top of page

DURIAN MERAH


DURIAN MERAH

Kegilaan orang Malaysia kepada durian sememangnya tidak boleh dinafikan. Dan sekarang sudah tentu musim durian di Sarawak Bumi Kenyalang mahupun di Pulau Borneo itu sendiri. Kerana lambakan buah durian ini ada peniaga yang mempunyai pelbagai strategi untuk memastikan penjualan durian itu laris. Itulah penangan musim durian sekiranya ianya kunjung tiba.

Tetapi kenyataan itu hanya merujuk kepada jenis durian yang biasa iaitu yang berwarna putih kekuningan-kuningan. Yang rasanya manis dan berlemak. Dan juga cara makannya adalah mentah ataupun dibuat tempoyak dan banyak lagi.

“Durian Merah” seperti yang ditunjukkan di dalam teaser artikel mungkin agak “rare” bagi peminat durian. Dengan nama saintifiknya Durio Graveolens Becc. Merupakan spesis durian yang tumbuh secara meliar di hutan-hutan seperti Borneo, Thailand dan Sumatera. Dan hanya di lokasi inilah ianya ada dan tidak ditempat-tempat lain.

Dan sejajar dengan lokasinya yang berbeza-beza sudah tentu ianya juga mempunyai nama-nama yang berbeza. Jika di Sarawak, iaitu dikalangan masyarakat Kenyah ianya dipanggil dengan nama Durian Daun. Dan ianya digelar dengan nama sedemikian kerana dikatakan daun pokok durian merah ini boleh selebar telapak tangan manusia dewasa.

Selain daripada itu ada juga menggelarnya dengan nama Durian Burong, Durian Isa, Durian Anggang, Durian Ta Bela dan Durian Antu. Di Sabah pula jenis durian seperti ini dipanggil Durian Dalit. Dan bagi orang-orang Thailand pula digelar Thurian-rakka.

Selain itu jika memperkatakan Durian Merah ini di bumi Kalimantan pula, dikatakan hanya 2 wilayah iaitu Kalimantan Timur dan Kalimantan Tengah yang mempunyai Durian Merah. Di wilayah ini ianya juga mempunyai nama yang berbeza iaitu di KALTIM digelar “Lei” dan di KALTEN digelar “paken”.

Berlainan di bumi Sumatera, Durian Merah ini sebenarnya mempunyai tempat yang mengkhusus kerana Durian Merah telahpun dikomersialkan sehingga produk-produknya dieksport ke luar negeri seperti di Singapura, Jepun dan banyak lagi. Disinilah kita akan mendengar Durian Merah Banyuwangi yang telah sinonim dengan penjualan industry makanan halal dari Indonesia.

Dari konteks rasa pula dikatakan bahawa rasa durian merah ini tidaklah seenak memakan durian yang isinya kekuning-kuningan itu. Ianya tidak semanis durian tersebut tetapi durian merah mempunyai rasa lemak-lemak yang lebih daripada biasa. Dan kerana itulah dikatakan ada yang lebih memilih untuk menjadikannya sebagai antara menu masakan selain daripada memakan isinya mentah-mentah.

Inilah Durian Merah yang semesti “rare” bagi mereka yang tidak pernah melihat dan merasanya. Namun begitu untuk penduduk-penduduk di Pulau Borneo, durian merah ini biasa bagi mereka walaupun untuk mendapatkannya memang payah kerana ianya tidak ditanam secara komersial sebaliknya tumbuh meliar di hutan-hutan Borneo.


bottom of page