top of page

LEGENDA AKINABALU


LEGENDA AKINABALU


Sayang Kinabalu

Tinggi tinggi Gunung Kinabalu Tinggi lagi sayang sama kamu biru biru hujung kinabalu tengok dari jauh hati saya rindu...

Kinabalu dekat di kundasang banyak sayur bulih pilih pilih apa guna pergi luar negeri naik kinabalu hati saya rindu....

sumandak sumandak pun ramai menunggu menari-nari lenggang sumayau sekali melihat melepak kulitnya saya jatuh cinta....

saya sayang sayang kinabalu kaamatan pesta bulan lima sayang sayang kita pergi tamu jalan tamparuli hati saya rindu....

Sayang Kinabalu itulah tajuk sebuah lagu yang amat popular di seluruh Malaysia bila berbicara tentang gahnya puncak tertinggi di Asia Tenggara ini iaitu Gunung Kinabalu yang lokasinya terletak di Sabah. Gunung Kinabalu merupakan ikon negeri bagi Sabah sehingga membolehkan bayangannya ada di bendera kebangsaan Sabah, Negeri Di Bawah Bayu.

Gunung Kinabalu juga merupakan produk pelancongan yang paling terkenal bagi Sabah dan kerana keindahan serta ketinggiannya telah mengamit ramai pendaki-pendaki untuk cuba menaklukinya. Inilah Gunung Kinabalu yang mempunyai seribu satu manafaatnya kepada Sabah dan juga Malaysia khususnya.|

Menurut sejarahnya, suatu waktu dahulu Gunung Kinabalu tidaklah boleh didaki oleh sesiapa melainkan etnik pribumi Sabah sendiri iaitu dari etnik Kadazandusun. Ini kerana etnik Kadazandusun mempercayai bahawa merekalah penjaga, pemelihara dan pelindung bagi Gunung Kinabalu daripada dicemari.

Hanya pada tanggal 7.3.1851, seorang bangsa Eropah iaitu Gabenor British di Labuan yang bernama Sir Hugh Low telah dibenarkan untuk mendaki gunung suci dengan bertemankan seorang Malim Gunung anak tempatan yang bernama Gunting Lagadan. Jika sekarang ianya mengambil masa 2 hari untuk sampai ke puncak Kinabalu tetapi pada masa dahulu ianya mengambil masa selama 3 minggu untuk mereka sampai ke puncak Kinabalu.

Dan sebagai bangsa Eropah yang pertama mendaki sehingga ke puncak itulah, terdapat satu puncak di Kinabalu yang dinamakan Low Peak. Low dan Gunting Lagadan inilah yang menjadi perintis kepada perjalanan pendakian ke puncak Kinabalu yang dilalui oleh pendaki-pendaki Kinabalu sekarang.

Sebagai satu gunung yang menjadi kebanggaan seluruh bangsa Sabah, sudah tentu Gunung Kinabalu mempunyai unsur mistikal dan cerita legendanya yang tersendiri. Dan cerita legenda ini adalah apa yang telah menjadi warisan turun-temurun bagi etnik pribumi majoriti di Sabah iaitu etnik Kadazandusun yang juga dikatakan etnik menjadi penjaga dan pemelihara kepada Gunung Kinabalu itu sendiri.

Dan kerana itulah mengapa ramai anak etnik Kadazandusun menjadi Malim Gunung kerana inilah pekerjaan yang mulia mengikut fahaman masyarakat tempatan sehingga mewarisi pekerjaan Malim Gunung dari satu generasi ke generasi lagi.

Di dalam cerita legenda ini, etnik Kadazandusun mempercayai bahawa suatu waktu dahulu dewa tertinggi telah menciptakan dunia dan Gunung Kinabalu. Dan menurut kepercayaan mereka, Gunung Kinabalu merupakan satu tempat persemadian yang suci bagi setiap roh-roh Bobohizan yang mana di puncak inilah roh-roh ini bersemadi selepas mereka tiada. Oleh kerana itulah setiap tanah yang dipijak mahupun alam floranya serta lopak-lopak air di Gunung Kinabalu itu mempunyai pantang larangnya yang tersendiri.

Berdasarkan kepada legenda inilah maka setiap pantang larang yang menjadi kepercayaan etnik Kadazandusun harus sentiasa dijaga dan dipelihara kerana sebarang onar yang dibuat di puncak Kinabalu sudah tentu akan mengundang amarah “semangat roh-roh” yang bersemadi di situ. Dan oleh kerana itulah kejadian sebelum berlakunya gempa bumi berskala 5.9 richter yang melanda Gunung Kinabalu pada tanggal 5.6.2015 baru-baru ini, ramai masyarakat pribumi Sabah mempercayai bahawa roh-roh yang bersemadi di puncak Kinabalu marah atas tindakan manusia yang gah mengatakan dirinya bertamadun tetapi berbogel di atas puncak Kinabalu kerana sel-sel otak sudah tidak berhubung lagi.

Oleh kerana itulah di kaki Gunung Kinabalu itu ada satu pintu gerbang yang dinamakan Pondok Timpolohon yang menjadi saksi bisu kepada setiap pendaki-pendaki Kinabalu untuk sentiasa menghormati pantang larang ini.

Di Pondok Timpolohon inilah setiap pendaki dikehendaki untuk membaca doa mengikut anutan agama masing-masing serta akan diberi penerangan oleh Malim Gunung tentang apa yang menjadi pantang larang bagi masyarakat pribumi di Gunung Kinabalu.

Kesemuanya adalah bagi mengekalkan kepercayaan yang telah diwarisi daripada nenek moyang penduduk pribumi di Gunung Kinabalu itu. Seperti kata pepatah lama, masuk kandang lembu menguak dan masuk kandang kambing mengembek, seharusnya bidalan ini sudah cukup menggambarkan betapa setiap tingkah laku kita harus dijaga ketika berada di rumah orang biarpun kita merasakan bahawa kita ini sudah tinggi pelajarannya, sudah alim benar agamanya serta sudah moden benar penghidupannya jangan sesekali memperkotak-katikkan kepercayaan masyarakat setempat.

Inilah sedikit wacana ilmu perkongsian untuk semua di dalam kita cuba mengenal Gunung Kinabalu yang sudah tentu mempunyai pantang larang berdasarkan kepada kepercayaan etnik pribumi di Sabah.

Semoga apa yang terjadi di dalam beberapa hari ini menjadi iktibar kepada kita semua bahawa menghormati adat warisan dan kepercayaan masyarakat serta menghormati alam itu juga perlu biarpun kita hidup di zaman yang serba moden sekarang.

Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Kun fayakun.

‪#‎ILoveSabah ‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page