ADAT MENGAWAL KUBUR DI DALAM KOMUNITI BAJAU, SABAH
ADAT MENGAWAL KUBUR DI DALAM KOMUNITI BAJAU, SABAH
Masyarakat Bajau merupakan salah satu daripada etnik pribumi di Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Jumlah populasinya merupakan yang kedua terbesar selepas kaum Kadazan. Seperti etnik pribumi di Borneo yang lain, masyarakat Bajau juga kaya dengan adat tradisi serta budaya yang unik.
Terkenal dengan panggilan “Koboi Timur” kerana orang Bajau Darat misalnya sememangnya mahir di dalam menunggang kuda. Dahulunya orang Bajau juga mengamalkan kepercayaan animisme namun setelah kedatangan agama sekitar abad ke-19 Masihi, hampir keseluruhan etnik Bajau di Sabah sudahpun memeluk Islam sebagai panduan penghidupan mereka.
Jika di Sarawak, Masyarakat Melanau mempunyai satu festival yang diwarisi berkurun lamanya iaitu Pesta Kaul yang juga sebenarnya adalah pesta pantai. Untuk masyarakat Bajau di Sabah juga tidak kurang dengan satu pesta mereka yang dirayakan saban tahun yang dipanggil Pesta Lepa-Lepa. Dan selain daripada keunikan tradisi masyarakat Bajau ini juga mempunyai satu adat yang berlainan sama sekali yang tidak ada pada mana-mana etnik pribumi di Borneo. Adat tradisi yang dimaksudkan adalah adat mengawal kubur iaitu satu adat yang diwarisi sejak berkurun lamanya.
Di dalam penghidupan masyarakat Bajau, adat resam berkaitan kelahiran, perkahwinan dan juga kematian merupakan antara adat resam yang amat dititikberatkan. Menurut masyarakat Bajau apabila adanya kematian di dalam komuniti mereka maka akan kedengaran tawak-tawak patai iaitu satu gong tradisional orang Bajau akan dipalu. Tujuannya adalah untuk memberitahu seluruh kampung bahawa telah ada kematian yang berlaku di dalam keluarga itu.
Dan sudah menjadi kebiasaan seluruh komuniti Bajau yang tinggal berdekatan akan bertandang dan mereka akan bergotong-royong untuk membuat sebarang persiapan bagi mengkebumikan jenazah mengikut agama yang dianuti. Walaupun kebanyakan masyarakat Bajau adalah Muslim namun adat kematian mereka yang diamalkan berkurun lamanya tetap dipertahankan. Contohnya adat Naja-naja iaitu satu adat yang diadakan apabila selesai sahaja jenazah dikapankan, disembahyang dan juga diletakkan di dalam keranda sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Adat Naja-naja ini diadakan dengan ahli keluarga si mati yang terdekat akan diarahkan untuk berjalan berulang-alik di bawah keranda si mati dengan disaksikan kesemua tetangga. Menurut kepercayaan masyarakat Bajau, ini dilakukan bagi menandakan bahawa keluarga si mati redha dengan kepergian saudara mereka ini. Dengan ini rohnya akan tidak akan pulang ke rumah kerana ingin memohon maaf pada keluarganya sekiranya dia ada berbuat salah.
Dan apabila jenazah sudah disiapkan untuk dikebumikan di tanah perkuburan masyarakat Bajau, sudah menjadi kebiasaan sekiranya di liang lahad jenazah itu nanti akan disertakan dengan beberapa biji buah pinang. Beberapa biji buah pinang ini akan dibungkus di dalam sehelai kain putih dan kemudian diletakkan disisi jenazah sebelum dikuburkan. Menurut adat masyarakat Bajau ini tujuan buah pinang ini diletakkan di sisi jenazah sebelum dikuburkan adalah mewakili cucu-cucu si mati yang masih kecil. Ianya juga berkonsepkan bahawa roh si mati tidak akan menganggu semangat generasinya yang masih kecil yang sudah tentu alah dengan dunia mistik dan sebagainya.
Selain daripada itu antara pantang larang sewaktu adanya kematian di dalam keluarga adalah di rumah si mati itu sendiri sepanjang satu minggu iaitu dari hari pertama si mati meninggal dunia sehingga ke hari ke tujuh. Antara pantang larang tersebut adalah:
1. Tidak dibenarkan untuk memecahkan barangan kaca secara gelas, pinggan mangkuk dan sebagainya. Sekiranya berlaku maka itu merupakan satu petanda yang tidak baik.
2. Tidak dibenarkan untuk melakukan kerja-kerja seperti menjahit baju, bertukang mahupun menganyam.
3. Rumah si mati tidak boleh dicuci.
Kemudian setelah si mati selamat disemadikan maka penduduk kampung dan juga ahli keluarga si mati akan memulakan adat mengawal kubur selama 7 hari. Pada masa ini hanya golongan lelaki yang dibenarkan untuk menjadi pengawal kubur manakala golongan wanita dan kanak-kanak pula diminta untuk berjaga di rumah si-mati. Mereka akan bergilir-gilir untuk menjaga kubur tersebut selama 7 hari berdasarkan kepada persetujuan yang telah diatur diantara keluarga dan penduduk kampung.
Adat Kawalan Kubur ini sebenarnya adalah satu adat yang diwarisi oleh masyarakat Bajau sejak berkurun lamanya dan merupakan adat nenek moyang mereka yang dilestarikan dari satu generasi ke generasi. Menurut kepercayaan masyarakat Bajau, adat kawalan kubur selama 7 hari ini wajib dilakukan agar mayat yang baru dikebumikan itu tidak didatangi oleh “balan-balan” yang dikatakan boleh memakan segala organ dalaman mayat di dalam kubur.
Jika kita meninjau dari aspek saintifik sememangnya umum mengetahui bahawa setiap jasad yang sudah meninggal dunia dan dikebumikan akan melalui beberapa proses-proses reputan bermula dari hari pertama sehinggalah ke hari ke tujuh. Jadi sekiranya kawalan kubur selama 7 hari ini bagi menjaga proses-proses mereput ini tidak diganggu oleh makhluk-makhluk mistik mungkin ada kebenarannya.
Untuk lebih memahami apakah itu makhluk yang bernama “Balan-balan” iaitu satu makhluk yang amat ditakuti suatu ketika dahulu mungkin namanya jika di Sabah dikenali dengan nama “Balan-balan”, di Sarawak pula dikenali dengan nama “Tengkalan” atau “Penanggal”. Jika di Pantai Timur Semenanjung Malaysia pula dikenali dengan nama “Tenggarong” atau “Antu Penanggal”. Jadi kesemua nama-nama ini adalah merujuk kepada hal yang sama iaitu sejenis lembaga yang sebenarnya berasal daripada manusia tetapi kerana mengamal dan menuntut ilmu hitam maka ianya akan menjadi sebegitu rupa.
Suatu ketika dahulu dipercayai mereka yang menuntut ilmu sebegini sebenarnya adalah manusia yang ingin sentiasa cantik dan boleh hidup lama. Dan kerana itulah mereka sanggup membuat perjanjian dengan Iblis sehingga menongkah kepercayaan agama mereka sendiri. Dikatakan bagi menjadikan ilmu ini lebih kuat setiap pengamalnya harus membaca jampi mantera ilmu balan-balan selama 44 hari.
Dan dikatakan apabila sudah mencapai tahap yang ditetap maka badan si pengamal ilmu ini akan panas dan gatal miang. Pada saat itulah dikatakan kepalanya akan tercabut dan terpisah daripada badan beserta dengan segala isi perut. Kemudian balan-balan ini akan terbang mencari mangsa dan kebiasaannya mencari ibu yang baru selepas melahirkan anak. Namun aktiviti balan-balan ini hanya berlaku pada waktu malam manakala di waktu siangnya dia normal seperti manusia yang lain.
Mengikut kepercayaan masyarakat Bajau dahulu, balan-balan ini sekiranya tidak mencari mangsa ibu bersalin, ianya akan mula menyerang dan menghisap darah manusia. Dan sekiranya gagal juga maka alternatifnya yang terakhir dan paling mudah adalah menyerang mayat manusia lalu memakan segala organ di dalam tubuh mayat itu lebih-lebih lagi hatinya. Dan oleh kerana itulah suatu waktu dahulu adanya adat ini demi menjaga kesempurnaan mayat yang dikebumikan daripada menjadi mangsa manusia bertopengkan iblis.
Suatu waktu dahulu mungkin adat mengawal kubur ini adalah satu adat yang menyeramkan lebih-lebih lagi setiap pengawal kubur akan terpaksa berhadapan dengan segala ilmu hitam ini. Namun sejajar apabila ramai yang telah berpegang teguh kepada agama masing-masing maka segala amalan ilmu hitam ini sudah tiada lagi. Walaupun begitu kerana ini adalah adat warisan Bajau maka ianya tetap dilestarikan bagi mengekalkan identiti orang bajau itu sendiri.
Oleh kerana ramai yang telah memeluk Islam maka sewaktu melestarikan adat mengawal kubur ini juga diselang seli dengan bacaan surah yassin dan al-quran. Selain itu untuk menghilangkan rasa mengantuk berjaga sepanjang malam ada sesetengah pengawal kubur itu akan bersama-sama bermain permainan tradisional Bajau seperti “pasang”, congkak dan banyak lagi.
Inilah keunikan satu adat yang masih dilestarikan di dalam komuniti Bajau di Sabah yang sudah tentu mempunyai jalan ceritanya sendiri. Apabila ada hal yang berkaitan dengan mengawal kubur sudah tentu ramai yang membayangkan suasana yang menyeramkan sebaliknya sebenarnya adat mengawal kubur ini amat meriah dan ceria tanpa ada unsur-unsur mistik selari dengan zaman moden sekarang.
Rujukan:
1. Author: Saidatul Nornis Hj. Mahali. Buku: Ritual Kematian Di Sabah. Publisher: Utusan Kinabalu Co. Sdn Bhd. 2010.
2. The Peoples of The World Foundation – The Bajau People
http://www.peoplesoftheworld.org/text?people=Bajau
3. Etnik Sabah Di Dalam Kepelbagaian Kebudayaan - Info Penerangan Malaysia