top of page

LEGENDA TETAKAN PARANG SI BUNGA NUING


Bunga Nuing adalah salah satu nama besar di dalam masyarakat Iban Sarawak kerana ianya bukanlah calang-calang orang. Bunga Nuing dipercayai merupakan Orang Panggau yang sebenarnya berasal dari kayangan. Dan sudah tentu apabila bercerita mengenai Orang Panggau, sesiapa yang berasal dari sini dikhabarkan mempunyai kesaktian yang tiada tolok bandingnya berbanding dengan manusia biasa.

Salah satu daripada cerita kesaktian Bunga Nuing adalah bagaimana ianya berkait rapat dengan satu nama tempat di Sarawak iaitu yang bernama Lubuk Antu. Kerana disinilah dihikayatkan berlaku satu pertarungan 2 melawan 1 iaitu antara Bunga Nuing dengan 2 orang pemuda Iban yang gagah perkasa yang bernama Chiri dan Jampi.

Al-sahibul hikayat dikatakan suatu waktu dahulu ketika Lubuk Antu belum mempunyai nama dikatakan terdapat 2 orang pemuda iban bersaudara yang hebat dan pakar di dalam ilmu parang. Kedua-dua iban bersaudara ini bernama Chiri dan Jampi. Mereka berdua ini gah namanya antara pahlawan iban yang pandai bermain senjata parang sehingga sentiasa dapat memenggal kepala musuh ketika perang.

Oleh kerana kegagahan dan kehebatan mereka ini juga menyebabkan mereka berdua amat digeruni oleh masyarakat Iban pada waktu itu. Namun sesuatu yang tidak menyeronokkan mengenai Chiri dan Jampi adalah apabila mereka sudah digeruni timbul pula satu sifat mereka yang sombong tidak bertempat.

Kerana kehebatan mereka inilah kedua-duanya dikatakan bersikap bongkak. Chiri dan Jampi merasa diri mereka tersangat kuat sehingga mereka berdua bermaharajalela dengan sesuka hati mengganggu wanita-wanita iban tanpa mengira mereka itu anak perawan mahupun isteri orang. Apabila ada yang menegur mereka sudah tentu akan timbul perkelahian kerana kedua-duanya pantang ditegur.

Akibat daripada sifat bongkak ini, penduduk rumah-rumah panjang Iban pada masa itu berasa kurang senang. Hendak dilawan sudah tentu kudrat mereka tidak mampu menandingi kepandaian Chiri dan Jampi bertingkah lebih-lebih lagi dengan senjata parang mereka. Akhirnya kerana tidak tertahan, penduduk rumah-rumah panjang telah mengadu kepada Bunga Nuing iaitu Orang Panggau yang amat dihormati oleh masyarakat Iban pada masa itu.

Bunga Nuing menerima pengaduan daripada penduduk rumah-rumah panjang dan beliau sendiri telah pergi membuat siasatan tentang onar yang dibuat oleh Chiri dan Jampi. Setelah segalanya dikumpul maka tibalah harinya Bunga Nuing ingin membuat perhitungan dengan Chiri dan Jampi ini.

Di satu tempat, Bunga Nuing telah menanti ketibaan Chiri dan Jampi yang dikatakan akan melalui tempat tersebut seperti kebiasaannya. Apabila bersua muka itulah, Bunga Nuing terus mendapatkan Chiri dan Jampi dan memohon mereka memberikan penjelasan tentang aduan yang telah diberikan oleh penduduk rumah-rumah panjang.

Tercabar dengan dakwaan itu dikatakan Chiri dan Jampi telah bertindak kurang ajar dengan Bunga Nuing. Pada ketika itulah Chiri dan Jampi telah mencabar Bunga Nuing untuk beradu sebagai anak jantan. Bunga Nuing dengan penuh ketenangan telah menerima cabaran daripada Chiri dan Jampi walaupun hakikatnya beliau terpaksa berhadapan dengan 2 orang panglima Iban di dalam satu masa.

Chiri dan Jampi yang terlalu bongkak terlalu yakin bahawa mereka mampu mengalahkan Bunga Nuing kerana kedua-duanya gah nama mereka sebagai mereka yang mahir bertingkah dengan senjata parang. Namun kedua-duanya terlupa bahawa kesaktian Bunga Nuing bukan untuk ditandingi oleh manusia biasa.

Di dalam pertarungan itu 2 lawan 1 ini dikatakan Bunga Nuing telah menetak Chiri dan Jampi dengan parang saktinya. Tetakan parang Bunga Nuing telah berjaya membunuh Chiri dan Jampi malah kerana kesaktian itu juga tetakan parang Bunga Nuing turut terkena pada seketul batu besar yang mempunyai lubuk di tepi sungai. Dan kesan tetakan parang Bunga Nuing ini dikatakan masih mampu dilihat di satu bongkah batu besar di kawasan Lubuk Antu sehingga sekarang.

Manakala dikatakan dari legenda inilah Lubuk Antu mendapat nama kerana di kawasan sungai yang berlubuk inilah gugurnya Chiri dan Jampi di tangan Bunga Nuing. Di kawasan ini juga diceritakan pelbagai kejadian pelik pernah berlaku atau bagi masyarakat tempatan digelar kawasan berhantu.

Inilah cerita legenda yang diwarisi secara oral di dalam masyarakat Iban di Lubuk Antu iaitu bagaimana Bunga Nuing iaitu Orang Panggau masyarakat Iban yang berjaya membunuh Chiri dan Jampi hanya dengan tetakan parangnya. Terselit maksud yang tersirat di sebalik yang tersurat di dalam cerita legenda ini yang boleh untuk kita jadikan teladan.

Sesungguhnya orang Sarawak juga kaya dengan sastera rakyat yang tidak begitu diketengahkan untuk perkongsian kita bersama.

Comments


bottom of page