EKSPLORASI MINYAK DI SARAWAK (1845 – 1963)
EKSPLORASI MINYAK DI SARAWAK (1845 – 1963)
Sarawak merupakan antara sumber utama punca ekonomi bagi Gagasan Malaysia iaitu lebih-lebih lagi di dalam penggalian sumber “emas hitam” iaitu minyak / petroleum. Ianya adalah satu hakikat yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak. Selaras dengan itu, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa sejarah eksplorasi minyak di Sarawak bukan hanya berlaku ketika pembentukan Malaysia iaitu bermulanya pada tahun 1963 namun sejarah ekplorasi minyak adalah seusia dengan pemilikan lebih 100 tahun Sarawak Kingdom dibawah pentadbiran Keluarga Brooke lagi.
Era Pemerintahan Brooke di Sarawak Kingdom (1840an-1941)
Sejak diawal lagi pemerintah Sarawak Kingdom yang pertama iaitu Rajah James Brooke telah menitikberatkan pentingnya “emas hitam” ini untuk dieksplorasi. Rajah James Brooke sendiri telah mengarahkan seorang rakannya iaitu ahli geologi bernama Hiram Williams untuk membuat kajian pertama mengenai kewujudan minyak di Sarawak.
Pada masa yang sama juga, Rajah James Brooke melalui rakan baiknya iaitu seorang pengembara botani terkenal yang telah menjelajah Sarawak sekitar tahun 1854 sehingga 1862 juga turut memberi sokongan kepada James Brooke untuk terus membuat kajian mengenai minyak di Sarawak. Melalui bukunya The Malay Archipelago (1869). Wallace mengatakan:
“… to coal mines in Sarawak: These coal mines puzzle the natives exceedingly, as they cannot understand the extensive and costly preparations for working coal, and cannot believe it is to be used only as fuel when wood is so abundant and so easily obtained.”- Wallace, 1869-
Melihat kepada pelbagai sokongan dan reaksi daripada kawan-kawannya maka James Brooke sebagai Rajah pertama Sarawak Kingdom pada masa itu telah berusaha sebaik mungkin untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat di Scotland mahupun di Singapura yang mampu menguruskan pencarian minyak di Sarawak dengan lebih berkesan. Dan oleh kerana itulah, Brooke telah menubuhkan Borneo Company Limited sekitar tahun 1856 di London. Ini semua dilakukan untuk menguruskan sumber perdagangan bagi Sarawak ketika itu berjalan lancer dan berkesan.
Selesai sahaja penubuhannya maka Borneo Company Limited telah berusaha sebaik mungkin untuk menguruskan sumber galian Sarawak Kingdom seperti perlombongan emas dan antimony serta juga minyak di Sarawak. Segala bentuk kerja-kerja pemetaan dan pengukuran tanah secara geologi terus dipertingkat dengan membawa masuk seberapa ramai pakar-pakar geologi minyak dari British ke Sarawak pada masa itu.
Apabila Sarawak Kingdom diwariskan kepada rajah kedua iaitu Rajah Charles Brooke, eksplorasi minyak di bumi Sarawak semakin diperhebatkan. Umum mengetahui bahawa Rajah Charles merupakan antara rajah Sarawak Kingdom yang paling bijak menguruskan Sarawak di dalam sejarahnya. Sewaktu pemerintahan beliau, Sarawak Kingdom sungguh makmur sehingga mampu membina banyak bangunan ala-ala Eropah seperti yang kita lihat sekarang di Kuching dan tempat lain-lain di seluruh Sarawak.
Sewaktu pemerintahan Rajah Charles Brooke ini seorang pakar geologi minyak iaitu Dr. T. Posewitz telah mula menjalankan pengkajian dan akhirnya mula meneroka telaga-telaga minyak di Bandar Miri sekitar tahun 1892. Sebenarnya jauh sebelum itu, rakyat Miri sebenarnya telahpun mula menjalankan kerja-kerja penggalian secara konvensional lebih dahulu sebelum Brooke membawa masuk segala jentera berat.
Ini dapat dijelaskan oleh seorang penjawat awam kerajaan Sarawak Kingdom yang bernama Claude Champion Crespigni iaitu Residen pertama Marudi melalui laporannya yang ditulis sekitar 1882 menyatakan bahawa terdapat 18 buah telaga minyak yang digali secara manual oleh penduduk tempatan yang harus dipertimbangkan. Kemudian sekali lagi di dalam laporan beliau pada tahun 1884 ada menyatakan.
“…the oil district near the mouth of the Miri River should be thoroughly searched and reported on.” “Earth oil” was used by local people for lighting lamps, waterproofing boats, and medicinal purposes…” – Crespigni,1884.
Walaupun Crespigni telah memberi laporan mengenai penemuan telaga minyak konvensional di Miri pada tahun 1884 namun begitu pada masa itu ianya tidak mendapat perhatian yang lebih daripada Rajah Charles Brooke sehinggalah seorang rakannya iaitu Dr Charles Hose mula berkhidmat sebagai Residen Baram sekitar tahun 1884 sehingga 1904.
Dr Hose telah membaca laporan Crespigni dan minatnya yang mendalam itu telah memohon izin daripada Rajah Charles Brooke untuk menggunakan segala laporan pemetaan dan kajian mengenai minyak di Miri untuk dihantar kepada rakan-rakannya di London sekitar tahun 1904. Ini kerana pada masa itu Dr Hose telah bersara dan kembali ke England.
Setelah mendapat keizinan dan di kota London segala usahanya mendapat perhatian daripada Mr. H.N Benjamin iaitu antara pemegang saham terbesar Anglo-Saxon Petroleum (salah satu anak syarikat Royal Dutch/SHELL Group). Dan oleh kerana itulah dikatakan Rajah Charles Brooke atas nasihat Dr Hose telah pulang ke London pada tahun 1907 untuk bersama-sama membincangkan langkah-langkah selanjutnya mengenai usaha eksplorasi minyak di Miri dengan secara besar-besaran.
Setelah perjanjian dimeterai antara Kerajaan Sarawak Kingdom dengan SHELL Group pada tahun 1907 maka semakin rancak aktiviti eksplorasi di Miri. Telaga minyak yang pertama digali adalah pada tahun 1910 setelah SHELL menghantar ahli geologi kanannya yang berketurunan Swiss iaitu Dr. Josef Theodore Erb. Melalui laporan dan pemetaan daripada beliaulah barulah segala asas penggerudian minyak dimulakan sekitar bulan Julai 1910 di satu telaga yang dinamakan Grand Old Lady (Miri Well) yang terletak di Canada Hill, Miri sekarang.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa sebenarnya penggalian telaga minyak yang pertama di bumi Sarawak melalui Miri Well 1 ini sebenarnya menggunakan kaedah yang agak konvensional. Ini kerana pada itu seorang jurutera minyak dari Canada yang bekerja dengan SHELL telah merekacipta satu bentuk alat penggerudian yang mengambilkira teknologi untuk mendapatkan garam di China.
Rig yang telah dihasilkannya ini telah berjaya memberi penggerudian minyak yang lebih berkesan setelah beberapa kali teknik penggerudian digunakan. Dan kerana itulah Miri Well 1 ini dinamakan dengan nama Canada Hill atau Bukit Kanada kerana mengambil bersempena nama juruteranya iaitu Mr. McAlphine, seorang warganegara Kanada.
Sejak daripada penemuan pertama di Miri Well itu tiada lagi yang dapat diperkatakan mengenai kerancakan industri minyak di Sarawak pada masa itu. Satu demi satu telaga minyak di kawasan daratan di bumi Miri dan kawasan sekitarnya diterokai dan berjaya mengeluarkan penghasilan yang cukup hebat kepada Sarawak Kingdom pada masa itu.
Sejajar dengan kepesatan itu juga, SHELL Group telah menubuhkan Sarawak Oilfield Limited yang beroperasi di Lutong, Miri pada tahun 1911. Kewujudannya telah merancakkan lagi ekonomi bagi bumi Miri dengan ramai tenaga mahir dibawa masuk daripada Singapura serta penduduk tempatan juga turut mendapat peluang pekerjaan daripada penerokaan ini.
Sekitar tahun 1911 mengikut catatan sejarahnya dikatakan Miri pada itu telah berjaya mengeluarkan sejumlah 523 bopd daripada 5 telaga minyak sahaja. Namun menjelang tahun 1913 dengan bersandarkan kepada 8 telaga minyak telah berjaya menghasilkan 11,210 bopd dan Sarawak juga sudah menjadi pengeksport minyak di dunia pada itu.
Pada tahun 1914, Sarawak Shell telah mula membina kilangnya yang pertama di Miri. Pada masa itu juga SHELL telah menggunakan saluran paip dasar laut dari Tanjung Lobang untuk menyalurkan minyak mentah ke dermaga luar pesisir di pelabuhan Miri. Ianya merupakan salah satu sejarah kerana pada masa itu hanya ada beberapa tempat sahaja yang mempunyai sistem saluran paip dasar laut di dunia. Dan Sarawak Kingdom adalah salah satu daripadanya.
Sekali lagi pada tahun 1925 iaitu ketika Sarawak Kingdom dibawah pemerintahan Rajah Charles Vyner Brooke, industri minyak di Sarawak semakin menyerlah. Dengan menggunakan penggerudian berputar yang diperkenalkan telah mampu memberikan pulangan yang lebih berkesan. Sekitar tahun 1929, Miri telah menghasilkan 15,211 bopd dan pada tahun 1940 telah mampu mencapai 7 juta tong minyak.
Bandar Miri pula pada masa itu semakin berkembang dan antara Bandar paling sibuk di Sarawak Kingdom. Jumlah penduduknya juga semakin bertambah iaitu sekitar tahun 1930an dikatakan penduduknya lebih kurang 15,000 orang dengan 2/3 mereka adalah terdiri daripada pekerja-pekerja minyak yang dibawa dari Singapura dan British.
Era Pendudukan Jepun Perang Dunia Kedua (1941-1945)
Di ketika Sarawak Kingdom di dalam kancah Perang Dunia Kedua iaitu pada tahun 1940an lagi sememangnya menurut sejarah Perjanjian 1888 yang menjadikan Sarawak sebagai Negara Lindungan British (Protectrate Country) tidak banyak menguntungkan Sarawak. Ini kerana British sendiri pada itu juga turut bergelut pada perang yang sama.
Pada masa menjelang pendudukan Jepun itu, Rajah CV Brooke dengan tentera Sarawak Kingdom hanya telah menjalankan taktik “bumi hangus” ke atas infrastruktur minyak dan kilang penapisan di Lutong, Miri. Maka kemusnahan untuk penggalian minyak itu sudah tentu amat merugikan namun inilah sahaja survival perang untuk Rajah Brooke pada masa itu.
Namun sesuatu yang diluar jangkaan oleh Sarawak Kingdom bahawa ketika bermulanya pendudukan Jepun itu sendiri, Jepun telah menyediakan satu kumpulan pakar jurutera minyak yang dikenali sebagai Briged Kawaguchi. Di dalam 10 kapal pengangkut yang disediakan ini 5 daripadanya adalah dikhaskan untuk pakar-pakar minyak Jepun beserta dengan kelengkapan mereka sekali.
Apabila adanya pakar-pakar jurutera Jepun ini sudah tentu dasar bumi hangus ini tidak begitu memberi kesan kepada pendudukan Jepun. Dikatakan jauh sebelum tentera Jepun sampai, di Miri itu sendiri telah ada sekumpulan perisik Jepun yang menyamar menjadi pekerja minyak Sarawak Kingdom dan dari merekalah segala sumber maklumat didapati untuk kegunaan ketenteraan Jepun. Malah mereka inilah yang kembali bekerja dengan Jepun sewaktu pendudukan Jepun telah berjaya.
Dikatakan hanya di dalam tempoh 2 bulan selepas pendudukan, tentera Jepun telah berjaya membaikpulih segala kemusnahan kepada industry minyak di Miri. Jepun telah menubuhkan satu syarikat yang baru yang dinamakan Nenryo Haikyu-Sho dan syarikat ini telah mengambil alih semula pentadbiran industry minyak di Miri. Pada masa pemerintahan Jepun itu hampir 750,000 tong minyak yang digunakan oleh tentera Jepun adalah hasil daripada di Miri, Sarawak.
Sekitar tahun 1945, walaupun banyak yang telah dilakukan oleh Jepun untuk menghidupkan kembali industri minyak namun akibat daripada serangan demi serangan oleh Tentera Perikatan akhirnya sekali lagi industry minyak di Miri menemui kemusnahan yang teruk. Malah dikatakan ianya merupakan kemusnahan yang lebih terus daripada serangan 1941. Rajah Charles Vyner Brooke pula sudah tidak mampu untuk membangunkan Sarawak malah beliau juga sudah muak memerintah. Akhirnya pada tahun 1946, Sarawak Kingdom diserahkan kepada Koloni British walaupun ramai rakyat Sarawak bangun menentang pada masa itu.
Era Sarawak Dibawah Koloni British Borneo (1946-1963)
Sekitar tahun 1947, Sarawak adalah jajahan kepada Koloni British dan kerana itu pemerintah Koloni British Borneo Sarawak telah cuba untuk memulihkan semula industry minyak di Sarawak yang hampir lumpuh kerana kesan Perang Dunia Kedua 1945.
Sekitar tahun 1949, British bertindak menubuhkan Geological Survey Department Of British Territories in Borneo dengan pusatnya adalah di Kuching, Sarawak. Jabatan ini merupakan asas kepada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia sekarang. Penubuhan jabatan ini telah banyak membantu Sarawak untuk menaikkan semula industri minyaknya.
Sekitar tahun 1955, Sarawak Shell terus maju dan maju didalam pengerudian minyak di Miri, Sarawak malah telah mula menggunakan seismic marin. Sekitar tahun 1957, Sarawak Shell telah mula meneroka luar pesisir Sarawak. Mereka telah melepaskan hampir 75% pajakan tanah daratan Sarawak pada masa itu iaitu 11 tahun lebih awal daripada tamatnya perjanjian konsesi.
Sekitar tahun 1960an, penggerudian minyak di perairan Miri dimulakan iaitu yang dinamakan Orient Explorer. Seterusnya tiada lagi Sarawak Shell menoleh belakang malah seterusnya terus-terusan menggerudi dan menghasilkan kemantapan ekonomi untuk bumi Sarawak pada ketika itu. Akhirnya eksplorasi minyak di Sarawak telah turut bertukar pentadbirannya apabila penubuhan Malaysia oleh Singapura, Malaya, Sabah dan Sarawak pada tanggal 16hb September 1963.
Pada ketika ini sistem politik juga bertukar dan bentuk pentadbiran SHELL Malaysia juga telah mengambil alih dengan pelbagai kaedah dan gaya. Namun begitu, industri eksplorasi minyak di Miri masih bertahan sehingga ke hari ini dan masih lagi antara pengeluar minyak paling utama untuk Gagasan Malaysia.
Inilah satu sejarah panjang mengenai eksplorasi minyak atau petroleum yang sering menjadi tajuk utama bagi setiap bangsa Sarawak. Dan menurut sejarahnya juga sejak di tahun 1914 lagi, Sarawak sudah ada kilang penapis minyak sendiri yang terletak di Lutong, Sarawak. Namun selepas 1963, kilang penapis TIADA LAGI yang sebenarnya boleh menimbulkan 1001 tanda tanya dan persoalan untuk kita sebagai anak Sarawak, Bangsa Sarawak.
Rujukan:
1. Author: Henry Longhurst . Book: The Borneo Story, 100 Years of Borneo Company Limited (1957)
2. The History Of Shell In Malaysia - website
3. Writer: Mohammad Morshidi. Kertas Kerja : History of Oil in Sarawak. UTM (2010)