top of page

KOLAM AIR PANAS PANCHOR DAYAK, SERIAN


KOLAM AIR PANAS PANCHOR DAYAK, SERIAN


Sesuatu yang agak janggal bila berkata tentang kewujudan kolam air panas di Sarawak kerana kebiasaannya kewujudan kolam air panas banyak dikaitkan dengan bentuk muka bumi di Negara yang memiliki gunung berapi. Dan Sarawak lebih-lebih lagi di Bahagian Serian sudah tentu jauh daripada persekitaran tersebut. Yang menariknya di Serian ini bukan sahaja satu kawasan kolam air panas sebaliknya 2 iaitu satu yang diusahakan oleh Annah Rais dan satu lagi di Kampung Panchor Dayak, Serian.


Mungkin ramai lagi rakyat Sarawak mahupun pelancong-pelancong masih tidak mengetahui kewujudan sebuah kawasan kolam air panas di Serian iaitu di Kampung Panchor, Padawan, Serian. Ini kerana ianya tidaklah se gah kolam air panas yang diusahakan oleh Annah Rais dan juga yang wujud di Kampung Merarap, Lawas kerana kedua-dua kolam air panas ini diletakkan di dalam tempat-tempat wajar dikunjungi apabila melancong di Sarawak.


Kolam Air Panas Panchor Dayak terletak kira-kira 45 minit perjalanan daripada ibukota Sarawak iaitu Kuching. Untuk lebih strategic lokasinya adalah di sebuah perkampungan yang bernama Kampung Panchor Dayak, Kota Padawan, Bahagian Serian. Ianya sebenarnya terletak di tanah persendirian dan kerana itulah kolam air panas ini diusahakan sendiri oleh pemiliknya bagi menggiatkan lagi industry enap desa di Serian.


Menurut cerita penduduk tempatan dikatakan bahawa penemuan kolam air panas ini berlaku pada tahun 1840an iaitu ketika kawasan ini mula-mula diterokai oleh masyarakat Bidayuh. Pada ketika itu dikatakan pembukaan kawasan hutan belantara itu diterokai bagi tujuan untuk penanaman padi huma. Pada ketika inilah tiga individu penduduk asal Kampung Panchor Dayak yang bernama Janang, Mancha, Ringah, Rangkeng dan Nyangah telah menjumpai satu kawasan yang seakan-akan kolam tetapi airnya bersuhu panas yang kita kenali sebagai Kolam Air Panas Panchor Dayak sekarang.


Suatu waktu dahulu ketika kepercayaan kepada dunia halus masih lagi menjadi dogma pemikiran masyarakat di seluruh dunia, begitu jugalah yang berlaku ke atas penemuan kolam air panas ini. Menurut cerita mitos yang diperturunkan secara oral dari generasi ke generasi di dalam masyarakat Bidayuh di Kampung Panchor Dayak menceritakan bahawa kolam air panas ini adalah satu tempat yang suci.


Menurut kepercayaan mereka, di kolam air panas ini merupakan lokasi tempat mandi manda puteri raja kayangan. Dikatakan setiap hari tuan puteri akan turun dari kayangan pada awal pagi iaitu ketika embun baru menitik dan seterusnya akan mandi sekali lagi apabila mandi terbenam. Dan kerana ianya tempat pemandian puteri dari kayangan maka sudah tentu air panas di sini mempunyai mukjizatnya tersendiri yang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.


Tetapi itu hanyalah cerita legenda yang kita tidak tahu kesahihannya dan sememangnya secara saintifik sudah membuktikan bahawa mandi manda di kolam air panas boleh memberikan seribu satu manafaat kepada pengamalnya. Antara kelebihan mandi di kolam air panas adalah:


1. Boleh mengurangkan hampir 13% kadar gula dalam darah bagi pesakit yang menghidapi diabetes iaitu dengan berendam selama setengah jam di dalam kolam air panas. Ini dilaporkan oleh badan penyelidikan New England Medicine pada tahun 2002.


2. Bagi yang menghidapi ruam atau jangkitan kulit sekiranya mandi dan membersihkan diri dengan air kolam air panas yang mempunyai kadar mineral ini mampu menyembuhkannya dengan segera.


3. Dengan suhu kolam air panas antara 32 hingga 35 Celcius dikatakan bagi sesiapa yang hanya duduk mandi wap sahaja mampu membuka liang-liang roma kulit dan ini sudah tentu menyihatkan tubuh badan kerana adanya perpeluhan berlaku.


4. Bagi yang ada selsema, sakit kepala pula dikatakan hanya dengan merendam kaki di dalam kolam air panas sudah boleh menyebabkan kadar peralihan darah di dalam badan bergerak dengan pantas sehingga mampu merawatnya.


Inilah antara kebaikan jika kita mandi di kolam air panas semulajadi dan sudah tentu ramai yang diluar sana ingin mengalami sendiri mandian di kawasan semulajadi ini lebih-lebih lagi di kawasan Panchor ini masih lagi dekat dengan alam semulajadi dan pemandangan yang indah yang mempunyai flora fauna yang belum terusik serta udara yang nyaman.


Jadi, bagi mana-mana pelancong tempatan mahupun luar Negara yang berkunjung ke Sarawak lebih-lebih lagi di Kuching jangan lupa untuk mengunjungi Kolam Air Panas Panchor Dayak, Kota Padawan, Serian ini kerana ianya tentu memberi pengalaman yang berbeza. Bayaran masuknya murah sahaja iaitu kira-kira RM4 untuk dewasa. Dan bayaran ini sebenarnya dikenakan bagi tujuan untuk membuat penyelenggaraan di kawasan kolam ini seperti membayar bekalan elektrik dan sebagainya.


Lan Berambeh Ke Sarawak!




bottom of page