PULAU TALANG – SATANG DAN KISAH ABANG PATA
PULAU TALANG – SATANG DAN KISAH ABANG PATA
Tajuk artikel sahaja sudah mungkin boleh mendatangkan kekeliruan kepada pembaca Borneo Oracle kerana apalah kaitannya satu gugusan pulau yang terletak di perairan Sarawak dengan kisah seorang individu yang bernama Abang Pata. Dan seperti biasa di Borneo Oracle sudah tentu setiap yang diperkatakan mempunyai kaitan antara keduanya lebih-lebih lagi dari segi sejarah.
Pulau Talang-talang dan Pulau Satang sudah tentu diketahui oleh mana-mana individu kaki pancing ataupun penyelam kerana ini merupakan antara kawasan yang sering menjadi tempat untuk memancing serta menyelam lebih-lebih lagi di kawasan sekitarnya merupakan antara kawasan yang penuh dengan terumbu karang serta bangkai-bangkai kapal perang lama.
Abang Pata pula adalah seorang yang sinonim dengan gelaran Melayu Datu-datu di Sarawak yang juga menurut sejarahnya adalah salah seorang yang gagah perkasa di lautan lebih-lebih lagi di perairan Santubong sehingga ke Tanjung Datu yang menjadi mainan baginya. Dan apabila berkata tentang kaitan perairan dimana dia terkenal inilah maka sudah tentu ada perkaitan sejarah antara beliau dengan Pulau Talang-Talang mahupun Pulau Satang suatu waktu dahulu.
Pulau Talang – Satang National Park
Ramai yang tidak mengetahui bahawa di Sarawak juga mempunyai pusat lindungan maritime iaitu untuk hidupan seperti penyu. Dan ianya terletak di satu gugusan pulau-pulau yang indah yang dikenali sebagai Pulau Talang-Talang dan Pulau Satang. Dan secara mengkhusus Pusat santuari maritime ini meliputi Pulau Talang Besar, Pulau Talang Kecil dan juga Pulau Satang Besar dan Pulau Satang Kecil.
Gugusan pulau-pulau indah ini merupakan satu-satunya pusat lindungan maritime bagi Sarawak yang juga dikenali sebagai Talang Satang National Park. Keluasannya adalah kira 19.4 km persegi yang meliputi kawasan daratan mahupun lautan dengan radius 4.8 km daripada daratan setiap pulau. Oleh kerana itulah pemuliharaannya hidupan lautnya dikatakan antara yang terbaik sehingga membenarkan ianya menjadi tempat tumpuan ikan-ikan serta segala hidupan yang lain untuk membiak.
Selain daripada di Tanjung Datu dan Similajau National Parks, mengikut statistiknya dikatakan bahawa terdapat 5 jenis penyu yang menjadikan Pulau Talang-Satang National Park ini sebagai pusat untuk mereka menetas. Jenis-jenis penyu itu adalah Green Turtle (Chelonia mydas) yang merupakan jenis penyu yang paling banyak mendarat. Kemudian jenis penyu Hawksbill Turtle (Eretnicgekts imbricate), Olive Ridley, Leatherback dan Loggerhead Turtles. Kesemua jenis penyu ini adalah spesis penyu yang paling terancam di dunia.
Secara totalnya Talang-Satang National Park ini dibuka untuk semua tetapi ianya memerlukan permit daripada Sarawak Forestry jika hendak berkunjung kerana kawasan ini tidak boleh menerima kedatangan jumlah yang banyak bagi menjaga sensitiviti tempat pemuliharaannya. Jadi pada mana-mana individu yang berminat hendaklah berurusan dengan Sarawak Forestry dan memahami apakah syarat yang akan dikenakan.
Sesungguhnya Pulau Talang-talang amnya mempunyai tempat yang amat menarik untuk mencuba aktiviti scuba dan snorkeling. Selain itu jika ingin mengalami sendiri pengalaman untuk melihat aktiviti pemuliharan dan penetasan telur penyu yang diusahakan oleh Sarawak Forestry dengan kerjasama penduduk-penduduk tempatan di pulau-pulau ini.
Kisah Abang Pata
Lebih dikenali sebagai Abang Pata di kalangan pensejarahwan golongan Melayu Datu-datu atau Melayu Perabangan di Sarawak. Nama sebenarnya adalah Abang Abdul Pata bin Datu Temenggong Abang Mersal iaitu antara nama pembesar terkemuka di Sarawak suatu waktu dahulu. Yang menariknya mengenai Abang Pata ini adalah beliau dikatakan antara individu Melayu yang paling mahir dengan dunia lautan dan dikatakan mempunyai ilmu laut yang tiada tolok bandingnya sehingga lanun-lanun suatu waktu dahulu “berdendam” dengan beliau.
Menurut ceritanya Abang Pata ini menetap di Santubong atau dengan nama lamanya Pasir Kuning suatu waktu dahulu. Beliau dikatakan sering belayar di pulau-pulau di perairan Sarawak iaitu yang berada di sekeliling perairan Tanjung Datu sehinggalah ke Pulau Serasan iaitu antara gugusan Kepulauan Natuna yang sekarang adalah wilayah Riau, Republik Indonesia.
Dikatakan juga Abang Pata ini mempunyai keluarga di Pulau Serasan iaitu hasil perkahwinannya dengan wanita tempatan di pulau tersebut iaitu Masmutu dan hasil perkahwinan ini mengurniakan seorang anak lelaki bernama Abang Abdul Rahman. Abang Pata sendiri dikatakan telah membawa kaum keluarga sebelah isterinya untuk tinggal di Santubong kerana itu lebih baik untuk sentiasa dekat dengan keluarganya.
Jadi apabila ada perkaitan ini maka tidak menghairankan wujudnya Kampung Terengganu di Santubong yang juga sebenarnya adalah penduduk daripada Kepulauan Natuna yang bertutur dengan loghat Terengganu yang kemudiannya berhijrah ke Sarawak suatu waktu dahulu lalu membentuk apa yang dipanggil sebagai Melayu Natuna yang ramai di kawasan Lundu dan Santubong sekarang.
Oleh kerana kepakaran Abang Pata ini maka beliau merupakan antara individu yang dihormati di Santubong dan kawasan sekitarnya malah juga dikatakan mempunyai pengikut-pengikutnya yang tersendiri. Dengan pengikut-pengikutnya inilah Abang Pata sering belayar diantara pulau-pulau di perairan Sarawak yang bertujuan untuk menjaga keselamatan penduduk-penduduk di kawasan sekitarnya.
Dikatakan suatu waktu dahulu aktiviti perlanunan memang sering terjadi di perairan Sarawak dan mana-mana lanun yang membuat onar akan diperangi oleh Abang Pata berhabis-habisan. Sekitar tahun 1811 menurut sebuah buku karangan Bov Reece yang bertajuk “The White Rajahs Of Sarawak: A Borneo Dynasty terbitan Archipelago Press 2004 ada menyatakan bagaimana sebuah kapal British telah dirompak oleh lanun di perairan Tanjung Datu iaitu berhampiran dengan Pulau Satang Besar.
Di dalam buku itu ada menyatakan bagaimana seorang anak dari keturunan Melayu Datu telah membantu pelayar British daripada diterus ditawan oleh lanun. Mereka telah memberi perlindungan kepada pelayar British. Diperkirakan apa yang dirujuk oleh Bob Recee itu adalah Abang Pata. Anak Melayu Datu ini amat dikenali oleh pedagang-pedagang British dan juga Belanda yang sering melalui perairan tersebut untuk berdagang kerana sering memberikan bantuan keselamatan kepada mereka.
Oleh kerana itulah menurut sejarahnya dikatakan Abang Pata amat dimusuhi oleh lanun-lanun di perairan Sarawak sehingga mereka bersatu hati bertekad untuk membunuh Abang Pata. Mereka mengetahui bahawa Abang Pata mempunyai kebun-kebun kelapa di Pulau Satang dan Pulau Talang-talang yang diusahakan oleh 2 orang anaknya iaitu Abang Osman dan Abang Abdul Rahman dengan dibantu oleh masyarakat Bidayuh di Sematan dan Lundu. Oleh kerana itu mereka memasang strategi untuk menyerang dan membunuh Abang Pata sewaktu beliau berada di pulau-pulau tersebut.
Tiba pada hari yang ditunggukan, apabila Abang Pata berada di pulau tersebut sekumpulan lanun-lanun telah menunggu Abang Pata di pulau tersebut namun apabila menjejakkan kaki di pantai pulau dikatakan Abang Pata tidak kelihatan sehingga menjadi satu tanda tanya di kalangan pengikut-pengikutnya. Tanpa mereka sedari sebenarnya Abang Pata telahpun mampu meloloskan diri tanpa kelihatan oleh rombongan pengikutnya mahupun lanun-lanun tersebut.
Rupa-rupanya Abang Pata telah bersemuka dengan ketua lanun di satu kawasan tidak jauh daripada pantai tersebut. Dan akhirnya satu pertempuran yang disangkakan akhirnya menjadi satu perdamaian apabila hasil sikap toleransi dan komunikasi yang baik antara Abang Pata dan juga ketua lanun tersebut telah mampu mengelak daripada berlakunya pertumpahan darah.
Inilah Abang Pata yang amat dikagumi kerana beliau boleh menjadikan musuh menjadi kawan akhirnya. Sejak daripada itulah dikatakan bahawa kegiatan lanun di perairan antara Tanjung Datu sehingga ke Santubong tiada lagi lebih-lebih lagi di kawasan yang mana Abang Pata mempunyai kepentingan.
Selain daripada itu Abang Pata ini juga menurut cerita oral dikatakan adalah orang Sarawak yang pertama membantu James Brooke iaitu ketika beliau mengunjungi Sarawak untuk bertemu dengan Pengiran Bendahara Muda Hashim pada 1hb Ogos 1839. Pada ketika itu dikatakan pelayaran James Brooke tidak begitu terarah kerana kompas dan carta pelayarannya tidak berfungsi.
Dikatakan dengan bantuan Abang Pata yang menemui kapalnya di Tanjung Datu telah membawa mereka ke Pulau Talang-Talang. Disitulah Abang Pata membantu James Brooke dan seterusnya membantu beliau ke Santubong dan akhirnya ke Kuching menemui Pengiran Bendahara Muda Hashim. Sejak daripada itu juga dikatakan hubungan antara James Brooke dan Abang Pata semakin akrab malah segala kepentingan Abang Pata sewaktu James Brooke memerintah juga turut dijaga dan ini termasuklah Pulau Talang-talang dan Pulau Satang suatu waktu dahulu.
Inilah sekelumit ruang informasi mengenai Pulau Talang-Satang yang sekarang menjadi Pulau Talang-Satang National Park. Keindahannya sememang tidak perlu diperkatakan malah hidupan coralnya dijaga sebaik mungkin dan juga sebagai antara tempat santuari pembiakan penyu. Sejarah mengenai seorang individu Melayu Datu-datu iaitu Abang Pata yang gah di lautan juga mempunyai perkaitan sejarah dengan pulau-pulau di perairan Sarawak suatu waktu dahulu juga adalah sesuatu yang wajar kita ketahui.
Rujukan:
1. Author: Abdul Razak bin Abang Medaan; Book Title: Kisah Datuk Pata; Publisher: Biro Kesusasteraan Borneo, 1976.
2. Talang Satang National Park – Sarawak Forestry
http://www.sarawakforestry.com/htm/snp-np-satang.html