FERI MALAYSIA 1986
FERI MALAYSIA 1986
- Cruise Muhibbah Dari Semenanjung Malaysia Ke Sabah Dan Sarawak
Mungkin generasi baru anak Sarawak tidak mengetahui kewujudan perkhidmatan feri ini iaitu satu perkhidmatan feri yang berbentuk perkhidmatan persiaran tetapi selain membawa penumpang juga boleh membawa kenderaan. Dan yang lebih unik adalah laluannya iaitu yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak melalui jalan air. Inilah satu perkhidmatan feri yang pernah wujud sekitar tahun 1980an yang dikenali sebagai Feri Malaysia.
Dengan nama rasmi iaitu Cruise Muhibbah yang didaftarkan di Pelabuhan Klang pada tahun 1986 merupakan sebuah kapal penumpang yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia. Dibeli daripada Helsinki, Finland dengan harga RM50 juta merupakan satu-satunya perkhidmatan feri yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak pada suatu waktu dahulu.
Tun Mahathir iaitu mantan Perdana Menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat memegang jawatan No. 1 Malaysia telah mendapat inspirasi daripada kejayaan perkhidmatan feri di negeri Scandinavia iaitu antara Finland, Norway dan Denmark. Pada masa itu, beliau mempunyai pandangan jauh iaitu untuk merapatkan lagi jurang antara 3 entiti pembentuk Gagasan Malaysia yang terpisah oleh Laut China Selatan beribu kilometer jauhnya.
Mengikut sejarahnya, idea daripada Tun Mahathir itu memberikan Jabatan Perdana Menteri untuk memilih sebuah syarikat perkapalan yang dinamakan Perbadanan Nasional Shipping Line Berhad (PNSL) bagi menjalankan perancangan rapi dan kaji selidik dilakukan sebelum ianya mula beroperasi. Setelah beberapa kajian dan segalanya diatur maka sekitar tahun 1984, sebuah syarikat yang bernama Syarikat Feri Malaysia Sendirian Berhad ditubuhkan untuk menyelaras projek “Feri Malaysia” ini menjadi kenyataan.
Sekitar November 1984 setelah Jemaah Menteri Kabinet Malaysia meluluskan projek ini maka sebuah feri telah dibeli dari Helsinki, Finland. 2 tahun kemudian barulah feri ini berjaya disiapkan dengan kerja pengubahsuaian serta naik tarafnya dikatakan adalah kerja-kerja kelas pertama yang pernah dibuat untuk sebuah feri persiaran. Dan pada tanggal 6hb Julai 1986 telah memulakan pelayaran daripada Finland ke Malaysia.
Sebulan selepas itu iaitu pada 6hb Ogos 1986, barulah feri ini sampai di Pelabuhan Kuantan, Pahang. Sejak daripada segala usaha promosi dan sebagainya telah dibuat oleh Syarikat Feri Malaysia Sdn Bhd bagi memastikan ianya mendapat sambutan daripada rakyat Malaysia.
Dengan nama rasminya yang dikenali sebagai Cruise Muhibbah merupakan feri persiaran yang pertama dan terbesar milik kepada Kerajaan Malaysia pada waktu itu. Dengan beratnya iaitu 7,900 tan dan mempunyai panjang 134 meter mampu berlayar selaju 19 batu nautika. Di samping mempunyai kemudahan untuk percutian mewah seperti feri persiaran yang lain di dunia, feri Cruise Malaysia ini juga boleh membawa kira-kira 700 orang penumpang serta lebih 100 buah kenderaan di dalam satu masa.
Sekitar 31hb Ogos 1986, feri Cruise Malaysia ini melakar sejarahnya sendiri apabila perkhidmatannya dilancarkan oleh Sultan Ahmad Shah yang merupakan Sultan Negeri Pahang pada waktu itu di Pelabuhan Kuantan, Pahang. Perjalanan pertama feri Cruise Muhibbah ini adalah bermula dari Pelabuhan Kuantan ke Kuching (Sarawak) dan seterusnya ke Kota Kinabalu (Sabah). Jangkamasa perjalanan adalah 2 hari iaitu melalui sektor perjalanan Kuantan – Kota Kinabalu.
Pada 18hb Oktober 1987, tercatit satu peristiwa hitam di dalam perkhidmatan Feri Malaysia ini apabila ianya mengalami kebakaran di ruang enjin utama iaitu pada jam 2.45 petang ketika ia hampir mendekati destinasi Kuantan. Lokasinya adalah kira-kira 5 kilometer dari Pulau Tioman, Pahang. Terdapat kira-kira 300 orang penumpang di dalam feri tersebut dengan lebih daripada 40 buah kenderaan didalamnya.
Kesemua penumpang telah berjaya diselamatkan oleh 2 buah kapal muatan kargo dan tangki minyak yang kemudiannya membawa kesemua penumpang ke Pelabuhan Kuantan pada hari yang sama. Setelah berjaya dipadamkan akhirnya feri Malaysia terdampar di lautan Pahang buat seketika.
Menurut laporan kemalangan seperti yang dihebahkan oleh akhbar NST/19.10.1987 menyatakan bahawa antara punca kepada berlakunya insiden tersebut adalah kerana kapal asal yang dibeli dari Finland ini sudah pun berusia 16 tahun. Akhirnya selepas tahun 1989, perkhidmatan Feri Malaysia ini tiada lagi beroperasi kerana dikatakan kos operasinya terlalu tinggi berbanding dengan keuntungan yang didapatinya.
Inilah satu sejarah mengenai sebuah feri yang dikenali sebagai Feri Malaysia – Cruise Muhibbah yang pernah mewarnai perjalananan alternative antara Semenanjung Malaysia dan juga Sabah serta Sarawak suatu waktu dahulu. Ianya hanya tinggal sejarah dan sudah tentu generasi baru tidak pernah mengenali kewujudan perkhidmatan seperti ini suatu ketika dahulu.
Rujukan:
Cruise Muhibbah
http://www.pnm.gov.my/yangpertama/Auto_Cruse.htm