top of page

KERAJAAN BANJAR, KALIMANTAN SELATAN, BORNEO


KERAJAAN BANJAR, KALIMANTAN SELATAN, BORNEO

Kerajaan Banjar atau juga dikenali sebagai Kerajaan Banjarmasin merupakan salah satu daripada kerajaan kuno yang pernah wujud di bumi Borneo suatu ketika dahulu. Ianya merupakan satu kerajaan yang gah namanya kerana jajahan takluknya meliputi hampir ¾ daripada keseluruhan Borneo suatu waktu dahulu. Kerajaan Banjar yang bercorak Islam dan gah namanya ini didirikan pada tanggal 24hb September 1526 di wilayah yang dikenali sebagai Kabupaten Banjarmasin, Kalimantan Selatan sekarang. Menurut sejarahnya kerajaan ini didirikan di satu desa yang terletak di muara Sungai Kuin yang dikenali dengan nama Kampung Banjarmasin. Sebenarnya desa kecil ini adalah tempat bertemunya 5 aliran cabang sungai yang kemudian membentuk sebuah danau yang kaya raya dengan hasil perikanan. Sungai-sungai itu adalah Sungai Sipandai, Sungai Sigaling, Sungai Keramat, Sungai Jagabay dan Sungai Pangeran.

Suatu masa dahulu mereka yang mendiami desa Banjarmasin ini dipanggil dengan nama Orang Banjar yang mana makna Banjar itu adalah diambil daripada bahasa Melayu yang bererti satu penempatan kampung yang berderet-deret di sepanjang persisiran sungai. Selain daripada itu Orang Banjar ini juga dikenali sebagai campuran masyarakat Melayu daripada kawasan yang lain yang datang ke desa Banjar lalu mengasimilasi dengan penduduk pribumi iaitu daripada masyarakat Dayak dan seterusnya memeluk Islam.

Dan tidak kurang juga menurut legenda Orang Banjar di Kalimantan Selatan pula menjelaskan mengenai teori penghijrahan mereka apabila berlakunya banjir besar yang melanda bumi suatu waktu dahulu. Menurut cerita oral itu dikatakan bahawa Orang Banjar adalah terdiri daripada lebih 500 puak Dayak pada asalnya yang tinggal di atas tempat paling tinggi di Pulau Borneo.

Dan mengikut cerita legenda itu dikatakan nama Banjar itu sendiri merujuk kepada “Banjaran” atau “Gunung” dan kerana itulah juga mereka juga digelar sebagai “Orang Gunung”. Apabila air bah telah reda dikatakan “Orang Gunung” ini telah mula menuruni dari kawasan tinggi ke kawasan lembah yang lebih rendah untuk bercucuk tanam dan memulakan penghidupan mereka. Oleh kerana itulah “Orang Gunung” ini dikatakan antara masyarakat yang paling pandai menangkap ikan dan juga bercucuk tanam terutama sekali menanam padi.

Di persisiran sungai inilah mereka berhubung dengan masyarakat yang datang daripada daerah lain dan akhirnya mengasimilasikan diri mereka di dalam penghidupan masyarakat Banjar dan akhirnya Orang Banjar yang juga merupakan pribumi Borneo juga mempunyai budaya-budaya Melayu yang lain. Mereka juga akhirnya daripada menganuti agama keharingan mahupun hindu telah memeluk Islam seperti yang kita ketahui sekarang.

Kerajaan Banjar Kuno

Jika kita menyoroti sejarah berdirinya kerajaan Banjar ini maka tidak boleh tidak kita harus memperjelaskan bahawa sebelum wujudnya Kerajaan Banjar yang bercorak Islam merupakan kesinambungan kepada 2 kerajaan kuno. Kedua-dua kerajaan kuno ini berdiri lebih awal daripada Kerajaan Banjar yang Islam namun begitu kedua-dua pemerintahan kerajaan ini saling berkait diantara satu sama lain.

Kerajaan-kerajaan kuno tersebut adalah:

i. Kerajaan Negara Dipa ii. Kerajaan Negara Daha iii. Kerajaan Kesultanan Banjarmasin

i. Kerajaan Negara Dipa

Kerajaan Negara Dipa adalah kerajaan kuno Orang Banjar yang pertama dan ianya juga didirikan di Kalimantan Selatan namun begitu pusat pemerintahannya terletak lebih ke kawasan pendalaman. Dikatakan ianya wujud sekitar abad ke-14. Dan wilayah jajahan takluknya terbentang dari Tanjung Silat sehingga ke Tanjung Putting. Sebelum membebaskan diri dikatakan bahawa Kerajaan Negara Dipa merupakan jajahan takluk kepada Kerajaan Kahuripan iaitu sebuah kerajaan dayak yang didirikan di Borneo suatu waktu dahulu. Apabila Kerajaan Kahuripan lemah akibat perang saudara dan sebagainya akhirnya Kerajaan Negara Dipa ini berjaya memerdekakan dirinya dan membentuk sistem pemerintahan yang tersendiri. Di dalam Hikayat Banjar ada diceritakan mengenai kerajaan kuno Orang Banjar ini yang dikatakan didirikan oleh Empu Jatmika yang berasal dari Majapahit. Dan hal ini disahkan oleh Paul Michel Munos seorang penulis sejarah di tulisannya yang bertajuk “Kerajaan Awal Di Indonesia dan Semenanjung Malaysia” menyatakan bahawa Empu Jatmika merupakan pengasas kepada Kerajaan Negara Dipa yang didirikan pada tahun 1387 Masihi.

Namun begitu menurut apa yang dicatatkan Fudiat Suryadikara pada melalui tulisannya yang bertajuk Geografi Dialek Bahasa Banjar Hulu, Depdikbud, 1984 pula menyatakan bahawa Kerajaan Kahuripan merupakan satu kerajaan yang lebih dahulu berdiri sebelum Kerajaan Negara Dipa. Dikatakan bahawa pemerintah Kerajaan Kahuripan tidak mempunyai waris maka Raja Kahuripan telah memilih Empu Jatmika, anak angkatnya untuk menjadi Raja Kahuripan menggantikannya.

Empu Jatmika pula telah menukar nama Kerajaan Kahuripan kepada Kerajaan Negara Dipa kerana disitulah beliau tinggal dan menukar pusat pemerintahan Kerajaan Negara Dipa ke Candi Laras iaitu lokasinya di cabang Sungai Bahan. Kerana suatu waktu dahulu masih lagi berlandaskan kepercayaan kepada tuah dan semangat maka akhirnya sekali lagi dipindahkan ke Candi Agung yang terletak di Kota Amuntai berdekatan dengan Sungai Negara. Walaupun Empu Jatmika merupakan seorang pemerintah yang sah kepada Kerajaan Negara Dipa namun begitu beliau tetap tidak mahu menabalkan dirinya sebagai “Raja” sebaliknya tetap sebagai “Pemangku Raja”. Kerajaan Negara Dipa benar-benar di zaman kegemilangannya apabila diperintah oleh seorang ratu yang bernama Lembu Mengkurat atau di dalam bahasa Banjar digelar Ratu Lambung Mangkurat. Beliau juga dikenali sebagai Ratu Kahuripan kerana beliau tinggal di ibukota lama Kerajaan Kahuripan sebelumnya.

Apa yang menarik di dalam sistem pemerintahan Kerajaan Negara Dipa ini adalah kerana pengaruh pemerintahan pribumi tetap diterap di dalam sistem pemerintahannya. Oleh kerana itulah Kerajaan Negara Dipa ini mengenali jajahan takluknya sebagai daerah “Sakai”. Di setiap daerah “Sakai” ini dikuasai oleh seorang pemimpin yang dikenali sebagai “Mantri Sakai”. Dan kerajaan ini pada masa itu menjadikan agama kaharingan dan hindu sebagai asas pemerintahannya.

Salsilah pemerintah Kerajaan Negara Dipa sejak ia ditubuhkan pada tahun 1387 Masihi adalah seperti berikut:

1. Empu Jatmika 2. Ratu Lambung Mangkurat 3. Raden Galuh Ciptasari 4. Raden Aria Gegombak Janggala Rasa 5. Raden Ariya Dewangsa 6. Raden Sekar Sunsang

ii. Kerajaan Negara Daha

Kerajaan Negara Daha merupakan satu kesinambungan kepada Kerajaan Negara Dipa berdasarkan kepada generasi pewarisnya yang bernama Raden Sekar Sunsang yang kemudiannya ditabalkan menjadi raja menggunapakai gelaran Maharaja Sari Kaburungan. Beliaulah yang telah memindahkan pusat pemerintahan Kerajaan Negara Dipa daripada Candi Laras ke Candi Agung, Kota Amuntai kerana kepercayaan tuah. Beliaulah juga yang telah menukar nama Kerajaan Negara Dipa kepada Kerajaan Negara Daha yang merujuk kepada lokasi baru ibukotanya yang terletak di Muhara Hulak, Daha Selatan.

Ketika berdirinya Kerajaan Negara Daha ini dikatakan penyebaran ajaran Islam sudah mula berkembang di Borneo. Pada masa pemerintahan raja yang pertama lagi iaitu Maharaja Sari Kaburungan jajahan takluk Kerajaan Negara Daha telah semakin berkembang bahagian barat sempadan Kerajaan Tanjungpura sehingga timur bersempadan dengan Kerajaan Kutai Kartanegara. Jika diukur daripada wilayahnya sekarang adalah membentang daripada provinsi Kalimantan Selatan sehingga ke Kalimantan Tengah.

Yang menjadi titik kepada kejatuhan Kerajaan Negara Daha adalah apabila berlakunya perebutan kuasa pemerintah iaitu pengganti Raja itu sendiri. Ada satu ketika ianya diperintah oleh Raden Sukarama yang bergelar Maharaja Sukarama sewaktu ditabalkan menjadi raja Kerajaan Negara Daha. Apabila beliau mangkat, beliau tidak menamakan salah seorang daripada tiga anakandanya sebagai penggantinya iaitu Raden Paksa, Raden Panjang dan Raden Bagulung. Sebaliknya beliau menamakan cucundanya sebagai penggantinya iaitu yang bernama Raden Samudera.

Akibat daripada ketidakpuasan hati inilah berlakulah perang saudara Kerajaan Negara Daha yang membawa kepada Raden Panjang merebut kuasa dan menghalau Raden Samudera lalu menabalkan dirinya sebagai Pangeran Tumenggung. Raden Panjang juga dikatakan telah menghalau Raden Samudera keluar daripada keraton Kerajaan Negara Daha yang berpusat di Kota Amuntai. Kerajaan Negara Daha hilang selepas sahaja Pangeran Tumenggung kalah kepada Raden Samudera yang memerintah Kerajaan Banjarmasin.

Salsilah pemerintah Kerajaan Negara Daha adalah seperti berikut:

1. Raden Sakar Sungsang bergelar Maharaja Sari Kaburungan 2. Raden Sukarama bergelar Maharaja Sukarama 3. Raden Samudera (tidak sempat ditabalkan menjadi raja) 4. Raden Panjang bergelar Pangeran Tumenggung

iii. Kerajaan Kesultanan Banjarmasin

Pada tanggal 24hb September 1526 muncullah satu kerajaan Islam yang di Borneo dan ianya diasaskan oleh Raden Samudera yang merupakan pemerintah sah Kerajaan Negara Daha yang kalah di dalam perebutan kuasa dengan ayahanda saudaranya iaitu Pangeran Tumenggung. Ketika melarikan diri setelah dihalau daripada keraton Kerajaan Negara Daha, beliau telah berlindung di satu daerah hilir Sungai Barito.

Pada ketika itu ianya hanyalah satu perkampungan kecil dan diketuai oleh Pati Masih. Oleh kerana perkampungan ini terletak pada laluan yang strategik ditambah lagi hasil perikanannya banyak maka memungkinkan ianya menjadi hab pelabuhan bagi penduduk di sekitar Kalimantan Selatan pada masa itu. Di ketika inilah seorang putera yang melarikan diri telah melihat potensi Banjarmasin untuk dijadikan sebuah kerajaan.

Oleh kerana bijaknya Raden Samudera menjadi pembantu kepada Pati Masih di dalam soal pentadbiran kampungnya ditambah lagi adanya darah raja didalam keturunannya menyebabkan seluruh penduduk kampung begitu hormat padanya. Hal ini menyebabkan akhirnya penduduk kampung berserta dengan Pati Masih bersetuju untuk mengangkat Raden Samudera sebagai raja kepada mereka dan menubuhkan satu kerajaan yang bernama Kerajaan Banjarmasin.

Walaupun begitu Kerajaan Banjarmasin pada masa itu masih lagi terpaksa akur kepada Kerajaan Negara Daha dan saban tahun mereka ditetapkan untuk menghantar ufti kepada pemerintah Kerajaan Negara Daha iaitu Pangeran Tumenggung. Apabila sering berlaku ketidakstabilan politik di dalam Kerajaan Negara Daha juga menyebabkan Kerajaan Banjarmasin ingin membebaskan diri daripada mereka.

Bagi mengelak daripada diperangi maka pada ketika itu juga Raden Samudera yang menjadi pemerintah Kerajaan Banjarmasin telah memohon perlindungan daripada Kerajaan Demak. Kerajaan Demak pada masa itu merupakan kerajaan Islam yang kuat di Nusantara dan permintaan daripada Raden Samudera disambut dengan bersyarat. Pada ketika itulah Sultan Demak meminta Raden Samudera untuk memeluk Islam berserta dengan rakyatnya.

Tanpa Sultan Demak ketahui sebenarnya ajaran Islam itu sudahpun ada di dalam keluarga diraja Raden Samudera iaitu sejak diperintah oleh moyangnya lagi iaitu Raden Sekar Sunsang iaitu yang dikenali sebagai Maharaja Sari Kaburungan. Beliau dikatakan pernah mengembara sewaktu zaman bujangnya sehingga ke tanah Jawa. Di sana beliau dikatakan menikahi seorang puteri dari Inderagiri yang bergelar Sunan Serabut dan dikurniakan seorang putera bernama Raden Panji Sekar. Jadi segala pelajaran Islam itu ada pada Raden Samudera Cuma beliau belum memeluk Islam.

Dan setelah memperincikannya dengan Sultan Demak maka Raden Samudera berserta dengan rakyat Kerajaan Banjarmasin telah beramai-ramai memeluk Islam. Raden Samudera ditabalkan menjadi Sultan pertama Kerajaan Kesultanan Banjarmasin dengan gelaran Sultan Suriansyah. Setelah memeluk Islam itu juga, Kerajaan Demak telah menghantar panglima perangnya dengan tentera Demak dibawah pimpinan Khatib Dayan.

Di Sungai Barito, tentera Khatib Dayan bersatu dengan tentera Sultan Suriansyah dan akhirnya memerangi tentera Kerajaan Negara Daha dibawah pimpinan Pangeran Tumenggung di satu kawasan bernama Sanghiang Gantung, Barito. Disinilah pertempuran berlaku yang akhirnya kemenangan diperolehi oleh Sultan Suriansyah. Setelah itu tiada lagi Kerajaan Negara Daha itu wujud kerana dikatakan Sultan Suriansyah telah menjadikannya hanya satu jajahan kecil. Ramai rakyat Kerajaan Negara Daha sendiri telah berpindah ke Banjarmasin kerana disitulah terletaknya kemakmuran dengan antara tempat penyebaran syiar Islam yang terkenal di Borneo pada waktu itu. Diketika pemerintahan Sultan Suriansyah inilah Kerajaan Banjarmasin semakin berada di kemuncaknya. Di ketika ini jajahan takluknya membentang di keempat-empat wilayah Kalimantan sekarang yang dikenali sebagai Kalimantan Utara, Kalimantan Selatan, Kalimantan Timur dan Kalimantan Barat. Ini bermakna wilayah rakyat Kerajaan Banjar yang dipanggil Orang Banjar ini ramai sebenarnya sehingga membenarkan ianya bertaburan di seluruh nusantara sekarang.

Dikatakan Kerajaan Banjarmasin ketika dibawah pemerintahan Islam inilah gah berdiri pelbagai infrastruktur untuk mendalami Islam malah masjid paling tertua di Kalimantan yang dikenali sebagai Masjid Sultan Suriansyah di Kuin, Kalimantan Selatan itu masih lagi utuh sebagai saksi bisu betapa syiar Islam di bumi Banjar ini menjadi daulah kepada kesaksian rakyat Banjar kepada agama Islam pada ketika itu.

Oleh itu tidak menghairankan bagaimana ramai pendakwah-pendakwah Islam terkenal adalah dari kalangan Orang Banjar menjadi mufti-mufti yang terkenal di kerajaan Islam di Nusantara yang lain seperti Syeikh Abdurrahman Siddiq bin Haji Muhammad Afif Al-Banjari atau Tuan Guru Sapat iaitu salah seorang Mufti terkemuka bagi Kerajaan Inderagiri.

Setelah berabad lamanya Kerajaan Banjarmasin merupakan satu kerajaan Islam yang gah di bumi Borneo dan akhirnya pada tahun 1905 Kerajaan Banjarmasin itu sendiri menemui titik kejatuhannya. Setelah banyak rentetan perang-perang Banjar yang berlaku antara Orang Banjar dengan Belanda. Perang Muara Tewah 1905 merupakan perang terakhir yang melemahkan terus sistem pemerintahan Kerajaan Banjarmasin itu sendiri.

Sultan Muhammad Seman iaitu sultan Banjar yang dikenali sebagai Gusti Matseman telah terkorban di dalam satu satu perang berlaku pada tahun 1905. Walaupun didokongi oleh saudara mereka seperti Dayak Siang dan banyak lagi di dalam perang tersebut namun kekuatan Belanda sukar untuk diramal. Gugurnya beliau mempertahankan tanahairnya daripada dijajah oleh Koloni Belanda telah memungkinkan Kerajaan Banjarmasin selepas itu runtuh secara total iaitu sekitar tahun 1905.

Walaupun selepas itu Orang Banjar tidak lagi mempunyai satu kerajaan yang utuh namun sifat pejuang mereka tetap diteruskan seperti sumpah yang sering dilaungkan oleh pahlawan Banjar suatu waktu dahulu “haram manyarah waja sampai kaputing”. Semangat ini telah membuatkan Koloni Belanda berhabis-habisan membuat beberapa siri “pembersihan etnik” Banjar di bumi Borneo sehingga memungkinkan mereka bertaburan berhijrah ke seluruh pelusuk Nusantara sekarang.

Salsilah pemerintah Kerajaan Kesultanan Banjarmasin adalah seperti berikut:

1. Raden Samudera bergelar Sultan Suriansyah (1526M-1545M) 2. Sultan Rahmatullah (1545M-1570M) 3. Sultan Hidayatullah (1570M-1595M) 4. Sultan Mustain Billah (1595M-1620M) 5. Sultan Inayatullah (1620M-1637M) 6. Sultan Saidullah (1637M-1642M) 7. Adipati Halid – pemangku Raja kerana putera mahkota belum dewasa(1642M-1660M) 8. Pangeran Amirullah Bagus Kesuma (1660M-1663M) 9. Sultan Agung (1663M-1679M) 10. Sultan Tahlilullah (1679M-1700M) 11. Sultan Kuning (1700M-1734) 12. Sultan Tamjidillah I (1734M-1759M) 13. Sultan Muhammad Aliuddin Aminullah (1759M-1761M) 14. Sultan Tahmidullah (1761M-1801M) 15. Sultan Suleman Al-Mutamidullah (1801M-1825M) 16. Sultan Adam Al-Wasik Billah (1825M-1857M) 17. Sultan Tamjidillah II (1857M-1859M) 18. Panembahan Amir Oeddin Khalifatul Mu’mina atau Pangeran Antasari (1859M-1962M) 19. Sultan Muhammad Seman atau Gusti Matseman (1862-1905)


Inilah satu sejarah panjang mengenai satu kerajaan kuno yang pernah wujud di bumi Borneo suatu waktu dahulu. Yang pada mulanya pengasasnya adalah di kalangan kaum pribumi Borneo yang dikenali sebagai Kerajaan Kahuripan dan seterusnya diwariskan kepada seorang darah keturunan Majapahit yang bernama Empu Jatmika melalui Kerajaan Negara Dipa.

Apabila bertukar lokasi pemerintahan menjadi Kerajaan Negara Daha dan seterusnya diwariskan kepada Sultan Suriansyah yang menjadikannya sebuah Kerajaan Islam yang ulung di bumi Borneo yang bergelar Kerajaan Kesultanan Banjarmasin. Akhirnya kerajaan Islam ini runtuh akibat diperangi berhabis-habisan oleh penjajah Koloni Belanda pada tahun 1905 Masihi.

Rujukan:

1. Penerbit: Fakulti Sastera, Universiti Indonesia. Buku Bertajuk: Kerajaan Banjarmasin Di Ambang Keruntuhannya (1826-1859) Terbitan tahun 1984

2. Penerbit: Hafamira, Indonesia. Buku Bertajuk: Asal Usul Kerajaan Banjar. Terbitan 1995

3. Penerbit: Pusat Penelitian, Universiti Lambung Mangkurat, Indonesia. Buku Bertajuk: Runtuhnya Kerajaan Banjar; Politik Kolonial Belanda dan Pengaruhnya, Terbitan: 1992

4. Banjar Kingdom http://melayuonline.com/eng/history/dig/211/banjar-kingdom

bottom of page