FROM BINTULU WITH LOVE
FROM BINTULU WITH LOVE Bintulu merupakan bahagian ketiga terbesar di Sarawak dengan keluasannya adalah kira-kira 7,220.4 km persegi. Ianya adalah salah satu bahagian yang menghadap Laut China Selatan di bahagian baratnya. Dari segi geografi, Bintulu terletak kira-kira 650 km dari Kuching dan lebih kurang 215 km dari Sibu atau Miri. Terkenal di mata dunia dengan loji pemprosesan gas asli iaitu Malaysia LNG Sdn Bhd yang juga merupakan pemangkin kepada pembangunan industri-industri yang berkaitan.
Mengikut sejarah bagaimana Bintulu mendapat nama dikatakan ianya berkaitan dengan satu sungai yang ada di Bintulu iaitu Sungai Metu Ulau. Sungai Metu Ulau di dalam dialek tempatan Bintulu bermaksud “memungut kepala”. Dikatakan suatu waktu dahulu, Sungai Metu Ulau adalah tempatnya gugurnya kepala orang yang dipenggal ketika di dalam pertempuran.
Di Sungai Metu Ulau ini adalah juga lokasi bagi dua orang pahlawan tempatan iaitu Bengek dan Jalab serta pengikut mereka untuk menyalai kepala musuh agar ianya tidak menjadi buruk dan berbau busuk. Perkataan metu ulau yang telah digunapakai di kalangan penduduk Bintulu di masa dahulu lama-kelamaan disebut “Mentulau” dan akhirnya menjadi Bintulu berdasarkan kepada pelat penutur tempatan.
Sejarah awal Bintulu dengan Rajah James Brooke bermula apabila Rajah James Brooke membeli Bintulu dengan harga 6,000 Dollar daripada Sultan Brunei. Penjualan Bintulu ini didorong oleh Sultan Brunei sudah berputus asa untuk memerangi ancaman lanun ke atas Bintulu pada masa itu dan melihat kepada keupayaan dan kesungguhan Rajah James Brooke untuk membanteras habis-habisan ancaman lanun yang menganggu gugat perniagaan Sarawak Kingdom dengan saudagar Inggeris di Utara Borneo.
Selain itu, Rajah Brooke pda ketika itu juga amat terganggu dengan adanya pengaruh Koloni Belanda yang seperti ingin meluaskan empayarnya hingga ke Bintulu pada masa itu. Setelah kata sepakat diambil maka menjadilah Bintulu sebagai salah satu tanah jajahan empayar Sarawak Kingdom.
Sejarah juga membuktikan bahawa di zaman pemerintahan Brooke, rakyat tempatan Bintulu telah berjuang sendirian untuk mempertahankan Bintulu daripada diserang oleh lanun Illanun dari Filipina yang sememangnya amat ganas di persisiran pantai di Sarawak pada waktu itu. Setelah berlakunya Perang Mukah yang melibatkan peperangan antara Rajah Muda Charles Brooke dengan segerombolan lanun Illanun di Mukah, saki baki daripada lanun tersebut telah Berjaya mengumpul kekuatan mereka kembali.
Jadi pada tahun 1862, kumpulan lanun Illanun ini telah menyerang Bintulu dan tanpa menunggu bantuan daripada armada perang Rajah Brooke, rakyat tempatan dengan didokongi oleh Orang Bintulu atau Orang Baei telah bangun mempertahankan Bintulu berhabis-habisan di Tanjung Kidorung. Dan ternyata keberanian dan kesungguhan Orang Bintulu pada masa itu mempertahankan tanahair diluar jangkauan dan kemenangan memihak kepada mereka.
Sejak itu dikatakan tiada lagi ancaman daripada lanun Illanun ke atas Bintulu. Rajah James Brooke yang bimbang akan kehadiran kembali ancaman lanun Illanun ini telah bertindak dengan membina sebuah kubu pertahanan di Bintulu dinamakan Kubu Keppel atau Fort Keppel bersempena dengan nama seorang sahabat karib Rajah James Brooke yang disanjung oleh masyarakat tempatan Sarawak iaitu Sir Hendry Keppel. Walau bagaimanapun Fort Keppel ini telah musnah terkena serangan bom sewaktu Perang Dunia Ke-2.
Bintulu juga mempunyai sejarah tersendiri di dalam pentadbiran sebuah lipatan kalendar Sarawak Kingdom apabila di Bintulu inilah berlangsungnya mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang pertama yang dihadiri oleh Majlis Tertinggi Sarawak Kingdom pada 8hb September 1867. Pemilihan Bintulu sebagai tempat berlangsungnya mesyuarat pertama Dewan Undangan Negeri Sarawak pada waktu itu adalah kerana kedudukan Bintulu yang terletak di tengah-tengah pentadbiran empayar Sarawak Kingdom yang kian luas pada waktu itu. Dengan mempusatkan pentadbiran di Bintulu, Kerajaan Rajah Brooke berpendapat ini akan lebih menyenangkan dan selamat sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Ternyata Bintulu juga kaya dengan sejarahnya daripada asalnya hanya sebuah kampung nelayan kecil yang dikenali dengan hasil lautnya seperti udang, cencaluk dan belacan, Bintulu sekarang muncul sebagai Bandar antarabangsa dengan industri pemprosesan gas asli serta mempunyai sebuah pelabuhan iaitu Pelabuhan Bintulu (Tanjung Kidorung) yang menjadi hap sektor perkapalan antarabangsa.
Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.