ETNIK KENYAH, SARAWAK, BORNEO
ETNIK KENYAH, SARAWAK, BORNEO
Etnik Kenyah merupakan antara etnik dominan di dalam Kaum Orang Ulu, Sarawak selain daripada etnik Kayan yang juga merupakan antara etnik yang mempunyai banyak kesamaan dengan mereka. Selain daripada dikenali dengan etnik Kenyah, mereka juga dikenali dengan nama “Highland Kenyah” dan Usun Apau Kenyah mengikut kepada rujukan daripada penulisan sesetengah penyelidik antropologi.
Walaupun begitu terdapat beberapa teori dari pakar antropologi di dalam memperkatakan bagaimana nama “Kenyah” ini digunapakai. Menurut teori Okushima (2008), nama Kenyah diambil dari kosa kata “Keny’yeah, Ken’yah, Ken”heah” yang mana merupakan perkataan yang berasal dari bahasa kelompok etnik suku Ga’ay. Dan ianya bermaksud “tanah liar” dan “perbatasan”.
Menurut teori Inoue (2000) dan Soriente (2003) pula memberikan pengertian istilah “kenyah” sebagai merujuk kepada sekelompok masyarakat yang hidup di pedalaman Apau Kayan dan Usun Apau. Dan menurut teori Cleary dan Eaton (1993), nama “Kenyah” itu merujuk kepada karakter fizikal masyarakat Kenyah iaitu berpentrampilan enegetik, bergerak pantas, tubuh yang berotot tetapi ramping, kulit yang bersih serta bebas daripada penyakit kulit.
Jika dilihat daripada kepelbagaian sub-etnik, etnik Kenyah juga mempunyai beberapa sub-etnik yang yang dibenaung dibawahnya dan inilah yang menjadikan etnik Kenyah itu mempunyai keunikannya yang tersendiri.
Kumpulan sub-etnik minoriti itu adalah Uma Bakah, Lepo Anan, Lepo Tau, Lepu Jalan, Lepo’ Tepu, Uma Kelap, Badeng, Jamok, Lepo Aga’, Bakung, Lebu Kulit, Uma Alim, Uma Timai, Uma Lasan, Lepo Ma-ut, Chebop, Lepo Ke’, Lepo Ngao, Ngurek, Kiput, Long Ulai, Long Tikan, Long Sabatu, Lepo Ga, Lep Dikan dan Lepo Pua.
Menurut laporan populasi 2012 Sarawak, dikatakan bahawa terdapat lebih kurang 30,000 orang etnik Kenyah di Sarawak. Populasi mereka ramai tertumpu di kawasan pedalaman Baram seperti di Long Selaan, Long Moh, Long Anap, Long Mekaba, Long Jeeh, Long Belaong, Long San, Long Silat, Long Tungan dan banyak lagi.
Selain itu ada juga etnik Kenyah yang mendiami kawasan seperti Sungai Senep, Long Dungan, Long Busang, Long Beyak di Bintulu. Dan tidak terkecuali di kawasan penempatan semula Sungai Asap, Long Bulan, Long Jawe di Belaga.
Oleh kerana adanya perkaitan dengan asal-usul etnik Kenyah dari Kalimantan Timur maka tidak dinafikan etnik Kenyah juga ramai mendiami kawasan seperti Apau Kayan, Bahau (Bau), Benua Lama dan Benua Baru yang merupakan wilayah Mahakam di Kalimantan Timur sekarang. Malah di wilayah inilah ianya lebih dikenali sebagai bumi Kenyah kerana sehingga sekarang segala bentuk peradaban Kenyah seperti ukiran malah senibina Kenyah masih dilestarikan.
Dikatakan asal usul masyarakat Kenyah adalah dari Dataran Tinggi Usun Apau sejak 1400-1700 masihi lagi. Menurut sumber dikatakan bahawa masyarakat Kenyah telah mula berpecah kepada beberapa sub-etnik kenyah sekitar tahun 1400-1600 masihi.
Apabila Usun Apau dilanda perang saudara sesama etnik, etnik Kenyah seperti juga banyak etnik di Sarawak yang mendiami Usun Apau telah bersama-sama berhijrah ke seluruh pelusuk Borneo suatu waktu dahulu.
Penghijrahan beramai-ramai tetapi melalui beberapa peringkat ini telah berlaku berabad lamanya. Di kala inilah dikatakan etnik Kenyah telah mendiami kawasan Long Sebatu, Long Akah, Long Ulai, Long Kaput dan Long Pasong. Kemudian penghijrahan daripada Bukit Burak pula mula mendiami kawasan seperti Lepo Ka’aung, Lepo Gak, Lapo Tau, Lepo Ayak serta beberapa kawasan di Baram dan sungai Tinjar.
Jika ditinjau dari segi bahasa pula, etnik Kenyah mempunyai bahasanya yang tersendiri dan ianya sehingga sekarang masih lagi dipertuturkan di kalangan masyarakat Kenyah itu sendiri. Bahasa Kenyah ini diklasifikasikan di bawah rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, North Sarawakan, Kayan-Kenyah, Kenyah.
Dan kekayaan bahasa Kenyah juga terletak kepada dialeknya yang pelbagai seperti dialek Badeng, Bakung, Lepo’ Bem, Lepo’ Ke, Lepo’ Kuda, Lepo’ Maut, Lepo’ Ndang, Lepo’ Tau, Lepo’ Tepu’, Uma’ Jalan dan Uma’ Tukung.
Dari segi agama, dahulunya ramai etnik Kenyah menganuti satu agama pagan yang dinamakan “Bungan Malan Peselong Luan”. Namun setelah kedatangan misionari di bumi Sarawak, ramai antara mereka telah memeluk Kristian sebagai panduan penghidupan mereka. Walaupun begitu, etnik Kenyah masih lagi melestarikan segala tradisi dan budaya pagan mereka asalkan ianya tidak bertentangan dengan ajaran agama yang mereka anuti sekarang.
Selain terkenal sebagai antara pahlawan “pemburu kepala” sewaktu zaman perang wilayah berlaku ketika di Usun Apau mahupun wilayah Sarawak itu sendiri, etnik Kenyah juga terkenal dengan penghasilan kraftangan yang kreatif seperti pembuatan manik untuk hiasan seperti gelang, rantai dan banyak lagi. Mereka juga mempunyai alat muzik tersendiri seperti Keluri dan Keringut (alatan muzik seperti seruling).
Malah tiada siapa boleh mempertikaikan betapa lemah gemalainya tarian tradisional etnik Kenyah seperti tarian “Datun Julud” yang juga merupakan simbolik kepada satu acara yang dirayakan oleh etnik Kenyah itu sendiri.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.