top of page

KERETAPI "LANDROVER" BARAM 1960an


KERETAPI “LANDROVER”, BARAM 1960an

Pengangkutan Keretapi di Sarawak? Di Baram? Keretapi “landrover”??.. Tajuk artikel itu saja sudah tentu memberi pelbagai respons kepada bangsa Sarawak kerana tidak pernah mendengar kewujudan bahawa di bumi Baram pernah ada pengangkutan keretapi. Dan apakah yang dimaksudkan dengan “landrover” sedangkan ianya merupakan kenderaan 4 tayar dan apa kaitannya dengan keretapi. Inilah satu sejarah yang jarang-jarang diketahui oleh kita masyarakat Sarawak tentang sesuatu benda yang unik yang hanya ada di bumi Baram suatu waktu dahulu.

Bumi Miri, Sarawak sekarang sememangnya sejak dari dahulu adalah pengeluar petroleum yang utama di Malaysia dan rancaknya eksplorasi-eksplorasi minyak suatu waktu dahulu dimulai apabila Brooke memerintah Sarawak Kingdom selama lebih kurang 100 tahun. Walaupun hakikatnya penggunaan minyak tanah telah lebih dahulu diketahui oleh masyarakat tempatan di Miri sebelum itu tetapi ianya lebih kepada usaha kecil-kecilan.

Ini bertepatan dengan laporan jurnal yang dikeluarkan Sir Claude Champion De Crespigni iaitu seorang Residen untuk Bahagian Ke-4 Marudi pada tahun 1884.

“Earth oil” was used by local people for lighting lamps, waterproofing boats, and medicinal purposes”. - Sir Claude –

Setelah Sarawak Kingdom bertukar tangan menjadi jajahan takluk kepada Kerajaan British dengan dikenali sebagai Kerajaan Koloni British Borneo pada tahun 1946, eksplorasi minyak masih juga dipergiatkan malah lebih rancak dengan adanya gabungan daripada 2 kerajaan British iaitu Sarawak dan North Borneo (Sabah sekarang). Sekitar tahun 1957, Kerajaan Sarawak British Borneo telah mula menggerudi minyak di luar perairan Miri, Sarawak.

Di dalam pada itu, mereka juga masih lagi mengusahakan penggerudian telaga minyak di daratan tetapi ianya di satu kawasan yang berpaya yang dikenali sebagai Ensalai di Baram. Terdapat dua telaga minyak yang diusahakan di kawasan Ensalai pada masa itu yang dikenali sebagai Baram 1 dan Baram 3. Oleh kerana penggalian ini berlaku di satu kawasan berpaya yang bertanah lembut jadi adalah mustahil untuk membina jalanraya.

Dan oleh kerana itulah, di Ensalai ini merupakan satu kawasan berpaya yang istimewa kerana disinilah wujudnya satu jalinan landasan keretapi diletakkan di atas log-log kayu balak yang ditebang kecil-kecil bagi menjadikan ianya stabil. Dan ianya merupakan landasan keretapi yang satu-satunya di Sarawak pada ketika itu dibina di satu kawasan yang berpaya.

Selain daripada keunikan sejarah keretapi di Ensalai ini juga ditambah lagi apabila disinilah keretapinya bukan dijalankan oleh kepala keretapi sebaliknya dioperasikan oleh sebuah kereta pacuan 4 roda iaitu “landrover”. Bezanya kereta landrover yang sering kita lihat berada di jalanraya dengan bertayar tetapi di Ensalai ini, landrovernya berjalan dengan menggunakan rim sahaja.

Menurut sejarah pembinaan landasan keretapi dan idea untuk menjadikan landrover sebagai kepala keretapi pada masa itu adalah hasil usaha daripada beberapa tenaga jurutera muda British yang bertugas di North Borneo Railway pada masa itu. Oleh kerana mereka adalah pakar kepada pembinaan landasan keretapi dengan corak muka bumi pelbagai maka sekitar tahun 1957, beberapa jurutera muda dan juga beberapa orang pekerja berbangsa Murut daripada North Borneo telah dibawa ke Baram.

Dan apabila ia siap, landasan keretapi “landrover” ini merupakan landasan keretapi yang pertama dibina di kawasan berpaya di Sarawak serta keretapi “landrover” pertama pernah dipunyai oleh Sarawak suatu waktu dahulu. Pembinaan keretapi di Ensalai, Baram ini telah memberikan seribu rahmat kepada industri minyak di Baram pada waktu itu kerana selain mengangkut sumber minyak ianya juga digunakan untuk pengangkutan pekerja-pekerja syarikat minyak serta rakyat tempatan.

Sekitar akhir tahun 1964 dikatakan bahawa eksplorasi penggerudian minyak di Baram-1 dan Baram-3 telah dihentikan kerana sudah tiada pengeluaran lagi. Landasan keretapi ini berserta dengan kepala “landrover” juga sudah tiada dan tidak ada rekod yang boleh menyatakan apakah yang terjadi kepada segala struktur ini dan yang hanya menjadi rujukan adalah gambar-gambar yang menjadi teaser artikel ini yang dikatakan diambil pada tahun 1960.

Inilah sekelumit ruang informasi sejarah buat perkongsian kita semua yang menggelar dirinya Bangsa Sarawak. Kita sendiri sudah tentu tidak mengetahui bahawa suatu waktu dahulu iaitu sekitar awal 1960an, di Sarawak mempunyai satu landasan keretapi di kawasan berpaya bernama Baram dan ianya merupakan satu-satunya keretapi yang berkuasakan kereta “landrover”. Unik Bukan!



bottom of page