top of page

TRADISI PENGEBUMIAN KERANDA KAYU BALAK DI ASIA TENGGARA


TRADISI PENGEBUMIAN KERANDA KAYU BALAK DI ASIA TENGGARA


Pada zaman dahulu terdapat banyak jenis-jenis tradisi pengkebumian masyarakat yang diamalkan zaman berzaman. Dan sudah tentu di dalam memperjelaskan tradisi pengebumian malah jenis-jenis keranda juga berlainan mengikut tradisi kaum seperti jenis tempayan, tembikar tanah dan keranda batu. Pengebumian menggunakan jenis kayu balak difahamkan menjadi amalan bagi masyarakat zaman dahulu sejak dari zaman logam iaitu sekitar kurun 500 Masihi.


Jika dirungkai daripada tapak-tapak yang telah dikenalpasti masih lagi menyimpan khazanah purba ini selain daripada di Negara China, Sagada di Filipina, Sulewesi dan Thailand, satu-satunya penemuan tapak pengkebumian keranda kayu balak yang terbesar di dunia adalah yang terdapat di kawasan gua batu kapur di Lembah Kinabatangan dan Gua Batu Tulug dengan hampir 2000 buah keranda kayu balak masih tidak terusik sejak berkurun lamanya.


Untuk memahami tradisi pengebumian keranda kayu balak ini maka artikel ini akan mencakupi 3 bahagian berbeza supaya kita akan lebih memahami apakah itu keranda kayu balak dan perbezaannya di setiap lokasi yang mengamalkannya. Ianya adalah mencakupi:


1. Ciri-ciri Keranda Kayu Balak

2. Asal-Usul Dan Penyebaran Tradisi Pengebumian Keranda Kayu Balak

3. Penemuan Keranda Kayu Balak di Asia Tenggara



Ciri-ciri Keranda Kayu Balak


Walaupun Negara-negara seperti Vietnam, China, Filipina, Indonesia dan Malaysia mempunyai tradisi pengebumian Keranda Kayu Balak namun begitu setiap satu keranda kayu balak ini tidak mempunyai persamaan malah bercirikan lambang yang berbeza. Walaupun hakikatnya penggunaan batang kayu balak yang dibelah dua kemudian ditebuk untuk menjadi satu keranda sebagai asasnya namun begitu cara ianya disemadikan juga berbeza malah ada sesetengah motif melambangkan kedudukan dan dari mana si mati itu berasal.


Ini dapat dilihat dengan keranda kayu balak yang ditemui di Palawan, Filipina yang mana bentuk kerandanya seakan-akan seperti bentuk sebuah perahu tetapi ini tidak pada keranda kayu balak yang ditemui di Sabah mahupun Sulawesi kerana di lokasi ini kerandanya dibentuk seperti tanduk kerbau atau seladang di bahagian hujung keranda.


Dan berlainan pula dengan ciri-ciri keranda kayu balak yang ditemui di Gua Ong Bah, Thailand kerana ianya hanya seperti bongkah kayu balak yang dipotong dua cuma bahagian penutup keranda mempunyai ukiran motif jenis burung-burung. Malah di dalam keranda ini juga akan ditemui dengan manik-manik kaca, seramik dan objek tajam yang ditanam bersama-sama dengan mayat di dalam keranda tersebut.



Asal-Usul Dan Penyebaran Tradisi Pengebumian Kayu Balak


Sesuatu yang amat unik adalah bagaimana tradisi pengebumian kayu balak ini sebenarnya mencakupi wilayah yang cukup luas. Dan bagaimana tradisi ini hampir sama dengan apa yang diamalkan di Borneo mungkin sesuatu yang wajar kita ketahui. Ini kerana tradisi yang sama, kebudayaan yang sama memungkinkan bahawa ada jalur ras keturunan yang sama diantara masyarakat di Borneo dengan masyarakat kuno di China, Sulawesi, Thailand, Vietnam dan Filipina itu sendiri.


Difahamkan bahawa pengebumian kayu balak berkemungkinan besar bermula dari Vietnam Utara ataupun Selatan China. Dari sini dipercayai bahawa teori penyebaran keranda kayu balak ke seluruh Asia Tenggara mempunyai 2 jalan penyebaran yang bebeza iaitu melalui Selatan China ke Thailand dan melalui jalan kepulauan seperti di Borneo, Sulawesi dan Filipina.


Dari segi usia keranda kayu balak yang ditemui di Selatan China berdasarkan kepada ujian hidro karbon dianggarkan berusia antara 2000BP sehingga ke 2500BP. Dari penemuan ini menunjukkan bahawa Selatan China merupakan tapak tertua tradisi keranda kayu balak ini digunapakai. Dikatakan juga bahawa keranda kayu balak ini adalah salah satu tradisi pengebumian bagi masyarakat Bo yang dikatakan antara masyarakat China yang hilang di bumi Tembok Besar China sekarang.


Menurut teori penghijrahan oleh pakar sejarahwan juga menyatakan bahawa kemungkinan besar masyarakat Bo yang hilang ini sebenarnya tidaklah hilang sepenuhnya sebaliknya mereka telah berhijrah ke seluruh Asia Tenggara. Ini bersangkutan dengan satu sejarah lama Negara China suatu waktu dahulu yang mana dikatakan ketika perluasan wilayah oleh China Utara telah memerangi China Selatan dan mereka yang kalah telah dihalau keluar daripada bumi mereka. Dan besar kemungkinan masyarakat Bo telah berasimilasi dengan etnik-etnik pribumi di Asia Tenggara dan akhirnya mewariskan tradisi pengebumian keranda kayu balak mereka.


Bagi teori penyebaran kedua pula iaitu yang melibatkan tradisi pengebumian bagi Filipina, Sabah dan Sulawesi pula yang lebih merujuk kepada jalan laut. Di kala ini terdapat kekeliruan di dalam memperkatakan usia sebenar tradisi pengebumian keranda kayu balak di Filipina. Ini kerana apa yang ditemui di Kepulauan Palawan pula berdasarkan kepada ujian hidro karbon menunjukkan ianya diamalkan pada kurun ke-14 Masihi.


Namun begitu untuk tapak keranda kayu balak yang ditemui di Gua Lungun pula menunjukkan bahawa tradisi ini diamalkan sekitar tahun 700AD hingga 1000AD iaitu ianya sezaman dengan usia tradisi pengebumian keranda kayu balak yang ditemui di Segarong dan Gua Midai tetapi tidak pada tapak di Gua Batu Tulug, Sabah. Oleh kerana inilah menurut pakar arkeologi berkemungkinan besar adanya migrasi kaum yang berbeza-beza mengikut teori penghijrahan berperingkat-peringkat menyebabkan adanya titik berbeza namun begitu penyebaran melalui jalan laut diantara kepulauan itu tetap ada. Ini kerana secara geografi, Borneo tidaklah jauh daripada Filipina mahupun Sulawesi itu sendiri.



Penemuan Keranda Kayu Balak di Asia Tenggara


“Lain Padang, Lainlah Belalangnya” yang bermaksud walaupun ianya sama namun mesti ada perbezaannya. Dan begitulah juga tradisi pengebumian keranda kayu balak yang ditemui di Asia Tenggara. Setiap lokasi penemuan keranda kayu balak di Asia Tenggara dan pengamalnya adalah berbeza-beza.



Sulawesi, Republik Indonesia


Di Indonesia, tradisi pengebumian keranda kayu balak ditemui di kawasan Kepulauan Sulawesi. Jika di Sabah dikatakan tradisi ini adalah diamalkan oleh orang Murut dan Sungai namun di Sulawesi ianya dikatakan diamalkan oleh suku Toradja. Di Sulawesi, keranda kayu balak bermotifkan kepala kerbau, perahu mahupun ukiran seekor khinzir itu sendiri. Dari sini setiap ukiran menunjukkan siapakah si mati itu.


Di dalam masyarakat Toradja di Sulawesi perincian seperti keranda kayu balak yang menyerupai perahu menunjukkan bahawa si mati itu adalah asalnya berhijrah daripada tempat lain ataupun secara rasional daripada Pulau Borneo kerana mereka datang ke Sulawesi dengan menggunakan perahu. Kepala kerbau pula melambangkan si mati adalah golongan Toradja asal Sulawesi manakala untuk ukiran seekor khinzir pula merupakan golongan masyarakat Toradja yang terkenal dengan kegagahannya ataupun keturunannya adalah dari kalangan pahlawan.


Dan haruslah diketahui bahawa tradisi pengebumian untuk masyarakat Toradja adalah berbentuk sekunder dan primer. Ianya berbentuk primer apabila setiap yang mati di dalam masyarakat Toradja akan diletakkan di tempat-tempat tertentu seperti rumah-rumah kecil tidak jauh daripada rumah keluarganya. Tiba masanya apabila kos sudah mencukupi barulah keluarganya akan mengkebumikan si mati dengan menggunakan keranda kayu balak.


Difahamkan bahawa masyarakat Toradja sehingga ke hari ini amat mementingkan kehidupan selepas kematian jadi apabila seseorang itu sudah mati adalah wajar untuk dia disemadikan dengan penuh gilang-gemilang. Dari itu harga untuk sebuah keranda bagi menghadapi alam kematian adalah mahal jadi ianya memerlukan simpanan wang yang banyak untuk membayar segala kos pengebumian itu.


Tradisi ini juga masih lagi diamalkan di Sulawesi cuma ianya berbeza jika dahulunya menggunakan kayu balak namun sekarang telah digantikan dengan kayu nangka yang lebih murah tapi kuat dan senang untuk diukir.



Thailand


Di Negara Gajah Putih yang dahulunya dikenali dengan nama Negara Siam tetapi sekarang Thailand juga tidak kurang dengan penemuan tradisi pengebumian keranda kayu balak. Lokasi penemuannya adalah di wilayah yang bersempadan dengan Burma seperti di Pang Ma Pa, Mae Hung Sun dan Ong Bah ataupun dikenali dengan nama Kancanaburi sekarang. Di lokasi ini dikatakan ditemui hampir 150 buah keranda kayu balak.


Yang menjadikan penemuan keranda kayu balak di Thailand ini adalah dari segi usianya kerana dikatakan bahawa keranda kayu balak yang ditemui di Mae Hung Sun dan Kancanaburi adalah seusia dengan perahu kain hitam yang dijumpai di Gua Niah, Sarawak. Menerusi ujian hidro karbun dikatakan usia keranda kayu balak di Thailand ini adalah berusia sekitar 200BC sehingga 800BC.


Dan sudah tentu perincian lokasi dan cara pengebumian juga berbeza-beza seperti di Sabah mahupun di Sulawesi. Di Thailand, keranda-keranda kayu balak diletakkan di kawasan gua yang paling terpencil malah kedudukannya juga tinggi dari aras laut. Di Kancaburi misalnya ada gua-gua tempat persemadian keranda kayu balak sengaja disumbat dengan rekahan batu-batu bagi menutup pintu gua agar ianya tidak diganggu manusia ataupun binatang.



Sabah, Malaysia


Di Sabah juga tidak kurang dengan penemuan keranda kayu balak zaman dahulu kala dan ianya merupakan satu-satu wilayah di Malaysia yang mempunyai tradisi pengebumian keranda kayu balak. Dan daerah Kinabatangan seperti di Gua Gumantong, Batu Tulug, Batu Timbang, Tongod dan banyak lagi gua-gua di lembah Kinabatangan dan Lahad Datu adalah tapak terbesar jumlah keranda kayu balak yang ditemui di dunia setakat ini. Kesemua tempat-tempat yang kaya dengan khazanah ini sudahpun dijadikan tapak warisan dan arkeologi oleh Kerajaan Negeri Sabah mahupun Malaysia itu sendiri.


Mengikut apa yang difahamkan oleh pakar arkeologi dikatakan tradisi pengebumian keranda kayu balak ini diamalkan oleh masyarakat Dusun Sungai dan Subpan. Suku kaum yang dikenali sebagai Dusun Sungai dan Subpan ini adalah sekelompok masyarakat yang mendiami sepanjang Sungai Segama di Lahad Datu. Untuk masyarakat Sungai pula adalah mereka yang mendiami lembah Kinabatangan sejak dahulu lagi. Berdasarkan kepada pentarikhan radiokarbon(C14) oleh Petter Bellwod terhadap keranda kayu balak menunjukkan yang tradisi tersebut telah bermula sekurang-kurangnya 1000 tahun lalu.


Antara ciri- ciri keranda kayu balak yang terdapat di Sabah ialah ada empat lubang untuk diletakkan keranda kayu balak ini iaitu di Agop Lintanga 1, 2, 3, dan Agop Sawat. Keranda ini diperbuat daripada kayu seperti jenis kayu seraya, merbau dan berlian kerana lebih mudah diukir berbanding dengan kayu jati yang sangat keras. Terdapat pelbagai ukiran dan pelbagai bentuk di bahagian pemegangnya seperti kepala seladang, ekor ikan dan mulut buaya ternganga.


Dari sini setiap simbol atau lambang mempunyai perincian yang mengkhusus. Simbol kepala seladang melambangkann si mati mempunyai sifat keberanian. Sebagai contoh dalam masyarakat Dusun, seladang atau tembadau ialah seekor binatang yang berani dan ia dianggap sebagai satu simbol kegagahan.


Bagi masyarakat dusun, buaya ialah sejenis binatang yang paling suci terutamanya buaya berjari lima kerana mereka mempercayai yang asal usul kejadian buaya adalah dari manusia yang telah disumpah. Buaya dianggap sebagai saudara kepada manusia yang ada di alam lain. Selain daripada itu kepercayaan bahawa buaya akan membawa roh-roh manusia manusia yang telah mati untuk hidup di alam lain.


Di Sabah, keranda kayu balak mempunyai 2 teknik pengebumian iaitu berpangkin 4 tiang dan 2 tiang. Pengebumian berpangkin iaitu menggunakan 4 batang tiang dengan keranda di letakkan di atas palang yang disokong oleh 4 tiang tersebut. Teknik ini biasanya digunakan di satu kawasan lantai gua yang luas.


Pengebumian 2 tiang iaitu menggunakan 2 batang tiang yang disokong oleh dinding gua dan kemudian barulah diletakkan keranda diatasnya. Teknik ini biasanya digunakan pada pengebumian di tepi-tepi gua.

Mengikut apa yang pihak arkeologi meramalkan bahawa kedua-dua teknik ini sebenarnya mempunyai perincian yang tersendiri.


Maka disinilah dikatakan bahawa pengebumian berpangkin sebenarnya dikhaskan untuk golongan atasan ataupun bangsawan di dalam strata social masyarakat zaman dahulu. Untuk pengebumian yang menggunakan teknik 2 tiang dan hanya bersandarkan pelantar-pelantar gua pula merujuk kepada si matinya adalah daripada golongan rakyat biasa di dalam strata social masyarakat dahulu kala.


Selain daripada itu di setiap keranda kayu balak yang ditemui di Sabah juga dijumpai serpihan seramik dan barang perhiasan seperti anting-anting dan rantai manik yang menunjukkan bahawa si mati adalah orang yang kaya ataupun tidak.


Inilah sekelumit ruang informasi di dalam kita cuba mengenali tentang satu tradisi pengebumian kuno yang masih lagi diamalkan contohnya bagi masyarakat Toradja di Sulawesi serta juga perkaitannya dengan tradisi pengebumian yang sama di seluruh Asia Tenggara termasuk yang kita ketahui ada di Sabah, Malaysia sekarang. Setiap satunya mempunyai keunikan dan sejarah yang berbeza-beza.


Janji Allah..mati itu pasti Cuma kita tidak ketahui bila, dimana dan bagaimana.



-HB-



Rujukan:


1. Author: Stephen Chia Book Title: Pengebumian Keranda Kayu Balak di Kinabatangan, Sabah. Published: Minden, Pulau Pinang, USM 2012


2. Author: Tom and Barbara Harrison. Title: The Prehistory of Sabah, Sabah Society Journal, Vol. VI, Kota Kinabalu, 1969-1970


3. Author: Yunis Bin Sauman. Title: Penyelidikan Arkeologi Terhadap Keranda-Keranda Kayu Balak di Lembah Kinabatangan Sabah. Published: 9 Februari 2002


4. Author: Dr. M. A. Duli. Tesis: Tradisi Keranda Kayu Balak di Asia Tenggara. Published: Universitas Hasanuddin. 2004


bottom of page