top of page

PANTAI TUSAN, MIRI, SARAWAK


PANTAI TUSAN, MIRI, SARAWAK

Lokasinya agak ke pedalaman malah jalan menuju ke lokasi tersebut dikatakan tidaklah sehebat di lokasi-lokasi yang terkenal di Miri, Sarawak seperti Tanjong Lubang mahupun Luak Esplanade. Tetapi sekitar bulan September dan Oktober 2015, tiba-tiba nama pantai ini menjadi popular sehingga membawa kepada ramainya pengunjung ke pantai ini. Inilah tuah Pantai Tusan di Miri, Sarawak. “From Zero To Hero” begitulah bidalan di dalam bahasa Inggeris apabila merujuk kepada istimewanya pantai ini.

Yang menyebabkan secara tiba-tiba pantai “dara” yang bernama pantai Tusan ini menjadi popular kerana adanya satu fenomena alam yang dinamakan “air mata biru” atau di dalam bahasa saintifik “biolomunescence”. Dan ianya begitu istimewa kerana hanya di kawasan pantai Miri sahaja yang mempunyai fenomena ini iaitu ianya bermula di Pantai Tusan sebelum ke pantai-pantai lain yang sealiran dengannya di bumi Miri.

Setakat ini yang dicatatkan lokasi yang pernah berlaku fenomena “air mata biru” ini adalah do Kepulauan Matsu di Taiwan, Pantai Vaadhoo di Kepulauan Maldivesm, beberapa pantai di USA, Laut Caribbean, Eropah dan Australia. Jadi oleh kerana itulah apabila berlakunya fenomena tersebut di bumi Malaysia amnya dan khususnya di Sarawak iaitu Miri ianya telah membawa kepada peningkatan pelancong baik di dalam negeri mahupun luar Negara datang berpusu-pusu ke Tusan untuk melihat fenomena istimewa ini.

Mungkin ianya terlalu ajaib bagi kita kerana fenomena ini mungkin hanya boleh kita tonton di dalam filem “Avatar” dengan pantainya yang umpama Kristal kebiru-biruan sungguh mengasyikkan bagi kita. Sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan “air mata biru” ini adalah ada kene mengena dengan sejenis plankton iaitu sejenis hidupan laut mikro. Dikatakan apabila ianya di dalam jumlah yang banyak ianya akan mengubah tenaga kimianya menjadi tenaga cahaya kerana bertindak untuk mempertahankan diri.

Dan apabila air laut yang di perairan Miri pada bulan September dan Oktober mempunyai suhu yang agak panas maka ianya menberikan reaksi sedemikian rupa sehingga membentuk tona-tona warna kebiruan-biruan di tepi pantai dan laut yang mengasyikkan. Inilah yang menyebabkan pantai di Tusan pada ketika itu seperti bermandikan cahaya neon-neon kecil sedangkan hakikatnya yang mengeluarkan warna itu adalah satu hidupan laut iaitu plankton yang sering menjadi dambaan ikan-ikan.

Setakat ini tidaklah diketahui samada Pantai Tusan ini masih lagi dilanda fenomena “air mata biru” kerana mungkin suhu air laut telah berubah-ubah. Mungkin juga tahun hadapan ataupun tahun-tahun yang seterusnya di dalam bulan yang sama iaitu September dan Oktober aka nada lagi fenomena ini melanda pantai-pantai di Miri tidaklah kita ketahui. Namun begitu ianya tidak bermakna Pantai Tusan terus dilupakan kerana sebenarnya pantai ini mempunyai kecantikan yang luar biasa malah mempunyai satu kawasan bukit tinggi yang cantik.

Adalah diharapkan selepas ini segala infrastruktur di Pantai Tusan bolehlah dinaiktaraf dan tidaklah keterlaluan untuk meletakkannya di kalendar pelancongan Sarawak Bumi Kenyalang agar ianya terus dapat menjadi pemangkin kepada ekonomi masyarakat setempat. Lagipun jika diambilkira, lokasi yang berdekatan di Tusan seperti Bekenu juga boleh diangkat menjadi produk pelancongan kerana disinilah berhimpunnya tradisi dan cara hidup masyarakat Kedayan Bekenu yang unik dan menarik. Lan Berambeh Ke Sarawak!

bottom of page