BUJANG TAHA
BUJANG TAHA - Tokoh Ahli Sukan Sarawak Sepanjang Zaman
Sepanjang hayat beliau diabadikan dengan berbakti kepada sukan yang paling beliau minati iaitu sukan bina badan. Walaupun beliau sudah lama bersara namun beliau tetap memberi dorongan dan semangat kepada generasi muda Sarawak untuk terus menyerlah di dalam sukan ini. Beliau bukanlah calang-calang individu kerana pencapaian beliau sungguh mengkagumkan.
Antara pencapaiannya di dalam sukan bina badan adalah:
1. Mr Kuching 1971 2. Pingat Emas Sukan SEA 1975 3. Mr Asia 1980 dan 1981 4. Pingat Perak Asean Games 1982 5. Anugerah Tokoh Sukan Sarawak tahun 1981 dan 1986
Tokoh ahli sukan yang gah dengan pencapaian cemerlang ini bernama Bujang Taha, seorang jaguh sukan bina badan Sarawak mahupun Malaysia yang terkenal di era 1960an sehingga 1980an. Seperti bidalan orang lama “harimau mati meninggalkan belangnya, manusia mati meninggalkan namanya”, inilah jaguan sukan yang akan Borneo Oracle kongsikan pada kali ini kerana beliau sudahpun meninggalkan kita pada 12hb Oktober 2014 akibat daripada komplikasi kanser mulut dan paru-paru serta asma. Beliau meninggal dunia pada usia 77 tahun di Kuching, Sarawak.
Mengimbau kembali sejarah penglibatan beliau di dalam arena sukan bina badan dikatakan bermula pada tahun 1960an. Pada ketika itu sudah tentu kita sendiri dapat membayangkan betapa kurangnya infrastruktur di dalam bidang sukan tidak mengira apa jenis sukan di Sarawak. Namun begitu ianya tidak menjadi satu halangan kepada beliau kerana itulah minatnya.
Berbekalkan semangat waja dikatakan Bujang Taha hanya menjalani latihan mengikut tahap latihan konvensional. Mengangkat besi berat sudah menjadi lumrah di dalam jadual hariannya hanya kerana ingin mempunyai bentuk badan yang gagah dan sasa. Jika sekarang ahli sukan bina badan mempunyai pelbagai jenis vitamin untuk diamalkan bagi membentuk otot-otot yang cantik namun itu semua adalah jauh panggang dari api bagi beliau dan rakan-rakan seperjuangan yang lain.
Menurut cerita dikatakan bahawa dahulu ahli sukan bina badan hanya bergantung penuh kepada makanan yang berkhasiat seperti sayur dan daging agar otot-otot boleh dibentuk dengan cantik. Ditambah lagi cara hidup yang sihat juga harus diamalkan kerana bukan senang untuk memiliki badan yang berketul-ketul serta sihat. Inilah perbezaannya ahli sukan dahulu dan sekarang. Setelah bersara daripada arena sukan bina badan, Bujang Taha bukannya terus berhenti begitu sahaja sebaliknya beliau terus menabur bakti secara di belakang tabir. Pada ketika ini Bujang Taha banyak menghabiskan masanya dengan memberi dorongan dan sokongan moral serta memberi tips-tips yang berguna kepada bakal ahli sukan bina badan di kalangan generasi baru. Ini semua dilakukan demi kecintaannya kepada sukan bina badan yang mampu mengangkat nama Sarawak di persada dunia. Peristiwa yang paling menyedihkan di dalam riwayat penghidupan bergelar seorang jaguh sukan ternama ini berlaku pada tahun 2011 iaitu pada tanggal 8hb Februari, rumah tempat beliau berlindung sekeluarga telah hangus terbakar akibat litar pintas. Dikala itulah Bujang Taha telah kehilangan banyak piala-pialanya serta sijil anugerahnya yang menjadi kenangan di dalam penghidupan beliau. Berkat semangat beliau yang tidak mengenal erti putus asa, Bujang Taha bangun kembali melayari sisa-sisa penghidupannya bersama anak-anak dan keluarga tersayang. Memang banyak sumbangan Bujang Taha di dalam memartabatkan sukan bina badan di Malaysia mahupun Sarawak itu sendiri. Jika ramai ahli-ahli sukan sekarang seperti yang kita ketahui sudah tentu mempunyai banyak anugerah baik dari kerajaan mahupun pihak penaja tetapi tidak bagi jagoan sukan Sarawak ini. Hanya pada tahun 1982, beliau mendapat Pingat Ahli Bintang Sarawak daripada Kerajaan Negeri Sarawak.
Kita ambil kata-kata daripada jaguh bina badan Malaysia yang merupakan rakan rapat Allahyarham Bujang Taha sewaktu menghadiri pengebumiannya di Kuching setahun yang lalu iaitu Datuk Malek Noor.
“ Bujang Taha perlu diiktiraf oleh Sarawak dan juga Kerajaan Malaysia. Ini kerana sumbangannya kepada negera di pentas dunia. Beliau telah membanggakan negara. Jika saya mendapat pengiktirafan mengapa tidak beliau..” – Datuk Malek Noor.
Bujang Taha adalah tokoh ahli sukan Sarawak Sepanjang Zaman. Jasa beliau di dalam memartabatkan sukan bina badan di dalam Negara mahupun di luar Negara harus diiktiraf oleh semua pihak. Dan sewajarnya pengiktirafan yang lebih besar harus diberikan kepada beliau walaupun beliau sudah tiada lagi.
Semoga roh Allahyarham Bujang Taha dicucuri dengan rahmat Allah SWT serta ditempatkan di kalangan para syuhada. Al-fatihah. Amin.