Canada Hill mempunyai laluan terowong yang boleh menghubungkan Canada Hill sehingga ke Tanjung Lobang dan Pujut. Malah ianya juga mempunyai hubungan laluan terowong dengan beberapa kawasan di Miri seperti penemuan terowong di Padang MCC iaitu satu kawasan lapang berhadapan dengan Pelita Tunku yang terletak dekat dengan laluan jalanraya di Miri. Seperti yang diketahui, banyak terowong-terowong tinggalan Perang Dunia Kedua ini dikatakan penuh dengan cerita misteri dan tidak terkecuali dengan terowong yang ditemui di Canada Hill. Walaupun sekarang terowong ini sudah tidak wujud lagi kerana menjadi mangsa kepada kerakusan pembangunan di Miri namun sehingga ke hari ini bagi penduduk Miri yang tinggal berdekatan tetap menyatakan bahawa kawasan sekitar terowong Canada Hill adalah “keras” dan “menyeramkan”. Mungkin suatu waktu dahulu disinilah juga tempat tentera Jepun menjalankan siksaan-siksaan mereka kepada tentera dan juga orang awam Miri sehingga membenarkan adanya peristiwa hitam yang merebak sehingga ke dunia moden ini. Apa yang pasti, terowong sejarah ini sudah tiada lagi dan yang mampu kita lihat hanyalah gambar yang menjadi teaser artikel ini.
Inilah sejarahnya Terowong Jepun Perang Dunia Kedua, Canada Hill yang pernah wujud di Miri ketika perang dunia kedua berlangsung. Semoga artikel ini memberi ruang informasi sejarah untuk semua.