FROM BETONG WITH LOVE
FROM BETONG WITH LOVE
Diwartakan sebagai Bahagian ke-11 untuk Sarawak Bumi Kenyalang pada tanggal 26hb Mac 2002. Dikenali dengan nama Bahagian Betong sekarang, dahulunya merupakan salah satu daripada daerah yang membentuk Bahagian Sri Aman. Dengan keluasan kira-kira 4,180.8 km persegi, Bahagian Betong merupakan bahagian yang paling kecil di dalam pentadbiran bahagian di Sarawak.
Jika kita mengimbau dari segi sejarah Betong sebagai salah satu wilayah pembentuk empayar besar Sarawak Kingdom pada tanggal 31 Julai 1849. Betong yang pada ketika itu dibawah wilayah Skrang dan Saribas menjadi kepunyaan Brooke setelah berakhirnya satu perang besar di dalam sejarah Sarawak Kingdom yang dinamakan Perang Beting Marao.
Dari segi sejarahnya, dikatakan Betong sebelum dikenali sebagai nama Betong sebenarnya lebih dikenali sebagai nama Rantau Anak oleh masyarakat Iban di Saribas. Namun begitu sekitar tahun 1884 setelah berlakunya perang diantara Apai Aji Limpa dengan Brooke dan terbinanya sebuah kota atau kubu yang dinamakan Kubu Betong telah menukar namanya dari Rantau Anak kepada Betong.
Menurut ceritanya setelah pembinaan Kubu Betong itu telah ada satu perkampungan Melayu Saribas yang dinamakan Kampung Kepayang, Muara Padeh. Jadi bagi memakmurkan kawasan sekitar pembinaan Kubu Betong itu, Rajah Brooke telah mengarahkan agar masyarakat Melayu di Kampung Kepayang berpindah di kawasan Kubu Betong.
Cuma sekitar 10 ke 12 keluarga Melayu Kampung Kepayang yang menyahut seruan Rajah Brooke untuk berpindah. Kemudian mereka membuka penempatan Melayu tidak jauh daripda Kubu Betong dengan menamakannya Tanjong Betong di tepi Sungai Layar. Dan menurut sejarahnya juga dikatakan nama Betong itu diambil setelah satu permuafakatan diambil antara kaum Iban dan Melayu yang sememangnya sudah berkurun hidup harmoni antara satu sama lain.
Bumi Betong adalah bumi yang penuh dengan sejarah kerana disinilah banyaknya berlaku penentangan-penentangan yang dilakukan oleh masyarakat pribumi Betong terutama sekali Iban Saribas yang terkenal dengan ketangkasan mereka. Bukan senang untuk mereka menerima pengaruh pentadbiran Brooke di bumi Betong pada masa itu. Dan disinilah ramai tokoh-tokoh Iban seperti Apai Aji Limpa yang bangun menentang Brooke sekitar tahun 1880an dilahirkan.
Bukan itu saja, Bukit Sadok yang merupakan antara tempat bersejarah bagi Sarawak juga terletak di Betong. Di Bukit Sadok inilah Panglima Rentap membuat kotanya yang dinamakan Kuta Rentap yang kemudiannya dimusnahkan oleh Rajah Brooke sewaktu melancarkan perang habis-habisan ke atas Rentap berdasarkan kepada 3 ekspedisi ke atas beliau.
Salah satu tanda bagi menunjukkan penguasaan Brooke di wilayah Sarawak suatu masa dahulu adalah dengan Brooke membina kubu pertahanan di wilayah tersebut sekitar tahun 1885 Dan ini juga tidak terkecuali dengan bumi Betong kerana disini juga terdapat satu kubu yang dinamakan Kubu Betong pada awalnya sebelum ditukar kepada nama Kubu Lily. Nama Lily ini diambil bersempena dengan nama Ranee of Sarawak pada masa itu iaitu isteri kepada Rajah ke-2 Sarawak, Rajah Charles Brooke yang bernama Ranee Margaret Alice Lili De Windt.
Jika dahulu Betong hanyalah satu pekan yang kecil dan sunyi sepi namun sekarang Betong merupakan antara wilayah yang menyumbang kepada ekonomi Sarawak Bumi Kenyalang. Infrastruktur awam telah banyak didirikan bagi memastikan Betong berdaya saing seperti bahagian-bahagian Sarawak yang lain.
Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih-Sayangnya.