top of page

ETNIK SEPING, SARAWAK, BORNEO


ETNIK SEPING, SARAWAK, BORNEO


Etnik Seping merupakan salah satu daripada kumpulan etnik minoriti di Sarawak Bumi Kenyalang. Walau bagaimanapun ramai antara kita khususnya rakyat Sarawak masih tidak mengetahui kewujudan etnik ini memandangkan segala penerangan yang mengkhusus kepada etnik ini adalah amat kurang sekali. Yang menjadi misteri adalah menurut laporan populasi yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan hanya pada tahun 1988 etnik Seping dicatitkan di dalam bancian penduduk iaitu seramai 138 orang dan lokasi mereka sekitar di Long Koyan, Long Urun dan Sungai Tinjar. Selepas tahun 1988 tiada lagi laporan mengenai mereka.


Menurut sejarah lisan daripada orang tua-tua di dalam etnik Seping, Etnik Seping dikatakan adalah berasal daripada peneroka-peneroka awal yang menduduki Sungai Belaga. Dikatakan mereka berasal daripada 7 buah rumah panjang yang terletak di Long Segiam, Long Seduk, Long Tegelem, Long Semakat dan Long Belaan. Terdapat satu cerita mitos yang mengatakan bahawa kesemua penduduk-penduduk di 7 buah rumah panjang ini telah ghaib kecuali 2 orang sahaja yang terselamat.


Dikatakan bahawa masyarakat Seping yang asal ini telah bertukar menjadi batu atau hanyut dibawa arus deras kerana sumpahan. Sumpahan ini adalah datangnya daripada Dewata yang murka kerana penduduk-penduduk rumah panjang ini telah berpesta sewaktu berjaya membunuh seekor naga dan daging naga tersebut dimasak dan dihidangkan menjadi juadah pembuka selera kepada seluruh penduduk rumah panjang tersebut. Hanya 2 orang penduduk yang terselamat iaitu dua beradik lelaki dan perempuan yang kemudiannya berjaya melarikan diri daripada sumpahan tersebut kerana mereka tidak memakan daging naga tersebut.


Apabila berlaku musibah, kedua-dua adik beradik ini meninggalkan kampung halaman mereka dan berhijrah sehingga ke Penyuan iaitu salah satu cabang Sungai Belaga. Kedua-dua beradik ini survival di dalam hutan dan berkahwin antara sama lain sehingga mengembangkan generasi etnik Seping kembali. Generasi etnik Seping yang baru ini telah tinggal menetap selama bertahun-tahun di Sungai Seping, iaitu salah satu cabang Sungai Belepeh yang mengalir terus ke Sungai Murum. Inilah cerita lisan etnik Seping yang dikatakan ghaib dan kemudian dihidupkan kembali melalui 2 orang penduduk asal etnik Seping tersebut.


Sebenarnya etnik minoriti seperti Etnik Seping ini telah pun dikategorikan di dalam Etnik Kajang iaitu salah satu daripada sub-etnik Orang Ulu Sarawak. Dikatakan bahawa etnik Seping mempunyai sosio budaya dan bahasa yang tersendiri. Ada yang mengatakan bahawa etnik Seping ini telah berjaya menyelamatkan diri daripada diasimilasi kepada etnik yang lebih besar dan mereka masih mempertahankan budaya dan bahasa mereka. Sesuatu yang agak unik sedangkan kita masih tidak mempunyai penerangan tentang etnik minoriti ini di Sarawak.


Mungkin kerana terdapatnya sangkut paut antara etnik minoriti Seping ini suatu waktu dahulu yang membenarkan mereka menerima diri mereka sebagai etnik Kajang kerana dikatakan bahawa suatu waktu dahulu seorang Penghulu Kejaman yang amat berpengaruh iaitu Penghulu Taman Tipung Tului telah mengahwini seorang wanita daripada etnik Seping iaitu Lesung. Berdasarkan perkahwinan ini maka etnik Seping telah mula menyerapi sosio budaya yang dibawah kategori etnik Kajang.


Jika dilihat daripada segi bahasa ibunda etnik Seping ini, menurut laporan Hudson (1978:23) bahasa etnik Seping boleh dikategorikan sama dengan bahasa Kejaman, Melanau, Penan dan Kenyah. Walau bagaimanapun di dalam laporan tersebut ada juga menyatakan bahawa dari segi linguistic bahasa Seping lebih mirip kepada sub kumpulan Kenyah dan Kejaman lebih kepada kumpulan Rejang-Bintulu.


Terdapat juga persamaan bahasa Seping dengan etnik Sebop iaitu salah satu daripada etnik minoriti Orang Ulu. Ini mungkin kerana kedua-dua etnik ini jika suatu masa dahulu sama-sama mendiami kawasan Usun Apau. Perkahwinan antara mereka sudah menjadi kebiasaan jadi sewajarnya mereka mempunyai bahasa dan adat serta sosio budaya yang sama. Walau bagaimanapun, etnik Sebop pula jatuh kepada sub-etnik Kenyah manakala etnik Seping jatuh kepada sub-etnik Kajang. Inilah sesuatu yang agak mengelirukan di dalam percanggahan bahasa kepada kedua-dua etnik tersebut.


Namun terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa etnik Seping ini mempunyai persamaan dengan etnik Penan seperti apa yang dilaporkan di dalam laporan Brosius (1992:84). Etnik Seping dan Penan adalah jiran yang rapat kerana kedua-duanya mendiami daerah Usun Apau. Penan Apat iaitu salah satu sub etnik Penan yang tinggal di Sungai Apat iaitu salah satu anak sungai kepada Sungai Seping mempunyai sejarah secara langsung dengan Etnik Seping ini.


Suatu waktu dahulu ketika ada persengketaan dengan etnik Kelabit, Seping dan Penan telah bersatu di dalam menentang orang Kelabit ini. Walau bagaimanapun, cara hidup etnik Seping dan etnik Penan adalah berbeza kerana etnik Penan lebih kepada penghidupan secara nomad manakala etnik Seping lebih kepada penghidupan yang tetap. Walau bagaimanapun mungkin kerana ada sejarah perkahwinan campur antara etnik Penan Apat dan Etnik Seping seperti perkahwinan anak-anak bangsawan kedua-dua etnik iaitu Jamai (anak lelaki daripada Penan Apat) dengan Daang (wanita daripada etnik Seping) dan Kedisi (anak lelaki kepada Poven Teguli ketua masyarakat Penan) dengan Nyai (wanita daripada etnik Seping) telah mengaitkan secara langsung hubungan antara etnik Seping dan Penan.


Namun itu semua adalah sejarah lepas kerana pada hari ini setelah penghijrahan Etnik Seping dari Usun Apau, kedua-dua etnik ini tidak mempunyai pautan secara langsung kerana hanya orang Penan yang masih menghuni kawasan Usun Apau sehingga sekarang manakala Etnik Seping telah kembali ke Sungai Belaga.


Jika dahulunya sebelum kedatangan agama, etnik Seping dikatakan amat mempercayai pada kuasa semangat atau pagan. Kepercayaan kepada kuasa semangat ini digelar Amin. Dikala itu kepercayaan kepada kuasa luarbiasa seperti petanda daripada burung, rusa dan ular adalah menjadi rujukan kepada pengamal-pengamal ilmu tradisional mereka di dalam menentukan segala kejadian yang berlaku.


Namun setelah kedatangan agama di dalam etnik Seping iaitu sekitar tahun 1966, etnik Seping rata-ratanya sudah memeluk agama Kristian Katolik dan meninggalkan segala kepercayaan pagan ini tetapi masih lagi mengekal adat budaya yang tidak bertentangan dengan ajaran agama Kristian Katolik.


Tak Kenal Maka Tidak Cinta


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page