top of page

TRADISI BULUH DI DALAM SOSIO-BUDAYA ETNIK IBAN SARAWAK


TRADISI BULUH DI DALAM SOSIO-BUDAYA ETNIK IBAN SARAWAK


Etnik Iban merupakan etnik majoriti di Sarawak Bumi Kenyalang dan mereka juga mempunyai banyak sumber adat dan tradisi yang masih dilestarikan dari dahulu sehingga sekarang. Untuk masyarakat Iban dikatakan antara etnik yang memandang tinggi akan kegunaan buluh di dalam keperluan asas mereka. Tiada yang dapat memisahkan betapa buluh ini dipandang tinggi di dalam menyatakan perkaitannya dengan tradisi mereka yang dipegang berkurun lamanya.


Di dalam penghidupan masyarakat Iban di Sarawak, kita sendiri akan melihat bagaimana Buluh ini memainkan peranan yang besar di dalam aspek penghidupan mereka daripada penggunaan senjata sehinggalah kepada kegunaan ritual di dalam tradisi masyarakat Iban itu sendiri. Dan setiap aspek penggunaan buluh itu mempunyai simbol-simbol tertentu yang boleh mempengaruhi aspek penghidupan mereka.


Buluh Untuk Sumber Penghidupan


Serkap, bubu dan lukah adalah antara hasil daripada penggunaan buluh sebagai bahan asasnya. Dan kesemua ini adalah alatan untuk menangkap ikan di sungai-sungai yang menjadi sumber ekonomi bagi etnik Iban.


Ratai buluh adalah buluh mati sudah kering. Ratai Buluh dijadikan kayu api untuk membakar kerubung siput atau kerang. Kerubung siput atau kerang yang dibakar kemudian ditumbuk halus untuk membuat kapur sirih. Buluh yang hangus tidak menjadi arang seperti kayu api cepat habis bila dibakar.


Inilah yang memudahkan proses mengambil kerubung siput yang dibakar itu. Ratai buluh juga boleh membuat batu api. Ratai buluh munti yang sudah kering ditumbuk halus dalam sebuah bekas khas yang dibuat daripada buluh ataupun kayu.


Buluh Untuk Senibina Iban


Setiap etnik mempunyai senibinanya yang tersendiri dan ini tidak terkecuali untuk etnik Iban. Lihat sahaja apabila mereka membina rumah panjang. Untuk bahagian ruai yang terdedah kepada panas dan hujan kebiasaannya mereka menggunakan buluh sebagai bahan pembuat lantai (Tanju) kerana ianya lebih tahan lasak.


Malah ini juga tidak terkecuali untuk menjadikan buluh sebagai bahan untuk membuat jambatan buluh yang sememangnya terbukti antara jambatan yang cukup teguh pembuatannya.


Buluh Untuk Alat Pengangkutan

Rakit dari batang-batang buluh yang ditebang dan kemudian disambung-sambung antara satu sama lain adalah salah satu jenis pengangkutan untuk menyeberangi atau menyusur sungai. Ianya boleh dibuat pada bila-bila masa andaikata seseorang itu tidak mendayung perahunya ke tempat yang hendak ditujukan.


Buluh Untuk Bahagian Kulinari Iban


Rebung (anak buluh) merupakan makanan pembuka selera juadah masyarakat Iban. Mereka akan memasak rebung dengan pelbagai cara daripada menjadi sayur lemak sehinggalah masak gulai ikan campur rebung.


Malah sudah tentu Buluh merupakan antara bahan asas yang diperlukan untuk membuat ayam pansuh atau manok pansuh yang sememangnya amat sinonim dengan kulinari masyarakat Iban mahupun Orang Ulu Sarawak.


Buluh Di Dalam Pembuatan Senjata Iban Tradisional


Tukak (buluh yang diruncingkan) ditanam keliling rumah panjang untuk melindungi rumah panjang daripada serangan musuh. Musuh yang menyerang akan terpijak tukak-tukak dan kaki mereka akan tercedera.


Semilu pula merupakan sejenis pisau yang amat tajam yang dibuat dengan menggunakan kulit bahagian luar buluh dan kulit bahagian dalam buluh. Semilu boleh digunakan untuk memotong sesuatu yang lembut seperti tembakau. Tembakau yang dipotong dengan semilu tidak berserabut.


Buluh Untuk Upacara Ritual


Selain itu, buluh menjadi unsur penting dalam kesenian tradisi persembahan atau perubatan tiang pancha, ‘Biau Pengancha’ memaparkan betapa masyarakat Iban mempunyai falsafah yang tinggi tentang buluh.


Ritual perubatan ‘tiang pancha’ menggunakan buluh sebagai tiangnya. Upacara dilakukan di halaman rumah panjang, pada waktu senja. Ritual bertujuan untuk mengambil semula semangat pesakit yang dipercayai telah ditangkap oleh hantu jahat.


Ritual Biau Pengabang harus dilakukan dahulu sebelum sebarang upacara Gawai, seperti Gawai Antu yang banyak menggunakan buluh. Kalau tak dibuat, masyarakat Iban mungkin mendapat malapetaka seperti terkena rasukan hantu yang paling mereka takuti iaitu pansa antu.


Dalam upacara kematian, Buluh Payan digunakan untuk mengusung keranda orang mati ke kubur. Spesies buluh Payan dipilih kerana buluh ini kuat, ringan dan tak mudah patah. Jika kayu yang dijadikan usungan, kayu berat dan mudah patah. Masyarakat Iban menggunakan Buluh Manti untuk menyukat saiz lubang kubur kerana buluh bentuknya lurus dan cukup panjang.


Buluh Sebagai Motif Tatu Iban


Tatu merupakan salah satu warisan bagi masyarakat Iban dan setiap symbol tatu mempunyai maknanya yang tersendiri. Di dalam masyarakat Iban, symbol tatu yang bergelar Silong Lejau iaitu satu nukilan tatu di pergelangan tangan juga mempunyai motif buluh di bahagian ekornya bagi menunjukkan betapa buluh itu dipandang tinggi di dalam sosio budaya masyarakat Iban itu sendiri.


Buluh Sebagai Simbol Keperkasaan

Jika kita membaca tentang hikayat-hikayat atau sastera lisan yang dilestarikan di dalam etnik Iban sendiri kita akan tidak dapat lagi bagaimana simboliknya buluh ini sebagai satu symbol keperkasaan etnik Iban.


Lihat sahaja satu cerita rakyat iaitu Apai Saloi yang dikatakan tidak bijak tetapi mampu menukar rumahnya denga pondok buluh Apai Seumang-umang kerana beliau suka mendengar pondok buluh yang pandai menyanyi atau kita panggil “buluh perindu”.

Selain daripada itu, cerita mitos asal usul keturunan juga tidak lepas di dalam masyarakat Iban itu sendiri. Misalnya jika di dalam cerita legenda Melayu adanya “Legenda Buluh Betung”, ianya juga ada di dalam asal keturunan masyarakat Iban itu sendiri seperti “Pateh Ambau” yang ceritanya tertera di dalam Tusut Ari Dayang Laing Enggau Abu Tinggang kerana Pateh Ambau dikatakan berasal daripada buluh.


Buluh Di Dalam Falsafah Penghidupan


Memandangkan buluh merupakan simbol kekuatan bagi masyarakat Iban, banyak peribahasa mereka menggunakan unsur buluh untuk dijadikan perbandingan dan falsafah. Sebagai contoh, peribahasa ‘Ngelanggai bayan’ yang bermaksud buluh muda dilambangkan dengan ekor burung bayan dan buluh itu melambangkan anak lelaki Iban yang baru meningkat remaja.


Peribahasa ‘Orang di Munsi Tubu Orang di ulu kena miang’ membawa maksud yang hampir sama dengan peribahasa Melayu ‘Orang lain makan nangka, orang lain kena getahnya’.


Kerana istimewanya buluh ini maka banyak pantun iban juga berkait rapat dengan buluh sebagai pembuka pantun dan maksudnya. Ini sudah cukup membuktikan betapa buluh itu adalah satu hal yang begitu sinonim dan penting di dalam penghidupan masyarakat Iban.


Tupai Sama Tupai

Begagai Pucuk Murni

Tuai Sama Tuai

Bertundi Diri Sama Diri



Sejajar dengan waktu banyak daripada perkaitan budaya Iban dengan buluh ini hanya dijadikan kenangan kerana sekarang dikatakan amat sukar untuk mencari buluh. Hal ini terjadi kerana banyak hutan sudahpun diteroka atau dibuka untuk membenarkan pembangunan berlaKu di sesuatu kawasan sehingga menyebabkan mungkin satu hari nanti kita hanya boleh melihat buluh di dalam gambar sahaja.





Rujukan:


1..Penulis: Anna Durin; Kertas Kerja: Tradisi Buluh Di Dalam Budaya Iban, Sarawak; Terbitan: Jabatan Sosio-Budaya, Akademi Pengajian Budaya Melayu, Universiti Malaya, 2004

2. Penulis: Devourie Gail Kertas Kerja: Motif Iban Dalam Pengalikasian Seni Tampak Di Malaysia; Terbitan: Fakulti Seni Gunaan, Universiti Malaysia Sarawak, 2007

3.Penulis: Norah Taslim & Chemaline Usop; Buku: Ensera Ayor: Epik Rakyat Iban; Penerbit: Universiti Sains Malaysia, 2013


bottom of page