top of page

BANGKAI PESAWAT TWIN OTTER, BARIO, SARAWAK


BANGKAI PESAWAT TWIN OTTER, BARIO, SARAWAK


Daerah Bario adalah satu-satunya daerah yang terletak di tanah tinggi Sarawak yang dikenali sebagai Tanah Tinggi Kelabit, Miri, Sarawak. Lokasinya nun jauh ke utara Sarawak dan merupakan antara daerah yang bersempadan dengan Negara Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.


Bario sebenarnya terletak di dataran tinggi iaitu kira-kira 1,150 meter dari aras laut di kawasan timur laut Sarawak. Dengan dikelilingi oleh hutan tebal serta faktor muka bumi yang bergunung-ganang seperti Gunung Murud yang merupakan puncak tertinggi di Sarawak menyebabkan Bario beriklim sejuk sederhana dengan suhunya sekitar 16 hingga 25 darjah Celcius sepanjang tahun.


Oleh kerana lokasinya yang terletak di tanah tinggi maka satu-satunya penghubung ke daerah Bario yang paling cepat adalah dengan menggunakan khidmat pesawat Twin Otter yang boleh diambil dari Miri atau Marudi. Tempoh penerbangan adalah kira-kira 50 minit dari Miri atau 40 minit dari Marudi. Walaupun ada jalan darat namun sudah tentu jarak perjalanannya akan mengambil masa yang cukup lama.


Jika ada yang pernah berkunjung ke bumi Bario sudah tentu mengenali ada satu lokasi di Bario yang mempunyai bangkai pesawat jenis twin otter yang terdampar di situ berkurun lamanya (seperti yang ditunjukkan di dalam teaser artikel). Bangkai pesawat ini seperti menjadi salah satu ‘trade mark’ untuk setiap yang berkunjung ke Bario kerana disinilah antara lokasi ‘wajib selfie’ kerana keunikannya.


Oleh kerana itu maka ramailah yang bertanggapan bahawa sejarah adanya bangkai pesawat itu ada kena mengena dengan sejarah Komander Z ataupun Komando Semut ketika Perang Dunia Kedua berlangsung yang mana pada ketika itu disinilah bermulanya perang gerila yang dilancarkan oleh Tentera Australia yang bergabung dengan masyarakat tempatan memerangi tentera Jepun di Sarawak. Namun itu adalah perkaitan sejarah yang TIDAK BENAR sama sekali.


Ini kerana keberadaan bangkai pesawat itu ada di bumi Bario sekarang berlaku setelah Sarawak membentuk Malaysia pada tanggal 16hb September 1963. Mengikut sejarah sebenar pesawat dari jenis Scottish Aviation Twin Pioneer CC.1 dengan nombor pendaftarannya XP294 yang menggunakan kuasa injin dari jenis 2 Alvis Leonides 514 ini merupakan hak milik kepada Royal Air Force – RAF. Pesawat jenis Twin Otter sebenarnya telah mengalami kecelakaan apabila sewaktu mendarat di bumi Bario pada tanggal 11hb September 1964.


Menurut laporan siasatan kemalangan udara pada masa itu dilaporkan bahawa pesawat ini telah tergelincir daripada laluan landasan kerana keadaan muka bumi yang basah dan licin pada masa itu sehingga menyebabkan ianya terdampar di hujung landasan. Dilaporkan juga pada ketika itu tiada kemalangan jiwa yang berlaku dan kesemua penumpang dan anak kapal selamat.


Di dalam laporan itu juga menyatakan bahawa akibat daripada kerosakan fizikal yang teruk kepada pesawat tersebut maka adalah tidak wajar untuk membaikinya ditambahlagi pada ketika itu nahas berlaku di kawasan tanah tinggi. Jadi pihak RAF telah mengambil sebarang kemungkinan dengan hanya memindahkan bahagian dalamannya seperti enjin dan sebagainya untuk diterbangkan ke Kuching bagi menjadi pengganti untuk pesawat-pesawat tentera yang lain.


Maka kerana itulah adanya bangkai pesawat twin otter di Bario seperti yang kita lihat sekarang dan sudah tentu ianya tidak ada perkaitan langsung dengan Perang Dunia Kedua sebaliknya hanya satu nahas kapalterbang biasa. Untuk itu bagi mereka yang bertanggapan sedemikian diharap tiada lagi yang memutarbelitkannya kerana sesungguhnya sewaktu Operasi Komander Semut sememangnya ada pesawat mereka yang tidak sampai ke destinasi setelah menghantar anggota payung terjun dibawah pimpinan Major Harrison tetapi pesawat itu telah jatuh musnah ditembak Jepun ketika berada di kawasan Sabah (North Borneo) BUKANNYA di Bario, Sarawak.


Jadi inilah penjelasan sejarah mengenai satu bangkai pesawat di Bario yang sinonim dengan Bario sehingga sekarang. Diharap informasi ini dapat memperjelaskan kekeliruan yang ada di minda bangsa Sarawak sendiri kerana sememangnya sejarah mengenai bangkai pesawat ini kurang diwar-warkan di pengetahuan rakyat.

bottom of page