SYAIR RAKIS
SYAIR RAKIS
- Pengiran Shahbandar Mohd Salleh
Syair Rakis
Bismillah itu mula karangan
Kisah rencana dagangan buangan
Digunung larangan asmara guna
Segenap desa pantai saujana
Membawa nasib untung sendiri
Masuk segenap desa dan negeri
Seperti burung lepas tangkapan
Bunga dan buah tiada larangan
Sebut namaku dagangan asmara
Bercerai dengan sanak saudara
Namaku Misa Panji Larangan
Sekarang sudah buanga-buangan
Kompeni itu sangat kuasa
Laksana dewa dari angkasa
Suku dan rial sangat perkasa
Dihurainya ringgit dan laksa.
Pulau Labuan diminta segera
Akan jalan tiang bendera
Disana tempat berkita-kira
Dari Sarawak ke Singapura
Dagang tercengang mendengarkan titah
Hati didalam sangat gelabah
Labuan itu bukannya mudah
Alamat negeri dibawah perintah
Tuanku baik fikir sedikit
Supaya tahu nyaman dan sakit
Dengan Inggeris sudah berkait
Marikan lagi datang memipit.
Negeri tuanku sangat mashyur
Cina dan Keling kedai teratur
Bermacam jenis ada terhambur
Disanalah kelak memberi gugur
Mesyurarat dengan ceteria menteri
Seta iman, khatib dan haji
Supaya masyhur khabar zamani
Itu pun tiada dagang rundingkan
Janku dahulu kepada bilangan
Fikir baharu baik carikan
Akan menjadi kira dan angan.
Rakis kedelapan karangan cukup
Laksana berjalan tiada terikut
Pandai melangkah duri dan ramput
Sedikit tiada menyangkut
Rakis pertama mula disurat
Dengkil dalil negeri dagang melihat
Sebarang negeri dagang melihat
Berbuat sekolah tempat mesyuarat
Ayuhai nasib apakan jadi
Hendak mengajar tiada berani
Tetaou zaman datuk nenek
Khabarnya konon memutar negeri
Nasib sangat badan terlalu
Laksana unggas tercabut bulu
Hendak berkata lidah pun kelu
Lain kupandang masa dahulu
Hairanku handai melihat tukang
Unggas Nuri menjadi enggang
Hairanku sangat terbalik-balik
Negeri yang besar seperti bilik
Udang galah jadi cecudik
Harimau yang garang dapat dimilik
Sudah kehendak Tuhan yang kaya
Gunung yang tinggi menjadi paya
Pari menjadi kura-kura
Bingkarung sudah jadi buaya
Hairanlah dagang ajaib pula
Kehendak Tuhan Azzawajalla
Seekor naga tujuhnya cula
Sekarang menjadi ikan tempala
Nasib tak boleh dikenang lagi
Janji dahulu sudah terbahagi
Unggas tempadu dengan meragi
Jadi geruda di Pauh Janggi
Astaghfirullah hairanku sangat
Air dilaut tiada hangat
Seluang dihulu pandai menyangat
Sumbilang di laut terlompat-lompat
Inilah kehendak Tuhan yang Maabud
Besi melaila menjadi umbut
Unggas dihutan menjadi bubut
Tiadalah boleh mengatakan maksud
Ajaib sekali aku memandang
Jujum yang sakit tiada terbilang
Burung nuri mejadi bebalang
Nyamuk kecil menjadi helang
Itulah kehendak Tuhan semesta
Gunung yang tinggi menjadi rata
Lain menjadi miskin peminta
Nampak dipandang dengan nya kita
-Karya Pengiran Shahbandar Mohd Salleh
Kemasyhuran Syair Rakis sememangnya tidak asing lagi kepada masyarakat Brunei sejak ia mula tersebar dan ianya merupakan antara hasil karya Pengiran Shahbandar Mohd Salleh atau di Sarawak dikenali sebagai Pengiran Indera Mahkota. Naskah asal syair ini tidak hanya dibaca oleh Sultan Abdul Momin bahkan disalin oleh pembesar-pembesar negara dan orang ramai sebagai bacaan yang istimewa di masa itu.
Tarikh Syair Rakis dikarang pada sekitar TM18. Terhasilnya Syair Rakis in adalah kerana adanya rasa kesedaran Pengiran Shahbandar Mohd Salleh atas perubahan terhadap negeri Brunei yang telah menunjukkan kemunduran yang akan berlaku ke atas Negeri Brunei
Abad ke 19 merupakan zaman yang amat menyedihkan kerana hampir pupus ¾ wilayah Brunei adalah dimiliki oleh Inggeris samada wilayah tanah kuripan Sarawak dimiliki Keluarga Brooke manakala North Borneo jatuh ke tangan North Borneo Chartered Company. Atas kesedaran inilah seorang cendekiawan Brunei bernama Pengiran Shahbandar Pengiran Mohd Salleh mencipta sebuah syair yang menimbulkan berbagai-bagai penafsiran sehingga nyawanya sendiri terkorban.
Pengiran Mohd. Salleh mengarang syair ini semasa perjalanan pulang ke Brunei dari Mukah yakni tempat beliau membawa diri selepas disisihkan jawatan sebagai Gabenor Sarawak pada masa itu. Sampai sahaja beliau di tanahairnya iaitu Brunei lalu beliau mempersembahkan Syair Rakis kepada Sultan sebagai buah tangan.
Syair Rakis telah menimbulkan perbagai tafsiran oleh pengakaji sastera dan sejarah. Walaupun karya ini berbentuk lama yakni Syair tetapi isinya mempunyai wawasan dan pandangan terus terang yang sekali gus mencerminkan satu transisi kemodenan. Wawasan atau pandangan atau nasihat yang terdapat dalam syair terhadap bangsanya sendiri termasuklah politik, eknomi, pendidikan dan sosialbudaya di Brunei ketika itu.
Badaruddin Haji Othman menganggap Syair Rakis kaya Pengiran ini sebagai dokumentasi sejarah yang paling penting yang mencatatkan satu gambaran yang lampau yang telah menjadi titik tolak dalam percaturan sosial politik negara Brunei (Pulau Borneo dalam hubungan dengan kekuasaan Inggeris (1967).
Tetapi, yang paling menarik mengenai syair ini ialah penempatannya sebagai titik tolak pemisah antara satera lama dengan moden sehingga ada yang mengusulkan Pengiran Mohd Salleh diangat sebagai BAPA KESUSASTERAN MELAYU MODEN dengan alasan-alasan tertentu mereka.
Dalam bidang kesusteraan, pengiran Shahbandar Pengiran Mohd. Salleh merupakan pembaru dengan karya tunggalnya syair Rakis. Gaya penulisan dan idea-idea yang terkandung dalam syair ini merupakan aspek pembaruan yang dilahirkannya. Karya tunggal beliau ini tidak lagi menceritakan kisah-kisah khayal atau kisah puter puteri raja yang tiada cacatnya, sebaliknya apa yang disembahkanya adalah kisah yang lebih realistik dan kemanusiaan. Kisah itu lebih menyentuh soal-soal sosialpolitik dan sosial ekonomi demi kebaikan negaranya.(Haji Hashim, 1993).
Apa pun pendapat tentang Syair Rakis karya pengiran Shahbandar Pengiran Mohd Salleh baik dari sudut sejarah mahupun sasteranya namum jelas bahawa fungsi satera selain menghibur ia juga dapat menjadi cerminan sesautu bangsa pada zaman yang lampau. Ini bertepatan dengan menjadi cermin bangsa tersebut. Dlam sastera terolah berbagai-bagai ragam manusia dengan catatan hidupnya terutama mengenai peristiwa suka duka masyarakat Melayu. (Muhammad Abd. Latif, 1980).
KANDUNGAN SYAIR RAKIS
Penulisan Syair Rakis yang dikarang oleh Pengiran Shahbandar Mohd Salleh ini mengandungi 12 Syair didalamnya. Diawal Syair Rakis yang beliau karang itu mengandungi segala hasrat dan cita-cita terhadap bangsa dan negaranya, terdapat beberapa nasihat, teguran malahan pandangan yang merupakan peringatan kepada Sultan Brunei, Pembesar dan juga rakyat Brunei keseluruhannya pada ketika itu. Apa yang dikemukan oleh beliau didalm Syair Rakisnya sememangnya berkaitan dengan pentadbiran dari sudut politik, ekonomi, pendidikan dan agama negara Brunei ketika itu.
Di sebalik syair yang dikarang beliau banyak mengandungi maklumat yang berhubung dengan keadaan politik dan juga corak pemerintahan dinegeri-negeri lain. Dari Syair tersebut beliau ingin meningatkan kepada sultan agar sentiasa membawa pembesar dan rakyat berunding dan bermuafakat sebelum membuat keputusan, mengingatkan kepentingan keluasan wilayah Brunei, mengawasi kegiatan orang asing dan kehadiran orang-orang Inggeris. Selain itu beliau terus menyedarkan anak bangsanya mengenai keburukan dan niat tidak baik di kalangan orang-orang Barat terhad Brunei dengan menyedarkan kepada pempin dan rakyat Brunei agar berhati-hati terhadap pihak Inggeris. Beliau juga mengingatkan kepada Sulatan Omar Ali Saifuddin II supaya memikirkan semua mengenai janji yang dibuat dengan pihak Inggeris dahulu, jika baginda terus berpegang pada janji itu tentulah Brunei akan mendapat kerugian kelak. Beliau tidak ragu mengenai kesenangan dan kesusahan yang akan diterima setelah bersahabat dengan Inggeris ini kerana orang Inggeris pandai menggunakan tipu muslihat secara perlahan dan licin. Pengiran Shahbandar juga ingin mengingatkan kepada pemerintah Brunei agar menjalankan pentadbiran dan pemerintahan dengan tidak terlalu mementingkan wang ringgit sahaja sehigga tanggungjawab terhadap bangsa dan negara sendiri terabai. (Awang Aji bin Hj Hamda, 1990).
Di dalam syair yang dikarang oleh Pengiran Shahbandar Md. Salleh itu terdapat juga maklumat yang berhubung dengan keadaan ekonomi Brunei. Belaiu menyeru Sultan Omar Ali Saifuddin II dan rakyat Brunei supaya berfikir mengenai sikap orang Inggeris yang meminta Pulau Labuan, besar kemungkinan juga akan berputar belit untuk mendapatkan wilayah yang lain. Apa yang menjadi kerisauan beliau adalah tentang penyerahan Pulau Labuan itu akan banyak merugikan Brunei. Ini kerana Pulau Labuan (Pulau Chermin) mempunyai kedudukan yang strategik bukan sahaja dalam bidang politik malahan yang penting sekali dalam bidang ekonomi Brunei.
Dengan penyerahan Pulau Labuan itu kestabilan dan kedudukan Brunei akan tergugat tidak hanya wilayahnya hilang malahan juga membolehkan pihak British menguatkan angkatan tenteranya. Brunei juga akan kehilangan sebuah pulau yang berharga terutamanya dalam perdagangan kerana tempat itu merupakan persinggahan pedangang-pedagang luar yang memunggah dan mengambil barang dagangan. Beliau mencadangkan kepada pihak Kesulatanan Brunei suapa mengambil langkah yang wajar dalam menangani masalah penyerahan Pulau labuan dengan mencadangkan supaya Sultan Omar Ali Saifuddin II berunding dan bermuafakat untuk mendapatkan keputusan yang bersepadu.
Pengiran Shahbandar Mohd. Salleh mengingatkan bahawa persahabatan Brunei dengan pihak Britih tidak boleh menjamin keselamtan wilayah Brunei sepenuhnya, ini disebabkan mereka berminat bersahabat dengan Brunei untuk kepentingan perniagaan dan perluasaan tanah jajahan mereka. Beliau tetap mengingatkan mengenai kegiatan mereka seharusnya sentiasa diawasi dan diperhatikan termasuklah peniaga berbangsa lain khasnya Cina dan Keling dengan menyarankan agar jangan dibiarkan mereka berniaga tanpa kawalan dan sekatan tertentu.
Selain itu, dalan syairnya ada juga soal pendidiakn yang beliau kemukan kerana beliau juga telah menyedari akan nasib bangsanya yang serba kekurangandan memberikan cadangan untuk membangunkan sekolah sebagai asa kemajuan negara.
Terdapat juga soal agama yang dikemukakan oleh Pengiran Mohd.. Salleh, dengan mengingatkan agar segala perkara yang dilakukan hendaknya dijalankan mengikut pegangan terhadap ajaran Islam dan akidah Islam. Selain itu belaiu juga mengingatkan kepada pembesar-pembesar negara yang menjalankan syarak itu menjalinkan kerjasama yang erat diantara yang lain agar dapat memelihara keutuhan agama, kekuatan umat, bangsa dan negara.
Dapatlah disimpulkan bahawa Pengiran. Shahbandar Mohd.. Salleh mempunyai pandangan yang jauh. Beliau sebenarnya lebih dahulu dapat menyelami niat bangsa-bangsa lain yang datang ke Brunei. Ramalan-ramalan belaiu sendiri berlaku dan menjadi kenyataan selepas beliau mangkat kerana satu demi satu wilayah Brunei terhakis dan terlepas dari genggaman Brunei. Selain itu Pengiran. Shahbandar Mohd. Salleh juga melihat betapa pentingnya perjalanan ekonomi, pendidikan dan juga kecenderungannya kepada agama.