top of page

KAPAL PERANG JEPUN YANG TENGGELAM DI SARAWAK WW2


KAPAL PERANG JEPUN YANG TENGGELAM DI SARAWAK WW2

Jika kita melihat kepada urutan di dalam pertempuran sewaktu Perang Dunia Kedua yang berlangsung pada akhir tahun 1941 menyaksikan hanya sedikit masa sahaja yang digunakan oleh pihak Tentera Jepun untuk menduduki keseluruhan Tanah Melayu, Borneo Utara mahupun Sarawak pada masa itu. Dan pendudukan Jepun inilah merupakan satu titik pertukaran kepada wilayah jajahan Koloni British ini menjadikan sebahagian daripada wilayah pendudukan Jepun yang berlangsung dari tahun 1941 sehinggalah 1945.

Dan di dalam menyelusuri sejarah Perang Dunia Ke-2 ini di Sarawak sudah tentu lokasi pertama yang dijejaki oleh Jepun adalah Bandar Miri. Di dalam pada itu kita juga mengetahui betapa pakar risikan Jepun telah terlebih dahulu menyediakan segalanya mengenai Sarawak sebelum mereka mula menakluki Sarawak pada masa itu.

Tepat jam 1.00 tengahari pada tanggal 13 Disember 1941, angkatan tentera Jepun telah meninggalkan Teluk Cam Ranh, Vietnam menuju ke Sarawak. Menurut sejarah perang menyatakan bahawa kekuatan angkatan tentera Jepun ini yang terlibat adalah:

- Kapal pengiring Cruiser bernama Yura dibawah kendalian Laksamana Muda Shintaro Hashimoto. Ini termasuk 2 kapal sokongan iaitu Kumano dan Suzuya. - Kapal perang pemusnah bernama Murakumo, Shinonome, Fubuki dan Sagiri. - Kapal selam pemburu yang bernama Usugumo - Kapal pembawa pesawat tempur yang dinamakan Kamikawa Maru - 10 buah kapal pengangkut yang membawa anggota tentera daripada Briged Kawaguchi serta kesemua pakar-pakar penggerudian minyak serta infantri perubatan mereka.

Sewaktu di dalam pelayaran menuju ke Sarawak, kesemua angkatan Tentera Laut Jepun telah diberikan perlindungan oleh kapal selam Jepun I-62, I-64, I-65 dan I-66 yang ditempatkan di sepanjang laluan. Konvoi angkatan laut Jepun ini mulanya mengarah ke arah Barat Daya pada waktu siangnya kerana tidak mahu dihidu oleh angkatan tentera perikatan tetapi ketika menjelang malam akan mengubah laluan ke Tenggara yang menghala terus ke Bandar Miri, Sarawak.

Di dalam kerancakan pendudukan Jepun di Borneo ini sudah tentu ada kapal-kapal mereka yang berjaya dibom oleh pihak British mahupun Belanda pada waktu itu. Untuk artikel dari genre Sejarah Perang Borneo ini akan menampilkan sumber informasi sejarah mengenai kapal-kapal Tentera Jepun yang “kalah” di perairan Sarawak. Sekarang, bangkai kapal-kapal perang ini terkubur di dasar laut Sarawak dan menjadi sumber hidupan laut serta merancakkan sumber industry pelancongan di Sarawak iaitu di dalam aktiviti menyelam.

Kapal-kapal Perang Jepun yang dimaksudkan adalah:


i. Katori Maru

ii. Hiyoshi Maru

iii. Sagiri Maru

iv. Atago Maru



1. Katori Maru

Katori merupakan kapal pengangkut tentera Jepun yang berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Jepun. Dibina pada tahun 1913 dan dibina oleh Mitshubishi Dockyard & Engineering Work, Nagasaki, Jepun. Dinamakan Katori mengambil bersempena dengan nama Shinto Katori, seorang legenda Jepun.Mempunyai kuasa kelajuan sehingga ke 145 knots dengan menggunakan kuasa injin stim.


Pada tanggal 24 Disember 1941 ketika di dalam perjalanan ke Kuching telah bertembung dengan kapal selam Koloni Belanda K-XIV dan memungkinkan ianya ditembak oleh torpedo lalu karam di perairan Santubong.Bangkai kapal ini bersemadi di perairan Santubong iaitu kira-kira 1 jam perjalanan dengan menggunakan bot laju dari pantai Santubong.



2. Hiyoshi Maru


Hiyoshi merupakan kapal pengangkut tentera Jepun yang berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Jepun sejak di Perang Dunia Pertama lagi.Ianya merupakan antara salah satu kapal pengiring kepada Katori Maru di dalam setiap pelayaran kapal tersebut.


Oleh kerana ianya merupakan kapal pengiring maka ianya juga menerima nasib yang sama seperti Katori Maru yang tenggelam setelah terkena torpedo pada tanggal 24 Disember 1941 oleh kapal selam milik Koloni Belanda K-XIV.Sekarang ianya juga terdampar di dasar laut perairan Santubong Lokasinya juga adalah sama seperti Katori Maru iaitu 1 jam perjalanan daripada pantai Santubong.



3. Sagiri Maru


Sagiri merupakan salah sebuah kapal pemusnah di dalam Kelas Fabuki yang dibina oleh Tentera Laut Diraja Jepun apabila berlakunya Perang Dunia Pertama lagi.Ianya merupakan antara kapal pemusnah terbaik yang pernah dikeluarkan oleh Jepun sejak di kancah perang dunia pertama lagi.Kecemerlangannya terbukti sebagai kapal pemusnah terbaik sejak berlaku di Perang Pasifik lagi.


Mempunyai sistem pemusnah istimewa yang dikenali sebagai Tokugata dan mampu mencapai sasaran yang lebih jauh daripada kapal-kapal pemusnah Jepun yang lain.Dibina di Uraga Dock Company, Jepun dan telah beberapa kali diubahsuai bagi memantapkan sistem pemusnahnya.


Sekitar tahun 1937, Sagiri terlibat dengan Perang Sino-Jepun Kedua, Sagiri telah diarahkan untuk ke perairan Laut China Selatan. Pada tanggal 24 Disember 1941, Sagiri juga memasuki perairan Santubong dan telah bertembung dengan kapal selam Koloni Belanda.Pada ketika itu juga, ianya terkene bedilan torpedo oleh K-XVI lalu tenggelam.


Jika Hiyoshi dan Katori tidak mempunyai krew yang berjaya menyelamatkan diri namun untuk Sagiri dikatakan hampir 120 orang krewnya diselamatkan oleh kapal pengiringnya iaitu Shirakumo.Lokasi bangkai kapal ini adalah kira-kira 1 jam 30 minit perjalanan bot laju dari Santubong.


Sagiri merupakan kapal Jepun yang terakhir yang berjaya dimusnahkan oleh submarine Koloni Belanda K-XVI kerana pada awal pagi 25 Disember 1941, K-XVI pula dimusnahkan oleh submarine Jepun I-66 yang mengorbankan kesemua anak kapalnya.



4. Atago Maru


Kapal Atago sebenarnya merupakan sebuah kapal perdagangan milik Jepun yang dibina pada tahun 1924 oleh Glasgow by Lithgows & Sons.Ianya merupakan kapal perdagangan yang menggunakan injin diesel pertama hakmilik Jepun.Oleh kerana ianya merupakan kapal komersil maka Atago beroperasi diantara Kobe, Yokohama dan juga pantai barat USA dan Canada.


Sekitar Disember 1942, ianya telah digunakan oleh Tentera Laut Diraja Jepun dan diubahsuai sebagai kapal tangki minyak untuk kegunaan peperangan. Sekitar tahun 1942 setelah kerja pengubahsuaian siap, Atago telah diarahkan untuk berkhidmat di Sarawak iaitu di Miri.


Pada tanggal 28 November 1944, iaitu ketika berlabuh dan sedang memuatkan minyak di Refinery Lutong, Miri dikatakan telah dibom oleh USAAF 13TH Airforce B-24 “Liberator” milik British dan akhirnya tenggelam di dasar laut Miri.Sekarang ianya merupakan antara kawasan selaman yang popular di Miri iaitu kira-kira 20 minit perjalanan dengan bot laju daripada pantai Miri.


Mengikut sejarahnya ada banyak lagi kapal-kapal Jepun yang karam di perairan Sarawak namun begitu untuk kali ini hanya 4 sahaja yang diketengahkan kerana kawasan 4 kapal Jepun tenggelam ini merupakan antara kawasan selaman yang terbaik dan mempunyai sejarahnya yang padat. Semoga ianya berguna untuk ruang informasi sejarah bagi semua anak Sarawak.


bottom of page