ORANG KAYA PEMANCHA DANA "BAYANG"
ORANG KAYA PEMANCHA DANA “BAYANG”
Pahlawan Rentap, Penghulu Bantin, Penghulu Asun serta ramai lagi merupakan nama-nama tokoh Iban dahulu kala yang sememangnya gah dengan kepahlawanan mereka. Nama-nama ini juga sering mewarnai catatan sejarah Sarawak Kingdom iaitu ketika pentadbiran dibawah Rajah Brooke. Mana tidaknya kerana nama-nama ini adalah antara yang memulakan penentangan kental mahupun penyokong ke atas pentadbiran “orang putih” di Sarawak.
Orang Kaya Pemancha Dana “Bayang” adalah seorang tokoh Iban yang tidak asing bagi orang Sarawak. Beliau merupakan anak bongsu kepada Orang Kaya Beti “Tajai Ngindang” yang juga salah seorang Iban tersohor dari Padeh. Ibunya bernama Endau . Dan dari generasi beliaulah melahirkan nama-nama seperti Orang Kaya Pemancha Nanang, Luyoh, Orang Kaya Aji Apai Limpa, Unting, Budha dan Umpu. Nama-nama ini adalah anak lelaki kepada OKP Dana melalui perkahwinannya dengan Mengan Tuai. Disamping itu, perkahwinan mereka juga diserikan dengan 3 anak perempuan iaitu yang dinamakan Tiong, Landan dan Badong.
OKP Dana bukanlah sembarangan pahlawan Iban kerana beliau merupakan antara “Bujang Berani” yang telah banyak menyertai peperangan di Sarawak sejak dahulu lagi. Beliau bukan sahaja gah namanya di Sarawak malah nama beliau turut digeruni di bumi Kalimantan, berdasarkan kepada penglibatan beliau di dalam perang-perang dengan masyarakat pribumi Kalimantan sejak dahulu lagi.
Sebagai “Tuai Perang”, OKP Dana juga mempunyai beberapa orang kanan yang menjadi sandarannya seperti Sabok Apai Maang, Uyu Apai Ukum, Unal “Bulan”, Igoh Apai Lamban, Orang Kaya Akun “Bedindang”, Isek dan Senaang. Menurut sejarahnya belum ada lagi peperangan yang tidak dimenangi oleh OKP Dana kerana beliau mempunyai orang-orang kanan yang cukup digeruni dan gagah.
Mimpi OKP Dana “Bayang”
Apabila kita berbicara tentang kepahlawanan masyarakat Iban maka sudah tentu kita harus mengaitkannya dengan mimpi mengenai mereka. Ini kerana mimpi merupakan satu bentuk kepercayaan yang boleh memberikan firasat masa hadapan bagi setiap kepahlawanan masyarakat Iban suatu waktu dahulu. Dikatakan bagi OKP Dana pula firasat “mimpi” telahpun berlaku ketika beliau belum akal baligh lagi.
Antara rumusan mengenai firasat mimpi beliau adalah beliau telah bertemu dengan ikon suci masyarakat Iban yang bernama “Kumang” di puncak Gunung Santubong. Di dalam mimpi itu, beliau telah awal-awal lagi diberitahu tentang kedatangan “Ribai” yang merujuk kepada “Orang Putih” di Sarawak. Dikatakan juga hanya “Ribai” ini yang mampu mengalahkan beliau di dalam perang dan oleh kerana itulah beliau dinasihatkan untuk tidak memerangi “Ribai” ini sehingga kepada 8 generasi OKP Dana itu sendiri.
Selain daripada itu di dalam firasat “mimpi” OKP Dana ini juga mengingatkan beliau untuk tidak memerangi mana-mana penempatan di kawasan persisiran utara Sungai Saribas iaitu mana-mana penempatan masyarakat pribumi antara Saribas dan delta Santubong. Oleh kerana berpegang teguh kepada mimpi inilah OKP Dana tidak pernah menyerang mana-mana penempatan Orang Melanau di delta Rejang dan juga penempatan Orang Ulu di kawasan sekitarnya.
Perang OKP Dana “Bayang”
OKP Dana sememangnya seorang “Tuai Perang” Iban yang digeruni baik di Sarawak mahupun di negara tetangga iaitu Kalimantan suatu waktu dahulu. Banyak rentetan perang-perangnya yang menyaksikan kejayaan yang besar kepada angkatan perang beliau. Dengan didokongi oleh pahlawan Iban yang cukup berani juga membenarkan kejayaan di pihak beliau.
Sekitar pertengahan tahun 1800, menurut sejarahnya OKP Dana telah menyerang rumah panjang etnik Selakau serta perkampungan Melayu Pontianak yang terletak di Sungai Raya, Kalimantan. Dengan 120 buah perahu perang Iban didokongi Iban Saribas dan Skrang, mereka telah berjaya membunuh beratus-ratus musuh mereka.
Pada tahun 1804 pula, sekali lagi OKP Dana bersama-sama dengan pemimpin Melayu Saribas dan Iban Skrang membawa angkatan tentera mereka menyerang sebuah pekan kecil di Kalimantan pada waktu itu iaitu Pekan Sambas. Sekali lagi pertempuran maha hebat berlaku di Sambas dengan etnik Selakau dan Lara ramai yang terkorban mempertahankan bumi Sambas mereka.
Setelah 2 tahun merehat diri di perkampungan masing-masing, sekitar tahun 1806 sekali lagi OKP Dana telah mengetuai angkatan perang ke bumi Kalimantan. Pada kali ini, tentera perang beliau menghala ke kawasan penempatan masyarakat China di Singkawang. Dikatakan pada ketika ini masyarakat China Singkawang cuba mempertahankan diri dengan senjata pedang panjang mereka iaitu “tat” namun tidak boleh mengalahkan taktik perang konvensional masyarakat Iban pada masa itu.
Walaupun kekalahan di pihak China Singkawang namun tidaklah kesemua yang berjaya ditangkap. Sebaliknya ramai daripada mereka berjaya meloloskan diri sehingga ke Monterado iaitu antara kawasan perlombongan emas terkemuka di Bengkayang, Kalimantan Barat. Oleh kerana tidak berpuashati ramai orang China Singkawang yang berjaya melarikan diri maka sekitar tahun 1810, OKP Dana telah berkunjung sekali lagi ke bumi Kalimantan.
Dengan menggunakan 180 perahu perang Iban dan bersandarkan kepada beratus-ratus pahlawan Iban Saribas, Skrang mahupun Melayu Saribas, OKP Dana mengetuai satu pasukan perang menuju ke Monterado pada tahun 1810. Kesemua ini dilakukan untuk menjejaki mana-mana China Singkawang yang melarikan diri ke daerah itu ketika Perang Singkawang 1806.
Walaupun sekitar tahun 1810 dikatakan industry perlombongan emas di bumi Monterado pada kemuncaknya dengan ramai jumlahnya orang China berhimpun di wilayah itu untuk mencari rezeki. Ini semua tidak pernah menjadi alasan kepada OKP Dana untuk memerangi mereka. Di bumi Monterado ini juga, OKP Dana dengan pahlawan-pahlawannya bertempur sehingga beratus-ratus daripada mereka terkorban.
Pada tahun 1815, OKP Dana telah sekali lagi memerangi penempatan di Pontianak. Kalimantan. Pada kali ini mereka memerangi ibukota Pontianak yang merupakan Bandar pusat bagi satu kerajaan kesultanan Melayu Pontianak yang bernama Kerajaan Kesultanan Qadriah. Pada masa itu sultan yang memerintah bernama Syarif Kasim Al-Qadrie. Beliau merupakan antara pemerintah Al-Qadriah yang menyokong Koloni Belanda.
OKP Dana yang membawa lebih kurang 100 buah perahu perang Iban bersama-sama Melayu Saribas dan juga Iban Skrang serta Saribas telah menyerang hendap ibukota Pontianak. Hal ini telah membawa kepada pertempuran yang hebat di daratan. Dan dikala itulah dikatakan OKP Dana telah memberi isyarat kepada anak-anak buahnya untuk menukar strategi perang di air.
Menurut sejarahnya dikala inilah, pahlawan Iban yang tersohor namanya iaitu Libau “Rentap” telah berlawan satu lawan satu dengan pahlawan Melayu Pontianak dengan melompat dari perahu ke perahu membunuh mereka. Bermula dari sinilah, Rentap mengukir nama di dalam perang Iban iaitu sebagai antara pahlawan “Bujang Berani” OKP Dana “Bayang”.
Pada tahun 1820 pula, wilayah Tanjung Datu pula yang menjadi serangan OKP Dana. Pada kali ini ianya seperti lebih kepada perang membalas dendam lama. Ini kerana pada ketika itu etnik Selakau Tanjung Datu telah bersatu dengan Orang Kayan Temenggung Jugah anak Nyambong. OK Temenggung Jugah ini merupakan orang Iban Sebuyau yang telah berhijrah ke Lundu. Sejak di Sebuyau lagi sememangnya ada tidak persefahaman antara OKT Jugah dengan OKP Dana.
Perang Tanjung Datu 1820 ini bukannya satu perang yang biasa-biasa bagi OKP Dana. Sebaliknya perang ini juga menyebabkan musibah yang besar di pihak OKP Dana walaupun beliau di pihak yang menang. Ramai juga antara pahlawan Iban Saribas dan Skrang yang gugur di medan perang sehingga membuatkan dendam kesumat lama Iban Saribas dengan Iban Sebuyau semakin berpanjangan.
Pada tahun 1825, bumi Mempawah di Kalimantan pula bermandikan darah. Mereka menyerah satu perkampungan nelayan di Mempawah. Di dalam perjalanan pulang selepas kemenangan itu dikatakan beberapa pahlawan Iban dibawah OKP Dana telah seperti Orang Kaya Antau “Linggang Negeri” dan Orang Kaya Gun “Mangku Bumi” dari Rimbas telah menyerang penempatan Iban Sebuyau. Ini semua dilakukan kerana dendam yang berpanjangan antara Iban Sebuyau dan Iban Saribas. Akibatnya Iban Sebuyau telah bersatu dengan Ibau Balau dan menyerang balas di wilayah Rimbas, Paku dan Padeh selepas itu.
Tahun 1834 pula menyaksikan OKP Dana mengetuai 200 buah perahu perang ke Sambas dan kemenangan memihak kepada mereka. Kali ini mereka berjaya membawa pulang sebuah meriam yang merupakan meriam legenda di dalam sejarah perang Sarawak iaitu meriam “Bujang Timpang Berang:.
Dikatakan meriam ini merupakan salah satu meriam pertahanan kepada bahtera milik Sultan Umar Aqamaddin III iaitu pemerintah Kerajaan Kesultanan Sambas dari tahun 1830 sehingga 1846 Masihi. Pada ketika beliau sedang di dalam perjalanan belayar itu dikatakan terserempak dengan angkatan perang OKP Dana dan ketika meninggalkan bahtera untuk melepaskan diri ini lah dikatakan beliau meninggalkan bahteranya kosong dengan segala peralatan perang termasuk meriam. Akhirnya meriam itu menjadi hakmilik paling berharga buat OKP Dana selepas itu.
Selepas tahun 1834, dikatakan banyak perang-perang OKP Dana lebih terarah di dalam wilayah Sarawak. Ini kerana ianya banyak dicampuri oleh dendam kesumat antara Iban Saribas dengan Iban Sebuyau. Banyak rentetan perang tempatan antara masyarakat Iban di wilayah Sarawak pada masa itu namun ianya tetap sentiasa menunjukkan kebijaksanaan OKP Dana menghadapi konflik sesama Iban sehingga memungkinkan beliau amat dikagumi rakan mahupun lawan.
Meriam “Bujang Timpang Berang”
Selepas mendapatkan sebuah meriam yang kemudiannya bernama “Bujang Timpang Berang” pada tahun 1834, Orang Kaya Dana “Bayang” mewariskan meriam tersebut kepada anaknya iaitu salah seorang pahlawan iban yang tersohor yang bernama Orang Kaya Aji Apai Limpa. OK Aji Apai Limpa merupakan antara pahlawan Iban yang menentang pemerintahan Brooke di Saribas sejak mulanya lagi.
Di Bukit Sadok jugalah OK Aji Apai Limpa bersama-sama dengan Rentap “Libau” telah berpadu tenaga melawan Brooke. Dia meminjamkan meriam tersebut kepada Rentap bagi memastikan bahawa pertahanan mereka akan lebih kuat. Ini kerana ekspedisi pertama dan ekspedisi kedua Bukit Sadok oleh Brooke berpihak kepada mereka. Dan sudah tentu untuk ekspedisi seterusnya Brooke akan mempertingkatkan strategi dan pertahanan mereka.
Pada September 1861, Brooke melancarkan Ekspedisi Ketiga Sadok yang lebih besar dengan menggunakan tenaga buruh untuk membuat jalan di hutan, sepasukan askar Negro yang terlatih dalam pertempuran jarak dekat serta senjata penembak roket, Six-Pounder Gun dan meriam yang digelar " Bujang Sadok". Selepas sampai di puncak Gunung Sadok, keesokan paginya, serangan dilancarkan ke Kuta Rentap dan berlaku berbalas serangan menggunakan meriam antara Bujang Sadok dengan Bujang Timpang Berang.
Malangnya, salah seorang pengendali meriam Rentap terkena tembakan dari Bujang Sadok dan darahnya membasahkan serbuk letupan menyebabkan Bujang Timpang Berang tidak berfungsi dan kelebihan Bujang Sadok digunakan untuk memusnahkan dinding keras Kuta Rentap. Selepas melancarkan serangan bertali arus pada ekspedisi terakhir Brooke berjaya menawan dan membakar Kuta Rentap pada 28 Oktober 1861, Rentap dan pengikutnya berundur ke Bukit Lanjak, Skrang sehingga Entabai, Kanowit dan Julau.
Perjanjian Damai Tanjong Sabuloh 1843
Setelah bermukimnya penguasaan James Brooke ke atas wilayah Sarawak pada tahun 1840an setelah berjaya mengakhiri penentangan tempatan di Seniawan, Lidah Tanah. Hal yang pertama dilakukan oleh James Brooke adalah menggiatkan perluasan wilayahnya ke pedalaman Sarawak.
Sekitar tahun 1843, wilayah Saribas mula diperangi oleh James Brooke bersama-sama dengan admiral tentera lautnya yang juga rakan karibnya Admiral Sir Henry Keppel. Dengan menggunakan kapal perangnya iaitu H.M.S Royalist dan juga H.M.S Iris mereka memerangi Iban Saribas dibawah OKP Dana “Bayang” di kuala Sungai Padeh. OKP Dana bukan hanya berpeluk tubuh tetapi bersama-sama dengan anak-anaknya mereka mempertahankan tanah Saribas.
Melihat kepada keupayaan Brooke pada masa itu sememangnya OKP Dana tidak boleh menandingi mereka dan juga kerana bersandarkan kepada kepercayaan beliau terhadap mimpinya yang tidak boleh sama sekali memerangi “Ribai” atau “Orang Putih” itulah, beliau bersetuju untuk menandatangi perjanjian perdamaian dengan James Brooke.
Perjanjian Perdamaian Tanjung Sabuloh 1843 ini ditandatangani antara OKP Dana dengan James Brooke bagi menghentikan segala peperangan yang dimulakan oleh OKP Dana pada ketika itu di bumi Saribas dan tempat-tempat lain. Orang Kaya Pemancha Dana meninggal dunia pada tahun 1854 dan kepimpinan Ketua Iban Padeh dan Layar akhirnya diwariskan kepada anaknya iaitu Orang Kaya Aji Apai Limpa. Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba mengenali seorang lagi tokoh pahlawan Iban yang sudah tentu sejarahnya tidak begitu diwar-warkan untuk pengetahuan sejarah anak bangsa Sarawak sekalian. Sesungguhnya Sarawak juga mempunyai pahlawan-pahlawan yang gagah berani sejak dari dahulu lagi.
Rujukan:
1. Book: A history of Sarawak under its two white Rajahs, 1839-1908; Author: Baring-Gould, S. (Sabine), 1834-1924; Bampfylde, Charles Agar, 1856- Published 1909
2. Journal Article: Pemerintahan Brooke Dan Pelajaran Bumiputera Sarawak; Kajian: Sabihah Osman, Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, JEBAT BIL. 1 1971/1972
3. St Thomas Catheral Kuching Official Website – History
4. Let Me Tell You The Story - Vernon Kedit Blogger
5. Orang Kaya Pemancha Dana Bayang - Geneology
6. Kerajaan Kesultanan Qadriah, Kalimantan Barat – Borneo Oracle
7. Kerajaan Kesultanan Sambas, Kalimantan Barat – Borneo Oracle
8. Ekspedisi Bukit Sadok – Borneo Oracle