top of page

FORT SIBU, SIBU


FORT SIBU, SIBU

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa satu ketika dahulu ada sebuah kubu Brooke yang pernah dibina di Sibu. Hanya dikenali sebagai Fort Sibu adalah satu kubu pertahanan yang dibina sekitar tahun 1862. Seperti kebanyakan kubu-kubu Brooke, Fort Sibu juga dibina bagi menandakan kekuasaan pentadbiran Kerajaan Sarawak Kingdom di Sibu pada suatu masa dahulu.

Setelah siap sepenuhnya, Fort Sibu merupakan antara salah satu kubu terpenting bagi pentadbiran Brooke di Sarawak. Umum mengetahui DUN Sarawak merupakan DUN yang tertua di Gagasan Malaysia dengan penubuhannya adalah sejak tahun 1860an lagi iaitu ketika pemerintahan Brooke berkuasa di Sarawak. Sekitar 8hb September 1867, mesyuarat DUN Sarawak yang pertama telah diadakan di Bintulu.

Untuk mesyuarat DUN Sarawak 1868 pula telah diadakan di Sibu, Sarawak dan ianya adalah bertempat di Fort Sibu. Dikatakan ketika mesyuarat kedua ini berlangsung banyak keramaian telah diadakan oleh penduduk setempat di Sibu kerana pada waktu itu ramai pemimpin-pemimpin Sarawak telah berkumpul untuk menghadiri mesyuarat terpenting bagi Sarawak Kingdom pada waktu itu.

Sekitar tahun 1870, sekali lagi Fort Sibu menjadi saksi bisu di dalam kekuasaan Brooke di bumi Sarawak kerana pada tahun itulah ianya buat pertama kalinya diserang oleh penentang pentadbiran Brooke di bumi Sarawak. Panglima Lintong, pemimpin Iban Kanowit telah menghilir Sungai Rejang bersama-sama dengan 3000 pengikut telah menyerang Fort Sibu.

Pada masa itu, Fort Sibu ditadbir oleh seorang pegawai British bernama Henry Skelton yang baru sahaja ditukarkan ke Sibu dari Kuching. Di awal pagi ketika dia sedang baru hendak bersarapan itulah, Lintong dengan pengikutnya telah cuba menyerang Fort Sibu. Dengan dibantu oleh Brooke Low serta lebih kurang 50 orang askar upahan berbangsa Sikh yang berkhidmat dengan Kerajaan Sarawak Kingdom telah berjaya mengalahkan Lintong daripada terus menghampiri Fort Sibu pada masa itu.

Henry Skelton pula selepas sahaja perang dengan Lintong dan Iban Kanowits itu reda telah dipanggil semula untuk bertugas di Sri Aman dan sekitar tahun 1973, beliau telah kembali ke Kuching. 2 bulan selepas itu ketika di Kuching dikatakan beliau telah diserang demam panas sehingga beliau menemui ajal. Henry Skelton disemadikan di Tanah Perkuburan Lama Kristian yang terletak di dalam kawasan Gereja St. Thomas, Kuching sekarang.

Menurut sebuah buku yang bertajuk “Sibu of Yesterday” diterbitkan oleh Sarawak Chinese Cultural Association pada tahun 2002 menyatakan bahawa sekitar tahun 1862, Rajah Brooke telah mengarahkan pembinaan sebuah kubu yang bernama Fort Sibu. Fort Sibu in dibina sebagai pusat pentadbiran Brooke memandangkan pada ketika itu perkembangan ekonomi yang meliputi Sungai Rejang dan kawasan wilayahnya sedang berkembang.

Dan ini amat bertepatan sekali dengan apa yang dinyatakan di dalam Sarawak Gazette, 24 Januari 1871, No 16 yang menyatakan bahawa Sibu merupakan salah satu pusat pentadbiran terpenting di Sarawak Kingdom. Dan satu kubu pentadbiran terletak di antara cabang Sungai Igan dan Sungai Rejang bagi melancarkan lagi pentadbiran di Sibu pada waktu itu.

Sekitar tahun 1936 dikatakan Fort Sibu telah dirobohkan bagi membenarkan pembangunan yang lebih teratur dan rancak di Sibu pada waktu itu. Dan di dalam menjejaki dimanakah lokasi sebenarnya Fort Sibu ini jika berdasarkan kepada buku yang dikeluarkan oleh Sarawak Chinese Cultural Association, 2002 dan juga Sarawak Gazette, 24/1/1871, No 16 seperti ianya merujuk kepada tapak bangunan Lembaga Pelabuhan Rejang sekarang adalah dahulunya Fort Sibu berada.


bottom of page