top of page

BELIMBING DAYAK


BELIMBING DAYAK

Dengan nama saintifiknya iaitu Baccaurea Angulata merupakan satu tumbuh-tumbuhan liar yang hanya terdapat di Pulau Borneo. Setakat ini belum ada dokumentasi yang dapat mengesahkan bahawa tumbuhan liar ini ada dimana-mana di dunia melainkan ianya ditanam untuk tujuan tertentu. Jadi tumbuh-tumbuhan ini adalah unik kerana ianya hanya ada di Borneo.

Jika di Sarawak, Baccaurea Angulata ini juga dikenali dengan nama Belimbing Dayak, Belimbing Hutan, Belimbing Bukit, Belimbing Merah atau Tampoi Belimbing. Bagi masyarakat Iban pula mereka memanggilnya dengan nama Uchong atau Ujung. Berlainan pula untuk di Sabah kerana Belimbing Dayak ini dikenali dengan nama Embaling bagi masyarakat Dusun dan juga dipanggil Belimbing Uchong, Pelawak, Popotung, Tampoi Hutan dan Liposu.

Ianya sememangnya tumbuhan liar yang ada di Borneo kerana ianya juga terkenal di Negara Brunei Darussalam dan juga Kalimantan. Di Brunei ianya dikenali dengan nama Embaling Bobou manakala di bumi Kalimantan dikenali dengan nama Asem Ketiak, Pidau, Umbing dan Umbung. Inilah nama-nama tempatan di dalam kita cuba mengenali satu tumbuhan yang unik ini.

Jika kita melihat kepada rujukan botani menyatakan bahawa Belimbing Dayak ini mempunyai sifat semulajadi yang sama seperti buah tampoi atau tampui yang mana ianya mengeluarkan buat di dahan utama. Dan waktu ianya ranum ianya akan jatuh sendiri. Pokoknya pula dikatakan boleh membesar sehingga ke 8 meter.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa menurut kajian saintifik perubatan telah membuktikan bahawa dengan memakan belimbing dayak ini akan mampu menghindarkan penyakit seperti penyakit kardiovaskular yang sememangnya antara jenis penyakit yang menjadi punca kepada kematian dan hilang upaya. Berdasarkan kajian juga telah mengatakan sifat antioksida polifenol yang kaya di dalam Belimbing Dayak ini mampu menunjukkan keberkesanan di dalam memerangi penyakit tersebut.

Sebenarnya Belimbing Dayak ini sudah lama menjadi antara tumbuhan liat pelbagai guna bagi masyarakat di Borneo. Dan rasanya adalah masam-masam manis. Mungkin kerana itulah Belimbing Dayak ini juga sudah semestinya antara perasa tambahan popular di dalam menu masakan masyarakat di Borneo selain dimakan mentah-mentah.

Tidak susah untuk mendapati Belimbing Dayak ini kerana jika ke Sarawak misalnya, para-para pencari tumbuhan liar sudah sedia menjualnya di pasar-pasar tani bagi memenuhi permintaan selera orang Sarawak. Harganya juga berpatutan serta mampu dibeli oleh setiap orang yang memerlukannya.

bottom of page