KAPAL SELAM JEPUN DAN BELANDA DI BORNEO, PERANG DUNIA KEDUA
Mungkin ramai generasi Sarawak tidak menyedari bahawa pada hari ini 28hb Disember merupakan detik bersejarah bagi penduduk Kuching, Sarawak khasnya kerana pada hari inilah Tentera Jepun telah berjaya menawan Kuching, ibukota Sarawak 74 tahun yang lalu.
Pendudukan Jepun ini telah memberikan satu kemusnahan yang besar kepada Kuching malahan seluruh Sarawak pada masa itu kerana Sarawak hanya bersandarkan kepada bantuan udara yang diberikan oleh British di Singapura pada masa itu di dalam bentuk yang minimal.
Sebelum itu pada 22 Disember 1941, Jepun secara berperingkat-peringkat telah mula menakluki bumi Sarawak dan seterusnya ke North Borneo melalui bumi Miri dan Seria, Brunei. Di Kalimantan pula, pendudukan Jepun bermula di Pengkalan Bun iaitu di provinsi Kalimantan Timur yang menyebabkan pasukan Koloni Belanda lebih banyak bertahan di wilayah timur Borneo pada waktu itu.
Di samping itu hendaklah diketahui, di ketika Sarawak mahupun North Borneo di kancah Perang Dunia Kedua juga, British hanya membekalkan bantuan udara dan tidak pada lautan kerana mereka juga terlibat di dalam mempertahankan tanah jajahan Malaya dan juga Singapura pada masa itu.
Menurut sejarah Perang Dunia Kedua, selain daripada kapal-kapal perang yang belayar di perairan Borneo terutamanya Sarawak terdapat juga kapal-kapal selam yang menjadi salah satu daripada pemusnah kapal-kapal pihak tentera perikatan. Dan sudah tentu setiap kapal-kapal selam yang digunakan mempunyai sejarahnya tersendiri.
Di dalam merungkai sejarah kapal-kapal selam ini, didapati terdapat 3 jenis kapal selam yang digunakan oleh Tentera Jepun dan hanya sebuah sahaja kapal selam daripada Tentera Belanda yang terlibat di dalam Perang Dunia Kedua di perairan Sarawak pada ketika itu. Ianya adalah:
1. Kapal selam Jepun I-162, I-165 & I-166
2. Kapal selam Belanda HNLMS K XVI
1. Kapal Selam Jepun I-162, I-165 & I-166
Menyelusuri sejarah kapal-kapal selam ini difahamkan terdapat 4 buah kapal selam Jepun yang terlibat sewaktu penaklukan Jepun di bumi Borneo. Sekitar 15 – 17 Disember 1941, kapal selam ini telah menjadi penjaga kepada konvoi kapal-kapal tentera Jepun. Ianya bermula diantara perairan Pulau Natuna dan bahagian barat daya Pulau Borneo.
Setiap kapal selam Jepun yang digunakan ini merupakan dari jenis Kaidai atau Kaidai-gata sensuikan yang juga merupakan jenis kapal selam kelas pertama pasukan Tentera Laut Diraja Jepun. Setiap satu daripada kapal selam ini mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri dan berpengalaman di dalam perang sebelum dihantar ke Borneo lagi.
i. Kapal selam I-62 / I-162
Dibina melalui Projek S28 oleh Tentera Laut Diraja Jepun.Merupakan kapal selam buatan Mitshubishi Kobe Shipyard, Jepun. Mula dibina pada 20 April 1927 dan siap sepenuhnya pada 24 Mac 1930.Merupakan kapal selam yang agak kecil berbanding kapal-kapal selam yang pernah dibina di dalam kelasnya.
Turut membantu di dalam penaklukan Jepun di Borneo dan selesai sahaja pentadbiran Jepun di Borneo telah memulakan pelayaran pulang ke Negara Jepun.Ketika menjaga kedaulatan perairan Jepun telah terkena torpedo daripada tentera perikatan di perairan Pulau Goto pada 1 April 1945.
ii. Kapal selam I-65/I-165
Merupakan antara 3 kapal selam jenis Kaidai yang diilhamkan dari Projek S29, Tentera Laut Diraja Jepun.Mula dibina pada 19 Disember 1929 oleh Kure-Naval Arsenal. Siap sepenuhnya pada 2 Jun 1931 dan mula membelah lautan pada 1 Disember 1932.Telah menyusuri perairan Miri sebelum ke Seria, Brunei di dalam proses penaklukan bumi Borneo oleh Jepun.
Sekitar 27 Jun 1945, kapal selam I-I65 ini juga menerima kecelakaan apabila turut tenggelam dibom pihak Tentera Perikatan ketika di dalam pelayaran di kawasan Kepulauan Mariana.
iii. Kapal selam I-66/I-166
Kapal selam Jepun ini juga antara 3 kapal selam dari unit kelas pertama dan terlibat dengan perang pendudukan Jepun di Borneo.Pembinaannya bermula pada tahun 8 November 1929 oleh Sasebo Naval Arsenal. Dirasmikan pelayarannya pada 10 November 1932 dan sejak itu ianya antara kapal selam Jepun yang paling gah sekali.
Kapal selam I-I66 inilah yang memainkan peranan yang besar di dalam memastikan kapal-kapal perang Jepun terus tidak ditenggelamkan oleh satu-satunya kapal selam Belanda di Borneo kerana kapal selam Belanda K-XIV telah terkena torpedonya lalu tenggelam di perairan Sematan, Sarawak.
Walaupun berjaya membantu Jepun di dalam proses penaklukannya di Borneo namun begitu pada tanggal 17 Julai 1945 sewaktu sedang membuat pelayaran di kawasan perairan Singapura telah terkena torpedo oleh HMS Telamachus iaitu kapal selam milik British.Kesemua 37 anak kapalnya turut terkorban.
2. Kapal Selam Belanda K-XVI
HNLMS K-XVI merupakan satu-satunya kapal selam Tentera Laut Diraja Belanda yang mengawal perairan Sarawak iaitu secara mengkhususnya di perairan Tanjung Datu, Sarawak ketika Perang Dunia Kedua berlangsung di Borneo. Ianya merupakan 1 daripada 5 buah kapal selam Belanda di bawah kategori K-XVI.
Dibina oleh Rotterdamsche Droogdok Maatschappij pada 30 Mei 1929 dan siap sepenuhnya pada 8 April 1933. Mula beroperasi dan digunakan sepenuhnya oleh Belanda pada tanggal 31 Januari 1934.
Kapal selam K-XVI ini merupakan kapal selam Koloni Belanda yang telah banyak menenggelamkan kapal-kapal Jepun ketika Perang Dunia Kedua berlangsung di bumi Borneo. Kapal selam inilah yang pertama berjaya menenggelamkan kapal perang Jepun iaitu Sagiri Maru di perairan Tanjung Datu pada tanggal 24 Disember 1941 ketika puluhan kapal-kapal tentera Jepun sedang di dalam proses untuk mendaratkan tentera Jepun di Sarawak melalui laut setelah berjaya mendarat di Miri.
Namun begitu menjelang paginya iaitu pada 25hb Disember 1941, Kapal selam K-XVI ini telah terkena torpedo kapal selam Jepun I-166 di tempat yang tidak jauh ianya menenggelamkan Sagiri Maru. Sekitar Oktober 2011, dikatakan bangkai kapal selam ini ditemui terdampar di satu lokasi tidak jauh dari perairan Santubong-Sematan oleh sekumpulan penyelam.
Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba mengimbau kembali sejarah Perang Dunia Kedua di Sarawak yang berlangsung dari tahun 1941-1945 dari konteks kapal-kapal selam yang pernah digunakan sewaktu perang dunia ini berlangsung di perairan Sarawak. Semoga ianya mampu menambah ilmu untuk kita semua.
Rujukan:
1. The Battle for Miri and Sarawak, Borneo, WW II By Franz Franz L Kessler
2. Monthly Ships of The World Magazine “Kaijinsha” (Japan) “History of Japanese Submarines”, August 2013
3. “The Landings” Australia War 1939-1945 http://www.ww2australia.gov.au/lastbattles/landings.html